MELAYU  |  ENGLISH

search_engine.gif (1470 bytes)
Enjin Pencarian

Nasihat menu
nasihat_icon.jpg (2094 bytes) |   Pengenalan   |  Artikel-Artikel FAQ  |  Talian Telefon Penting  |  Maklumat Awam   |  Borang Nasihat   | 
Artikel-artikel Nasihat

ARTIKEL-ARTIKEL


Pengenalan

Persendirian

Keibubapaan

Kesihatan

Kewangan

Pertanian

Perundangan

Remaja

Teknologi

Wanita

Tip Keselamatan

 

 

 

Osteoporosis - Penyakit Tulang Berperingkat

 

Kesedaran orang awam terhadap osteoporosis secara umumnya semakin meningkat. Lalu, tidak hairanlah banyak orang yang disahkan mempunyai masalah ini mahu mendapatkan ubat untuk menanganinya. "Sebenarnya, tidak semua orang mempunyai masalah osteoporosis perlu mendapatakan rawatan," kata Pakar Ortopedik Mont Kiara Medical City, Prof. Dr. Harwant Singh.

Menurut beliau, golongan itu ialah mereka yang sememangnya mempunyai ketumpatan tulang yang rendah jika dibandingkan dengan angka standard. "Dalam keadaan biasa, kita tidak perlu bimbang sangat mengenai penyakit ini kerana ia adalah proses yang memang berlaku apabila usia makin meningkat. Bagaimanapun, ia menjadi penyakit yang membimbangkan apabila berlaku keretakan tulang."

Menerangkan penyakit ini lebih lanjut, Dr. Harwant berkata, osteoporosis adalah sejenis penyakit tulang berperingkat yang bercirikan jisim tulang yang rendah dan kemerosotan bentuk mikro tisu-tisu tulang, yang mana ini meningkatkan kerapuhan tulang dan menyebabkan ia lebih terdedah kepada keretakan.
"Jisim tulang yang rendah dan kemerosotan mikro tisu tulang menyebabkan tulang itu kurang mampat , lebih poros, lalu lebih rapuh yang mendedahkannya kepada keretakan apabila menampung beban", tambahnya ketika menyampaikan ceramah mengenai osteoporosis di pusat berkenaan.Masalah paling biasa berkait dengan penyakit ini ialah keretakan tulang pinggul akibat terjatuh ataupun keretakan pada bahagian pergelangan tulang apabila cuba menahan badan daripada jatuh.

Osteoporosis boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu primer dan sekunder. Osteoporosis primer ialah osteoporosis yang tidak diketahui asal usulnya atau disebabkan proses evolusi - yakni akibat peningkatan usia (lelaki dan wanita) dan pasca menopaus (wanita sahaja). Manakala osteoporosis sekunder pula ialah penyakit yang diwarisi (genetik dalam keluarga seperti penyakit Wilson) dan diperoleh (akibat pemakanan dan gaya hidup).Kaedah yang digunakan untuk menguji seseorang itu mempunyai osteoporosis atau tidak ialah dengan mengukur ketumpatan mineral tulang (BMD). Orang itu dikatakan mengalami osteoporosis apabila BMDnya lebih daripada 2.5 julat perbezaan (SD) BMD purata wanita muda yang sihat, dan dikategorikan sebagai osteoporosis teruk jika turut mempunyai lebih daripada satu atau dua keretakan. Seseorang itu dikatakan normal bila BMDnya lebih daripada 1 SD.


"Doktor mungkin menimbangkan rawatan untuk pesakit yang tergolong sebagai mengalami osteoporosis jika pesakit itu mempunyai keretakan tulang atau penyakit yang menyebabkan osteoporosis." Kata Dr. Harwant. Bagaimanapun, pesakit osteoporosis yang tidak mempunyai masalah mungkin tidak perlu menjalani rawatan. "Yang pentingnya, pesakit perlu meminta doktor menjelaskan kenapa rawatan itu perlu dilakukan ke atas mereka."Langkah berhati-hati ini perlu diambil memandangkan setiap ubat mempunyai kesan sampingannya. "Pada saya, anda haruslah menganggap setiap ubat adalah 'racun' - kita kena berhati-hati menggunakannya. Pastikan rawatan itu tidaklah seberbahaya penyakit yang hendak dirawat," tegasnya.


Ini kerana diketahui ada ubat yang digunakan untuk merawat osteoporosis mempunyai kesan lebih berbahaya iaitu kanser."Seperkara lagi, kita perlu tanya diri kita adakah rawatan itu untuk menyembuhkan penyakit atau melanjutkan jangka hayat seseorang? Kemudahan kesihatan yang semakin baik membolehkan penduduk di negara ini menikmati jangka hayat yang lebih panjang, sekali gus meningkatkan kes-kes osteoporosis."Wanita, yang lebih panjang jangka hayatnya, akan meneruskan satu pertiga hidupnya selepas menopaus. Mengikut kajian yang dilakukan di Amerika Utara, separuh daripada wanita yang berusia 50 tahun ke atas akan mengalami osteoporosis pasca menopaus dalam jangka hayat mereka," ujar Dr. Harwant.

Dalam pada itu juga, lebih 40 peratus daripada wanita ini akan mengalami kepatahn tulang apabila berusia 70 tahun ke atas. Kadar yang tinggi ini mungkin dipengaruhi oleh gaya hidup mereka yang terus aktif walaupun sudah lanjut usia."Masalah patah tulang pinggul pula dikaitkan dengan kira-kira 20 peratus kematian di kalangan penghidap osteoporosis. Angka ini bagaimanapun adalah anggaran konservatif. Angka sebenar mungkin lebih tinggi, bahkan boleh mencecah 80 peratus," katanya. Ini disebabkan seseorang pesakit yang patah tulang tidak boleh berjalan dan terpaksa berbaring di katil, lantas menimbulkan komplikasi seperti jangkitan paru-paru dan lepuh-lepuh badan.


Secara amnya, kes-kes patah tulang lebih banyak berlaku di kalangan kaum wanita, iaitu tiga kali ganda. Ia sejajar dengan jumlah kes osteoporosis yang lebih tinggi golongan itu kerana pasca menopaus dan umur yang meningkat.Masalah ini membimbangkan negara-negara membangun kerana jumlah penduduknya yang semakin meningkat dan kemudahan kesihatan yang lebih rendah berbanding dengan negara maju. Secara perbandingan, pada 1960, jumlah wanita yang berumur 45 tahun ke atas di negara maju ialah 155 juta berbanding 177 juta di negara membangun. Pada tahun 2000, jurang itu menjadi bertambah luas iaitu 257 juta di negara maju dan 484 juta di negara membangun."Ini ditambah pula dengan risiko kecederaan yang lebih tinggi di kalangan wanita di negara membangun apakala lebih banyak kaum wanitanya terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan, terdedah kepada keadaan yang membahayakan kesihatan di tempat kerja dan kurang sokongan perubatan," katanya.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan masalah osteoporosis di hari tua, Dr. Harwant menggesa masyarakat supaya menjaga pemakanan dan mengamalkan senaman pada usia mudanya.
"Osteoporosis ialah penyakit yang berkait dengan usia. Ia adalah mengenai jumlah tulang yang dihasilkan (deposit) dan diserap (resorb) oleh badan. Pada usia 25 tahun hingga berlaku menopaus, kadar penyerapan dan penghasilan adalah sama tetapi pada usia 45 tahun ke atas (saat lazim menopaus berlaku), kadar penyerapan tulang berlaku lebih pantas daripada penghasialnnya."Sekiranya seseorang itu tidak membina 'simpanan' tulang secukupnya semasa mereka berupaya, merekalah antara golongan yang akan mengalami masalah osteoporosis di kala tua," ujarnya. Tempoh paling baik untuk seseorang membina simpanan tulangnya ialah pada usia 25 hingga 36 tahun.

Bila usia meningkat, kadar penghasilan tulang merosot kerana organ-organ dalam badan tidak berfungsi secekap waktu mudanya. Ditambah pula dengan tabiat seseorang yang agak memilih makanannya ketika tua. Ini menyebabkan lebih banyak tulang diserap kerana pengambilan kalsium yang kurang dan sesetengah vitamin pula tidak diserap dengan baik.Faktor utama osteoporosia ialah wanita, berkulit putih atau orang Asia, usia lanjut, menopaus awal, pembuangan rahim sebelum menopaus, penggunaan dadah (corticosteroid) dan sejarah keluarga yang mengalami osteoporosis.Penyebab yang lain ialah kadar berat dan tinggi yang rendah (mereka yang kurus tinggi), terlalu lama berbaring, pengambilan alkohol yang tinggi, kurang mengambil kalsium, merokok, banyak mengambil protein dan fosfat dan banyak meminum kopi. Faktor-faktor ini mengganggu fisiologi tulang, menyebabkan simpanan tidak dapat dihasilkan secukupnya dan mempercepatkan proses penyerapan tulang bila kurang pergerakan.

Memahami bagaimana osteoporosis terjadi, kita boleh melakukan sesuatu bagi mengelakkan penyakit ini menimbulkan masalah di hari tua kita. "Masalah hormon dan genetik tidak dapat dielakkan, bagaimanapun kita boleh memanfaatkan faktor persekitaran dan pemakanan untuk melambatkan masalah itu," kata beliau.Pastikan kita mendapat kalsium, vitamin dan galian secukupnya dan kurangkan pengambilan kopi dan minuman ringan (fizzy drinks). Banyakkan senaman, terutama yang bercorak fizikal dan angkat berat kerana ia membantu menguatkan tulang kita."Juga pastikan persekitaran di rumah dan di tempat kerja adalah 'selamat' bagi mengelakkan kita terjatuh dan tercedera," katanya.

Wanita Nov 2001, ms 128 - 130.

 

 


Homepej direkabentuk oleh Perpustakaan Negeri Sabah
Maklumbalas ke Webmaster
Notis Pemberitahuan

- Best Viewed with IE in 800 X 600 resolution -