Sumbangan derma disalurkan ke akaun BIMB (Bank Islam Malaysia Berhad) No.Akaun: 10016010054313 Atas Nama: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah
Penduduk di Kampung Poturidong adalah beragama Kristian SDA. Masyarakat Islam adalah penduduk minoriti. Kawasan yang agak berbukit bukau menggambarkan kehidupan penduduk yang menjadikan pertanian sebagai punca utama rezeki. Menoreh getah dan bersawah adalah aktiviti ekonomi utama di kampung ini.
Kedatangan ahli rombongan Amal Sabah disambut oleh wakil penduduk kampung Poturidong dengan penuh kemesraan. Seramai 20 keluarga menerima sumbangan kebajikan berupa beras. Selain itu, keperluan solat seperti kain dan sajadah diberikan kepada keluarga yang beragama Islam.
Rombongan Amal Sabah juga berkesempatan menziarahi rumah seorang lelaki yang lumpuh dan agak uzur. Encik Johnny Bin Kumin, berumur dalam lingkungan 53 tahun tinggal bersendirian di sebuah rumah yang agak uzur. Namun, itulah tempat yang paling selesa baginya untuk berteduh dari panas terik matahari. Sejarah hidup khususnya dalam beragama agak sukar diperjelaskan. Namun apa yang dapat dikatakan, beliau kini mengaku berpegang kepada agama Kristian SDA.
Ziarah Amal yang pertama bagi tahun 2009 merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh ahli Amal Sabah. Bukit bukau dinaiki, sungai yang deras dilalui dan yang lebih manis, ahli rombongan terpaksa melalui jambatan gantung yang panjangnya lebih kurang 60 meter bagi sampai ke tempat yang dituju.
Program seumpama ini memberi kesan yang mendalam kepada ahli rombongan khususnya bilamana melihat keadaan Encik Johnny Bin Kumin yang kurang diambil perhatian oleh saudara seislam kita. Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah berazam mengadakan program Ziarah Amal khususnya dari rumah ke rumah sekerap yang mungkin. Hanya inilah cara yang dapat dilakukan bagi membuktikan keperhatinan Amal Sabah terhadap nasib saudara yang seagama.
Turut hadir dalam rombongan adalah penggerak-penggerak dakwah JAKIM dan Persatuan Ulama’ Malaysia Sabah serta lain-lain NGO Islam yang bernaung di bawah CONSERN.