|
Artikel-artikel Nasihat
|
ASMA
Asma merupakan penyakit alahan yang
mengganggu saluran udara (bronkus). Semasa berlaku tindak balas alahan, bronkus
menjadi sempit dan dipenuhi lendir. Ini menyebabkan kesesakan nafas. Serangan
asma boleh menakutkan anak kerana perasaan lemas akan menyebabkan anak berasa
panik dan ini membuat pernafasannya semakin sukar. Punca awal yang menyebabkan
alahan, iaitu alergen seperti debunga atau habuk rumah, yang biasanya dibawa
oleh angin. Bagi anak yang menghidap asma, tekanan emosi dan senaman boleh
menyebabkan serangan.
Asma biasanya menyerang kanak-kanak yang
berumur dua tahun ke atas. Keadaan ini biasanya masalah keturunan dan di susuli
penyakit alahan lain seperti ekzema. Namun, kebanyakan kanak-kanak akan pulih
semakin umur mereka meningkat.
Kebanyakan bayi yang berumur kurang satu
tahun mempunyai bunyi nafas yang berdehit jika mereka menghidap bronkitis. Ini
berlaku apabila saluran udaranya yang kecil menjadi radang. Bayi-bayi ini tidak
semestinya menghidap asma. Apabila umur bayi meningkat dan saluran udara mereka
semakin besar, bunyi ini akan berhenti. Keadaan ini biasanya disebabkan
jangkitan dan bukan alahan.
Adakah keadaan ini serius?
Serangan asma mungkin menakutkan tetapi
jika diberi ubat dan nasihat doktor diikuti, anak anda tidak akan menghadapi
sebarang kerumitan.
Tanda-tanda
-
Sesak nafas. Menghembus nafas menjadi
semakin sukar dan abdomen mungkin dikempiskan semasa anak bernafas.
-
Rasa lemas.
-
Bunyi nafas yang berdehit.
-
Batuk yang berterusan.
-
Bibir kelihatan biru (sianosis)
disebabkan kekurangan oksigen.
Apakah tindakan pertama?
-
Bawa anak berjumpa doktor dengan
segera jika anda mengalami serangan asma.
-
Jika serangan ini berlaku semasa anak
tidur, dudukkan anak dan sokong belakangnya dengan bantal. Anda juga boleh
mendudukkan anak anda di atas kerusi dan lengannya diletakkan pada belakang
kerusi supaya beban pada dadanya diringankan. Ini membolehkan otot dada
mengeluarkan udara dengan lebih cekap.
-
Bertenang. Keresahan hanya akan
membuat anak anda lebih takut.
-
Semasa menunggu doktor, cuba alihkan
perhatian anak kepada benda lain. Misalnya, menyanyikan lagu untuk membantu
anak melupakan keadaan nafasnya yang berdehit.
Perlukah saya berjumpa doktor?
Bawa anak berjumpa doktor sebaik sahaja
anak mengalami serangan asma.
Apakah tindakan doktor?
-
Doktor mungkin mengesyorkan penggunaan
bronkodilator untuk membuka bronkus dengan mengendurkan otot. Dadah ini
disedut terus kedaalm bronkus. Serangan yang teruk mungkin akan memerlukan
rawatan hospital dan dos yang lebih tinggi diberikan secara sedutan atau
titisan intravena.
-
Jika terdapat tanda-tanda jangkitan
dada, antibiotik mungkin disyorkan.
-
Doktor akan menerangkan cara
menghalang serangan akan datang. Doktor mungkin menentukan alergennya, sama
ada melalui ujian bagi alergen tertentu seperti debunga dan habuk rumah.
Doktor akan memberi bekalan kecil dadah bronkodilator, sama ada dalam bentuk
cecair atau kapsul untuk dimasukkan ke dalam penyedut. Ini harus diambil
sebaik sahaja serangan bermula. Doktor akan menasihatkan anda supaya
memberitahunya jika anak anda mengalami serangan yang teruk atau sekiranya
serangan tidak reda walaupun anak anda diberi dua dos bronkodilator.
-
Doktor mungkin akan mengesyorkan dadah
steroid jika langkah lain tidak dapat menghalang serangan berikutnya. Dos
steroid yang rendah mungkin perlu disedut tiga atau empat kali sehari atau
jika tindakan ini tidak berkesan, dos yang lebih tinggi diberi dalam bentuk
pil.
Bagaimanakah saya boleh membantu?
-
Jika doktor gagal menentukan alergen,
cuba tentukannya sendiri. Catatkan bila serangan ini berlaku dan waktunya.
Pastikan rumah anda bebas dari alergen yang biasa seperti kekabu. Gunakan
pembersih vakum untuk memvakum habuk di rumah.
-
Kebanyakan pesakit asma alah terhadap
haiwan. Jika anda membela haiwan kesayangan, minta bantuan rakan untuk
menjaganya selama beberapa minggu untuk menentukan sama ada kekerapan
serangan asma anak anda berkurangan. Pastikan anak membawa ubat pada setiap
masa. Maklumkan kepada pihak berkuasa sekolah tentang kemungkinan serangan
ini akan berlaku.
-
Rujuk kepada pakar fisioterapi supaya
anak anda boleh mempelajari cara bernafas untuk membantunya menenangkan diri
semasa berlaku serangan.
-
Galakkan anak duduk atau berdiri tegak
supaya paru-parunya mempunyai lebih ruang. Jangan biarkan anak menjadi
terlalu gemuk kerana ini akan membebankan paru-parunya.
-
Senaman ringan dapat membantu
pernafasan anak tetapi latihan yang berat boleh membawa kepada serangan asma.
Berenang merupakan latihan jasmani yang sangat baik.
-
Anak disyorkan memakai lencana
"Medic Alert".
Stoppard, Miriam. Panduan Penjagaan
Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 57-58.
|