|
Artikel-artikel Nasihat
|
BATUK KOKOL
Batuk kokol merupakan salah satu penyakit
kanak-kanak yang paling berbahaya, terutamanya pada bayi bawah umur 12 bulan.
Penyakit ini berpunca daripada bakteria bordatella pertussis yang
menyebabkan saluran udara berlendir dan tersumbat.
Batuk kokol bermula sebagai selesema
biasa yang disertai batuk. Batuk menjadi semakin teruk dan serangan batuk yang
spasmodik menyebabkan anak sukar bernafas. Apabila anak anda menarik nafas
selepas serangan batuk, nafasnya kedengaran berbunyi "whoop" semasa
udara melalui larinks yang bengkak. Bagi bayi, pernafasan adalah semakin sukar
kerana anak gagal mempelajari teknik menyedut udara dan keadaan ini boleh
membawa maut. Kadangkala anak akan muntah selepas serangan batuk. Batuk ini
boleh berlanjutan sehingga sepuluh minggu. Risiko mendapat jangkitan sekunder
seperti pneumonia atau bronkitis sangat tinggi selepas penyakit tersebut.
Oleh itu, pastikan anak mendapat suntikan
imun terhadap penyakit ini. Namun, ada kanak-kanak yang perlu dimasukkan dalam
kategori khas dan tidak boleh diberi suntikan tersebut. Misalnya, kanak-kanak
yang ada sejarah epilepsi dalam keluarga mereka. Dapatkan nasihat doktor.
Tanda-tanda
-
Tanda-tanda selesema iaitu demam,
hidung berhingus, rasa sengal dan sakit-sakit.
-
Batuk teruk yang mempunyai bunyi
"whoop" semasa anak menarik nafas.
-
Muntah selepas serangan batuk.
-
Tidak boleh tidur kerana batuk.
Apakah tindakan pertama?
-
Jika selesema anak tidak sembuh dan
batuknya semakin teruk, bawanya berjumpa doktor.
-
Jika anda mengesyaki anak dijangkiti
batuk kokol, bawa anak anda berjumpa doktor dengan segera.
-
Jika anda mengesyaki anak menghidap
batuk kokol, jangan biar dia pergi ke sekolah atau tadika sebelum membawanya
berjumpa doktor terlebih dahulu.
-
Jika anak anda mengalami serangan
batuk yang berterusan, dudukkan anak dan pegang anak supaya badannya
menjengah sedikit ke depan. Pegang mangkuk dekat mulutnya supaya dia boleh
meludahkan kahak ke dalam mangkuk.
Perlukah saya berjumpa doktor?
Bawa anak anda berjumpa doktor dengan
segera jika anda mengesyaki anak dijangkiti batuk kokol.
Apakah tindakan doktor?
-
Doktor mungkin memberi antibiotik
untuk meredakan batuk dan mengurangkan jangkitan. Namun, batuk kokol sukar
dilakukan diagnosis semasa peringkat permulaan jangkitan dan ubat yang perlu
diambil hanya berkesan jika diambil pada peringkat awal. Doktor mungkin
perlu melakukan sapuan tekak untuk membuat diagnosis batuk kokol kerana bayi
jarang sekali menghasilkan bunyi "whoop".
-
Doktor akan melakukan pemeriksaan dari
semasa ke semasa dan jika penyakit ini teruk, dia akan mengesyorkan bayi
dimasukkan ke hospital untuk mengelak berlakunya penyahhidratan. Jika perlu,
anak anda akan diberi oksigen.
-
Doktor akan menunjukkan cara memegang
anak semasa berlaku serangan batuk. Dia mungkin mengesyorkan supaya hujung
kot bayi dinaikkan sedikit dan anak anda dibaringkan secara meniarap.
Bagaimana saya boleh membantu?
-
Semasa serangan batuk, pegang anak
seperti yang ditunjukkan dan tenangkannya. Panik akan menyebabkan nafas anak
semakin sesak. Pegang mangkuk di bawah dagunya supaya dia boleh meludahkan
kahak.
-
Letak mangkuk di setiap bilik di dalam
rumah supaya anak boleh membuang kahak atau muntah tanpa perlu pergi ke
tandas. Basuh mangkuk dengan air didih untuk mengelak daripada merebaknya
jangkitan.
-
Jika anak anda muntah selepas serangan
batuk, beri dia sedikit makanan dan minuman. Ini akan mengembalikan semula
tenaga anak.
-
Jangan biar anak melakukan aktiviti
yang berat semasa dia sedang pulih kerana ini akan menggalakkan
serangan batuk dan meletihkannya.
-
Jauhkan anak dari asap rokok.
-
Tidur bersama anak supaya dia tidak
keseorangan semasa serangan batuk berlaku.
-
Jangan beri anak sebarang ubat batuk
tanpa nasihat doktor.
-
Jika batuk kokol anak sudah sembuh
tetapi anak masih kelihatan tidak sihat dan sukar bernafas, bawanya berjumpa
doktor dengan segera. Ini kerana anak mungkin menghidap jangkitan sekunder
seperti pneumonia atau bronkitis.
-
Jangan risau jika anak anda
menghasilkan bunyi "whoop" apabila dia menghidap selesema selepas
itu. Ini bukannya ulangan batuk kokol. Anak anda hanya mengulangi tingkah
laku yang dipelajarinya semasa serangan batuk dahulu.
Stoppard, Miriam. Panduan Penjagaan
Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 64 - 65.
|