PENDUDUK SABAH
Penduduk Sabah adalah terdiri dari
berbagai-bagai kaum dengan latar belakang kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya
terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa
dan tidak kurang dari 90 dialek.
Kaum Kadazandusun
Kumpulan etnik yang terbesar adalah kaum Kadazandusun yang merupakan
satu pertiga dari jumlah penduduk Sabah. Mereka adalah petani secara tradisi yang menanam
padi sawah dan huma dan sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai.
Berbagai-bagai kumpulan kecil dalam kumpulan Kadazandusun merangkumi kaum Kadazan di
Penampang dan Papar, Lotud, Rungus dan kumpulan kecil yang lain di Tempasuk, Tambunan,
Ranau dan daerah-daerah lain dengan sistem kepercayaan yang sama dengan beberapa variasi
dari segi adat dan amalan. Kesemua etnik kecil ini menggunakan Bahasa Kadazandusun sebagai
bahasa pengantar mereka.
Murut
Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah serta di wilayah
perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak. Kebanyakan dari mereka adalah petani yang
berpindah, pemburu dan sesetengah menangkap ikan sungai.
Bajau dan kumpulan
yang sama
Kaum Bajau dan kumpulan yang sama telah menetap di kawasan pantai Sabah sejak
beberapa ratus tahun dan telah diiktiraf sebagai sebahagian dari penduduk asli negeri ini.
Mereka bekerja sebagai petani dan nelayan di kawasan pantai barat di samping terkenal
sebagai penunggang kuda. Di pantai timur, mereka secara tradisi adalah nelayan.
Kumpulan lain
Kumpulan asli lain yang datang kemudian dan
menetap di negeri ini termasuk kaum Suluk, berbagai-bagai kumpulan etnik Filipina selatan,
Lundayeh dan Iban dari Sarawak dan Kalimantan, serta yang lain dari rumpun Melayu
Indonesia.Walaupun terdapat sesetengah penduduk asli ini masih mengamalkan hidup secara
tradisi tetapi ramai daripada mereka telah berkecimpung dalam berbagai-bagai bidang
sebagai pekerja kolar putih dan biru, peniaga, kakitangan perkhidmatan awam dan ahli
politik.
Kumpulan Bukan
Penduduk Asli
Kumpulan bukan penduduk asli yang terbesar di
Sabah ialah masyarakat Cina. Mereka telah menetap di Sabah sejak abad yang lalu dan mereka
merupakan kumpulan etnik yang terbesar selepas kaum Dusun/Kadazan.
Kumpulan-kumpulan etnik di Sabah dapat
dibezakan di antara satu dengan yang lain melalui adat resam dan amalan masing-masing di
samping kebudayaan kebendaan khususnya pakaian, bentuk serta penggunaan hiasan diri.
Dipetik daripada : Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas
Sejarah dan Warisan
Sabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992.
Statistik Penduduk Negeri Sabah
Laporan
Kiraan Permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000
|