SEJARAH MODEN SABAH - 2 | SEJARAH MODEN SABAH -
1
Labuan
Minat British terhadap Borneo Utara
dihidupkan semula selepas tempoh 40 tahun khususnya Labuan, sebuah pulau yang terletak di
sebelah barat laut Borneo. Pada 1844, James Brooke berunding dengan Sultan Brunei tentang
penyerahan pulau Labuan untuk digunakan oleh British sebagai tempat melombong batu arang
di samping menjadikan satu pangkalan untuk membenteras kegiatan lanun serta meningkatkan
perdagangan.
Pada 18 Disember 1846, satu perjanjian
telah ditandatangani yang menyebabkan pulau Labuan dan pulau-pulau kecil yang berhampiran
diserahkan buat selamanya oleh Sultan Brunei kepada pihak British. Brooke telah menjadi
Gabenor Labuan yang pertama dan Konsul Besar di Borneo. William Napier dilantik menjadi
Timbalan Gabenor, Hugh Low sebagai Setiausaha Kolonial dan Spencer St. John sebagai
setiausaha sulit kepada Brooke. Labuan tidak mampu berkembang seperti mini Singapura atau
Pulau Pinang, seperti yang diharapkan oleh pengasasnya.
Iklim yang tidak memuaskan, serangan
malaria dan kekurangan kemudahan asas telah menjadi faktor penghalang kepada pembangunan
pulau tersebut. Rentetan sejarah Labuan boleh dilihat daripada pelbagai perubahan
pentadbirannya. Pada tahun 1890, Labuan telah diletakkan di bawah pentadbiran Syarikat
Berpiagam Borneo Utara British. Pada 1907, ia diletakkan di bawah kerajaan Negeri-negeri
Selat. Selepas Perang Dunia Kedua, Labuan menjadi sebahagian daripada jajahan Borneo
Utara. Kemudian pada 16 April 1984, Labuan telah menjadi sebahagian daripada Wilayah
Persekutuan Malaysia.
Syarikat
Perdagangan Amerika (American Trading Company) dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British
( The British North Borneo Chartered Company)
Selepas kekecewaan British terhadap Labuan,
minat British terhadap Borneo Utara pudar sehinggalah ke tahun 1881 apabila sebuah
syarikat perdagangan, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mula mentadbir Borneo Utara.
Walau bagaimanapun kehadiran mereka telahpun didahului oleh pengaruh dan minat Amerika
buat seketika.
Pada 1865, seorang konsul Amerika di
Brunei, Claude Lee Moses telah berjaya menyewa Borneo Utara dari Sultan Brunei untuk
tempoh 10 tahun. Kemudian beliau menjualnya kepada Syarikat Perdagangan Amerika (American
Trading Company) yang dimiliki oleh J.W.Torrey, T.B. Harris dan beberapa orang pedagang
Cina. Torrey memilih Kimanis, satu kawasan di barat daya Borneo Utara sebagai pangkalannya
dan memulakan pembinaan penempatan lalu dinamakan 'Ellena'. Usaha mencari bantuan kewangan
bagi membiayai pembangunan penempatan tersebut gagal lalu ditinggalkan. Dengan hampir
menjelangnya tamat tempoh sewaan wilayah tersebut, Torrey berhasil menjual haknya kepada
konsul Austria di Hong Kong iaitu Baron Von Overbeck. Overbeck berjaya memperbaharui
tempoh sewaan tersebut untuk 10 tahun dari Tumonggong Brunei. Selain itu, Overbeck
berhasil mendapatkan bantuan kewangan dari Dent bersaudara (Dent brothers - Alfred and
Edward) bagi menampung perbelanjaan rancangan yang dirancang untuk Borneo Utara. Beliau
bersama Count Montgelas, dari Kedutaan Austro-Hungarian di London dan A.B. Mitford,
seorang ahli politik kemudiannya telah memberi hak-hak mereka kepada Alfred Dent.
Pada 1888, Borneo Utara telah menjadi
negeri naungan British di mana kerajaan British akan melindungi Borneo Utara di bawah
pengaruh British. Pemerintahan Syarikat ini terhadap Borneo Utara telah memberi banyak
pembangunan di kawasan ini. Borneo Utara diperintah melalui satu sistem secara hairaki
(tidak langsung). Pada amnya pentadbiran berjalan dengan aman, namun begitu terdapat juga
beberapa penentangan kecil. Penentangan yang serius termasuklah Perang Mat Salleh dari
tahun 1894-1900 diikuti oleh penentangan Rundum yang dilakukan oleh suku Murut dalam tahun
1915.
Pihak BNBCC berupaya memerintah Borneo
Utara sehingga 1942, selama 60 tahun apabila Perang Dunia Kedua tercetus. Tentera Jepun
mendarat di Labuan pada 1 Januari dan menduduki Borneo Utara sehingga ia dibebaskan oleh
askar dari 9th Division Australian Imperial Forces (A.I.F) pada tahun 1945.
Selepas
Perang Dunia Kedua, Borneo Utara telah
ditadbir oleh Pentadbiran Ketenteraan British (British Military Administration) sehingga
15 Julai 1946 apabila kerajaan sivil disambung semula.
Tanah Jajahan
British (Crown Colony)
Pada 15 Julai 1946, Borneo Utara diletakkan
di bawah jajahan British kerana BNBCC tidak mampu membina semula kemusnahan Borneo Utara
selepas Perang Dunia Kedua. Kemusnahan teruk yang dialami oleh bandar Sandakan telah
menyebabkan Jesselton dipilih sebagai ibu negeri selepas era Perang Dunia Kedua dan status
ini kekal ke hari ini. Sistem pentadbiran penjajahan selepas perang adalah sama dengan
sistem pentadbiran pada era BNBCC. Pembinaan semula dan pembangunan negeri Borneo Utara
menjadi fokus utama para pentadbir.
Kemerdekaan
Pada amnya keadaan negeri Borneo Utara adalah aman dan tenang
sehingga tahun 1960-an apabila wujudnya kesedaran politik. Keinginan kemerdekaan seperti
yang dicapai oleh negara lain telah sampai ke Borneo Utara. Penyebaran semangat ini
bermula dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman
pada tahun 1961 berkaitan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada
Malaya, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura. Malaysia telah wujud dengan rasminya,
tanpa Brunei, pada 16 September 1963 dan nama Borneo Utara telah ditukar kepada Sabah.
Terlebih dahulu dari itu, Borneo Utara telah mencapai kemerdekaan dari British pada 31
0gos 1963. Bagaimanapun pada tahun 1965, Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia.
Penglibatan negeri Sabah dalam Persekutuan
ini banyak membawa perubahan dari aspek pentadbiran, politik, sosial dan sebagainya. Sabah
terus mengalami pembangunan yang pesat dan seterusnya memasuki era baru yang lagi mencabar
sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Dipetik daripada : Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas
Sejarah dan Warisan
Sabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992. |