|Laman Utama | Sinopsis | Motto/ Visi/ Misi | Tujuan/ Matlamat | Keahlian | Rangka Program | Perhubungan |
| Program 2006 | 2007| 2008 | 2009 | 2010 | 2011 | 2012 | 2013| 2014 |Galeri Video |

Sumbangan derma disalurkan ke akaun
BIMB (Bank Islam Malaysia Berhad) No.Akaun: 10016010054313
atas nama: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah
Al-Rajhi No. Akaun : 19200-1110830185
atas nama: Yayasan Amal Malaysia (Amal)

 

(telah dikemaskini pada 08/10/2010)

IBADAH QURBAN DI PENDALAMAN SABAH DAN DI MINDANAO, FILIPINA

AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH AKAN MENGADAKAN MAJLIS QURBAN PADA HARI RAYA EIDUL ADHA 1431H DI BEBERAPA LOKASI KAWASAN PENDALAMAN SABAH. SELAIN ITU, BUAT PERTAMA KALINYA, AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH TURUT SAMA MENGADAKAN MAJLIS QURBAN DI MINDANOA, FILIPINA.

SEHUBUNGAN DENGAN ITU, BAGI SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENYUMBANG DALAM MAJLIS INI AMATLAH DI ALUKAN (QURBAN/AQIQAH). KOS BAGI SETIAP BAHAGIAN ADALAH RM 400 (SABAH) DAN RM350 (MINDANOA). UNTUK KETERANGAN LANJUT, BOLEHLAH MENGHUBUNGI PENGARAH PROGRAM UST. JUMAT BIN RAZAK DI TALIAN 0195367902.

TARIKH TUTUP PENYERTAAN ADALAH PADA 10 NOVEMBER 2010.       

-----------------------------------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA BERJAYA MENGANJURKAN PROGRAM "JELAJAH RAMADHAN 2010”

AMAL Malaysia Cawangan Sabah dengan Kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, JAKIM Cawangan Sabah dan BERNAS telah berjaya menganjurkan program “Jelajah Ramadhan 2010” yang berlangsung selama 3 minggu bermula  14 Ogos 2010 dan berakhir pada 5 September 2010.

Berikut adalah tempat-tempat yang telah di kunjungi oleh Amal Malaysia Cawangan Sabah bagi tujuan perlaksanaan program  tersebut :

  1. Kg. Tamau, Kota Belud (14 Ogos 2010)
  2. Kg. Kayu Putih, Kota Belud (14 Ogos 2010)
  3. Kg Damai, Kota Merudu (21 Ogos 2010)
  4. Kg. Tandik, Kota Merudu (21 Ogos 2010)
  5. Kg. Bukit Lalang, Kota Merudu (21 Ogos 2010)
  6. Kg. Rukom Laut, Pitas (21 Ogos 2010)
  7. Kg. Halogilat, Beoufort (21 Ogos 2010)
  8. Kg. Pahu, Ranau (4 September 2010)
  9. Kg. Kinandusan, Ranau (4 September 2010)
  10. Kg. Dumpiring Atas, Ranau (4 September 2010)

Pelbagai aktiviti telah berjaya dilaksanakan di sepanjang program tersebut. Antara aktiviti adalah bantuan kebajikan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian kepada masyarakat miskin dan anak yatim, ziarah rumah ke rumah, Majlis berbuka puasa dan solat maghrib/isyak/ sunat tarawikh berjemaah dan Majlis Tazkirah.

Di kesempatan ini, sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program tersebut. Segala amanah yang telah diberikan oleh tuan/puan telahpun kami laksanakan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala pengorbanan dan kerjasama yang telah diberikan.

-----------------------------------------------------------------------------------

TIMBALAN PRESIDEN AMAL MALAYSIA LANCAR KEMPEN DERMA WAQAF MASJID DAERAH PANAMPANG

29 Ogos, Kota Kinabalu – Timbalan Presiden Amal Malaysia, Tuan Haji Jumuluddin Elias secara rasminya telah melancarkan kempen “Waqaf Masjid Penampang” di Dewan Saadah, Wisma MUIS Kota Kinabalu, Sabah. Program sehari itu adalah anjuran Jawatankuasa Waqaf Masjid Daerah Panampang dengan kerjasama Gabungan Ngo Islam Sabah (CONCERN).

Program “Himpunan Perdana Ramadhan” dimulakan dengan bacaan ayat-ayat al-quran oleh Adik Nusyraf Ideen Nahar, Johan Hafazan Ketogori Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan. Tazkirah berkenaan waqaf pula disampaikan oleh Ustaz Haji Abdullah Din, Timb. Yang di Pertua ABIM Kedah manakala pengerusi Jawatankuasa Waqaf Masjid Daerah Panampang, Tuan Haji Sainuri Yahmin telah membentangkan perkara yang berkaitan dengan Waqaf Masjid di Daerah Panampang.

Sebelum majlis dialog dibuka kepada umum, Tuan Haji Jumuludin Elias telah menyampaikan ceramah berkenaan Gaza khususnya pengalaman beliau dalam menyertai misi Kemanusiaan di Gaza baru-baru ini. Ditanya tentang kaitan bantuan umat Islam di Palestin dengan pembinaan Masjid di Panampang ini, beliau berkata “ jika umat Islam boleh bersatu dalam usaha menyelamatkan dan membebaskan Negara Palestin dari penjajahan zionis, inikan pula dalam urusan pembinaan sebuah masjid khususnya dalam Daerah Panampang, Sabah. Umat Islam mesti bersatu dan menghulurkan bantuan semaksima mungkin bagi memastikan terbinanya sebuah Masjid di kawasan Panampang .” “AMAL MALAYSIA akan sentiasa membantu dalam usaha untuk mendapatkan sumbangan dana berkaitan waqaf untuk pembinaan masjid Daerah Panampang  di seluruh Negara” Tambah beliau lagi.   

-----------------------------------------------------------------------------------

JELAJAH RAMADHAN 2010 – siri 2

Seramai 65 orang yang terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, muallaf dan orang miskin di Kota Merudu dan Kampung Rukom, Pitas telah menerima bantuan daripada AMAL MALAYSIA Caw. Sabah. Sumbangan adalah berbentuk wang tunai, makanan keperluan harian serta pakaian-pakaian terpakai.

Program Jelajah Ramadhan 2010 untuk siri kedua ini telah diadakan pada 21 Ogos 2010. Seramai 8 orang ahli AMAL MALAYSIA Caw. Sabah telah mengikuti program selama sehari ini. Program bermula dengan penyampaian bantuan kepada umat Islam yang memerlukan di Kota Merudu. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Pekan Kota Merudu memakan masa lebih kuirang 2 jam 15 minit. Kerjasama daripada JHEAINS dan JAKIM banyak membantu dalam urusan menyampaikan sumbangan tersebut. Di Kota Merudu, sebanyak 3 buah kampung telah dilawati iaitu Kg. Damai, Kg. Tandik dan Kg Bukit Lalang.

Setelah lebih 2 jam bantuan diberikan, rombongan AMAL MALAYSIA Caw. Sabah bergerak ke Kg. Rukom Laut Pitas, kira-kira 1 jam perjalanan dari Pekan Kota Merudu. Di sini, selain pemberian sumbangan, ahli rombongan bersama penduduk kampung berbuka puasa dan bersolat maghrib, isyak dan solat sunat tarawikh secara berjemaah. Kedatangan kami di kampung ini agak berbeza kerana pada Ramadhan kali ini, Majlis berbuka puasa dan solat berjemaah di diadakan di sebuah surau yang baru siap pembinaannya iaitu berhampiran dengan surau lama.

Ustaz Jefree, Imam di Surau tersebut berterima kasih atas kunjungan AMAL MALAYSIA di kg. tersebut. “Program ini sangat bermanfaat dan berkesan dalam usaha membantu masyarakat Islam di luar Kota Kinabalu yang kurang berkemampuan”.

Pengarah Program, Haji Akriah Abdullah berkata, pendekatan yang diambil untuk program pada hari ini sangat berbeza. Ini kerana kebanyakan sumbangan yang diberikan diserahkan terus dari rumah ke rumah.”keadaan ini mewujudkan rasa insaf pada diri kami. Dengan mata sendiri, kami melihat masih ada keluarga yang seagama dengan kita tinggal di rumah yang sangat dhaif dan tidak layak diduduki”, tambah beliau. Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya dalam meneruskan perjuangan dalam melaksanakan ibadat di bulan Ramadhan.

----------------------------------------------------------------------------------

PENDUDUK KG HALOGILAT BEAUFORT TERIMA SUMBANGAN

21 Ogos, Beoufort – Rombongan seramai 17 orang yang terdiri daripada ahli serta sukarelawan AMAL Malaysia Caw. Sabah dengan kerjasama JHEAINS Daerah Beoufort telah berkunjung ke sebuah perkampungan yang agak terpencil di Kawasan Pendalaman di Beoufort. Kg Hologilat, terletak lebih kurang 35 KM dari pekan Beoufort. Penduduknya dianggarkan seramai 500 orang. Majoriti penduduk beragama kristian. Keretapi merupakan pengangkutan utama bagi menghubungkan kampung tersebut dengan Pekan Beoufort.     

Seawal 7.30 pagi, rombongan AMAL MALAYSIA bersama JHEAINS yang diketuai Ustaz Mohd Awang Mohd Noor Rahim telah bertolak ke destinasi dengan menaiki keretapi yang dikendalikan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah. Walaupun pergerakan keretapi tidak terlalu laju (perlahan), namun kebanyakkan ahli rombongan  merasa seronok dan berpuas hati kerana inilah kali pertama mereka menaiki keretapi di Negeri Sabah.

Setelah 30 minit perjalanan, rombongan tiba di stesen Keretapi Kg, Halogilat. Tanpa melengahkan masa, bantuan sumbangan berbentuk keperluan makanan harian disampaikan dari rumah ke rumah. Seramai 8 orang yang mewakili ketua keluarga muslim telah menerima bantuan daripada AMAL MALAYSIA Caw. Sabah. Masing-masing menyatakan kesyukuran dan berterima kasih atas bantuan dan sumbangan yang telah diberikan dan berharap program seumpama ini akan diteruskan pada tahun yang akan datang.

----------------------------------------------------------------------------------

JELAJAH RAMADHAN 2010 – siri 1

14 Ogos, Kota Belud – Bersempena dengan kedatangan Ramadhan Al-Mubarak, AMAL MALAYSIA Caw. Sabah dengan kerjasama JHEAINS dan JAKIM Caw. Sabah telah memulakan program pertamanya dengan berkunjung ke dua buah kampung di Kota Belud, Sabah. Dalam Program tersebut, seramai 86 orang penduduk di Kampung Tamau dan Kg. Kayu Putih, Kota Belud telah menerima bantuan daripada AMAL MALAYSIA Caw. Sabah.

Rombongan seramai 5 orang yang diketuai Pengarah Program merangkap Timbalan Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah, Tuan Haji Akriah Abdullah tiba di lokasi seawal jam 4.00 petang. Program dimulakan dengan sesi tazkirah Ramadhan yang berkisar berkenaan “Kewajipan berpuasa dan kelebihan berpuasa di dalam bulan Ramdhan”. Ahli rombongan berbuka puasa bersama penduduk kampung dan seterusnya bersolat maghrib, isyak dan solat sunat tarawikh berjemaah.

Tuan Haji Akriah Abdullah berkata, program di dua buah kampung ini merupakan aktiviti tahunan yang mana pada tahun-tahun lepas, aktiviti yang sama juga dibuat di kampung tersebut. “Kita berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang. Ianya sangat penting dalam mewujudkan hubungan yang erat khususnya antara AMAL MALAYSIA Caw. Sabah dengan penduduk di dua buah kampung tersebut”.

----------------------------------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA EDAR TAQWIM BERBUKA PUASA DAN BUKU PANDUAN BERPUASA

Kota Kinabalu, 8 Julai – Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah bersama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah telah mengedarkan kira-kira 2000 keping taqwim berbuka puasa dan masing-masing 150 naskhah buku Panduan Berpuasa Ramadhan dan Solat Sunat Tarawih secara percuma kepada orang ramai dan peniaga di sekitar Jalan Gaya dan Lintasan Deasoka. Turut sama dalam program tersebut adalah Persatuan Saudara Kita (SAHABAT) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

En Saifuddin Ahmad, AJK AMAL MALAYSIA Caw. Sabah berkata, AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah sentiasa bekerjasama dengan JAKIM Cawangan Sabah dan JHEAINS dalam usaha menyebarkan maklumat khususnya berkaitan penyebaran dakwah Islam di negeri Sabah. “Ini adalah salah satu sumbangan AMAL MALAYSIA bersama dengan rakan NGO Islam lain dalam mempelbagaikan kaedah atau aktiviti dalam menyebarkan syiar Islam di negeri ini khususnya dalam menghadapi bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba”.

Seperti tahun-tahun lepas, AMAL MALAYSIA Caw. Sabah akan meneruskan aktiviti-aktiviti dakwah di bulan Ramadhan khususnya di pendalaman Sabah dengan menganjurkan program “Jelajah Ramadhan”. Antara pengisian atau aktiviti yang dirancang adalah Majlis Berbuka Puasa, solat tarawikh, tazkirah, ziarah Ramadhan, sumbangan kebajikan kepada anak yatim dan orang-orang miskin dan sumbangan atau wakaf tafsir al Quran kepada masyarakat Islam dan buku Iqra’ kepada pelajar Islam di Pendalaman.

“Semua sumbangan ini datangnya dari mereka yang prihatin, dan kita di AMAL MALAYSIA Caw. Sabah amat mengalukan-alukan sumbangan tersebut. Kami akan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan semua sumbangan ini akan disampaikan terus kepada mereka yang memerlukan”. Ujarnya lagi.

------------------------------------------------------------------------------------

DISKUSI RAMADHAN BERSAMA USTAZ ZAHAZAN BIN MOHAMED

Kota Kinabalu, 3 Ogos – Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, dengan kerjasama Pustaka Aslam dan Hidayah Permai telah menganjurkan Program Diskusi Ramadhan Bersama Ust Zahazan Mohamed di Dewan Besar, Kompleks Penginapan Tabung Haji, Kota Kinabalu.

Diskusi yang berlangsung bermula jam 8.50 malam dan berakhir jam 11.00 malam ini telah menarik minat seramai lebih 600 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, kakitangan kerajaan serta swasta. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi ruang kepada peserta bagi menambahkan ilmu serta pengetahuan berkaitan fadhilat dalam beramal di bulan Ramdhan disamping dapat memperkenalkan Yayasan Amal Malaysia kepada masyarakat di sekitar Kota Kinabalu, khususnya.

Penyampaian yang bersahaja serta huraian yang menarik dengan disokong dalil-dalil didalam al-quran dan hadis serta pendapat-pendapat ulama’ menyerlahkan kemampuan penceramah dalam menghuraikan setiap isu dan persoalan yang dilontarkan daripada setiap peserta diskusi.  Adalah diharapkan, peserta akan mendapat banyak maklumat dan ilmu yang berguna dalam persediaan menghadapi bulan Ramadhan yang akan menjelang tiba.

-----------------------------------------------------------------------------------

PERGI MU TAK KEMBALI LAGI

Pada 12 Julai 2010 bersamaan 29 Rejab 1431H jam 10.30 pagi, Naib Pengerusi 1, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Ustaz Haji Nahar Mantamin telah kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung. Sehubungan dengan itu, Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah, Tuan Haji Khairan Untoh, pada 17 Julai 2010 telah menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga allahyarham.  AMAL Malaysia Caw. Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan semoga tabah menghadapi cubaan dari Allah swt. Al-Faatihah …

-----------------------------------------------------------------------------------

KUNJUNGAN KE CHARITY SHOP AMAL MALAYSIA CAWANGAN PAHANG

Kuantan, 1 Julai – Setiausaha AMAL MALAYSIA Caw. Sabah telah membuat kunjungan sehari ke AMAL MALAYSIA Caw. Pahang. Kunjungan sehari ini bertujuan untuk melihat dan mempelajari secara lebih dekat operasi “Charity Shop” yang telah berjaya dilaksanakan di negeri Pahang.

Pengarah Urusan “Charity Shop” Pahang En. Mohd Hisham Zamri bersama Ust Mohd Suaadi Saad bagi pihak Amal Malaysia Caw. Pahang telah memberi penerangan lengkap mengenai gerak kerja serta operasi “Charity Shop” di Pahang. Bagi sahabat-sahabat yang berada di Pahang khususnya bagi mereka yang berminat untuk menyumbang kepada “Charity Shop” ini, bolehlah menghubungi sekretariat di nombor yang tertera pada gambar di atas.

Semoga kunjungan ini memberi idea dan manfaat bagi mewujudkan “Charity Shop” di negeri Sabah.

-----------------------------------------------------------------------------------

LEBIH 42 BUAH RUMAH TERBAKAR, LEBIH 70 KELUARGA HILANG TEMPAT TINGGAL

Putatan, 26 Februari – Lebih 60 keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka terbakar dalam suatu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Sri Pandan, Putatan. Kebakaran yang memusnahkan lebih 42 buah rumah telah mengakibatkan banyak harta benda musnah dalam sekelip mata.

Keadaan rumah yang rapat dan jalan yang sempit telah menyukarkan tugas-tugas mengawal kebakaran oleh anggota bomba yang terlibat. Keadaan angin kencang selaju 20 – 30 kilometer sejam antara faktor api mudah merebak dengan cepat. Api yang mula merebak pada seawal jam 8.40 pagi hanya berjaya dikawal kira-kira jam 11.30 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Misi bantuan pertama daripada AMAL MALAYSIA Caw. Sabah  kepada mangsa kebakaran di Kg. Pandan Putatan Sabah telah dihantar selepas waktu asar di hari waktu kebakaran. Bantuan pertama adalah berbentuk berangan keperluan harian, minuman serta menyediakan makan malam kepada mangsa yang terlibat. Pada keesokkan paginya pula, bantuan dalam bentuk sarapan pagi dihulurkan.

Ketua Kampung, Kg. Sri Pandan, Hj Mahlan Haji Ag. Damit mengucapkan terima kasih atas bantuan segera yang diberikan. Menurut beliau, AMAL MALAYSIA Caw. Sabah adalah NGO pertama yang hadir memberikan bantuan kepada mangsa kebakaran tersebut.  Mangsa kebakaran telah ditempatkan di Surau al-Hidayah, Tabika Perpaduan dan Surau Firdaus.

AMAL MALAYSIA Caw. Sabah berharap mangsa yang terlibat bersabar dengan ujian yang menimpa. Semoga musibah yang menimpa dapat dijadikan pengiktibaran dan menjadikan kita lebih dekat kepada Maha Pencipta.  

------------------------------------------------------------------------------------

PROGRAM DERMA DARAH DI MASJID NURUSSYAKIRIN, SANDAKAN

Sandakan, 7 Februari – AMAL MALAYSIA Caw. Sabah dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Nurussyakirin, Sandakan telah berjaya melaksanakan program derma darah dan saringan kesihatan. Program yang bermula jam 9 pagi dan berakhir 12 tengahari telah mendapat sokongan penuh dari Bahagian Potologi, Hospital Dutch Off Kent, Sandakan.

Pengarah Program, En. Ramlan berkata sebanyak lebih 20 pine darah berjaya diperolehi dalam program tersebut. “Sambutan yang diperolehi sangat menggalakkan dan kita akan memperluaskan program seumpama ini di tempat lain sekitar Sandakan pada masa yang akan datang.”

Selain berpeluang menderma darah, para pengunjung khususnya ahli qariah di masjid tersebut berpeluang mendapat maklumat lanjut berkenaan tahap kesihatan serta lain-lain penerangan berkenaan penjagaan kesihatan. 

------------------------------------------------------------------------------------

MANGSA BANJIR DI KOTA MERUDU DAPAT PERHATIAN AMAL MALAYSIA CAW. SABAH

Kota Merudu, 17 Januari – Hujan lebat yang turun tanpa henti di beberapa Bahagian di negeri Sabah telah mengundang banjir di beberapa kawasan di Pandalaman Sabah. Kota Merudu merupakan salah satu kawasan yang terlibat dengan banjir tersebut. AMAL MALAYSIA Caw. Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya, Tuan Haji Khairan Untoh hadir bersama dengan beberapa ahli sukarelawan AMAL MALAYSIA memberi bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat.

Bantuan dalam bentuk makanan harian telah disampaikan kepada mangsa dengan dibantu penduduk kampung dan mendapat kerjasama yang baik dari pihak JKKK. Semoga sumbangan yang tidak seberapa dapat meringankan keperitan dan kesusahan yang menimpa akibat banjir yang

 

------------------------------------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA CAW. SABAH SAMPAIKAN SUMBANGAN "WATER PUMP GRAVITY"

Keningau, 3 Januari – AMAL MALAYSIA Caw. Sabah telah mengadakan majlis penyerahan 'water pump gravity' kepada sebuah kampung di daerah Sook, Keningau. “Water pump”  yang dibekalkan adalah merupakan hasil sumbangan dan kutipan dari jamuan Makan Malam Amal yang diadakan pada bulan Julai tahun 2009. Kg. Mustika, Sook merupakan kampung yang dipilih begi melaksanakan program yang julung kalinya diadakan. Kampung yang terdiri daripada 20 keluarga ini hanya bergantung sumber air hujan semata-mata. Mereka terpaksa meredah perjalanan berkilometer untuk mencari sumber air sekiranya hujan tidak turun lebih dari seminggu.

Ketua kampung Mustika, Ust Sufian Abdullah menyatakan bahawa sejak kampung ini dibuka dengan rasmi pada tahun 2003 dan sebenarnya telah diterokai dari tahun 70an lagi belum ada mana-mana pihak hadir untuk menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Menurut beliau lagi, kesediaan AMAL MALAYSIA Caw. Sabah turun padang untuk membantu penduduk sangat dialu-alukankan serta menepati sasaran. "Ini merupakan suatu usaha yang amat murni. Sumbangan yang diberikan oleh Amal Malaysia tidak akan kami lupakan sehingga keakhir hayat kami" Tambah beliau.

Pada majlis perasmian tersebut, Tn. Hj. Khairan Untoh yang juga Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah melahirkan rasa syukur, dan berharap semoga dengan adanya sumber air ini akan dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah s.w.t dengan menyempurnakan ibadat kepadaNya. Seterusnya pada majlis tersebut, AMAL MALAYSIA Caw. Sabah juga telah menyampaikan sumbangan beras, gula dan keperluan harian kepada 10 keluarga miskin di kampung tersebut.

Turut hadir bersama pada rombongan tersebut ialah Mohd Ridhuan Othman selaku Setiausaha AMAL MALAYSIA Caw. Sabah, Pn. Noor Rafidah Abd Hamid selaku Naib Pengerusi 3 AMAL MALAYSIA Caw. Sabah dan Nadir An Nuri Kamarulzaman selaku wakil dari Persatuan Siswazah Sabah.

------------------------------------------------------------------------------------

ZIARAH AMAL DI KG. TAMBULAONG TUARAN.

Tuaran, 1 Januari – AMAL MALAYSIA Caw. Sabah bersama dengan Persatuan Ulama’ Malaysia Caw. Sabah dan JAKIM Sabah telah sama-sama mengadakan program ziarah di sebuah perkampungan muallaf lebih kurang 35 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu. Majlis diadakan di Surau at-Taqwa yang kecil dan agak terpencil. Majlis ringkas ini telah dipengerusikan oleh Dr Aliakhbar dari Persatuan Ulama’ Malaysia. Ust Nahar selaku Naib Pengerusi II AMAL MALAYSIA Caw. Sabah telah memberikan tazkirah kepada 30 orang penduduk kampung yang hadir dalm majlis tersebut.

Dalam pada itu, dialog ringkas juga diadakan bersama mereka khususnya berkaitan tentang keperluan pengajian asas fardhu ain, masalah kemasyarakatan dan sebagainya. Insya Allah, penganjur akan mencuba menangani beberapa masalah yang diutarakan. Program diakhiri dengan penyampaian sumbangan berbentuk pakaian solat, taqwim, buku panduan solat, makanan asasi seperti beras, gula dan lain-lain kepada penduduk kampung yang terlibat.


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Jumlah Pelawat:

Hakcipta terpelihara©2007
Yayasan Amal Malaysia, Cawangan Sabah