Tanya mana-mana wanita, semuanya pasti
mengatakan tubuh yang langsing menambah daya tarikah pada diri mereka.
Jesteru, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat kelihatan
cantik dan langsing termasuklah mengamalkan diet. Ada yang mementingkan
kesihatan diri selain daripada mahu dilihat langsing, tetapi membuat
program diet sendiri mengikut kesukaan. Apa yang penting berat badan
turun dan tubuh kekal langsing. Ikuti buruk baik diet sesuka hati begini.
-
Diet epal dan detoks.
Makan hanya epal manis (selalunya
epal merah) selama 7 hari berturut-turut. Setiap kali makan dua hingga
tiga biji dan dalam sehari menjadi sampai lima hingga enam biji. Selain
epal, hanya minum air dan mengambil suplemen untuk detoksifikasi.
Tujuannya untuk menjadikan tubuh lebih segar dan pencernaan lebih lancar.
Seminggu boleh turun sehingga 2 kilogram(kg).
Fakta: Buah-buahan hanya mengandungi vitamin
dan karbohidrat. Tidak ada protein dan lemak seperti yang diperlukan
oleh tubuh badan untuk menjalankan fungsinya setiap hari.
Komen Pakar : Menurut pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO), penurunan berat badan yang sihat adalah 1 hingga 1.5 kg/minggu
dengan pengurangan makanan sebanyak 500 kalori/hari. Dalam setiap
penurunan berat badan, sebaik-baiknya kurangkan jumlah lemak di dalam
badan. Pengambilan buah-buahan untuk menurunkan berat badan bukan hanya
menyebabkan jumlah lemak di dalam tubuh menurun, tetapi juga kandungan
protein otot dan jumlah cairan di dalam tubuh berkurang. Kehilangan air
yang terlalu banyak dapat membahayakan ginjal. Bila berat badan kembali
naik, kemungkinan lemak semakin meningkat. Sebenarnya tubuh kita mampu
mendetoksifikasikan bahan-bahan beracun dan yang tidak diperlukan tubuh
secara semulajadi. Proses detoksifikasi berlaku di hati. Jadi,
pengambilan suplemen untuk detoksifikasi bukanlah satu keperluan.
-
Diet elak nasi.
Langsung tidak menyentuh nasi dan
hanya sesekali makan roti atau mi, selebihnya makan sayur dan
buah-buahan. Malah, makanan bergoreng, terus dielakkan. Minuman seperti
kopi dan gula juga tiada di dalam menu seharian. Makan selepas jam 7
malam? Tidak sesekali!
Fakta: Makanan seperti nasi, roti dan mi
semuanya mengandungi karbohidrat. Nasi yang berasal daripada beras merah
sebenarnya lebih menyihatkan kerana ia bukan sahaja mengandungi
karbohidrat tetapi juga kaya dengan protein dan serat.
Komen Pakar : Beras merah, kentang (dengan
kulitnya), roti dari biji-bijian dan bijirin amat disarankan sebagai
pengganti sumber karbohidrat. Karbohidrat yang mengandungi banyak serat
dapat digunakan untuk mengendalikan kadar gula rendah, kadar lemak darah,
dan juga berat badan. Jangan terus ‘bermusuh’ dengan nasi. Cara terbaik,
kurangkan saja kuantitinya. Ikut pola pemakanan sihat mengikut piramid
makanan Asia bermula seperti hasil beras, tepung dan bijiran, diikuti
dengan sayur dan buah-buahan. Seterusnya protein haiwan dan tumbuhan
seperti susu rendah lemak, daging tanpa lemak dan kekacang dan akhir
sekali makanan yang paling sedikit diambil seperti lemak atau minyak dan
gula.
-
Makan tiga sudu.
Berat badan mudah naik bagi
sesetengah orang, jadi diet seperti ini sering diamalkan. Sayur-sayuran
menjadi sahabat baik. Lauk kegemaraan seperti ikan atau dada ayam tanpa
kulit. Biasanya, makan secara perlahan-lahan agar mudah rasa kenyang.
Juga banyak minum air putih.
Fakta: Makan dengan perlahan memberi peluang
kepada otak untuk mengirimkan signal sudah kenyang. Cara begini membantu
menggelakkan anda daripada makan berlebihan.
Komen Pakar: Pola pemakanan yang sihat,
lengkap dengan air, karbohidrat, protein, lemak dan serat. Namun, masih
kurang pengambilan protein tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan sehingga
kekurangan keperluan vitamin dan mineral. Cuba variasikan sumber protein
dengan menambah pengambilan makanan seperti kekacang. Nutrien makanan
harus seimbang kerana tubuh amat memerlukannya. Apatah lagi protein
tumbuhan yang kaya dengan isoplavon sebagai antioksidan, fitestrogen
sebagai sumber estrogen dari tumbuhan yang digunakan untuk meningkatkan
kadar estrogen dalam tubuh dan fitesterol. Perhatikan juga cara memasak.
Kurangkan menggoreng makanan. Makan tiga sudu sudah cukup kerana
pengambilan sayur-sayuran sudah cukup banyak. Tambahan, sayur dan buah
juga mengandungi karbohidrat yang tinggi serat.