|
Artikel-artikel Nasihat
|
KERACUNAN MAKANAN
Keracunan makanan merupakan sejenis
gastroenteritis yang disebabkan oleh makanan yang telah dicemari racun, biasanya
bakteria. Bergantung kepada jenis racun, kekejangan abdomen, demam, muntah dan
cirit-birit akan berlaku dalam tempoh 3 hingga 24 jam. Jika makanan telah
dicemari bakteria, bakteria akan menghasilkan racun yang dikenali sebagai toksin.
Toksin memberi kesan langsung pada lapikan usus dan menyebabkan peradangan. Ada
pelbagai jenis bakteria yang menyebabkan keracunan makanan tetapi yang biasa
didapati ialah salmonella, shigella, staphylococcus dan E.coli yang merupakan
punca utama keracunan makanan di kalangan bayi, terutamanya bayi yang menyusu
botol. Bagi keracunan makanan yang berpunca daripada bahan bukan bakteria, tanda
penyakit juga timbul jika anak termakan bahan kimia, racun serangga atau
beberapa jenis tumbuh-tumbuhan.
Adakah keadaan ini serius?
Bagi bayi, keadaan ini serius kerana
tanda-tanda penyakit yang menyusuli boleh menyebabkan penyahhidratan.
Tanda-tanda
- Kekejangan otot.
- Demam.
- Kerap membuang air besar. Tinja cair
dan mungkin disertai darah, nanah atau mukus.
- Muntah.
- Otot-otot lemah dan badan berasa seram
sejuk.
- Hilang selera makan.
Apakah tindakan pertama?
- Jika anak muntah dan mengalami
cirit-birit, periksa suhu badan untuk menentukan sama ada anak demam.
- Periksa tinja untuk menentukan sama
ada terdapat darah atau nanah.
- Biar anak baring di atas katil dan
jangan beri sebarang makanan tetapi pastikan dia kerap diberi minum air yang
dicampur secubit garam dan 5ml glukos.
- Cuba tentukan makanan yang dimakan
oleh anak yang telah menyebabkan timbulnya tanda-tanda penyakit.
Perlukah saya berjumpa doktor?
Bawa anak berjumpa doktor dengan segera
jika anak muntah atau cirit-birit berterusan selama lebih enam jam dan keadaan
ini tidak boleh dikawal melalui pemakanan cecair sahaja. Bawa anak berjumpa
doktor dengan segera jika keadaan anak masih tidak pulih dalam tempoh 24 jam,
atau anda mengesyaki anak telah minum racun serangga atau tumbuh-tumbuhan yang
beracun. Bawa racun tersebut bersama-sama anda.
Apakah tindakan doktor?
- Biasanya, keracunan makanan tidak
memerlukan rawatan khusus kecuali pemberian bendalir dan garam yang banyak
hilang melalui cirit-birit dan muntah. Doktor mungkin akan memberi sejenis
serbuk yang mengandungi glukos dan garam untuk dicampur dalam minuman. Bagi
bayi yang menyusu botol, hentikan pemberian susu.
- Jika anak mengalami penyahhidratan,
doktor akan memasukkan anak ke hospital supaya bendalir dapat diberi secara
intravena. Jika anak mengalami muntah yang teruk, doktor mungkin memberi
anak suntikan dadah antiemetik untuk menghentikan muntah.
Bagaimankah saya boleh membantu?
- Letakkan baldi di tepi katil supaya
anak tidak perlu berjalan ke tandas.
- Jika anak demam, gunakan pek ais atau
tuala muka yang lembab untuk menyegarkan anak.
- Jika anak muntah, bantu anak berkumur
dengan air.
- Utamakan kebersihan. Keracunan makanan
mudah berjangkit. Oleh itu, pastikan anak sentiasa membasuh tangan setiap
kali dia ke tandas. Basuh tangan anda selepas menukarkan lampin anak.
- Bagi mengelak berlakunya keracunan
makanan, masukkan setiap makanan yang telah dimasak kedalam peti sejuk.
Semasa makanan ini dipanaskan semula, pastikan ini dilakukan dengan
sepenuhnya. Salmonella hidup biak dalam makanan yang suam panas tetapi akan
mati pada suhu yang tinggi.
- Jika anak enggan minum air dengan
secukupnya atau tidak menyukai rasa serbuk khas, beri anak potongan tembikai
untuk dikicap.
- Cair beku makanan dengan sempurna
sebelum dimasak, terutamanya daging. Pastikan daging dimasak secukupnya.
- Beri anak makanan yang mudah dihadam
seperti bubur, yogurt, jeli dan makanan tanpa lemak sebaik sahaja anak mula
mahu makan. Kesan penyakit biasanya akan hilang dalam tempoh seminggu.
- Ikut arahan doktor bagi pemberian
semula susu bayi yang menggunakan botol.
- Periksa makanan yang dimakan oleh anak
24 jam sebelumnya. Buang sebarang makanan yang mungkin menjadi punca
keracunan makanan seperti daging, ikan, bahan bersusu atau roti.
Stoppard, Miriam. Panduan Penjagaan
Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 138 - 139.
|