MENGANDUNG LUAR
RAHIM
UNTUK persenyawaan biasa, pertemuan di antara
benih telur dan sperma berlaku di tiub fallopian. Telur yang
difertilisasikan ini sepanjang tiub fallopian akan bertambah bilangan
selnya sehingga ke satu bentuk yang dinamakan blastosis, dengan bilangan
selnya di antara 70 hingga 100. Penanaman blastosis berlaku di endometrium
di dalam rahim puan, ianya akan membesar. Mengandung di luar rahim berlaku
apabila penanaman (implantasi) terjadi di tempat lain selain dinding
dalaman rahim, kadar tumbesaran kandungan terbantut dan perlu didiagnosa
dan dirawat dengan segera.
Tentulah apabila puan terlepas haid bulanan
yang sepatutnya dan ujian air kencing menjadi positif, persoalan yang
timbul, apakah kandungan ini berada di dalam ataupun di luar rahim?
Langkah untuk mengesan kandungan di luar rahim:
1) Terdapat rungutan yang lazim sekiranya
kandungan puan di luar rahim.
2) Cara mendiagnosa kandungan luar rahim.
3) Kaedah perawatannya.
Kebanyakan kandungan di luar rahim berlaku di
tiub fallopian, namun begitu, implantasi juga boleh berlaku di
tempat-tempat lain seperti di rongga abdomen, ovari dan sebagainya.
Disebabkan ruang untuk membesar terhad di dalam tiub fallopian, tiub
tersebut boleh pecah dan menyebabkan pendarahan yang banyak dan ini
menggugat nyawa. Keadaan ini genting serta getir dan rawatan segera perlu
dilakukan untuk menyelamatkan nyawa.
Sekiranya dikesan awal dan tiub masih lagi utuh
dan tidak pecah serta tahap hemodinamik puan yang stabil,mungkin puan
boleh dirawat dengan ubat ataupun sekiranya pembedahan diperlukan,
pembaikian serta restoratif tiub dapat dilakukan.Ini penting sekiranya
puan masih ingin menambah bilangan ahli keluarga pada masa hadapan.
Sekiranya tiub terpaksa dikorbankan, bermakna puan hanya bergantung pada
satu tiub untuk keupayaan reproduksi.
Mereka yang berisiko
Sekiranya puan terdedah kepada hubungan kelamin,
bermakna puan berisiko untuk mengandung di luar rahim. Statistik di barat
menyatakan mengandung di luar rahim berlaku setiap 50 ibu mengandung.
Kebelakangan ini, insiden mengandung di luar rahim meningkat.
Tiub fallopian yang abnormal memberikan risiko
yang tinggi untuk implantasi kandungan yang abnormal. Kejadian tiub
fallopian abnormal berlaku di kalangan mereka yang mempunyai faktor risiko
berikut:
1) Mempunyai jangkitan di organ rahim, tiub
fallopian dan juga organ-organ pelvik berhampiran. Secara kolektif,
jangkitan ini dipanggil jangkitan keradangan pelvik.
2) Sejarah lampau mengandung di luar rahim.
3) Sejarah kemandulan.
4) Sejarah pembedahan di pelvis dan juga
abdomen.
5) Endometriosis
6) Penyakit tularan seksual.
7) Pembedahan yang melibatkan tiub fallopian
seperti sterilisasi tubal. Keadaan ini menyebabkan pergerakan telur yang
telah difertilisasi terencat dan implantasi berlaku di tempat lain.
8) Merokok
9) Mengandung pada umur yang lanjut.
Pendiagnosaan serta rungutan lazim
Ada yang mengandung di luar rahim tetapi tidak
mempunyai rungutan. Ada pula yang tidak tahu yang beliau mengandung.
Lazimnya simptom-simptom yang dialami serupa dengan simptom mengandung
seperti mual,loya,letih tidak bermaya dan sebagainya.Kerana itulah
pentingnya syak wasangka terhadap mengandung sekiranya puan terdedah pada
hubungan kelamin.Ujian air kencing serta pemeriksaan ultrasound awal
seeloknya dilakukan. Ini bertujuan supaya dapat menyelamatkan tiub
fallopian serta menambahkan kebarangkalian kejayaan mengandung pada masa
hadapan.
Mungkin simptom-simptom berikut timbul sebelum
puan tahu yang diri puan mengandung. Sekiranya puan berjumpa dengan doktor,
pemeriksaan lanjutan boleh dilakukan seperti:
1) Pemeriksaan bimanual melalui faraj.
2) Pemeriksaan petanda vital seperti tekanan
darah dan juga denyutan nadi.
3) Pemeriksaan ultrasound, lebih elok sekiranya
pemeriksaan ultrasound dilakukan melalui faraj.
4) Pemeriksaan darah untuk tahap biokimia
hormon human chorionic gonadotropin(hCG). Ujian ini akan dijalankan secara
berkala dan sekiranya peningkatan parasnya diragui, mungkin puan berisiko
untuk mengandung di luar rahim.
5) Ujian pencairan berganda air kencing, cara
ini lebih cepat keputusannya jika dibandingkan dengan ujian darah. Setiap
pencairan mempunyai nilaian hCG berpadanan dengan minggu serta kemajuan
kandungan. Mengandung di luar rahim serta keguguran menyebabkan paras
hormon hCG tidak berpadanan dengan usia kandungan. Puan mungkin perlu
berada di wad untuk diamati supaya diagnosa dapat dipastikan serta kaedah
rawatan yang sewajarnya.
Rawatan
Berdasarkan kestabilan petanda vital dan juga
tempat berlakunya implantasi abnormal, rawatan mungkin secara pembedahan
ataupun tanpa pembedahan.
Tanpa pembedahan
Sekiranya puan stabil dan saiz kandungan kecil
dan masih utuh, ubat methotrexate, sejenis ubat anti neoplastik kanser
digunakan. Ubat ini menyebabkan sel-sel berhenti bilangannya, menyebabkan
kandungan berhenti dan diserap oleh badan puan. Bukan semua dapat menerima
kaedah perawatan ini. Mereka yang menyusu badan serta masalah kesihatan
lain tidak dibenarkan perawatan secara kaedah ini.
Biasanya ubat ini diberikan sekali sahaja, dan
proses penyerapan kandungan memakan masa sehingga 4-6 minggu.Darah puan
diamati paras hormon hCG sebelum,selepas tiga hari dan juga selepas
seminggu. Paras hormon ini sepatutnya menurun dan sekiranya keadaan
sedemikian tidak berlaku, puan dinasihatkan menjalani pembedahan.
Mungkin dalam tempoh tersebut, puan perlu
berada di wad untuk diamati perkembangan petanda vital badan.
Methotrexate adalah satu ubat yang merbahaya,
semasa dan juga seketika selepas perawatan, puan dinasihatkan supaya
mengelakkan daripada:
1) Meminum alkohol
2) Vitamin yang mengandungi asid folik
3) Ubat tahan sakit jenis NSAID(non steroidal
antiinflammatory drugs)
4) Hubungan kelamin(hentikan sementara).
Kaedah tanpa pembedahan mungkin menyebabkan
puan mengalami sakit-sakit di bahagian abdomen dan mungkin juga pendarahan
faraj. Juga simptom-simptom lain seperti loya-loya dan muntah-muntah,
kekerapan membuang air besar dan juga pening-pening. Beritahu doktor serta
jururawat sekiranya puan dirawat secara tanpa pembedahan dan tiba-tiba
mengalami kesakitan abdomen yang amat sangat ataupun tahap kesakitan
bertambah, pendarahan melalui faraj bertambah, rasa pening serta macam nak
pitam dan juga degupan jantung dirasi bertambah. Mungkin implantasi
abnormal ini pecah dan berdarah, kaedah rawatan lain perlu dilakukan.
Rawatan melalui pembedahan
Terdapat dua cara pembedahan, iaitu secara
pembedahan terbuka dan juga secara laparoskopik. Apa jua kaedah pembedahan
ini, tujuan asas mereka adalah untuk membuang implantasi abnormal yang
berlaku, menghalang pendarahan selanjutnya daripada memudaratkan nyawa
puan.
Sumber:
Suratkhabar Utusan Malaysia, Bahagian Kesihatan, 17 Ogos 2008
Doktor
Menulis : Prof. Madya Doktor Shah Reza Mohd Noor Pakar Perbidanan
Dan Sakit Puan
Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kelantan