Berdasarkan laporan ke-14, daftar dialisis dan pemindahan Malaysia 2006,
terdapat lebih kurang 57 peratus daripada kerosakan buah pinggang yang
teruk adalah disebabkan oleh diabetes dua. Jika tidak dikesan dan
dirawat, keadaan ini akan meyebabkan kegagalan buah pinggang dan
akhirnya kematian.
Lebih daripada 3,000 orang rakyat Malaysia didiagnosis dengan kegagalan
buah pinggang peringkat terakhir pada setiap tahun. Malah hari ini,
lebih daripada 15,000 orang rakyat Malaysia dikatakan bergantung kepada
mesin dialisis dan bilangan ini akan meningkat kepada 20,000 menjelang
tahun 2010. Bagi memperolehi cara yang selamat dan berkesan untuk
mengurangkan komplikasi serius akibat diabetes, kajian klinikal untuk
mengkaji pengurangan intensif gula dalam darah terhadap pesakit
Diabetes jenis ke-2 telah dijalankan.
Rawatan kombinasi.
Kajian daripada bahagian kedua ADVANCE (Tindakan dalam Diabetes dan
Penyakit Vaskular) adalah kajian klinikal terbesar yang pernah dilakukan
terhadap pesakit-pesakit yang menghidap Diabetes jenis 2. Lebih daripada
11,000 pesakit-pesakit diabetes ini telah dipilih secara rawak bagi
menjalani kajian klinikal yang melibatkan 215 buah pusat klinikal di
seluruh Asia dari 20 buah negara (Asia, Australasia, Eropah dan Amerika
Utara). Di Malaysia sendiri, terdapat lima buah pusat klinikal di
Malaysia yang terlibat dalam kajian ADVANCE. Majoriti pesakit dalam
kajian ini menerima empat biji tablet ‘gliclazide MR’ (modified
release), bersama ubat-ubatan lain untuk gula dalam darah lain, pada
setiap hari. Objektif kombinasi rawatan ini adalah untuk mencapai tahap
bacaan haemoglobin A1c (HbA1c), sukatan gula dalam darah yang sama atau
kurang daripada 6.5 peratus. Hasil kajian bahagian kedua pengurangan
intensif gula dalam darah telah dibentangkan buat kali pertamanya di
American Diabetes Aassociation Scientific pada 6 Jun 2008 di San
Francisco.
Pengurangan tahap gula dalam darah secara perlahan.
Menurut Perunding Kanan Pakar Endokrinologi, Profesor Chan Siew Pheng,
kakian daripada bahagian kedua ADVANCE ini telah membuktikan bahawa
mengurangkan tahap gula dalam darah secara perlahan kepada 6.5 peratus
(HbA1c) merupakan cara yang selamat dan berkesan untuk mengurangkan
komplikasi serius akibat diabetes, terutama risiko penyakit buah
pinggan, seramai 21 peratus. Risiko penyakit buah pinggang akibat
diabetes adalah yang paling serius dan melumpuhkan sehingga boleh
membawa kepada satu kematian dalam lima pesakit diabetes. Selain itu
dalam laporan itu juga pengurangan sebanyak 30 peratus dalam kes-les
penemuan protein dalam air kencing.
Profesor Chan juga memberitahu bahawa ADVANCE juga membuktikan bahawa
secara keseluruhan, komplikasi dan risiko diabetes yang serius juga
dapat dikurangkan sehingga 10 peratus dengan 12 peratus pengurangan
dalam risiko kardiovaskular. Keputusan kajian tersebut amat penting
kerana menurut Profesor Chan terdapat peningkatan yang konsisten dalam
penyakit buah pinggang di kalangan rakyat Malaysia.
Kadar kematian telah dapat dikurangkan.
Kajian ADVANCE juga amat penting kerana hampir 300 rakyat Malaysia
terlibat. Menurut Perunding Kanan Pakar Endokrinologi, Profesor Dato’
Wan Mohamad, kepelbagaian kaum, gaya hidup, latar belakang dan
persekitaran pesakit bukan sahaja akan memudahkan ekstrapolasi hasil
kajian kepada amalan klinikal sedunia tetapi ia juga mempunyai kesan
langsung terhadap rakyat Malaysia.
Keputusan bagi bahagian pertama ADVANCE telah diterbitkan pada bulan
September 2007 dan telah menerima maklum balas yang positif daripada
frateniti perubatan tempatan. Jesteru itu, ramai pakar perubatan tidak
sabar untuk mengetahui keputusan bahagian kedua kajian ADVANCE. Tambah
Profesor Wan, bahagian pertama kajian ADVANCE adalah bertujuan untuk
mengkaji kesan gabungan komposisi ‘perindopril’ dan ‘indapamide’, yang
merupakan rawatan masa kini untuk hipertensi, bagi menurunkan tekanan
darah di kalangan pesakit diabetes jenis 2. Keputusannya menunjukkan
bahawa kadar kelangsungan hidup yang meningkat dan mengurangkan penyakit
hati dna buah pinggang dalam diabetes.
Katanya lagi jumlah kadar kematian telah dapat dikurangkan sebanyak 14
peratus dan risiko kematian kardiovaskular dikurangkan kepada 18 peratus.
Ini bermakna, satu kematian dapat dielakkan untuk setiap 79 orang
pesakit yang dirawat dengan gabungan tetap ‘perindopil’ dan ‘indapamide’
dalam tempoh lima tahun.
Nota -: Untuk maklumat lanjut tentang kajian ADVANCE dan
perkembangan kajian ini, sila layari laman www.advance –trial.com