Ketika negara menuju punca kemerlangan,
pelbagai peluang pekerjaan tersedia. Bagaimanapun, tenaga kerja mula berkurangan
sehingga memaksa kemasukan ramai pendatang mengisi kekosongan bagi meneruskan
pembangunan .
Keadaan ini tidak mungkin berlaki
sekiranya masyarakat tempatan peka akan tanggungjawab kepada negara. Mereka
tidak seharusnya memilih pekerjaan, asalkan ia memberi pulangan halal dan memuaskan.
Inilah masalah sebenar masyarakat
Malaysia, bukan malas tetapi memilih. Penyakit ini sudah lama bersarang. Biarpun
berjawatan tinggi, bergaji lumayan, sampai waktu anda berasa bosan dengan pusingan
kerja sama.
Ini menyebabkan ramai suka lompat
kerja, hanya mencari suasana dan cabaran baru. Bagaimanapun, sampai bila keadaan
itu berlanjutan? Tiba masa, anda akan sampai penghujung dan sedar kesilapan
diri. Anda perlu menerima hakikat serta belajar menghargai kerjaya anda.
Ada juga benci kerjaya sendiri,
menyebabkan anda sering mengeluh, berasa tidak puas hati dan tertekan paling
menyeksakan waktu bangun pagi
terasa amat payah memikirkan kebosanan yang
perlu dilalui.
Peliknya, anda masih bertahan meneruskan
kerjaya itu dalam keadaan tidak memberangsangkan. Anda terpaksa menentang kebosanan
bagai melawan penyakit serius, bagi mengekalkan kedudukan dan mengharungi cabaran
rakan sekerja.
Sekiranya ada mencadangkan anda
bertukar kerjaya, anda memberi pelbagai alasan seperti soal anak, gaji, pinjaman
belum langsai dan suasana pejabat. Akhirnya anda terperangkap dalam keadaan
yang anda pilih. Ini kerana anda percaya, cara terbaik ialah mengekalkan kerjaya
dan menerima kebosanan asalkan bergaji lumayan.
Jelas, mesej penyakit ini bermaksud
jika inginkan kejayaan, anda mesti berani menerima cabaran dan menderita. Bagaimanapun,
anda tidak perlu derita untuk hidup senang. Anda wajar lakukan sesuatu yang
anda minati dan memberi pulangan lumayan.
Misalnya ahli sukan, ahli perniagaan,
pelukis dan penulis novel. Semua kerjaya ini memerlukan minat dan bakat. Melaluinya
anda berupaya memperolehi pendapatan tanpa sebarang tekanan dan berasa jemu.
Contoh: Anda gemar membaca komik
dan menonton video kartun. Bagi anda, kegemaran itu dapat melegakan ketegangan
dan menghilangkan kerunsingan. Anda boleh mengambil langkah berani, membuka
kedai komik kecil dan jadikan ia tempat pertemuan peminat komik.
Apabila bertambah maju, pilih ruang
kedai lebih selesa, sediakan tempat minuman agar pelanggan boleh memilih komik
dengan selesa. Mereka juga boleh berkongsi pengalaman sambil minum dan menonton
video kartun. Cara itu perniagaan anda berkembang maju. Justeru, anda membuktikan
pendapatan lumayan boleh diperolehi melalui kerjaya, disertai minat, kesabaran,
ketekunan dan keseronokan.
Lazimnya, anda mengasingkan kegiatan
harian kepada tugas dan santai. Anda turut berpendapat, kerja boleh menghasilkan
wang, sedangkan santai tiada pulangan. Kata-kata ini sering diluahkan ibu bapa,
agar anda dapat membezakan yang baik dan tidak baik.
Pun begitu, kerjaya dan keseronokan
perlu seiringan. Jika kerjaya sealiran minat, pasti ada keseronokan dan kreativiti
pun bertambah. Anda tidak berasa jemu kerana sentiasa diwarnai perkara baru
untuk dicuba.
Contoh: Seorang telefonis jemu dengan
tugasnya. Setiap hari dia merungut tetapi masih mengekalkan jawatannya dengan
alasan, ia jaminan masa depan dan syarikat menawarkan beberapa ganjaran menarik.
Dia mengisi masa 40 jam seminggu
dan terpaksa melalui 48,000 jam kebencian dan kebosanan sebelum bersara. Disebabkan
perasaan bosan dan benci itu, dia semakin cuai menjalankan tugas dan sering
menerima amaran daripada ketuanya.
Dia berasa tidak dihargai dan mula
memburuk-burukkan syarikat. Sikapnya mendapat perhatian suami, yang mencadangkan
supaya dia berhenti kerja. Ini menambah marahnya dan beranggapan suami tidak
langsung memberi nasihat positif.
Tekanan perasaan ini mengganggu
tugasnya. Dia sering diserang sakit kepala dan untuk menghilangkan tekanan,
dia beralih kepada makanan ringan. Berat badannya bertambah. Doktor mencadang
dia bersenam tetapi nasihat itu hanya diikuti beberapa minggu sahaja. Alasannya
letih dan apabila pulang ke rumah, dia tidak dapat memasak untuk keluarga.
Perubahan sikapnya berkesan bukan
sahaja kepada tugas dan kesihatannya malah menjejas hubungan kekeluargaan. Ada
beranggapan contoh ini keterlaluan, tetapi dalam kehidupan, semuanya mungkin.
Cuba perhati sekeliling anda, adakah
rakan sekerja berpenyakit ini atau mungkin anda sendiri dibelenggu masalah itu?
Menyenangi kerjaya membuat kan anda seronok dan semangat berkorban untuk bekerja.
Secara langsung ini memberi rangsangan baik kepada minda.
Penting menyenangi apa anda lakukan,
ini meningkatkan keyakinan diri. Jangan jadikan masalah sekeliling mengganggu
tumpuan tugas. Masa depan ada di tangan anda. Anda berhak mencoraknva.