SEBELUM ini, kita
berbincang mengenai bagaimana kita boleh mengeluarkan toksin dari badan
pada bulan Ramadan ini.
Perkara lain yang
mungkin anda alami semasa berpuasa adalah seperti dehidrasi (kekurangan
air dalam badan), pengambilan nutrien yang tidak mencukupi dan beberapa
gangguan gastrousus seperti sembelit, perut kembung dan gastritis.
Oleh kerana tempoh
lebih 10 jam untuk makan di antara waktu berbuka puasa dan menjelang
subuh, kita boleh memaksimakan tempoh ini dengan beberapa petua berguna.
·
Dehidrasi
Minumlah air dengan
secukupnya sepanjang tempoh ini untuk mengelakkan dehidrasi dan mencegah
sembelit atau gastritis yang kebanyakannya berpunca daripada dehidrasi
kronik. Perkara lain yang penting dan perlu dilakukan adalah mengelakkan
minuman mengandungi kafein seperti kopi, teh atau koko yang boleh
mengurangkan kandungan air badan dan merupakan punca kehilangan lebih
banyak bendalir dari badan. Berpuasa biasanya boleh menambahkan tahap
keasidan gastrik yang menyebabkan kepedihan, kesesakan dalam perut dan
mulut yang terasa masam.
Ini boleh diatasi
dengan memakan makanan yang kaya dengan serat seperti sayuran, kekacang
dan buah-buahan. Makanan seperti ini juga merangsang tindak balas otot.
Mengunyah dan memecahkan makanan ini kepada partikel kecil boleh
membantu mengurangkan pembinaan asid dalam perut. Bagi golongan yang
mengalami keasidan perut yang sangat tinggi, mereka boleh
mempertimbangkan untuk mengurangkan pengambilan nasi dan makanan lain
yang berasaskan karbohidrat. Ambillah makanan yang kaya dengan protein
terutamanya daging merah atau protein berasaskan daging ketika bersahur.
Ini akan dapat
membantu mengurangkan perut kosong untuk tempoh yang lebih lama dan
melambatkan rasa lapar. Akan tetapi, kepada golongan yang bukan terlibat
dalam kategori ini (keasidan perut sangat tinggi), memakan terlalu
banyak daging akan mengakibatkan kesan berlawanan dan boleh
mengakibatkan tahap kesihatan anda tergugat.
·
Nutrien
mencukupi.
Pengambilan nutrien yang tidak mencukupi juga
boleh mempengaruhi puasa seseorang. Semasa berpuasa, mereka yang berumur
adalah golongan yang lebih berkemungkinan kekurangan kebanyakan zat
makanan kerana pengambilan makanan yang berkurangan. Kebanyakan daripada
mereka mendapati sukar untuk mengambil makanan dalam jumlah yang
sepatutnya ketika berbuka puasa. Mereka juga makan dalam jumlah kecil
semasa bersahur kerana kurang selera pada masa itu. Adalah penting untuk
mengambil jumlah karbohidrat, protein dan lemak diet yang seimbang.
Makanlah banyak
buah-buahan, sayur-sayuran dan ulaman yang segar kerana ia mengandungi
banyak fitonutrien dan vitamin. Hadkan pengambilan nasi putih, mi dan
roti putih kerana makanan tersebut mengandungi kalori yang tinggi dan
nilai nutrisi yang rendah. Pengambilan nasi dan roti perang secara
sederhana adalah pilihan yang lebih baik.
Diet yang
mengandungi protein adalah penting untuk membantu pemeliharaan jisim
otot seseorang. Pilihan yang sihat merangkumi ikan, ayam tanpa kulit dan
minuman soya berkualiti tinggi.
·
Sistem penghadaman.
Enzim penghadaman
dan berbagai-bagai jenis bakteria boleh menggalakkan sistem penghadaman
yang sihat sementara memelihara kesihatan persekitaran saluran
gastrousus untuk membantutkan perkembangan bakteria penyebab penyakit,
yis dan virus. Satu lagi bahan komponen iaitu Fructo-oligosaccharides
(FOS) juga berfaedah dalam modulasi ekologi mikrob di dalam perut dengan
menggalakkan daya ketahanan dalam perut. Makanan yang kita makan pada
waktu berbuka puasa adalah penting. Diet ketika berbuka biasanya
mengandungi kalori, gula, garam, kolesterol dan lemak yang berbahaya
tetapi rendah nilai nutrisinya (lemak tepu dan lemak trans).
Lemak tepu dan
lemak trans adalah faktor utama dalam peningkatan kolesterol darah.
Sumber utama lemak tepu ketika berbuka adalah seperti makanan bergoreng,
rendang dan lemak gulai yang kaya dengan santan kelapa. Lemak trans yang
dijumpai dalam kebanyakan jenis kek, biskut dan kuih-muih yang boleh
meningkatkan jumlah kolesterol tidak baik (LDL) dan menurunkan
kolesterol baik (HDL). Bukti saintifik menunjukkan pengambilan lemak
tepu, lemak trans dan kolesterol dalam makanan boleh meningkatkan takat
lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol tidak baik yang
kemudiannya meninggikan risiko penyakit jantung koronari (CHD). Pada
kebiasaannya, minuman ketika berbuka adalah seperti sirap bandung dan
air jagung sementara minuman panas yang manis menjadi pilihan biasa
ketika bersahur.
Cuba kurangkan
minuman manis ini. Sebaliknya minum sekurang-kurangnya lapan gelas air
bertapis setiap hari untuk membantu pembersihan dan penghapusan toksin
terkumpul daripada badan anda. Walaupun gula tidak dikaitkan secara
langsung dengan diabetis, namun kalori melampau biasanya mengakibatkan
berat badan berlebihan dan obesiti, yang merupakan faktor risiko utama
diabetis. Dengan demikian, cuba hadkan pengambilan gula dalam diet
kerana ia mengakibatkan peningkatan pantas takat gula darah yang mana ia
boleh meningkatkan takat insulin. Banyak bukti menunjukkan kehadiran
hiperinsulinemia (takat insulin serum tinggi) sebagai satu punca masalah
obesiti hari ini.
Akhirnya,
pengambilan suplemen seperti vitamin, mineral, fitonutrien dan asid
amino boleh membantu pembekalan pemakanan optima semasa berpuasa. Untuk
mendapatkan diet yang seimbang demi menangani masalah dehidrasi,
kekurangan nutrien dan sembelit, apa yang anda boleh lakukan adalah:
1. Ambillah
minuman hijau yang bermutu tinggi setiap hari pilihlah minuman
berkhasiat yang menyediakan pelbagai jenis makanan terbaik dan
fitonutrien untuk membantu dalam penghidratan semula, melegakan sembelit,
untuk kesihatan serta meningkatkan tahap tenaga.
2. Kedai farmasi
berdekatan adalah tempat yang terbaik untuk anda mendapatkan produk
minuman hijau yang bermutu dan berkhasiat. Pilihlah dengan berhati-hati
dan dapatkannya dari jenama yang boleh dipercayai yang menyediakan
advanced formula dengan sekurang-kurangnya 76 jenis makanan terbaik dan
fitonutrien termasuk L-Lysine, L-Proline, L-Carnosine, Asid Alfa Lipoik
dan L-Carnitine yang diperbuat dari pekatan protein soya. Bacalah label
dengan teliti untuk memastikan anda mendapat bahan-bahan yang anda
perlukan
Kesimpulannya,
pengambilan diet seimbang adalah penting untuk memelihara kesihatan,
mengekalkan gaya hidup aktif dan memanfaatkan sepenuhnya puasa pada
bulan Ramadan.
MAKLUMAT dalam
artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan seharusnya tidak
digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang
mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan
pengamal pakar kesihatan.