APA DIA PENYAKIT JIWA?
Kita semua mempunyai gangguan emosi dalam menjalani liku-liku hidup ini tetapi mampu mengatasinya mengikut arus masa. Kerana beberapa sebab tertentu sebilangan daripada kita tidak mampu berbuat demikian dan ini akan memberi kesan terhadap kefungsian sosial di tempat kerja atau di rumah. Jika ini berlanjutan, golongan ini memerlukan bantuan dan mungkin menghidapi sejenis penyakit jiwa.
Penyakit jiwa adalah
satu istilah yang merangkumi gangguan-gangguan jiwa yang mengakibatkan perubahan
ragam, tingkah laku dan pemikiran seseorang.
Perkataan ‘gila’
adalah satu ungkapan hodoh dan tidak sesuai digunakan untuk pesakit-pesakit jiwa
dan memberi gambaran seorang yang ganas dan merbahaya. Walhal keganasan lebih
kerap dilakukan oleh orang mabuk jika dibandingkan dengan pesakit jiwa.
Anggapan-anggapan salah terhadap penyakit jiwa yang disimpan oleh orang ramai harus dikikis; kami berharap yang anda akan meneroka dengan lebih jauh mengenai penyakit jiwa.
APAKAH PUNCA
PENYAKIT JIWA?
Lazimnya tidak ada
suatu punca khusus yang menyebabkan penyakit jiwa. Biasanya sebab-sebab penyakit
ini berpelbagai dan saling berkaitan. Antara lain mungkin :-
Sebab-sebab fizikal: Contoh-contoh termasuk meminum terlalu banyak arak, salah guna naji dadah, kemalangan dan ketidakseimbangan biokimia dalam otak kita.
Keturunan: Sebahagian penyakit jiwa mungkin diwarisi misalnya; terdapat 1:100 peluang untuk mengidap penyakit skizofrenia dalam masyarakat umum dibandingkan dengan nisbah 1:10 peluang jika salah seorang daripada orang tua anda mempunyai skizofrenia.
APAKAH JENIS-JENIS
PENYAKIT JIWA?
Terdapat beberapa jenis
penyakit jiwa dengan kelangsungan masing-masing. Ada yang boleh sembuh seperti
sediakala dan ada yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.
Kegelisahan
(Neurosis)
Rasa mudah naik darah, tidak boleh menumpukan perhatian, tidak dapat
tidur, merasa takut atau fobia, resah, gentar, sejuk tangan dan
gejala-gejala badan yang lain.
Penyakit
kepiluan (Depression)
Kadangkala kita merasa sedih, tidak berminat dalam aktiviti-aktiviti
biasa, merasa lemah, sukar tidur dan tidak lalu makan, menangis tanpa sebab
dan mungkin menyimpan rasa hendak bunuh diri terutama apabila mengalami
kegagalan yang teruk atau kehilangan (misalnya kematian orang yang disayangi).
Jika ini berlaku keterlaluan atau
muncul tanpa sebab dan memberi kesan terhadap kefungsian harian kita, kita
memerlukan bantuan.
Psikosis
Ini merupakan yang paling teruk. Walaubagaimanapun ianya jarang berlaku
jika dibandingkan dengan jenis-jenis penyakit jiwa yang lain. Dalam kes ini,
pesakit hilang perhubungan dengan alam nyata dan hidup di dalam alamnya yang
tersendiri serta berkelakuan ganjil. Misalnya, dia mungkin mempunyai
kepercayaan-kepercayaan yang tidak berasas, mendengar suara-suara yang tidak
wujud, bersikap mundur atau bertutur tidak menentu. Biasanya pesakit tidak
sedar bahawa dia sakit dan tidak mungkin mencari bantuan secara persendirian.
APAKAH YANG HARUS
DILAKUKAN JIKA KITA MEMPUNYAI TANDA-TANDA MASALAH EMOSI?
Pertama, hadapilah
sendiri masalah berkenaan, cuba cari puncanya. Jika ianya masalah yang dapat
diatasi sendiri, teruskan.
Jika tidak, jangan
merasa malu. Dapatkan pertolongan daripada seseorang yang sanggup mendengar
seperti rakan, ahli keluarga, ahli agama atau perunding cara. Dengan
meluahkan masalah sudah dapat mengurangkan sebahagian bebannya.
Jika ini gagal atau
anda merasakan bahawa masalah berkenaan adalah di luar keupayaan anda,
mungkin doktor keluarga nada boleh membantu. Jika dia merasa bahawa anda
memerlukan bantuan lanjut anda mungkin akan dirujuk kepada Pakar Sakit Jiwa
atau kepada perkhidmatan kami di Hospital Bukit Padang. Anda boleh juga
berhubung terus dengan kami di Hospital Bukit Padang.
Rawatan mungkin di
dalam bentuk kaunseling, terapi rundingan, pengubatan, terapi gerakan
elektrik atau tinggal buat seketika di hospital sehingga tanda-tanda sakit
beransur hilang.
BAGAIMANA MASYARAKAT
BIASA BOLEH MEMBANTU?
Pertama sekali, perlu
diingatkan bahawa pesakit-pesakit jiwa adalah manusia biasa seperti kita yang
menghadapi masalah dan memerlukan bantuan. Sikap yang tidak ambil peduli, takut,
salah anggap, memandang rendah dan penolakan terhadap pesakit jiwa merupakan
masalah rumit yang dilemparkan masyarakat kepada pesakit jiwa.
Masyarakat lebih banyak
mengancam pesakit jiwa daripada pesakit jiwa mengancam masyarakat. Sikap dan
penerimaan kita mungkin merupakan faktor utama terhadap pemulihan pesakit jiwa.
HOSPITAL BUKIT
PADANG
Hospital Bukit Padang
terletak 6 kilometer dari bandar Kota Kinabalu dan telah memulakan
perkhidmatannya sejak tahun 1971. Ada dua perkhidmatannya yang penting iaitu :-
Perkhidmatan Pesakit Dalam
Perkhidmatan
Pesakit Luar
Perkhidmatan Pesakit
Dalam
Kebanyakan pesakit yang
memerlukan rawatan di dalam hospital ini mengidap penyakit ‘Psikosis’ dan
‘Depression’ yang tidak dapat dirawat di rumah.
Dua cara untuk memasuki
hospital adalah :-
Secara sukarela
Si pesakit meminta atau setuju diberi pemerhatian dan rawatan di hospital,
dan
Secara
undang-undang
Mengikut undang-undang mahkamah di mana si pesakit tidak bersetuju memasuki
hospital tetapi untuk kesihatannya dan untuk kepentingan masyarakat umum, si
pesakit dipaksa masuk.
Di hospital mereka
diberi rawatan yang moden oleh Pakar Sakit Jiwa, Pegawai Perubatan dan
kakitangan hospital. Rawatan ini adalah melalui ubat-ubatan, terapi rundingcara
(psycho-therapy), Unit Jurupulih Carakerja (Occupational Therapy), aktiviti
rekreasi pesakit dan rawatan getaran elektrik.
PERKHIDMATAN PESAKIT
LUAR
Perkhidmatan pesakit
luar adalah untuk orang awam yang menghadapi masalah-masalah jiwa dan memerlukan
pemeriksaan, nasihat atau rawatan. Pesakit yang telah keluar dari hospital juga
diberi rawatan susulan melalui perkhidmatan ini. Perkhidmatan ini dijalankan di
Unit Pesakit Luar, Hospital Bukit Padang tiap-tiap hari. Jika rawatan kecemasan
diperlukan, perkhidmatan ini boleh didapati dari wad satu, Hospital Bukit Padang
selepas waktu pejabat.
Untuk mereka yang
tinggal di luar Kota Kinabalu, perkhidmatan ini juga disediakan di semua
Hospital Daerah serta beberapa Klinik Kesihatan (Tuaran, Tamparuli, Kuala Penyu)
Tiap-tiap tahun, lebih
dari 13,000 pesakit menerima perkhidmatan pesakit luar di Sabah.
LAWATAN KE HOSPITAL
Hospital ini mempelawa
saudara mara datang melawat pesakit di sebelah petang sebelum pukul 6.00 petang.
Lawatan sosial oleh
Badan-badan Sukarela dan lawatan sambil belajar oleh murid-murid sekolah dan
ahli-ahli persatuan juga digalakkan. Pihak hospital ada menyediakan perkhidmatan
taklimat mengenai hospital jika penetapan awal dapat diberikan.
Untuk maklumat lanjut,
sila hubungi:-
Penguasa Perubatan
Hospital Bukit Padang
Peti Surat 11342
88815 Kota Kinabalu
Tel. No. 088-240984/7