Cerita Kak Hana mengenai gelagat anak
perempuan sulungnya, Zulaikha, yang baru berusia empat tahun, memang lucu. Zulaikha gemar
bermain 'mak-mak' dengan adik-adiknya, Mariah, dua tahun dan Hakim, 15 bulan.
Ketika bermain, Zulaikha gemar membongkar
almari, memakai baju atau kain Kak Hana kemudian menenyeh gincu. Selepas itu dia mengambil
beg tangan Kak Hana dan pura-pura bersiap ke pejabat.
Biasanya, sebelum keluar Zulaikha akan
mencium dahi Hakim sambil berkata: "Mama pergi dulu sayang, jangan nakal. Kalau nak
kencing cakap bibik." Kemudian dia berpesan pada 'bibik' Mariah "Jangan
lupa tutup pintu dan jangan layan orang jahat."
Kata Kak Hana, semua perlakuan Zulaikha
adalah kebiasaan yang dilakukannya sebelum ke pejabat. Dia sering berpesan kepada pembantu
rumah agar mengunci pintu dan jangan melayan kedatangan orang tidak dikenali. Kak Hana
juga sering mengingatkan Zulaikha, jika tidur siang jangan kencing di atas tilam.
Rupa-rupanya setiap perbuatan dan kata-kata ibunya 'dirakam' Zulaikha dan dilakonkan
semula.
Pengalaman membesarkan anak memang
menyeronokkan kerana anda seolah-olah berhadapan dengan diri sendiri. Memang sifat semula
jadi kanak-kanak, cenderung meniru tingkah laku orang lain/lebih dewasa. Ia tahap penting
dalam kehidupan anak bagi melengkap 'pembentukan' fizikal dan mental.
Bagi memenuhi keperluan ini mereka akan
mempelajari beberapa kemahiran berdasarkan tahap usia mereka, iaitu kemahiran mendengar,
mengingat dan meniru tingkah laku, kemahiran berimajinasi serta bersoaljawab.
Kemahiran mendengar
Kebolehan ini terbentuk sejak dalam
kandun~an. Setelah lahir, mereka membentuk hubungan sosial dengan orang paling rapat
menerusi suara. Bayi akan tersenyum dan mengekek jika anda mengagah mereka. Biasanya jika
dibiarkan keseorangan terlalu lama, bayi akan menangis dan hanya diam apabila mendengar
suara/bunyi. Sebab itu sesetengah ibu menggantung alat bunyi-bunyian pada katil bayi bagi
menenteramkan mereka.
Kemahiran mengingat dan meniru tingkah laku
Apabila usia semakin meningkat bayi bukan
sahaja mendengar tetapi cuba menghafaz setiap perkataan didengari dan cuba menuturkannya.
Fasih atau pelat bukan masalah. Mereka juga tidak pandai menilai atau memahami perkataan
diucapkan.
Apabila semakin besar, kemahiran mendengar
dan bertutur dilengkap dengan kebolehan meniru perbuatan/tingkah laku yang mudah.
Kecenderungan mereka lebih terangsang jika gerakan dan bunyi-bunyian tampak pelik atau
menghiburkan. Misalnya, kapal terbang, kereta api atau iklan televisyen. Tidak berkelip
mata mereka.
Ketika ini hati berasa terhibur melihat
gelagat anak. Ada kala mereka menari, menyanyi atau berlakon sesama sendiri. Kadang-kadang
kita tidak faham butir pertuturan mereka tetapi tahu ia hasil pengamatan dan peniru.
Kemahiran berimaginasi
Menjelang usia tiga tahun, kanak-kanak
pandai berimajinasi. Mereka mengolah setiap yang dipandang atau didengar daripada ayah,
ibu, kakak, nenek atau datuk yang tinggal sebumbung dan menggabungkannya menjadi satu
watak baru.
Saban hari wataknya bertukar ada
kala menjadi datuk, nenek, ibu, ayah atau kakak. Bagi melengkapkan penampilan, mereka
gemar menggunakan barangan orang yang ditiru. MisaInya, memakai kain pelekat
bapa, kasut
tumit tinggi ibu atau tongkat datuk.
Kemahiran bersoaljawab
Menjelang usia empat tahun, anak anda bukan
sahaja suka memerhati dan meniru tetapi gemar bertanya. Tahap ingin tahu mereka terlalu
tinggi. "Ma, kenapa macam ni?, Kenapa macam tu? Kenapa benda ni warna ni? Kenapa itu
dan kenapa ini?"
Proses ini peringkat permulaan mereka
membentuk personaliti dan menambah pengetahuan dengan mengumpul maklumat baru. Pasti anda
pernah disoal anak dari mana bayi datang? Jika anak sulung lelaki, mereka kerap bertanya
mengapa alat kelamin adik perempuan berbeza?
Terpulanglah kepada kebijaksanaan anda
untuk memberi jawapan paling munasabah kerana anak tidak pandai membezakan antara baik dan
buruk dan masih belum ada minat tertentu. Ada perkara yang diminati hari ini, tidak
disukai lagi keesokan hari atau minggu depan.
Membentuk kemahiran menyeluruh
Pada usia empat tahun dan lebih juga,
kanak-kanak mula bijak meniru perbuatan anda secara menyeluruh. Misalnya, cara anda
mencuci ambal dengan penyedut hampagas. Mereka mengamati setiap pergerakan anda. Mula-mula
ambil alat penyedut hampagas, kemudian tarik wayar dan sambung pada plag, hidupkan arus
elektrik dan mula mencuci. Biasanya anak anda cuba 'menyibuk'.
Jika ditegah, mereka akan berundur dan
menunggu masa sesuai mengulangi perbuatan anda. Mungkin mereka akan menggunakan alat sama
atau mengambil barangan lain sebagai ganti.
Kemahiran meniru falsafah dan nilai hidup
Apabila tahap pemikiran anak semakin
matang, mereka bukan sahaja meniru perkara yang mudah dan jelas, tetapi nilai hidup yang
tersirat. Misalnya, anak mengamati sikap anda yang suka kebersihan cuci tangan
sebelum makan, mandi bersabun, pakai baju bersih dan kemas serta rambut disisir
rapi.
Mereka akan menyimpan maklumat ini dan meniru bulat-bulat tanpa bantahan. Apabila semakin
matang, barulah mereka berhujah atau mahu penjelasan sewajarmya.
Ketika ini anak anda ibarat kaca hablur
yang mudah dibentuk apabila cair dan panas. Rebutlah kesempatan ini untuk menerapkan
nilai-nilai hidup yang positif merangkumi soal agama, budaya dan tatasusila orang
Timur/Melayu.
Rumah institusi sosial pertama
Proses pembentukan personaliti menerusi
kemahiran ini akan berlanjutan hingga mereka dewasa. Selepas memasuki alam
persekolahan,
bermulalah tahap kedua pengaruh dari luar rumah.
Justeru, pastikan anda sentiasa membimbing
anak pada tahap pertama kehidupan mereka bagi menjamin kemahiran yang terbentuk dapat
dijalin sempurna menjadi asas personaliti yang sihat dan kukuh.
Rumah adalah sekolah pertama anak belajar
mengenai kehidupan, membentuk tingkah laku dan cara pemikiran. Menurut pakar sosiologi
John Locked, persekitaran juga agen penting mempengaruhi pembentukan peribadi dan tingkah
laku anak. Persekitaran ada dua dalaman dan luaran.
Persekitaran dalaman wujud di dalam rumah.
Justeru, pastikan rumah anda mempunyai empat persekitaran sihat bagi membantu perkembangan
tingkah-laku anak agar positif.
Persekitaran fizikal
Ia merangkumi bentuk rumah dan kelengkapan
rumahtangga. Cara anda memilih konsep hiasan dalaman berupaya mempengaruhi suasana rumah
secara keseluruhan. Misalnya, cara anda memilih bentuk perabot dan menyusunnya, mengatur
perhiasan, memilih cat dan corak kertas dinding serta warna dan corak langsir.
Jika anda bijak membeli perabot dan kreatif
menyelaras susun atur, rumah sempit tampak kemas dan menarik. Kebersihan rumah terjaga
serta pemilihan warna cat yang tepat menghasilkan suasana segar dan ceria.
Seandainya anda gemar bersukan dan
mempunyai kelengkapan beriadah di rumah, pasti minat anak anda pada kegiatan riadah
tersemai secara semula jadi. Begitu juga jika di rumah ada kelengkapan audio visual
canggih, pasti mendorong anak anda meminati dunia hiburan. Mungkin dia jadi penyanyi,
pelakon, pengarah atau sekadar 'Pak Pacak'.
Persekitaran material
Wang sangat penting untuk
kehidupan. Tetapi, tidak semestinya hanya orang kaya mampu mendidik anak menjadi
manusia. Wang cuma
diperlukan untuk memenuhi keperluan asas kehidupan makanan, pakaian, belanja
perubatan dan persekolahan. Seandainya anda tidak berupaya membiayai persekolahan
anak,
pasti anda tidak dapat menjadikan mereka manusia berilmu. Anda juga memerlukan wang untuk
membiayai perubatan anak terutama jika mereka menghidap penyakit kronik.
Misalnya, sakit
jantung berlubang jika tidak diubati, anak anda sentiasa sakit dan tidak bertenaga
untuk meneruskan kehidupan seharian. Mereka juga cepat berputus asa dan enggan berusaha
kerana menganggap tidak mungkin dapat hidup lama.
Persekitaran emosi
Pastikan suasana di dalam rumah sentiasa
dilimpahi kasih sayang dan kemesraan. Bapa menyayangi ibu, ibu mencintai bapa. Ibu dan
bapa menayayang anak sama rata agar tidak timbul rasa 'dianaktiri' atau pilih kasih. Ibu
bapa juga perlu menunjukkan rasa hormat dan kemesraan pada pembantu rumah atau penghuni
lain di dalam rumah untuk membentuk tingkah laku anak agar bersopan dan berbudi bahasa.
Persekitaran budaya
Cara hidup dan kebiasaan di dalam rumah
membentuk budaya sampingan yang menjadi ikutan anak. Jika penghuni mengamal cara hidup
bersih, kuat agama, bersopan dan berperikemanusiaan, anak akan menerapkan nilai sama dalam
membentuk personaliti.
Jika keluarga bersikap sebaliknya -
pengotor, tidak bertimbang rasa dan kasar serta tidak menghargai hidup, anak mungkin
menjadi lebih teruk lagi.
Latih diri melatih anak
Mendidik anak memerlukan kesabaran dan anda
perlu melatih diri mengemari tanggungjawab ini. Jika anda memahami kemahiran keibubapaa
dan berupaya mengenali fitrah anak, tanggungjawab menjadi lebih mudah. Hukum alam mudah
yang kecil akan besar, yang kuat akan lemah dan yang muda akan tua. Seandainya anda
sentiasa berusaha memahami fitrah anak ketika mereka kecil dan sabar menghadapi kerenah
mereka, pasti anak juga akan berusaha memahami gelagat anda apabila sudah tua
kelak.
JELITA, MEI 1997,M/s 118-120