Manusia cenderung menilai kewibawaan dan kehebatan seseorang
berdasarkan penampilan lahiriah. Si' A' dianggap berpersonaliti menarik kerana
dia bijak bergaya dan berdandan serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan.
Ia sesuai fitrah semula jadi manusia yang menggemari sesuatu yang cantik, indah
dan menarik.
Kecenderungan ini mendorong manusia berlumba-lumba meningkatkan
kehebatan penampilan mereka dengan pelbagai cara. Mereka tidak lokek membeli
pakaian, kasut atau perhiasan baru serta mengubah gaya rambut dan solekan agar
tampak lebih menarik. Selain itu, kursus dan kelas bimbingan gaya diri juga
mendapat sambutan hebat.
Tidak dinafikan kecantikan fizikal penting kerana ia mampu
meninggalkan kesan mendalam pada orang yang melihat. Tetapi, dalam keghairahan
manusia memburu kecantikan fizikal, mereka seolah-olah terlupa tuntutan rohani.
Ia juga perlu diisi, dibentuk dan dihias indah agar penampilan menarik tampak
lebih mantap, bukan kosong dan lompong. Bimbingan rohani juga penting kerana
ia mempengaruhi pemikiran dan digambarkan melalui tindakan.
Misalnya, jika kita berduka, kedukaan dan kesengsaraan dalarn
jiwa terpancar melalui raut wajah muram dan kusam. Ia tidak boleh dilindungi
melalui senyuman atau solekan. Apa saja dilakukan serba tak kena. Tindakan kita
lebih banyak dikuasai perasaan, bukan pemikiran dan bahangnya dapat dirasai
di selurah dunia.
Empat sifat pembentuk jiwa
Menurut Imam Ghazali dalam buku 'Taubat dan Liku-Likunya'
yang diterjemah dan dikupas oleh Syed Ahmad Semait, setiap manusia mempunyai
pelbagai sifat dan empat daripadanya menjadi induk kepada segala dosa: Sifat
Rububiyah (sifat ketuhanan), sifat Syaithaniyah (sifat kesyaitanan), sifat Bahimiyah
(sifat kebinatangan) dan sifat Subuiyah (sifat kebuasan).
Sifat ketuhanan dapat dilihat melalui sikap sesetengah orang
gemar membangga diri, sombong, bongkak, suka dipuji, gemar memburu kekayaan,
kuasa dan kemuliaan serta ingin hidup menongkat langit. Sifat kesyaitanan pula
terpancar daripada tindakan seseorang yang gemar menipu, menganiaya, sering
dengki-mendengki, pandai rnemutar-belit kenyataan dan kebenaran dan suka mempengaruhi
orang lain berbuat jahat.
Sifat kebinatangan dikaitkan dengan kegelojohan manusia, sentiasa
tamak haloba, dan berusaha mengaut keuntungan walaupun terpaksa melakukan perkara
kotor dan keji serta merampas hak orang lain. Manusia yang sukar mengawal nafsu
syahwat dan sering melakukan zina juga dipengaruhi sifat kebinatangan ini.
Sifat kebuasan pula punca manusia jadi pemarah, panas baran,
gemar serang-menyerang, busuk hati dan memusnahkan hak atau harta benda orang
lain.
Menurut Imam Ghazali keempat-empat sifat ini bertapak dalam
diri setiap manusia secara bertahap-tahap. Biasanya, ia bermula dengan sifat
kebuasan kemudian kebinatangan. Gabungan kedua-dua sifat keji ini menerbitkan
sifat kesyaitanan; mendorong manusia menipu dan mencari helah untuk mengumpul
harta kekayaan. Apabila terlaksana, sifat ketuhanan mula menguasai penampilan
keseluruhan.
Bersihkan hati dan jiwa
Kita perlu belajar membersihkan hati daripada keempat-empat
sifat ini untuk memperolehi jiwa yang lapang. Kesannya, kita tampak lebih tenang.
Ia terpancar melalui sinaran mata dan air muka.
Bagaimanapun, jiwa yang sudah sebati dengan segala kemungkaran
tidak mudah tenang. Ia sentiasa resah dan gelisah. Kita perlu banyak beristighfar
dan melatih diri mengawal minda untuk memperolehi ketenangan abadi.
Cara terbaik ialah melalui istirahat - mental dan fizikal.
Pilih hari dan masa sesuai. Kendurkan segala urat dan otot. Jangan diundang
segala resah dan gundah. Biarkan fikiran anda kosong. Kemudian lakukan 'muasabah'
diri; proses penilaian semula sifat dan kelakuan kita selama ini.
Anda perlu jujur. Tanya pada diri sendiri andakah selama ini
anda mempunyai 'penyakit hati' - tidak suka melihat orang lain senang, bahagia,
gembira atau berjaya. Jika jawapannya ya', anda perlu bertindak, memulih
atau mengubah hati agar lebih positif. Pujuk hati agar tidak cenderung menguasai
fikiran dan tindakan dengan perkara tidak baik.
Misalnya, jika hari ini anda pernah mencemburui kejayaan 'A',
minta maaf daripadanya dan usah ulangi lagi. Anggaplah ia rezeki yang sudah
ditetapkan untuk 'A'. Anda akan memperolehi bahagian anda, mungkin dalam bentuk
atau keadaan berbeza.
Selain itu, sering pujuk hati (saranan kendiri) dengan perkataan
yang baik, jelas dan tepat. Misalnya, saya boleh terus bekerja dengan baik dan
mesti berusaha menjadi lebih baik daripada hari ini. Ia ibarat akur janji pada
diri sendiri yang perlu ditunaikan.
Pemilihan perkataan juga penting. Misalnya, saya tidak akan
bersikap 'malas'. Malas mengandungi unsur negatif dan perlu ditukar kepada perkataan
lebih baik. Misalnya, saya mesti rajin.
Satu lagi cara membentuk hati agar bersikap adil pada diri
kita ialah memujuknya dengan gambaran emosi yang boleh meruntun perasaan. Misalnya,
anda memang pekerja rajin dan hebat tetapi majikan seolah-olah tidak nampak
kehebatan anda, sebaliknya menganugerahkan kenaikan pangkat kepada orang lain
yang gemar curi tulang.
Hati memang sakit, tetapi jika dilayan, ia mendorong anda melakukan
perkara tidak baik semata-mata untuk menyalurkan rasa tidak puas hati. Bagi
menenteramkan keresahan jiwa, cuba bayangkan wajah anak-anak anda. Mereka membesar
dengan wang hasil titik peluh anda. Justeru, walaupun anda tidak mendapat pujian
atau pengiktirafan daripada majikan, rezeki yang dibawa pulang halal.
Selain itu, cuba cari mekanisme helah diri (defence mekanisme)
lain untuk memujuk hati. Misalnya, walaupun kebaikan dan kegigihan anda tidak
diiktiraf ketua, sifat rajin dan baik hati disenangi teman-teman. Anggap ia
juga satu anugerah.
Ingatlah, cabaran adalah dugaan kepada kesabaran. Ia hadir
dalam kehidupan setiap manusia, hanya orang alpa dan tidak teguh hati saja sering
'melatah' dan memberontak kerana tidak tahan ujian berlebihan.
Cuba bayangkan betapa buruk imej anda jika rasa tidak puas
hati disuarakan dengan cara tidak tepat. Misalnya, menarik muka masam, mengherdik
orang, menghempas barang atau menarik diri daripada masyarakat. Kerutan wajah
anda menakutkan rakan-rakan. Pastinya, tiada sesiapa pun berani mendekati anda.
Akhirnya, anda keseorangan. Sia-sia sahaja anda bergaya hebat dengan solekan
serta dandanan gaya terkini, tetapi ia hanya 'topeng'. Hati dan jiwa anda tidak
tenteram dan dipenuhi dendam.
Rasulullah pernah bersabda, jika kita ingin berjaya, jangan
buat perbandingan dengan perasaan cemburu. Sebaik-baiknya bandingkan diri dengan
orang yang tidak bernasib baik, pasti kita lebih bersyukur. Kita tidak boleh
lari daripada masalah, tetapi belajar mengatasinya atau 'hidup' dengannya.
Satu lagi cara terbaik mengendali hati ialah jangan bertindak
ketika sedang marah. Misalnya, sewaktu sedih; marah atau kecewa kerana ia mungkin
mendorong anda melakukan perkara atau mengucapkan kata-kata tidak baik. Ia hanya
menyebabkan anda lebih kecewa dan kesal. Sebaik-baiknya asingkan diri dan lepaskan
tekanan perasaan dengan cara lain. Misalnya, menulis, mengurung diri, meditasi
(bagi penganut Hindu atau Buddha) dan berzikir (bagi orang Islam).
Justeru, seandainya berhajat mengubah penampilan agar menjadi
lebih hebat dan memikat, takrif dan konsepnya perlu diubah sedikit. Ia bukan
sekadar fizikal tetapi merangkumi jiwa dan minda. Mulakan dengan hati. Wajah
dan penampilan fizikal mudah diubah tetapi kecacatan rohani tidak mudah dibaiki.
Hanya masa dan keadaan sahaja yang boleh mematangkannya. Kita bukan mahu menjadi
yang terbaik, cuma ingin mengimbangi faktor luaran dan dalaman agar penampilan
keseluruhan lebih indah, mengagumkan.