|
||
|
||
| | Pengenalan | Artikel-Artikel | FAQ | Talian Telefon Penting | Maklumat Awam | Borang Nasihat | |
|
PENYAKIT MENTAL Penyakit mental adalah istilah umum yang merujuk kepada sekumpulan penyakit-penyakit mental. Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental boleh berbeza dari segi tahap keterukannya, jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan. Akibat dari salah faham mengenai penyakit mental, pesakit dan keluarga mereka kadang-kadang dicemuh dan disisih dalam masyarakat. Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan ;
Penyakit Psikosis Pada tahap teruk,
seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan
dengan alam nyata. Kebolehan seseorang memahami pemikiran dan perasaannya serta
rangsangan dari luar terganggu di tahap teruk ini. Mereka merasai
persekitarannya berbeza dengan orang yang normal. Apa yang mereka lihat, dengar
dan rasai sebagai sesuatu yang benar tetapi tidak dialami oleh orang di
sekitarnya. Pesakit mungkin bertindak di atas apa yang dialami dan
tingkahlakunya mungkin kelihatan “luar biasa”. Orang-orang yang tidak biasa
dengan tingkahlaku dan pengalaman mereka mungkin sukar memahami akan kekeliruan
dan ketakutan pesakit psikosis dan melihatnya sebagai sesuatu yang menakutkan. Pada masa dahulu
pesakit mental psikosis diasingkan dan dipisahkan dari masyarakat. Tetapi, pada
hari ini, dengan adanya rawatan dan ubatan yang berkesan, kebanyakan mereka
dapat menjalani kehidupan yang produktif dan bermakna. Diantara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif. Penyakit-penyakit Bukan Psikosis Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita. Apabila perasaan biasa ini dan tingkahlaku tertentu berlaku secara berlebihan, tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan seseorang dalam menjalani aktiviti harian, hubungan dengan orang lain dan keupayaan seseorang untuk menikmati keseronokan hidup, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis bukan psikosis (neurosis). Di antara
penyakit-penyakit jenis ini termasuklah fobik (ketakutan yang tidak berasas),
keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan obsessif kompulsif. RAWATAN UTAMA
PENYAKIT MENTAL Seperti penyakit
fizikal, penyakit mental juga boleh diubati. Apabila seseorang mengalami
penyakit mental, mereka perlu menjalani penilaian oleh kakitangan kesihatan.
Maklumat terus terang dan tepat dapat membantu kakitangan kesihatan dalam
menentukan diagnosa dan merancang jenis rawatan dengan tepat. Sebahagian besar
daripada mereka dapat dirawat sebagai pesakit luar tanpa memerlukan kemasukan ke
hospital atau institusi mental. Terdapat berbagai jenis rawatan untuk penyakit
mental. Rawatan yang diberikan kepada sesesorang bergantung kepada jenis
penyakitnya dan keperluan individu. Rawatan-rawatan
Utama Yang Selalu Digunakan Psikoterapi dan
kaunseling Kaunseling boleh
membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam.
Rawatan ini diberikan secara pesakit luar. Seseorang itu mungkin memerlukan
beberapa sesi kaunseling sebelum mendapat kesan rawatan. Jumlah sesi kaunseling
bergantung kepada jenis penyakit dan keperluan individu. Rawatan psikotropik Terdapat berbagai jenis
ubat-ubatan yang dikelaskan sebagai ubat psikotropik yang digunakan untuk
rawatan penyakit mental. Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau
menghapuskan gejala-gejala psikosis. Sementara ubat-ubatan jenis lain boleh
mengurangkan tekanan, kemurungan dan keresahan (anxiety) sehingga pesakit dapat
mengendali gejala-gejala penyakitnya dengan lebih baik. Sebahagian ubatan jenis
ini mengambil masa yang agak lama sebelum memberi kesan. Bagaimanapun,
pengambilan ubat-ubatan jenis ini mestilah mendapat nasihat dari pengamal
perubatan yang sah. Sebahagian pesakit mental perlu meneruskan pengambilan
ubatan psikotropik untuk jangka masa yang panjang sepertimana rawatan fizikal,
contohnya penyakit darah tinggi dan kencing manis. Rawatan tingkahlaku Rawatan jenis ini
memberi tumpuan kepada membantu pesakit mengubah cara berfikir atau tingkahlaku
yang tertentu yang mengganggu dan menimbulkan gejala penyakit. Terdapat berbagai
jenis rawatan tingkahlaku yang boleh digunakan untuk merawat penyakit mental
tertentu. Teknik releksasi adalah merupakan satu contoh rawatan jenis ini. Rawatan
elektrokonvulsif Rawatan
elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah
merentasi otak seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan
biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius. Sebelum
rawatan diberikan, seseorang itu akan diberi bius.
Diterbitkan oleh
Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia
|
Homepej direkabentuk
oleh Perpustakaan Negeri Sabah |
- Best Viewed with IE in 800 X 600 resolution -