|
||
|
||
| Sumazau | Limbai | Sumayau | Magunatip | Adai-adai | Daling-Daling |
Salah satu daripada cabang kesenian yang amat menarik minat segolongan besar masyarakat adalah seni tari. Sabah juga tidak ketinggalan dengan kepelbagaian tariannya yang merangkumi tarian ritual dan moden. Seperti negeri-negeri yang lain, Sabah sememangnya kaya dengan tarian tradisional.
Antara tarian-tarian asli yang popular dan dikenali ramai adalah Sumazau, Limbai, Sumayau, Magunatip, Adai-adai dan Daling-Daling.
Sumber :
Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat
terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum
Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang
ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi
dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Gerak dan irama
tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita
menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara
tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan
keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa
menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan.
Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai
ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin
perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu
tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai
isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni
pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke
rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan
mengucapkan selamat datang.

Tarian ini merupakan tarian asli suku kaum Dusun
daripada daerah Tuaran dan juga dikenali sebagai Madsayau. Tarian Sumayau merupakan tarian
khas bagi menyambut hari Mengaji atau dalam bahasa Dusun disebut Mengahau. Oleh yang
demikian ianya tidak ditarikan dalam majlis-majlis bersukaria seperti menyambut hari
keramaian dan sebagainya.
Persembahan tarian diketuai oleh seorang Monolian iaitu wanita yang telah lanjut usianya dan dalam pengetahuannya mengenai upacara-upacara tertentu. Ia harus juga dari keturunan Monolian.
Mengahau adalah suatu majlis yang diadakan besar-besaran dan mengambil masa hingga lima hari lima malam.Tujuannya adalah untuk mengaji gusi-gusi, (gusi-gusi ialah sejenis tampian besar) untuk menghormati atau memuja gusi-gusi itu, Di samping itu upacara sedemikian juga adalah untuk memperingati keluarga yang telah meninggal dunia iaitu seperti kenduri arwah yang lazim dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam.
Sebaik sahaja muzik dimainkan penari-penari mulalah menari dan terus menuju ke ruang atau gelanggang tari. Gerakkan tangan penari-penari adalah mengikut irama lagu. Gerak kaki adalah perlahan jika dibandingkan dengan gerak tangan. Ia cuma bergerak berinsut-insut yang amat perlahan. Gerak tarian akan bertambah rancak sedikit apabila mendapat tepukan atau rangsangan daripada para penonton.
Ini merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari
suku Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan apit' di yang bermakna
jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua
batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak
memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi
yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.Tarian Magunatip bertujuan untuk memeriahkan
sesuatu upacara yand diadakan.
Adai-adai pada mulanya merupakan nyanyian yang digunakan sebagai suara beramai pada sebuah pantun yang dinyanyikan. Tarian ini tidak menggunakan sebarang alat muzik ketika menyanyikannya. Bunyi yang mengiringi nyanyian adalah hentakan pengayuh di bahagian pinara sampan atau perahu yang didayung serta pukulan buyung atau keduit. Tarian ini dipersembahkan di majlis-majlis keramaian. Ia merupakan tarian masyarakat suku Berunai yang mendiami pekan Weston, Sabah.
Tarian ini
bukannya tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh
orang-orang Suluk dari Kepulauan Mindanau. Pertumbuhan masyarakat Bajau dan Suluk yang
sering mempengaruhi, maka hadirlah tarian ini sebagai milik masyarakat Bajau yang menetap
di Semporna. Perkataan Daling-daling berasal daripada perkataan Inggeris darling
yang bererti kekasih. Tarian ini adalah tarian hiburan di majlis-majlis tertentu yang
sifatnya berbalas pantun di antara penari lelaki dan perempuan.
Homepej direkabentuk
oleh Perpustakaan Negeri Sabah |
- Best Viewed with IE in 800 X 600 resolution -