|Laman Utama | Sinopsis | Motto/ Visi/ Misi | Tujuan/ Matlamat | Keahlian | Rangka Program | Perhubungan |
| Program 2006 | 2007| 2008 | 2009 | 2010 | 2011 | 2012 | 2013| 2014 |Galeri Video |

Sumbangan derma disalurkan ke akaun
BIMB (Bank Islam Malaysia Berhad) No.Akaun: 10016010054313
atas nama: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah
Al-Rajhi No. Akaun : 19200-1110830185
atas nama: Yayasan Amal Malaysia (Amal)

 

(telah dikemaskini pada 30/12/2012)

BERAMAL DI PULAU MANTANI, KOTA BELUD.

Program Khidmat Masyarakat di Pulau Mantanani telah di adakan pada 29 – 30 Disember 2012. Program penutup bagi tahun 2012 ini  adalah anjuran Yayasan Amal Malaysia dengan kerjasama Yayasan Al-Baghdadi. Seramai 13 peserta yang diketuai Timb Pengerusi AMAL Malaysia Cawangan Sabah telah mengikuti program 2 hari satu malam.

Pulau Mantanani terletak di Barat Laut daerah Kota Belud dan 80 kilometer dari Bandar Kota Kinabalu. Perjalanan dari jeti Kampung Rampaian Laut, Kota Belud ke Pulau Mantanani dengan menaiki bot nelayan memakan masa selama 2 jam. Disepanjang perjalanan, perserta telah dihidangkan dengan pemandangan laut yang indah diselitkan dengan hembusan angin Laut Cina Selatan serta ombak yang adakalanya kuat mewarnai ekspidisi kali ni.

Antara akiviti yang dijalankan adalah pemeriksaan kesihatan, memperkenalkan cara pembelajaran al-Quran melalui kaedah al bahgdadi dan penyampaian sumbangan lampu serta lain-lain sumbangan.

--------------------------------------------------------------------

SERAMAI 30 ORANG PELAJAR “LULUS” DALAM
PROGRAM BERKHATAN BERAMAI-RAMAI

Bersempena dengan Program Titian Silaturrahim di Kampung Kirokot Apin-Apin, Keningau, AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH dengan kerjasama PERKIPS telah berjaya menganjurkan Program Berkhatan pada 2 Disember 2012 bertempat di Sekolah Agama Rakyat Kampung Kirokot Apin-Apin, Keningau. Pelajar-pelajar Semester 5, Pengajian Islam UKM turut hadir dalam memberikan motivasi kepada peserta yang mengikuti program tersebut.

Seramai 38 kanak-kanak berumur 10 – 12 tahun telah berdaftar untuk dihatankan. Namun, 5 orang telah melarikan diri di saat-saat akhir. Pelbagai ragam peserta dapat diperhatikan di sepanjang program berlangsung. Terima kaish kepada ibu bapa peserta yang prihatin dan peka terhadap keperluan “berkhatan” bagi anak-anak lelaki mereka.

--------------------------------------------------------------------

PROGRAM TITIAN SILATURRAHIM
DI KAMPUNG KIROKOT, APIN-APIN, KENINGAU

Program Titian Silaturrahim anjuran Bersama Universiti Kebangsaan Malaysia, AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sabah telah berjaya diadakan pada 1 & 2 Disember 2012 bertempat di Kampung Kirokot Apain-Apin, Keningau.  Seramai 150 orang penduduk kampung telah hadir bagi mengikuti aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh pihak penganjur.

Kampung Kirokot Apin-Apin, Keningau terletak lebih kurang 12 kilometer dari Pekan Keningau. Penduduknya lebih kurang 1000 orang dan berbangsa Dusun. Dianggarkan terdapat lebih kurang 700 orang penganut Islam tinggal di kampung tersebut. Kampung ini mempunyai kemudahan yang lengkap seperti seperti Masjid, Sekolah Agama, balai raya dan padang permainan. Bekalan elektrik serta bekalan air bersih turut dibekalkan di kampung ini. Namun keperluan kepada jalan yang berturap dan pembesaran longkang disekitar sekolah Agama dan Masjid  adalah sesuatu penambah baikan yang perlu diakukan bagi mengelak berlakunya banjir di kawasan tersebut.

Kehadiran AMAL MALAYSIA serta rombongan turut mendapat perhatian masyarakat sekitar. Pelbagai aktiviti telah diatur dan berjaya dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama penduduk kampung khususnya pada “Majlis Berkhatan” yang diadakan pada 2 Disember 2012. Aktiviti lain yang diadakan adalah program motivasi pelajar & ibubapa, gotong royong membersihkan persekitaran Masjid, penyampaian sumbangan kebajikan dan kerusi roda kepada warga emas serta Majlis Khatam Al-Quran yang melibatkan 25 orang pelajar di Sekolah Agama Rakyat Kampung Kirokot.

Cikgu Sahirin yang mewakili Ketua Kampung dalam ucapannya sangat mengharap agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian yang serius terhadap masalah banjir yang sering berlaku di kawasan Sekolah tersebut. Beliau berbangga dan bersyukur kerana Kampung Kirokot telah terpilih untuk dijadikan lokasi program Titian Silaturrahim ini.

Turut hadir dalam program ini, Pengerusi AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah, Tuan Haji Khairan Untoh, dan Pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Kebajikan Perubatan Islam (PERKIP).

--------------------------------------------------------------------

YAYASAN AMAL MALAYSIA CAW. SABAH
BERJAYA LAKSANAKAN

PROGRAM QURBAN & AQIQAH 1433H/2012

Pelaksanaan Qurban bagi 1433H telah mencatat sejarahnya tersendiri bagi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah bilamana telah berjaya melaksanakan program Qurban dan Aqiqah di 18 buah lokasi di Pendalaman Sabah dengan penyertaan seramai lebih 80 orang peserta Qurban. Berikut adalah tempat berlangsungnya ibadah Qurban di Sabah:

  1. Kampung Tohan Baru, Keningau.
  2. Kampung Kilambang, Keningau.
  3. Kampung Kirokot, Keningau.
  4. Kampung Kirokot Baru, Keningau.
  5. Kampung Tagai, Keningau.
  6. Kampung Bariawa Ulu, Keningau.
  7. Kampung Mongitom, Keningau.
  8. Kampung Lanas, Sook
  9. Kampung Batu Lunguyan, Sook.
  10. Kampung Tatagas, Nabawan.
  11. Kampung Rukom Laut, Pitas.
  12. Kampung Pagasaon, Pitas.
  13. Karakit, Pulau Banggi.
  14. Kampung Sarang, Kota Belud.
  15. Kampung Tamau, Kota Belud.
  16. Kampung Pintasan, Kota Belud.
  17. Kg. Batu Putih, Kota Kinabatangan, Sandakan.
  18. Kampung Rampaian.

Bagi tahun ini juga, Bank Muamalat Malaysia Berhad turut bekerjasama dalam menjayakan ibadah Qurban di Pendalaman Sabah. Sebanyak 10 ekor lembu telah disumbangkan bagi diagihkan ke kawasan pendalaman khususnya di perkampungan muallaf di Sabah.

Terima kasih juga diucapkan kepada semua urusetia yang terlibat, khususnya kepada para da’ie AMAL MALAYSIA sepenuh masa serta penduduk kampung sekitar yang bertungkus lumus menjayakan program qurban bagi tahun ini. Semoga ibadah qurban yang kita laksanakan diterima oleh Allah swt sebagai amalan qurban yang terbaik dan seterusnya mendapat ganjaran pahala yang setimpal dengannya.

--------------------------------------------------------------------

YBHG. TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN
MELANCARKAN WAKAF
PUSAT DAKWAH SERANTAU

Disaksikan oleh hadirin yang mencecah seramai 1500 orang, Tuan guru Dato’ Dr. Haron Din pada 13 Oktober 2012 telah hadir di Dewan SESB, Karamunsing Kota Kinabalu bagi melancarkan dana wakaf untuk pembinaan bangunan Pusat Dakwah Serantau (PDS) yang terletak di Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor. Sebelum majis pelancaran wakaf, Ybhg. Tuan guru terlebih dahulu menyampaikan diskusi berhubung “Pengubatan Islam” kepada hadirin yang hadir.

Ybhg. Tuan Guru dalam ucapannya menegaskan bahawa penubuhan sebuah pusat dakwah yang sedang dibangunkan oleh Yayasan Amal Malaysia ini merupakan suatu yang membanggakan dalam usaha melahirkan para da’ie sepenuh masa yang bersedia untuk turun kelapangan masyarakat bagi menyampaikan risalah Islam khususnya bagi mereka yang belum menerima hidayah Islam. Tuan Guru sangat berpuashati dengan pencapaian PDS batch 1 yang telah tamat pengajian dan kini sedang berada di kampung halaman dan menyebarkan Islam kepada masyarakat sekeliling. Manakala seramai 30 orang pelajar dari Sabah, Sarawak, Semenanjung dan beberapa orang pelajar dari negara ASEAN kini sedang mengikuti pengajian di Pusat Dakwah Serantau.

Tuan guru dalam ucapannya turut menyeru kepada hadirin agar sama-sama menyumbang kepada pembangunan PDS ini. Sesuai dengan pesanan Tuan Guru “Sesiapa yang menanggung perbelanjaan seseorang pejuang Islam maka seolah-olah dia sendiri berjuang. Sesiapa yang menanggung perbelanjaan seseorang pendakwah maka seolah-olah dia sendiri berdakwah”.

Ybhg. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din juga merupakan Pengerusi Majlis Panel Perunding, Pusat Dakwah Serantau.

Sumbangan yang berterusan bagi pembangunan PDS amat diharapkan. Selain melalui pembelian wakaf, sumbangan wang tunai boleh disalurkan terus ke Pusat ini melalui :
AKAUN PENGURUSAN (CIMB ISLAMIC) – 14680000191108
AKAUN PEMBANGUNAN KOMPLEKS PDS (Bank Muamalat Malaysia Berhad) - 13010002499715      

--------------------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH TERUS BERAMAL
DI BULAN RAMADHAN

Program “Jelajah Ramadhan” untuk minggu ketiga ini telah berkunjung di beberapa perkampungan yang memerlukan perhatian langsung khususnya daripada umat Islam sendiri. Sebanyak 4 lokasi telah dikunjungi dalam misi menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat Islam di Pendalaman Sabah.

Kampung Tohan Baru, Keningau merupakan lokasi pertama bagi program Jelajah Ramadhan untuk minggu ketiga. Program yang berlangsung pada 9 Ogos 2012 turut dihadiri Penolong Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Keningau serta beberapa kakitangan JHEAINS yang lain. Seramai 30 orang telah menerima bantuan yang disampaikan oleh Ustaz Afendy Kassim, PPTA JHEAINS Keningau. Majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam antara aktiviti yang telah diadakan. Ketiadaan surau/masjid di kampung tersebut merupakan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam di sini (telah diceritakan dalam ruangan sebelum ini). Program di akhiri dengan solat Tarawikh secara berjemaah yang diadakan di salah sebuah rumah di Kampung Tohan Baru ini.  

Pada tarikh lain iaitu 11 Ogos 2012, seramai lima ahli rombongan AMAL MALAYSIA Caw. Sabah yang diketuai Timb. Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah telah berkunjung ke Pulau Banggi. Kampung Damaran, sejam perjalanan dari Kg. Karakit, Pulau Banggi adalah lokasi program Jelajah Ramadhan kali ni. Kerjasama yang erat daripada masyarakat setempat khususnya oleh pihak JHEAINS telah memudahkan segala urusan yang berkaitan. Majlis berbuka puasa, sumbangan kebajikan serta solat berjemaah bertempat di Surau yang berhampiran adalah antara aktiviti yang telah dilaksanakan. Agihan pakaian-pakaian terpakai serta sumbangan kebajikan fakir / miskin turut diadakan di Kampung Kaligau, Pulau Banggi. Tazkirah Subuh di Masjid Karakit juga diadakan pada keesokan harinya.  

Program Jelajah Ramadhan turut di adakan serentak di dua lokasi yang berasingan iaitu di Surau Kampung Masalog Kota Merudu dan Masjdi Al-Amin, Kampung Payas-Payas Kota Belud. Seramai 55 orang telah menerima sumbangan dalam program tersebut yang telah diadakan pada 12 Ogos 2012. Majlis berbuka puasa dan solat berjemaah bersama penduduk kampung jelas telah berjaya mendekatkan masyarakat Islam sekitar dengan AMAL MALAYSIA Caw. Sabah. Pengurusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah turut hadir dan seterusnya menyampaikan sumbangan di Kampung Payas-Payas, Kota Belud.

--------------------------------------------------------------------

MENGHULUR SUMBANGAN DI KAWASAN PENDALAMAN SABAH

AMAL MALAYSIA Caw. Sabah, dengan sokongan padu agensi-gensi kerajaan iaitu JHEAINS dan JAKIM Cawangan Sabah serta agensi swasta telah berjaya melaksanakan program Jelajah Ramadhan 1433H bagi minggu kedua di lokasi-lokasi terpilih di pendalaman Sabah. Kawasan yang telah dikunjungi adalah Kampung Tigaman dan  Kampung Tandek di Kota Merudu (5 Ogos), Kampung Pagasaon Pitas (5 Ogos) dan Kampung Labi, Beoufort (6 Ogos).

Program Jelajah Ramadhan untuk minggu kedua ini agak mencabar dan lokasinya agak menarik untuk dikunjungi. Lokasi yang jauh serta jalan yang kurang sempurna antara laluan yang harus di tempuhi (5 jam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kg. Pagasaon, Pitas). Perjalanan yang perlu mengharungi sungai Padas, Beoufort antara pengalaman baru peserta Program Jelajah Ramadhan kali ni.

Aktiviti berbuka puasa bersama penduduk kampung, ziarah rumah ke rumah, penyampaian sumbangan, majlis tazkirah ramadhan, solat maghrib, isyak dan tarawikh bersama penduduk kampung merupakan aktiviti yang telah dilaksanakan. Sesungguhnya, “Jelajah Ramadhan 1433” untuk minggu kedua ini sangat bermakna dan memberi kesan kepada ahli rombongan bilamana dapat berkongsi kesusahan hidup yang dihadapi khususnya oleh masyarakat Islam di Pendalaman Sabah. Ketiadaan bekalan elektrik dan bekalan air bersih serta keadaan rumah yang agak dhaif adalah antara warna-warna kehidupan masyarakat Islam yang hidup di sini. Semoga mereka tabah mengharungi kehidupan dan terus istiqamah dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.     

--------------------------------------------------------------------

“JELAJAH RAMADHAN” DI KAMPUNG TAMAU, KOTA BELUD

Kampung Tamau, Kota Belud Sabah merupakan destinasi pertama Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah dalam menjayakan program “Jelajah Ramadhan” bagi tahun 1433H/2012. Program yang berlangsung pada 8 Ramadhan 1433H / 28 Julai 2012 ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri bilamana turut disertai oleh 9 buah kampung sekitar Kota Belud. Kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Tamau, Kampung Tamau Selatan, Kampung Merabau, Kampung Pintasan, Kampung Tawadakan, Kampung Kota Bungan, Kampung Kayu Putih, Kampung Rampaian Ulu dan Kampung Andarason.

Seramai lebih kurang 200 orang telah menerima sumbangan dari AMAL MALAYSIA Caw. Sabah yang disampaikan sendiri oleh Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah, Tuan Haji Khairan Bin Untoh. Program yang bermula pada 4 petang dan berakhir jam 9 malam diisi dengan aktiviti-aktiviti yang sangat bermanfaat. Sebelum sumbangan dihulurkan, para pengunjung dihidangi dengan santapan rohani  selama 20 minit bersama Yang Berbahagia Ust Rafihi Bin Derim. Sementara menunggu saat berbuka puasa, majlis tahlil diadakan di surau yang berdekatan. Solat Maghrib dan Isyak berjemaah diiringi solat sunat Tarawikh dan Tazkirah Ramadhan oleh Yang Berbahagia Ust Jumat Bin Abd Rajak telah menyemarakkan lagi program Jelajah Ramadhan di Kampung Tamau.

“Jelajah Ramadhan” merupakan program pertama AMAL MALAYSIA Caw. Sabah dalam bulan Ramadhan 1433H. Program yang mendapat kerjasama penuh dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Caw. Sabah ini akan menyusuri beberapa kawasan pendalaman Sabah seperti Kota Merudu, Pitas, Kudat, Keningau dan Beoufort.

Acara tahunan ini dilihat sangat berkesan dalam mengeratkan hubungan silaturrahim dikalangan ahli khususnya dan masyarakat Islam di Pendalaman umumnya. Semoga Allah mempermudahkan urusan untuk aktiviti-aktiviti seterusnya dalam usaha menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

--------------------------------------------------------------------

MAJLIS PELANCARAN JUALAN WAKAF
PUSAT DAKWAH SERANTAU (PDS)
PERINGKAT NEGERI SABAH

Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah pada 14 Julai 2012 bertempat di Dewan Hasil, Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) Malaysia, Kota Kinabalu telah berjaya melancarkan Jualan Wakaf Pusat Dakwah Serantau (PDS) yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Timb. YDP Persatuan Ulama’ Malaysia yang juga mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jualan Wakaf ini diadakan adalah bertujan untuk memberi perluang kepada masyarakat Islam menyumbang kepada pembangunan sebuah Kompleks Pusat Dakwah Serantau yang lengkap dengan segala kemudahan yang akan didirikan di Dengkil, Sepang Selangor dengan kos RM 10 Juta ringgit.

PDS mula ditubuhkan pada Julai 2010 dengan seramai 30 orang pelajar dari Pendalaman Sabah dan Sarawak. Mereka telah terpilih untuk menjalani latihan dakwah di PDS selama setahun di kampus sementara PDS di Kompleks Darul Irsyad, Sungai Merab Luar, Kajang. Kini seramai 30 orang batch kedua dari Malaysia (Selangor, Sabah dan Sarawak) serta dari Thailand, Filipina, Indonesia dan Myanmar sedang menjalani latihan di Pusat ini.

Buat masa ini, segala perbelanjaan pengurusan dan pembangunan PDS dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Amal Malaysia melalui derma dan sumbangan orang ramai. Jumlah perbelanjaan bagi setiap pelajar dianggarkan sebanyak RM 500 sebulan (wang saku, makan minum, penginapan, rawatan, buku serta alat tulis dan lain-lain).
Sumbangan yang berterusan bagi pembangunan PDS amat diharapkan. Selain melalui pembelian wakaf, sumbangan wang tunai boleh disalurkan terus ke Pusat ini melalui :

AKAUN PENGURUSAN (CIMB ISLAMIC) – 14680000191108

AKAUN PEMBANGUNAN KOMPLEKS PDS (Bank Muamalat Malaysia Berhad) - 13010002499715      

--------------------------------------------------------------------

DISKUSI RAMADHAN SIRI 3 BERSAMA
YANG BERBAHAGIA DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ

Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  Malaysia, Kota Kinabalu telah menganjurkan Diskusi Ramadhan Siri 3 pada 14 Julai 2012 bertempat di Dewan Hasil, LHDN Malaysia, Kota Kinabalu. Ceramah jemputan dalam diskusi ini adalah Yang Berbahagia Dato’ Haji Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Timb. YDP Persatuan Ulama’ Malaysia yang juga mantan Ketua Pengarah JAKIM.

Program diskusi siri ketiga ini merupakan program tahunan AMAL MALAYSIA Caw. Sabah. Diskusi ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada kaum musmin dan muslimat menambah dan memperkukuhkan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan amalan dalam bulan Ramadhan.  Peserta juga diberi peluang untuk bertanyakan soalan kepada Yang Berbahagia Dato’berhubung dengan persoalan dan kemusykilan yang dihadapi dalam melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan.

Antara intipati atau pesanan penting daripada Y. Bhg Dato’ adalah pentingnya setiap individu muslim membuat perancangan berkenaan amalan harian di bulan Ramadhan. Amalan yang telah dilakukan pada bulan Ramadhan yang lepas perlu di pertingkatkan kualitinya dan bukan dinilai di segi kuantiti semata-mata. Contohnya, jika pada bulan Ramadhan lepas, kita dapat khatam alquran, maka pada tahun ini tumpuan kepada kefahaman maksud ayat-ayat al-quran perlu diutamakan.  

Semoga majlis seumpama ini dapat diteruskan dan ditingkatkan penganjurannya pada tahun hadapan.   

--------------------------------------------------------------------

PEMERIKSAAN KESIHATAN DI KAMPUNG RAMPAIAN ULU, KOTA BELUD

Bersempena dengan Program Ziarah Ukhuwah anjuran JHEAINS, AMAL MALAYSIA telah berkunjung ke Kampung Rampaian Ulu, Kota Belud dalam misi melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap penduduk kampung yang hadir pada majlis tersebut. Seramai 70 orang telah hadir membuat pemeriksaan kesihatan di sepanjang program berlangsung. Program yang berlangsung pada 19 Jun 2012 ini juga mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).  

--------------------------------------------------------------------

FORUM AMAL DI MASJID BANDARAYA

Yayasan Amal Malaysia (AMAL MALAYSIA) Cawangan Sabah dengan kerjasama Masjid Bandaraya dan Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) pada 30 Mei 2012 telah berjaya menganjurkan FORUM AMAL dengan tajuk “Bantuan Kemanusiaan Tanpa Sempadan : Suatu Tuntutan”.

Forum yang berlangsung selama 2 jam bertempat di Dataran Masjid Bandaraya ini telah berjaya menarik perhatian lebih 150 orang hadir untuk mendengar dan seterusnya mengutarakan persoalan berkenaan topik yang diperbincangkan. Forum ini dilihat berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa pertolongan kepada mereka yang memerlukan bantuan atau sesuatu misi kemanusiaan yang dilaksanakan adalah tidak terbatas kepada sesuatu agama, bangsa dan negara semata-mata. Umat Islam dikehendaki sentiasa menghulurkan bantuan selagi mana ianya membawa kepada kebaikan dan tidak membawa kepada kemungkaran.

Ahli forum terdiri daripada Presiden AMAL MALAYSIA, Tuan Hji Hussin Ismail dan Presiden PAPISMA, Dr. Awisul Islah Ghazali. Moderator Forum adalah Tuan Haji Khairan Untoh, Pengerusi AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah.

--------------------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA KUNJUNGI MASYARAKAT ISLAM
DI KAMPUNG TOHAN BARU, KENINGAU.

Dalam meneruskan kesinambungan dakwah kepada masyarakat khususnya di Pendalaman Sabah, AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah bersama Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Persatuan Siswazah Sabah (PSS) telah mengadakan program kemasyarakatan di Kampung Tohan Baru, Keningau. Program sehari ini telah berjaya menarik minat penduduk kampung yang berlainan agama untuk hadir mengikuti aktiviti yang telah dirancang.

Kampung Tohan baru terletak lebih kurang 10 kilometer dari Pekan Keningau. Penduduknya lebih kurang 1500 orang dan berbangsa Dusun. Dianggarkan terdapat seramai 25 keluarga yang beragama Islam atau lebih kurang 170 orang penganut Islam tinggal di kampung tersebut. Walaupun terdapat infrastuktur yang lengkap seperti balai raya, padang permainan dan elektrik serta bekalan air bersih, namun ketiadaan tempat beribadat bagi masyarakat Islam seperti surau merupakan suatu keperluan terdesak bagi masyarakat Islam di sana.

Kehadiran AMAL MALAYSIA serta rombongan telah mendapat perhatian masyarakat sekitar. Kaunter pemeriksaan kesihatan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Seramai 4 orang doktor telah hadir bagi membuat pemeriksaan kesihatan pada hari tersebut. Aktiviti lain yang diadakan adalah program motivasi pelajar, sukaneka serta penyampaian sumbangan kebajikan kepada warga emas.

Penolong JKK kampung Tohan Baru dalam ucapannya mewakili penduduk kampung sangat berbangga dan bersyukur atas kehadiran rombongan AMAL MALAYSIA. Komitmen yang ditunjukkan oleh AMAL MALAYSIA serta rombongan dalam menjayakan program di kampung mereka telah membakar semangat khususnya kepada masyarakat Islam bagi mempertahankan akidah mereka dan seterusnya beramal dengan ajaran Islam sebaik mungkin walaupun berada dalam serba kekurangan.

Program yang diadakan pada 26 Mei 2012 ini telah mendapat kerjasama penuh dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) Keningau serta Persatuan Penduduk Islam Kampung Tohan Baru. Turut hadiri adalah Penolong Pegawai Tadbir Agama Daerah Keningau serta Pengerusi PAPISMA Cawangan Sabah.

------------------------------------------------------------------------

AMAL MALAYSIA
BERI BANTUAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN

Kebakaran yang berlaku lebih kurang jam 8.00 pagi, pada 2 Mei 2012 di perkampungan air Kampung Meruntum, berhampiran Lok Kawi telah mendorong AMAL MALAYSIA hadir menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat. Lebih kurang 35 orang tinggal sehelai sepinggang setelah 7 rumah kayu yang dihuni musnah akibat kebakaran tersebut. Keseluruhan mangsa yang terlibat adalah seramai 60 orang. Difahamkan pada waktu tersebut, penduduk sedang bersiap untuk pergi bekerja dan tanpa disedari api mula marak dengan pantas dari sebuah rumah yang terlibat.

Kebanyakkan mangsa kini di tempatkan di dewan masyarakat di kampung tersebut. Tinjauan AMAL MALAYSIA  mendapati kebajikan mangsa setakat ini dijaga dengan baik khususnya oleh Jabatan Kebajikan yang telah memberi bantuan makan selama tiga hari (berakhir Jumaat). Pakaian merupakan keperluan utama mangsa memandangkan semua pakaian mereka hangus dijilat api. 

Prihatin dengan nasib yang menimpa mereka, AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah yang diketuai Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah Tuan Haji Khairan Untoh pada 3 dan 4 Mei 2012 telah tampil memberikan bantuan kepada setiap 10 keluarga yang terlibat. Bantuan yang dihulurkan adalah berbentuk barangan keperluan solat (sejadah, telekung, kain batik, kain sarung dan lain-lain), sumbangan pakaian terpakai serta sedikit bantuan kewangan.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi JKKK Meruntum, KAN Tuan Haji Karim Bin Awang, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Meruntum En. Diun Bin Mahali serta ahli Jawatankuasa Masjid.

      ------------------------------------------------------------------------

PROGRAM KEMASYARAKATAN
DI KAMPUNG NUMBAK, MANGGATAL

Seramai 10 orang ahli AMAL MALAYSIA bersama 30 orang mahasiswa mahasiswi dari UITM Shah Alam dan UITM Sabah telah berjaya mengadakan program kemasyarakatan di Kampung Numbak, Manggatal, lebih kurang  12 Kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu.

Program yang diadakan pada 27 April 2012 telah menumpukan kepada aktiviti gotong-royong membaik pulih surau serta jambatan yang nampak uzur di perkampungan tersebut. Apa yang menariknya, rumah di kampung ini (termasuk surau) didirikan di atas air. Seramai lebih 1500 orang penduduk yang majoritinya beragama Islam tinggal di kampung ini.

Selain aktiviti gotong royong, program sukaneka turut diadakan. Kaunter perkhidmatan pemeriksaan kesihatan juga dibuka kepada penduduk yang hadir. Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderakenangan sebagai bukti program kemasyarakatan telah berjaya diadakan di kampung tersebut.          

------------------------------------------------------------------------

SUMBANGAN BUKU UNTUK MASJID KAMPUNG PANTAI EMAS, KOTA BELUD

Bagi mengukuhkan fungsi masjid sebagai pusat ilmu, Pengerusi  AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah, Tuan Haji Khairan Untoh pada 15 April 2012 telah hadir menyerahkan buku-buku agama bagi kegunaan dan rujukan ahli jemaah di Masjid Kampung Pantai Emas, Kota Belud Sabah.

Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah dalam ucapannya berharap ahli jamaah masjid dapat memanfaatkan buku yang ada semaksimum mungkin. Buku-buku yang ada bukan untuk dipamerkan. Ianya adalah untuk tujuan pembacaan dan rujukan demi untuk meningkatkan ilmu pengetahun dalam setiap diri individu muslim. Dalam masa yang sama adalah penting bahan-bahan bacaan disusun dengan rapi dan dijaga sebaik mungkin bagi mengelakkannya cepat rosak.

Melalui Program “Jom Beli & Wakaf Buku” yang dianjurkan oleh AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah, beberapa tempat khususnya masjid / surau telah dikenalpasti untuk menerima buku-buku bagi kegunaan masyarakat setempat. Bahan-bahan bacaan yang pelbagai serta berkualiti dilihat sangat perlu bagi memastikan pengetahuan ahli jamaah khususnya dalam ilmu-ilmu keagamaan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

-------------------------------------------------------------------------

PUSAT INFORMASI ISLAM BAKAL TERBINA DI KAMPUNG NAHABA, KOTA BELUD SABAH

Kampung Nahaba terletak lebih kurang 18 kilometer dari Pekan Kota Belud. Majoriti penduduknya beragama kristian dan terdapat lebih kurang 11 keluarga muslim yang menetap di perkampungan tersebut. Kehidupan penduduk adalah sederhana dan majoritinya bekerja sebagai petani. Ketiadaan surau dan tempat belajar agama merupakan masalah utama masyarakat Islam di Kampung tersebut.

Prihatin dengan masalah yang dihadapi, AMAL MALAYSIA Caw. Sabah melalui mesyuarat Cawangan Bil 6/2011-2013 bersetuju agar usaha-usaha yang agresif dilakukan bagi memastikan sebuah “Pusat Informasi Islam” yang turut berfungsi sebagai surau dapat di bina dalam tempoh terdekat.

Pada 15 April 2012, satu peristiwa bersejarah telah dicapai bilamana perjanjian antara tuan tanah bersama penduduk kampung serta kontraktor yang turut disaksikan oleh Tuan Haji Khairan Untoh, Pengerusi AMAL MALAYSIA Caw. Sabah berjaya ditandatangani. “Pusat Informasi Islam” menelan kos sebanyak RM25,000.00 adalah hasil sumbangan individu-individu dan badan-badan koperat di sekitar Kota Kinabalu dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Dengan izin Allah, pusat ini bakal beroperasi sepenuhnya pada sekitar bulan Ogos 2012. Ianya dilihat mampu memberi impak yang besar kepada pembelajaran dan penyebaran Islam di kampung tersebut. Semoga ianya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Islam sekitar setelah siap kelak.  

-----------------------------------------------------------------------

KURSUS SUKARELAWAN
AMAL MALAYSIA CAWANGAN SABAH

Bagi tujuan latihan dan penambahbaikkan gerak kerja dakwah dengan lebih sistematik, AMAL MALAYSIA Cawangan Sabah pada 11-13 Februari 2012 telah mengadakan kursus kepada ahli-ahli sukarelawannya yang diadakan di Permai Ratau D’Velley, Tobobon. Seramai 2 orang penceramah khas telah hadir untuk membentangkan kertas kerja berhubung dengan topik-topik yang berkaitan dengan aktiviti sukarelawan.

Di sepanjang program berlangsung, para peserta telah diajar cara dan teknik penyediaan laporan gerak kerja dakwah yang seragam bagi tujuan pemantauan oleh pejabat s/u cawangan. Peserta juga telah diberikan maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti ekonomi yang sesuai untuk dilaksanakan serta pengalaman dalam perlaksanaannya dikongsikan oleh penceramah penceramah yang berpengalaman. Antara aktiviti yang dilakukan adalah pengumpulan pakaian-pakaian terpakai, cara membuat batu blok (bahan untuk membuat rumah), penyediaan “water pump gravity”, dan memukat ikan di kolam ikan air tawar.  

Perlaksanaan kursus seperti ini dilihat sangat penting dan berguna bagi meningkat kepelbagaian gerak kerja melalui program dakwah bil hal kepada masyarakat setempat. Adalah diharapkan, ilmu dan maklumat yang diperolehi dapat dipraktikkan sekembalinya ke tempat maisng-masing.

Turut hadir dalam kursus ini adalah Tuan Haji Jamuluddin Elias, Timbalan Presiden, Yayasan Amal Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Jumlah Pelawat:

Hakcipta terpelihara©2007
Yayasan Amal Malaysia, Cawangan Sabah