|Laman Utama | Sinopsis | Motto/ Visi/ Misi | Tujuan/ Matlamat | Keahlian | Rangka Program | Perhubungan |
| Program 2006 | 2007| 2008 | 2009 | 2010 | 2011 | 2012 | 2013| 2014 |Galeri Video |

Sumbangan derma disalurkan ke akaun
BIMB (Bank Islam Malaysia Berhad) No.Akaun: 10016010054313
atas nama: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah
Al-Rajhi No. Akaun : 19200-1110830185
atas nama: Yayasan Amal Malaysia (Amal)

 

“WATER PUMP GRAVITY”
DI KAMPUNG MAMANG, PULAU BANGGI

Seramai 7 orang perserta yang terdiri daripada ahli dan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah yang telah berkunjung ke Kampung Mamang, Pulau Banggi bagi memberi khidmat kepada penduduk di Kampung tersebut. Pada program kali ini, peserta berpeluang belajar cara-cara mencari air bawah tanah melalui kaedah “water pump gravity” daripada pengajar yang berpengalaman.

Kampung Mamang terletak lebih kurang 13 Kilometer dari Kg. Karakit (Pekan), Pulau Banggi. Majoriti masyarakat berbangsa Bonggi dan bekerja sebagai penternak, petani dan nelayan. Terdapat lebih kurang 150 orang menetap di kampung tersebut. Penduduk Islam adalah golongan minoriti. Kereta pacuan empat roda adalah pengangkutan utama ke kampung tersebut.

Tuan Haji Akriah Abdullah, Timb. Pengerusi AMAL MALAYSIA berkata Program yang diadakan pada 25 Disember 2011 ini bertujuan untuk membantu masyarakat sekeliling mendapatkan air yang bersih dari sumber bawah tanah. Disamping itu, ianya juga sebagai pendedahan awal kepada ahli dan sukarelewan AMAL MALAYSIA serta penduduk kampung mempelajari kaedah mencari air dengan kos yang minimum tetapi praktikal untuk dilaksanakan.

Pengerusi JKKK Encik Jose Bin Kisi berterima kasih kepada AMAL MALAYSIA kerana memilih Kampung Mamang sebagai projek perintis program ini di adakan di pulau tersebut. “Saya berharap AMAL MALAYSIA dapat meneruskan usaha dalam memberi khidmat kepada masyarakat di masa-masa yang akan datang” ujar beliau.

----------------------------------------------------------

SUMBANGAN GINSET KEPADA
SURAU KAMPUNG KALIGAU, PULAU BANGGI

Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah  pada 24 Disember 2011 telah menyerahkan ginset bagi kegunaan surau di Kampung Kaligau, Pulau Banggi. Ginset tersebut telah disampaikan oleh petugas AMAL MALAYSIA, Encik Rosdi Bin Bardi dan diterima oleh Pengerusi JKKK Kampung Kaligau, Encik Rosman Bin Kutut.

Kampung Kaligau terletak lebih kurang 9 Kilometer dari Kampung Karakit (pekan) Pulau Banggi. Masyarakatnya berbangsa Bajau. Nelayan merupakan ekonomi utama penduduk.  Terdapat lebih kurang 15 keluarga (semua beragama Islam) menetap di kampung tersebut. 

Sebagai rekod, Ginset tersebut merupakan sumbangan daripada masyarakat Islam di Sabah untuk kegunaan masyarakat Islam Kg Kaligau bagi melaksanakan program kerohanian di kampung tersebut. 

----------------------------------------------------------

PROGRAM ZIARAH
DI KAMPUNG NAHABA, KOTA BELUD

Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah pada 17 Disember 2011 telah mengadakan program ziarah di Kampung Nahaba, Kota Belud. Seramai 5 orang ahli yang diketuai Timbalan Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah Tuan Haji Akriah Abdullah bersama 7 ahli sukarelawan AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah turut sama dalam program tersebut

Kampung Nahaba terletak lebih kurang 18 kilometer dari Pekan Kota Belud. Majoriti penduduknya beragama kristian dan terdapat lebih kurang 11 keluarga muslim yang menetap di perkampungan tersebut. Keadaan hidup penduduk adalah sederhana dan majoritinya bekerja sebagai petani.

Progam ini di adakan adalah bertujuan untuk meninjau lebih dekat kehidupan masyarakat Islam yang majoritinya muallaf di kampung tersebut. Kemudahan air dan elektrik disediakan dengan baik. Namun, ketiadaan surau di kampung tersebut menyukarkan aktiviti keagamaan dilaksanakan seperti solat berjemaah dan kuliah agama. Walaupun terdapatnya sekolah Rendah, namun ketiadaan guru agama menyebabkan mata pelajaran pendidikan Islam tidak dapat diajar di sekolah tersebut.

Dalam program setengah hari ini, perhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma juga turut diadakan. Seramai 20 orang penduduk telah menyertai pemeriksaan kesihatan di sepanjang pemeriksaan kesihatan dilakukan.Program ziarah ini diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada wakil keluarga yang hadir.

Kesimpulannya, surau merupakan keperluan utama masyarakat Islam di kampung Nahaba, Kota Belud. Pihak AMAL MALAYSIA Caw. Sabah akan berusaha dalam memastikan surau dibina di kampung tersebut. Di samping itu, masalah ketiadaan ustaz/ustazah yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam akan dikemukakan kepada pihak yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya. 

----------------------------------------------------------

PAMERAN AMAL MALAYSIA
DI WISMA MUIS, KOTA KINABALU

Bersempena dengan kedatangan tahun baru 1433H, AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah pada 25-27 November 2011 telah menyertai pameran anjuran JAKIM Caw. Sabah bertempat di Ground Floor, Wisma MUIS, Kota Kinabalu Sabah. Lebih 20 agensi yang terdiri daripada pihak kerajaan, swasta dan NGO telah menyertai pameran yang diadakan bersempena dengan program Sambutan Maal Hijrah 1433 Peringkat Negeri Sabah. Disamping mempamerkan aktiviti AMAL MALAYSIA di sekitar Sabah, pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh sukarelawan AMAL MALAYSIA turut di adakan. Apa yang jelas, penyertaan AMAL MALAYSIA ini telah berjaya memberi maklumat yang sangat berguna kepada masyarakat Sabah khususnya berkenaan peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh AMAL MALAYSIA kepada masyarakat Sabah semenjak penubuhannya di negeri ini.   

----------------------------------------------------------

PROGRAM QURBAN 1432H/2011
ANJURAN
YAYASAN AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH

Bersempena dengan Hari Raya Aidiladha, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah pada 6 dan 7 November 2011 telah berjaya mengadakan Qurban sebanyak 4 ekor lembu. Tiga lokasi yang terpilih ialah Pulau Banggi, Sook Keningau dan Sepanggar. Berikut adalah penama-penama yang menyertai ibadah Qurban bagi tahun 1432H / 2011:

1. Ismail bin Palil
2. Ratnawati Bte Mohd Hasbie
3. Diyana Ashreen Ismail
4. Nur Nabila Ismail
5. Muhammad Izzat Bin Ismail
6. Payjan Bin Abdul Razak
7. Jupri Bin Salleh
8. Syamsul Anuar Bakar
9. Kahar bin Ghani
10. Kamsin @ Sani Bin Onggoh
11. Norijah Binti Haran
12. Hj Mohd Syuaib Asreen
13. Romzie Bin Adarin
14. RaihanBin Ismail
15. Aliff Bin Salmi
16. Muhammad Adam Ghazi Salmi
17. Sonah Ujang
18. Saari Abdullah
19. Lazim Bin Safar
20. Landong Bin Lasaio (Allahyarham)
21. Haji Khairan Untoh
22. Hjh Aisyah
23. Hj Jaafar
24. Hjh Aminah
25. Kamil
26. Hj Walid
27. Anita

----------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH
BERAMAL DI PULAU BANGGI

Bersesuaian dengan moto AMAL MALAYSIA “ Beramal Kerana Allah” seramai  15 ahli AMAL MALAYSIA telah menyertai program kemasyarakatan yang diadakan pada 5 hingga 7 November 2011. Lokasi yang menjadi tumpuan adalah Kampung Laksian, Pulau Banggi. Turut serta dalam program tersebut adalah 8 ahli Alumni PDS Sabah.

Kampung Laksian terletak 10 kilometer dari Kg. Karakit Pulau Banggi. Walaubagaimanapun, keadaan jalan yang kurang baik telah menyebabkan perjalanan ke kampung tersebut memakan masa selama sejam. (Untuk ke Kg. Karakit, peserta dikehendaki menempuh perjalanan selama 1 jam dengan Kapal Ekspress dari Pekan Kudat). Manakala perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat mengambil masa selama 3 jam. Lebih 90% masyarakat di Pulau Banggi beragama Islam. Nelayan dan bertani adalah sumber ekonomi utama penduduk di kampung Kg. Laksian.  

Program selama 3 hari yang turut melibatkan penduduk di Kg. Kaligau, Kg. Mamang dan Kg. Garib telah mendapat kerjasama dan sambutan di luar jangkaan. Penduduk telah bergotong royong dan bekerjasama dalam mamastikan semua aktiviti dilaksanakan dengan jayanya. Pemeriksaan kesihatan secara percuma yang menggabungkan pemeriksaan perubatan moden dan perubatan Islam pada 7 November telah menarik lebih 200 orang penduduk sekitar Kg. Laksian hadir menerima rawatan. Aktiviti-aktiviti lain yang diadakan adalah program Korban, Ziarah Amal di Kampung Kaligau, Tayangan Amal, Makan Malam bersama penduduk kampung, Tazkirah Korban, Program Bersama Adik-Adikku, sukaneka dan perlawanan bola sepak pesahabatan antara PDS FC melawan Laksian FC.

Encik Kulok @ Pulloh bin Dalik, Ketua Kampung Laksian dalam ucapannya merakamkan setinggi menghargaan dan terharu atas kehadiran Yayasan Amal Malaysia ke Kampung tersebut. “Setakat ini, Yayasan Amal merupakan ngo pertama yang datang membuat program ini. Selain itu, pelaksanaan korban sebanyak 3 ekor lembu adalah juga yang pertamanya dilakukan di kampung ini. Harap pada tahun akan datang, program korban ada dibuat di sini” ujar  beliau.

Untuk rekod, program ini telah mendapat kerjasama sepenuhnya dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

----------------------------------------------------------

PENDERITAAN BAKRI BIN JUMALA
 DAPAT PERHATIAN AMAL

Pada 22 September 2011, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah telah menziarahi seorang pesakit Tibi di terataknya di Bukit Nenas, Karamunsing. Bakri Bin Jumala, 21 tahun turut mengalami penyakit tulang dan lumpuh separuh badan semenjak awal tahun 2011. Akibat daripada penyakit tersebut, En. Bakri Bin Jumala terpaksa mengharap bantuan daripada ibunya, Puan Raya yang juga merupakan ibu tunggal dalam mengurus kehidupan seharian. Selain menjaga anaknya yang lumpuh, Puan Raya yang hanya bekerja sebagai pembantu restoran juga bertanggungjawab dalam menjaga 4 orang anak-anaknya sekitar 4 – 10 tahun.

Jesteru itu, sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian dan kerusi roda telah diserahkan kepada En. Bakri Jumala pada waktu tersebut. Sumbangan kerusi roda ini merupakan hasil sumbangan daripada masyarakat Islam yang memberi kepercayaan kepada AMAL MALAYSIA Caw. Sabah untuk disampaikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. AMAl MALAYSIA mendoakan semoga kelurga En. Bakri tabah dalam menghadapi ujian dari Allah swt.  

----------------------------------------------------------

PROGRAM JELAJAH RAMADHAN – KG HALOGILAT, BEOUFORT

Kg. Halogilat, Beoufort adalah destinasi seterusnya (minggu kedua) bagi program Jelajah Ramadhan 1423 H. Program Anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan JAKIM Cawangan Sabah yang diadakan di kampung ini bertujuan untuk mendekati dan menyelami kehidupan masyarakat kampung dan menghidupkan bulan Ramadhan dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Disamping itu juga ianya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli AMAL MALAYSIA dengan masyarakat setempat.

Seramai 13 keluarga di kampung tersebut telah menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian. Kampung Halogilat tertetak lebih kurang 24 kilometer dari pekan Beoufort. Keretapi dan bot merupakan pengangkutan utama ke kampung ini (tiada jalan dibina). Untuk program ini,    semua peserta telah menaiki keretapi yang memakan masa selama 1 jam 30 minit dari pekan Beoufort.

Atas inisiatif AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah dengan bantuan pemimpin dan masyarakat setempat, maka sebuah surau telah dibina dikampung ini (penambahbaikan sedang dilakukan). Di surau inilah pelbagai aktiviti keagamaan dijalankan dari semasa ke semasa. Ketiadaan guru agama antara cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam setempat dalam mendalami ilmu agama. Jesteru, ahli sukarelawan AMAL MALAYSIA dan JHEAINS Beoufort telah melakukan kunjungan sekerap mungkin (minimum sebulan dua kali) di kampung ini dalam misi mengajar dan menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat sekeliling.

----------------------------------------------------------

PROGRAM JELAJAH RAMADHAN – PITAS DAN KOTA MERUDU

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah pada 7 Ogos 2011 telah berkunjung ke kawasan masyarakat Islam yang miskin di sekitar Pitas dan Kota Merudu. Program Jelajah Ramadhan dimulakan dengan Ziarah Ramadhan dan penyerahan bantuan kebajikan kepada keluarga di sepuluh buah rumah di sekitar Pitas. Ustaz Kamal Sidong, Pen. Pegawai Tadbir Agama JHEAIS Pitas bersama beberapa kakitangannya telah memberi kerjasama penuh dalam program yang berakhir jam 3 petang.  Rombongan AMAL MALAYSIA telah dibawa untuk melihat keadaan masyarakat Islam yang berada dalam kemiskinan yang semestinya memerlukan perhatian sewajarnya dari mereka yang prihatin terhadap nasib saudaranya yang seagama.

Pada jam 4.30 petang, rombongan AMAL MALAYSIA Caw. Sabah telah mengadakan program di Kampung Parong Kota Merudu. Seramai 33 keluarga telah menerima sumbangan berbentuk wang ringgit, pakaian terpakai dan barangan keperluan harian. Majlis Berbuka puasa, Tazkirah Ramadhan dan solat sunat  Tarawikh berjemaah antara aktiviti yang dilaksanakan di kampung tersebut.

JAKIM Cawangan Sabah yang di wakili oleh Ustaz Mahdi dalam ucapannya sangat berterima kasih atas pengorbanan dan kesungguhan AMAL MALAYSIA dalam membantu masyarakat Islam khususnya di Kota Merudu. Dr. Rapihi Derim yang mewakili Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah berkata bantuan yang disampaikan adalah hasil sumbangan Masyarakat Islam yang prihatin. Adalah diharapkan sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung dan seterusnya digunakan bagi perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepada keluarga.

Sebagai rekod, AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah telah memberi bantuan kebajikan kepada masyarakat Islam khususnya di Kota Merudu dan Pitas pada setiap tahun di dalam bulan Ramadhan semenjak tahun 2007.

-----------------------------------------------------------

PROGRAM JELAJAH RAMADHAN – KG. TAMAU, KOTA BELUD

Seramai 91 orang yang terdiri daripada orang miskin, muallaf dan ibu tunggal di sekitar Kampung Tamau dan Kampung Kayu Putih telah menerima sumbangan daripada Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah. Sumbangan berbentuk wang tunai serta barangan keperluan harian telah disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Tuan Haji Khairan Untoh.

Majlis pada 6 Ogos 2011 dimulakan seawal jam 4.30 petang dengan tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Nor Azamuddin. Selesai Majlis Penyampaian Sumbangan, Ahli AMAL MALAYSIA berpeluang untuk beramah mesra bersama penduduk serta pelajar di Pondok Fii Dzilalil Quran, Kota Belud pada majlis berbuka puasa. Program diakhiri dengan Tazkirah ringkas selepas Solat Tarawikh yang disampaikan oleh Dr. Rapihi Derim.

Program tahunan ini dilihat sangat berkesan dalam mengeratkan hubungan silaturrahim diantara ahli AMAL MALAYSIA dengan penduduk sekitar. Semoga ianya dapat diteruskan pada tahun yang akan datang.

-----------------------------------------------------------

“DISKUSI RAMADHAN” BERSAMA
DATO’ ABU HASSAN DIN AL-HAFIZ

Bersempena dengan kehadiran Ramadhan al-Mubarak, Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah pada 23 Julai 2011 telah berjaya menganjurkan program “Diskusi Ramadhan” bertempat di Dewan Sri Kinabalu, Hotel TAHA D’ Bayu, Kota Kinabalu Sabah. Ceramah jemputan dalam diskusi ini adalah Yang Berbahagia Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Mantan Pegawai Istana Negara.

Program diskusi yang dilaksanakan setiap tahun ini (kali kedua) diadakan bagi memberi peluang kepada kaum musmin dan muslimat menambah dan memperkukuhkan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan amalan dalam bulan Ramadhan.  Peserta juga diberi peluang untuk bertanyakan soalan kepada Yang Berbahagia Dato’berhubung dengan persoalan dan kemusykilan yang dihadapi dalam melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan.

Antara perkara yang ditekankan oleh penceramah adalah berkenaan sikap ibu bapa kini yang sangat mengambil berat pelaksanaan ibadah puasa dikalangan anak-anak yang berumur 5 – 8 tahun. Sedangkan pada masa yang sama pelaksanaan solat 5 waktu kurang ditekankan. Bonus atau pahala yang berganda daripada  Allah Subhanahu wata’ala bagi setiap amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan wajar dijadikan rebutan bagi setiap individu muslim.  

Semoga majlis seumpama ini dapat diteruskan dan ditingkatkan penganjurannya pada tahun hadapan. Sebagai rekod, seramai 350 orang telah hadir dalam Diskusi yang berakhir pada jam 11.00 malam.  

----------------------------------------- 

AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH
ANJUR
MAJLIS “MAKAN MALAM AMAL”

Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah pada 22 Julai 2011 telah berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam Amal. Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara masyarakat dengan AMAL MALAYSIA Caw. Sabah khususnya para penyumbang yang setia dan sentiasa memberi kepercayaan kepada AMAL MALAYSIA dalam melaksanakan misi kemasyarakatan di negeri Sabah.

Seramai 120 orang telah hadir dalam Majlis Makan Malam ini yang diadakan di Dewan Sri Semporna, Hotel TAHA D’Bayu, Kota Kinabalu, Sabah. Majlis didahului dengan tayangan khas sempena 5 tahun penubuhan AMAL MALAYSIA di negeri Sabah. Majlis diikuti dengan tazkirah khas daripada finalist Imam Muda musim kedua, Ust. Fakhrorrazi Bin Hussin. Imam Muda Fakhrorrazi  menggantikan tempat Dato’ Abu Hassan Din yang tidak dapat hadir pada malam tersebut akibat masalah pernerbangan yang dihadapi.   

Adalah diharapkan, para hadirin yang hadir majlis Makan Malam Amal ini mendapat maklumat tambahan mengenai gerak kerja AMAL MALAYSIA Caw. Sabah selama 5 tahun penubuhannya di negeri Sabah. Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal atas segala sumbangan dan kepercayaan yang diberikan.

--------------------------------------------------------

IMAM MUDA FAKRUL
HADIR PROGRAM ANJURAN
AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH

Peserta finalist Imam Muda Musim Kedua, Imam Muda Fakrul atau nama penuhnya Fakhrurrazi Bin Hussin telah hadir dalam mengisi beberapa slot bersempena “Program D’Ambang Ramadhan” di sekitar Kota Kinabalu anjuran AMAL MALAYSIA Caw. Sabah. Sepanjang 3 hari berada di Kota kinabalu ( 22 julai – 24 Julai) Imam Muda Fakhrul di bawa ke beberapa lokasi  bagi berkongsi ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat Islam khusus kepada peminatnya di Negeri Sabah.

Pada hari pertama (22 Julai), Imam Muda Fakrul telah memberi tazkirah ringkas di Majlis Makan Malam Amal bertempat di Hotel TAHA D’Bayu, Kota Kinabalu. Pada hari kedua (23 Julai), Imam muda Fakrul telah hadir dalam memberi pengisian di beberapa lokasi yang terpilih. Kuliah subuh di Masjid Lok Kawi Lama, Ceramah Motivasi kepada penuntut di Ma’ahad Tahfiz Wal Qiraat Negeri Sabah, lawatan serta tazkirah kepada ibubapa di Sekolah Rendah Tahfiz Bandar Saera dan pada malamnya “Bicara Ramadhan” bersama pelajar dan pensyarah di Masjid Politeknik Kota Kinabalu. Pada hari ketiga (24 Julai), kuliah subuh telah disampaikan kepada pelajar dan penghuni di sekitar Institut Latihan Perindusrian, Sepanggar.   

Kehadiran Imam Muda Fakrul dalam program anjuran AMAL MALAYSIA Caw. Sabah ini menunjukkan kepada masyarakat bahawa keluaran peserta dalam program realiti yang berteraskan Islam seperti Program IMAM MUDA ini sangat berkesan dalam melahirkan insan yang berjiwa pendakwah. Semoga Imam Muda Fakrul terus berjaya dalam kehidupan dan tabah menghadapi cabaran yang mendatang.

----------------------------------------------------

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT
DI KAMPUNG PENGKALAN MANGKAPON, PITAS

Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah telah mengadakan program khidmat masyarakat bertempat di Surau Kampung Pangakalam Mengkapon, Pitas pada 18-19 Jun 2011. Seramai 12 ahli AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah beserta 10 ahli sukarelawan amal telah mengikuti program 2 hari tersebut.

Kampung Pengkalan Mangkapon terletak lebih kurang 22 kilometer dari Pekan Pitas. Majoriti penduduknya beragama Islam (kebanyakan muallaf) dan berbangsa Sungai. Keadaan hidup penduduk adalah sederhana dan ada yang bekerja sebagai nelayan dan petani.Kawasan yang agak jauh dari arus pembangunan adalah antara faktor kampung ini dipilih sebagai lokasi program khidmat masyarakat bagi tahun 2011. Keadaan jalan yang kurang baik dan kemudahan elektrik yang kurang sempurna menambahkan lagi cabaran dalam pelaksanaan program di kampung ini. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi meraikan penduduk kampung sekitar khususnya kepada umat Islam di Kampung tersebut. Antara aktiviti adalah perlawanan bola sepak persahabatan, sukaneka untuk kanak-kanak, solat maghrib dan isyak berjemaah, kuliah Maghrib, tazkirah zubuh dan motivasi keluarga.

Perhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma juga turut diadakan dan telah dikendalikan dengan jayanya oleh “Team Medic Amal”. Pemeriksaan tekanan darah dan kandungan gula telah dilakukan terhadap setiap pengunjung yang hadir dalam program tersebut. Seramai 60 orang penduduk telah membuat pemeriksaan di sepanjang 4 jam kaunter pemeriksaan dibuka. Ketua JKKK Kampung Pengkalan Mengkapon berkata, “kami berterima kasih kepada AMAL Malaysia kerana sudi berkunjung dan melaksanakan aktiviti  di kampung kami. Ini adalah kali pertama program pemeriksaan kesihatan dibuat. Kami berasa bangga kerana keprihatinan dan kesungguhan AMAL MALAYSIA dalam menghulurkan bantuan yang seadanya kepada kami.” 

Di penghujung program, sumbangan kepada wakil bagi setiap ketua keluarga telah disampaikan. Bantuan dalam bentuk buku-buku rujukan dan sumbangan wang tunai bagi tujuan pembangunan surau tersebut telah diserahkan kepada Pengerusi Surau tersebut oleh Pengerusi AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah, Tuan Haji Khairan Untoh. Turut hadir dalam program ini adalah Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Tuan Haji Ahmad Zaki Haji Arshad.

-----------------------------------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH
KUNJUNGI KAMPUNG TAMBALAUNG, TUARAN

Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah telah berkunjung ke Kampung Tambalaung, Tuaran bagi melaksanakan satu misi dakwah bersama JAKIM Cawangan Sabah di kampung berkenaan. Ini merupakan kunjungan ke kedua yang dilaksanakan di kampung berkenaan (Kali pertama adalah pada 1 Januari 2010)

Program Ziarah Mahabbah yang telah dilaksanakan pada 22 Mei (Ahad) telah berlangsung dengan  jayanya. Program dimulakan dengan gotong royong membersihkan persekitaran Surau bersama penduduk kampung. Bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan penduduk, “Team Medic Amal” telah membuka kaunter pemeriksaan kesihatan secara percuma. Kaunter ini berperanan dalam memeriksa tahap kesihatan penduduk serta memberi nasihat yang bersesuaian dalam memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan yang memuaskan. Pengarah JAKIM Caw. Sabah, Tuan Haji Zaki Bin Haji Arshad telah hadir memberi tazkirah kepada penduduk yang hadir dalam program tersebut. Tuan Haji Abdul Halim Bin Abdullah, Ketua Kampung Tambalaung dalam ucapannya mengharapkan agar pihak yang berkaitan dapat hadir membantu dalam memberi ilmu agama kepada penduduk kampung. Majoriti penduduk kampung Tambalaung adalah dikalangan muallaf. Kini, kampung berkenaan didiami lebih kurang 15 keluarga yang beragama Islam. 

adalah diharapkan, program ini dapat mengeratkan hubungan mesra dikalangan peserta dan penduduk Kampung sekitar. Turut hadir dalam program tersebut adalah wakil dari Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Caw. Sabah.

-------------------------------------------------------------

MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN YAYASAN AMAL MALAYSIA KALI KE 6


Seramai 6 orang perwakilan dari Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Caw. Sabah telah menghadiri Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Yayasan Amal Malaysia Kali ke 6 yang diadakan pada 7 Mei 2011 bertempat di Pusat Dakwah Serantau, Bangi.Majlis perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan yang bertemakan “1 Dekat Amal Mencurah Bakti” telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga merangkap Penasihat AMAL MALAYSIA.

Tuan Haji Hussin Ismail,  Presiden AMAL MALAYSIA, dalam ucapannya telah mengimbas sejarah penubuhan serta peranan AMAL MALAYSIA dalam misi-misi kemanusiaan yang telah dilaksanakan bermula dari awal penubuhan hinggalah sekarang ( 2001 – 2011). Sebanyak lebih 33 buah negara telah dikunjungi demi memberi bantuan yang seadanya kepada mangsa akibat bencana alam atau  peperangan sesuai dengan motto AMAL MALAYSIA “Beramal Kerana Allah”.  Di peringkat nasional, Pusat Dakwah Serantau (PDS) adalah antara program yang sedang dilaksanakan. Dalam pengambilan pertama bagi sesi 2010 – 2011, seramai 25 orang pelajar dari negeri Sabah dan Sarawak sedang mengikuti program setahun ini. Sebagai usaha yang berterusan, sebanyak RM 10 juta diperlukan bagi membangunkan bangunan PDS yang lokasinya telah di kenal pasti iaitu di Bangi Selangor. 

Menteri Besar Selangor dalam ucapan perasmiannya pula menegaskan,  peranan NGO seperti AMAL MALAYSIA adalah sangat penting dalam usaha menyalur bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Peranan AMAL MALAYSIA dalam menggerakkan misi kemanusiaan ke seluruh dunia tidak boleh dinafikan khususnya dalam bencana tsunami. Dalam bencana tersebut, AMAL MALAYSIA telah menunjukkan kesungguhan dalam menjalankan misi kemanusiaan bilamana telah berjaya melaksanakan misi kemanusiaan di Acheh dengan jayanya. Disamping itu, penglibatan AMAL MALAYSIA dalam misi kemanusiaan ke Gaza melalui kapal MAVI MARMARA telah berjaya menaikkan nama AMAL MALAYSIA ke pelusuk dunia sebagai antara ngo Islam yang sangat berperanan dan prihatin tentang isu Palestin.  

Ahli perwakilan (14 buah cawangan) telahpun memilih kepimpinan baru untuk menerajui AMAL MALAYSIA bagi sesi 2011 – 2013. Tuan Haji Hussin Ismail, telah dilantik semula sebagai Presiden AMAL MALAYSIA untuk sesi ini. Semoga amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan bersungguh-sungguh demi mendapat keredhaan dari Allah Yang Maha Pencipta.

----------------------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH
KUNJUNGI PENGARAH JAKIM SABAH

Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Caw. Sabah, Tuan Haji Khairan Untoh beserta rombongan pada 11 April 2011 telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah JAKIM Caw. Sabah yang baru iaitu Tuan haji Ahmad Zaki Haji Arshad bertempat di ibu pejabat JAKIM Sabah, Kota Kinabalu.

Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara AMAL MALAYSIA Caw. Sabah dengan JAKIM Caw. Sabah disamping membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam dan agenda dakwah yang akan dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam di Sabah.

Pada kunjungan tersebut, Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah telah membentangkan program-program yang telah dianjurkan dan cadangan pelaksanaan program anjuran bersama JAKIM Caw. Sabah yang bakal dilaksanakan pada tahun 2011.

AMAL MALAYSIA Caw. Sabah dan JAKIM Caw. Sabah telah bersetuju agar program-program yang bakal dilaknakan akan lebih memfokuskan kepada usaha melahirkan pelapis dakwah yang mampu memenuhi kehendak masyarakat Islam di negeri Sabah. Hadir sama dalam kunjungan tersebut adalah barisan Jawatankuasa AMAL MALAYSIA Caw. Sabah sesi 2011 – 2013 dan Pegawai-Pegawai JAKIM Caw. Sabah.

--------------------------------------------------------------

IBU TUNGGAL DAPAT BANTUAN

Isnin, 28 Mac 2011 – Seorang ibu tunggal bersama dua orang anaknya yang kini tinggal sehelai sepinggang setelah rumahnya musnah terbakar di Kampung Bangka-Bangka, Likas telah mendapat perhatian dari AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah.

Kebakaran yang berlaku pada 21 Mac 2011 kira-kira jam 8 pagi telah menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM 30,000.00. Haini Dulamit, 41 tahun berkata  setelah mengurus anak-anaknya ke  sekolah, dia terhidu bau asap dari tingkat bawah. Apabila cuba turun untuk melihat, api sudah marak dan terpaksa menyelamatkan diri tanpa mampu menyelamatkan apa-apa.

Dalam satu majlis yang ringkas ini, AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah telah menghulurkan sumbangan berbentuk mesin jahid. Sumbangan disampaikan oleh Timb. Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah, Tuan Haji Akriah Abdullah.  

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PESAKIT HOSPITAL LIKAS JADI TUMPUAN

Ahad, 13 Mac 2011 – Biro Hal Ehwal Wanita AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah telah berjaya mengadakan program ziarah pesakit di wad kanak-kanak di Hospital Likas, Kota Kinabalu. Program yang diketuai oleh Puan Noor Rafidah Abdul Hamid ini telah disertai seramai 15 orang ahli yang terdiri dari ahli sukarelawan AMAL MALAYSIA.

Program yang berlangusng selama 2 jam ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ahli khususnya berkenaan pentingnya perhatian dan kasih sayang ditujukan kepada kanak-kanak dalam memastikan pembesaran mereka terjaga.

Dalam progran tersebut juga, sumbangan berbentuk Majalah Ana Muslim diserahkan kepada setiap kanak-kanak yang ada di wad tersebut. Semoga Allah memberi keuatan dan kesihatan kepada mereka.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

CERAMAH PALESTIN DI MASJID AS-SALAM, KG CONTOH

Ahad, 20 Februari 2011 – Pengalaman ketika menyertai misi bantuan ke Gaza dengan Kapal Mavi Marmara khussunya ketika diserang oleh tentera rejim Yahudi telah dikongsi sama oleh Timb. Presiden Yayasan Amal Malaysia, Tuan Haji Jamuludin Elias dalam kuliah khasnya di sini. Selain itu sejarah Palestin serta penderitaan rakyat dalam memepertahankan negara turut dikongsi bersama dengan ahli jemaah yang hadir ketika itu.

Seramai 100 orang ahli jemaah sekitar Kg Contoh telah hadir sama mendengar ceramah yang pastinya telah menyentuh hati pendengarnya. Ceramah yang berlangsung selama lebih kurang 2 jam turut diselitkan dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang dilaksanakan oleh AMAL MALAYSIA di sepanjang tahun 2010.

Atas anisiatif Jawatankuasa Masjid, sumbangan khas untuk rakyat Palestin telahpun di sumbangkan melalui AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah.  Semoga isu Palestin ini sentiasa segar dalam jiwa umat Islam untuk terus memberi sokongan dan sumbangan dalam bentuk apa sekalipun demi mempertahankan Islam di bumi Palestin.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MESYUARAT AGUNG
YAYASAN AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH
KALI KETIGA

AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan kali Ketiga pada 19 Februari 2011 bertempat di Permai D’Velley Ratau, Tobobon. Setiausaha Agong, AMAL MALAYSIA Encik Abd Hamid Seman telah sudi hadir bagi merasmikan mesyuarat tersebut.

Mesyaurat Agung Cawangan ini diadakan adalah untuk melantik kepimpinan baru bagi sesi 2011 – 2013. Melalui Mesyuarat ini, Tuan Haji Khairan Untoh sekali lagi telah diberi kepercayaan oleh ahli untuk memimpin AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah buat kali ketiga. Berikut adalah jawatankuasa AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah yang telah dilantik bagi sesi 2011-2013

Pengerusi : Tuan Haji Khairan Untoh
Timb. Pengerusi : Tuan Haji Akriah Abdullah
Naib 1 : Tuan Haji Salman Ismail
Naib 2 : Ust Norzam Mohd Senin
Naib 3 : Puan Noor Rafidah Binti Abdul Hamid

Ahli-ahli Jawankuasa
Azmih Bin Junaidi
Adsman Jupri
Mohd Saifuddin Bin Ahmad
Juamat Bin Abdul Razak
Saiful Azli Suhaimi
Ahmad Fawaz Bin Shabuddin

Diharapkan kepimpinan yang baru dibentuk ini diberi keafiatan, keberkatan dan kerahmatan oleh Allah SWT dalam melaksanakan amanah ummah ini seterusnya untuk kemaslahatan ummah seluruhnya.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

ZIARAH DAN SUMBANGAN KEBAKARAN DI KOTA MERUDU

Jumaat, 18 Februari 2011 – Musibah yang menimpa keluarga En. Maginsil di Kampung Rasak Darat, Kota Merudu pada 7 Februari 2011 telah mendapat perhatian bilamana Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah telah tampil memberikan bantuan berbentuk wang pakaian, barangan keperluan harian serta keperluan persekolahan kepada keluarga mangsa. Sumbangan telah disampaikan oleh Wakil AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah, Ust Khiarul.

Kebakaran ini telah menyebabkan rumah serta harta benda musnah dengan serta merta. En. Maginsil yang tinggal bersama isteri dan 4 orang cucu kini tinggal di teratak sementara yang dibina hasil dari sumbangan pelbagai pihak.

Adalah diharapkan sumbangan ini akan dapat meringankan sedikit beban dalam meneruskan kehidupan seharian khususnya dalam membesarkan 4 orang cucunya yang kini masih belajar di Sekolah Rendah yang berdekatan.  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Jumlah Pelawat:

Hakcipta terpelihara©2007
Yayasan Amal Malaysia, Cawangan Sabah