Kesultanan Brunei
Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang
kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan
kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini sebaliknya
dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Sri Vijaya di Sumatra dan kemudian
Majapahit di Jawa.
Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah pemerintahan
Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya mengambil alih perdagangan
Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya
pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah
menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka. Semasa pemerintahan
Sultan Bolkiah, kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon
dan Sulu serta di sebelah selatan dan barat Borneo. Kecuali dari Eropah, pendatang asing
yang berurusan dengan Sabah (Borneo Utara) tidak meninggalkan sebarang rekod bertulis
tentang kegiatan mereka di kawasan ini. Penduduk tempatan juga tidak memiliki sebarang
rekod bertulis kecuali sejarah dan tradisi lisan mereka.
Pada 600 tahun masihi, orang-orang Cina
telah datang untuk membuat perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod
Sejarah Brunei ( Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di kawasan
Kinabatangan. Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan
bahawa orang-orang Cina ada menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara seramik
orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.
Kedatangan Pendatang Eropah
1521:
Pigafetta, seorang penulis sejarah Ferdinand Magellan tiba di Brunei dan telah disambut
secara besar-besaran
1526:
Orang Portugis yang diketuai oleh Menezes melawat Brunei
1577:
Kuasa Sepanyol telah menakluk Filipina dan juga menyerang Brunei. Kesultanan Sulu juga
ditakluk oleh Spanyol
1609:
Belanda telah mendirikan pangkalan dagangan di Batavia (Jakarta), Jawa.
1658:
Sultan Brunei telah menghadiahkan kawasan timur laut Borneo kepada Sultan Sulu sebagai
penghargaan baginda terhadap Sultan Sulu dalam menyelsesaikan perang saudara di antara
Sultan Abdul Mubin dengan Pengeran Mohidin. Persengketaan dalaman kerajaan Brunei
merupakan satu faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar tersebut.
1665:
Kapten Cowley telah melawat Borneo dan beliau merupakan orang Inggeris pertama yang
melakukan lawatan ke Borneo.
Balembangan
Dalam tahun 1761, Alexander Dalrymple
seorang pegawai dari Syarikat Hindia-Timur British di Madras, India telah membuat satu
perjanjian dengan Sultan Sulu yang membenarkan beliau membuka satu pangkalan perdagangan
di kawasan Borneo Utara. Beliau telah memilih Pulau Balembangan kira-kira 20 batu dari
utara bandar Kudat. Pada tahun 1763, Dalrymple telah mengibarkan bendera British di
Balembangan dan menamakan pulau itu ' Felecia'. Kemudian seorang pegawai iaitu John
Herbert dihantar untuk mendirikan penempatan di Felecia (Balembangan).Namun begitu
penempatan ini menghadapi masalah sejak ia dimulakan. Kepincangan urusan pentadbiran,
rompakan di laut dan kemusnahan kebakaran telah membawa kehancuran kepada pangkalan
dagangan ini pada akhir 1775. Satu usaha untuk menyusun semula pangkalan ini telah
dilakukan pada 1803 oleh General Gabenor India, Lord Arthur Wellesley melalui pegawainya
Robert J. Farquhar, Residen di Amboina. Dalam usaha ini Felicia telah dijadikan stesen
ketenteraan tetapi usaha tersebut gagal dan stesen ini ditinggalkan pada November 1805.
Perhatian British kemudian beralih kepada kawasan lain di gugusan pulau Melayu.
Dipetik daripada : Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas
Sejarah dan Warisan
Sabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992.