|

Masyarakat majmuk di Sabah
membolehkan kita menikmati keunikan serta keindahan kebudayaan serta kesenian yang
mempersonakan. Walaupun Sabah kaya dengan kebudayaan dan kesenian namun perbezaan di
antara satu sama lain adalah ketara. Ini boleh dilihat terutama sekali pada, pakaian
tradisi, tarian tradisi, muzik tradisi, dan kraftangan. Setiap satunya akan mencerminkan
identiti sesuatu suku kaum dengan agak nyata.
Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai
suku kaum. Di antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Kedayan, Bisaya, Irranun,
Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei,
Suluk dan lain-lain.
Perbezaan diantara berbagai-bagai suku kaum
tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, ugama, adat istiadat, corak dan
pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.
Penggunaan pakaian-pakaian tradisional
tersebut boleh dilihat dari dua sudut zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Di zaman
klasik, pakaian-pakaian tradisional ini dipakai semasa uparaca-upacara ritual, hari
perkahwinan dan sebagai pakaian seharian. Di zaman moden pula pakaian-pakaian tradisional
ini hanya dipakai untuk tujuan-tujuan yang tertentu seperti di hari perkahwinan oleh
pengantin lelaki dan perempuan (kadangkala juga oleh pengapit pengantin) serta untuk
acara-acara kebudayaan.
Kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam
sebagai warna pakaian traditional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada
kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana
dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada setengah-tengah
pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan
keadaan semulajadi di waktu itu.
Hiasan Diri
Pada masa lalu, batu akik merah,
manik-manik kaca berwarna, kulit kowri, butang putih atau cakera yang dibuat daripada
cengkerang dan tembaga digunakan untuk menghiasi pakaian lelaki dan perempuan. Pada hari
ini, kebanyakan hiasan-hiasan ini diganti dengan manik-manik plastik dan bahan moden yang
lain seperti benang emas dan perak, labuci dan benang berwarna. Seperti dahulu,
hiasan-hiasan ini masih lagi disertai dengan tali pinggang yang dibuat daripada
berbagai-bagai bahan seperti manik cengkerang dan kaca duit syiling perak, tembaga dan
logam-logam lain, lapik pinggang yang dibuat daripada rotan berwarna untuk mengetatkan
gaun, seluar atau anak baju. Kalung dibuat daripada berbagai-bagai bahan dijadikan hiasan
leher dan dada. Gelang juga dipakai untuk menghiasi lengan, pergelangan tangan serta kaki.
Tutup kepala seperti terendak atau tudung
dipakai oleh kaum lelaki dan wanita sebagai pakaian biasa sebagai pelindung dan penahan
peluh. Pada majlis-majlis upacara, terendak-terendak yang dipakai adalah lebih indah dan
berwarna-warni. Spesialis ritual memakai tutup kepala dan pakaian dengan hiasan yang
banyak yang membezakan mereka dari orang biasa apabila mereka menjalankan sesuatu upacara
tradisional. Kaum lelaki masih memakai sigah sejak dari dahulu lagi. Sigah atau tanjak ini
adalah sekeping kain segiempat yang dipakai dalam berbagai-bagai bentuk mengikut daerah
atau asal si pemakai. Kaum wanita pula memakai manik, sisir, tudung dan terendak
bergantung pada waktu dan kegiatan yang dilakukan.
* Rekacipta pakaian-pakaian
traditional ini adalah hasil daripada evolusi perubahan dan citarasa semasa.
Direkaindah sedemikian adanya untuk kesesuaian dan keselesaan khususnya di waktu
persembahan tarian-tarian traditional.
Dipetik daripada :-
Busana Traditional Etnik Sabah,
Jabatan Cetak Kerajaan Kota Kinabalu, Jawatankuasa Penerbitan Risalah Busana Traditional
Etnik Sabah, 1993).
Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas
Sejarah dan Warisan
Sabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992
|