|
Artikel-artikel Nasihat
|
EPILEPSI
Epilepsi atau sawan babi merupakan
gangguan yang menyebabkan serangan berkala yang berlaku apabila impuls elektrik
otak terganggu. Ada dua jenis serangan epilepsi. Bentuk grand mal melibatkan serangan konvulsi yang berulang. Serangan ini boleh menyebabkan
anak pengsan dan mengalami kekejangan yang berterusan selama satu minit. Anggota
badannya akan meronta-ronta, gigi terkancing (semasa ini lidah anak mungkin
tergigit), kencing yang tidak terkawal dan berbuih di mulut. Selepas konvulsi,
anak biasanya akan tidur.
Jenis epilepsi petit mal
tidak melibatkan konvulsi. Keadaan pengsan hanya berterusan selama beberapa
ketika sahaja dan mata anak kelihatan memandang kosong. Anak tidak mendengar
atau melihat apa-apa. Bentuk epilepsi jenis ini biasanya tidak dapat dikesan dan
tidak dikenalpasti sebagai epilepsi. Walaupun epilepsi jenis ini berbeza
daripada konvulsi grand mal, serangan petit mal yang kerap
boleh mengganggu kehidupan anak, terutamanya dalam persekolahan dan aktiviti
luar seperti menunggang basikal. Epilepsi biasanya penyakit keluarga dan tidak
ada kaitan dengan kecacatan mental.
Kira-kira tiga hingga lima peratus
daripada kanak-kanak dalam lingkungan umur bawah enam tahun mengalami konvulsi
tetapi ramai daripada mereka hanya mengalami konvulsi febril tidak berbahaya.
Keadaan ini timbul apabila berlaku gangguan elektrik di otak yang berpunca
daripada suhu badan yang tinggi.
Adakah keadaan ini serius?
Epilepsi bukan merupakan gangguan yang
berbahaya. Setiap kanak-kanak biasanya akan mengatasi keadaan petit mal
di akhir zaman remaja mereka. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang menghidap
epilepsi grand mal memerlukan pertimbangan yang khusus sepanjang
hayat mereka walaupun keadaan ini boleh dikawal oleh penggunaan dadah. Anak yang
menghidap penyakit epilepsi jenis ini memerlukan pengawasan semasa melakukan
aktiviti seperti berenang dan menunggang basikal.
Tanda-tanda
Grand mal
Petit mal
Apakah tindakan pertama?
Semasa serangan grand mal
-
Lindungi anak anda daripada kecederaan
dengan mengalihkan perabot supaya anggota yang meronta tidak menghantuk
objek keras.
-
Longgarkan pakaiannya di leher dan
dada.
-
Sentiasa berada di sisi anak sehingga
serangannya berhenti.
-
Jangan cuba meregangkan rahang mulut
jika berlaku kancing gigi atau cuba memasukkan benda ke dalam mulutnya.
Sebarang kecederaan yang berlaku pada lidahnya berlaku di permulaan serangan.
Oleh itu, tidak ada apa yang anda boleh lakukan sehingga serangan ini
berhenti.
-
Sebaik sahaja serangan berhenti,
iringkan badan anak supaya dia tidak tercekik pada lidah atau liurnya.
-
Perhatikan apa yang berlaku semasa
serangan ini. Pemerhatian anda dapat membantu doktor membuat diagnosis.
Semasa serangan petit mal
-
Alihkan anak ke tempat yang selamat
jika dia berada di jalan atau di atas tangga.
-
Pastikan anda berada di sisi anak
sehingga serangan epilepsi berhenti.
Perlukah saya berjumpa doktor?
Bawa anak berjumpa doktor sebaik sahaja
serangan epilepsi berhenti, tidak kira sama ada anda mengesyaki serangan
konvulsi tersebut adalah jenis grand mal atau petit mal.
Apakah tindakan doktor?
-
Jika anak mengalami serangan konvulsi,
doktor akan melakukan pemeriksaan untuk menentukan jenis epilepsi.
-
Jika konvulsi yang dialami anak adalah
jenis berulang, anak akan dirujuk ke hospital untuk menjalani ujian makmal.
Ini mungkin melibatkan ujian darah untuk memeriksa kandungan glukos dan
kalsium, ECG (elektrosefalogram) dan mungkin pengimbasan otak untuk
menentukan bahagian otak yang terlibat. Semasa imbasan, otak anak akan
dirangsang, misalnya, dengan cahaya strob supaya sebarang keadaan luar biasa
dalam otak dapat dikesan oleh alat pengimbas. Beberapa ujian ini juga
digunakan untuk membuat diagnosis bagi serangan petit mal.
-
Pakar pediatrik hospital akan
mengesyorkan ubat antikonvulsan yang perlu diambil setiap hari bagi
mengurangkan kekerapan serangan grand mal. Serangan jenis ini tidak
boleh diubati.
-
Keadaan anak akan dikaji semula dari
semasa ke semasa. Jika serangan tidak berlaku selama satu atau dua tahun,
doktor mungkin akan menghentikan pengambilan ubat.
Bagaimanakah saya boleh membantu?
-
Anda mungkin akan berasa terkejut
apabila mengetahui anak mengalami epilepsi dan kedua-dua ibu bapa dan anak
perlu memulihkan yakin diri masing-masing. Doktor akan menasihatkan anda
tentang cara menagani masalah ini.
-
Catatkan kekerapan serangan petit
mal anak dan berikan maklumat ini kepada doktor.
-
Awasi anak dan laporkan sebarang
perbezaan mental atau personaliti yang mungkin timbul hasil ubat yang
diambil. Ubat perlu diambil mengikut jumlah yang ditetapkan untuk mengelak
berlakunya kesan sampingan.
-
Layan anak seperti biasa. Beritahu
rakan-rakan atau guru tentang masalah anak supaya mereka tidak berasa takut
atau terperanjat apabila berlaku serangan epilepsi.
-
Jika anak diberi ubat antikonvulsan,
jangan hentikan pengambilan ubat tanpa nasihat doktor. Penghentian memakan
ubat akan menyebabkan konvulsi yang berpanjangan selepas beberapa hari.
-
Latih anak untuk mengenali tanda-tanda
sebelum serangan epilepsi. Ada pesakit yang mengalami perasaan aneh seperti
bau yang busuk, gangguan penglihatan atau perut rasa tidak sedap. Perasaan
ini dikenali sebagai "aura" dan jika anak sudah boleh mengenali
tanda-tanda amaran ini, dia mungkin dapat mengelak daripada berlaku sebarang
kemalangan
Stoppard, Miriam. Panduan Penjagaan
Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 98 - 99.
|