BERSENAM di bulan puasa?
Oh, tidak! Mungkin itulah yang keluar daripada mulut sesetengah individu
yang berpendapat mereka perlu mengurangkan atau menghentikan sebarang
aktiviti fizikal termasuk bersenam buat seketika kerana bimbang kepenatan,
lapar dan dahaga di bulan Ramadan ini. Bagaimanapun, Pengurus Kecergasan
Fitness First, Simran Latiff, menolak tanggapan tersebut sambil menegaskan
senaman masih perlu diteruskan walaupun ketika berpuasa bagi meningkatkan
kadar metabolisme, selain mengekalkan tahap kecergasan agar tidak menurun
dan memudahkan seseorang itu menjalani latihan fizikal seterusnya.
Katanya, bulan puasa
tidak harus dijadikan alasan untuk seseorang itu menghadkan aktiviti mereka
termasuk melakukan senaman. “Jika tidak melakukan senaman, otot menjadi
lemah dan badan mudah berasa letih. Ini kerana kalori masih perlu dibakar
biarpun pada bulan puasa,’’ ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini. Simran
berkata, sekiranya seseorang itu tahu kebaikan meneruskan senaman pada bulan
puasa yang mampu memaksimumkan pembakaran kalori terutama yang sumbernya
datang daripada lemak, pasti mereka mahu melakukannya apatah lagi jika telah
terdapat keinginan untuk mendapatkan bentuk badan sempurna. Menerangkan
lebih lanjut mengenai bagaimana senaman di bulan puasa, katanya, secara
umumnya pengambilan kalori pada bulan puasa akan berkurangan kerana
pembakaran lemak berlaku secara maksimum.
“Pada hari biasa,
ketika kita bersenam badan memerlukan kalori untuk dijadikan tenaga dan pada
20 minit pertama, tenaga itu datang daripada kalori karbohidrat terlebih
dahulu. Selepas 20 minit pertama, barulah badan menggunakan kalori lemak
untuk dijadikan tenaga.” Disebabkan berpuasa, jelasnya, kalori karbohidrat
dalam badan secara tidak langsung akan berkurangan dan secara semula jadi
badan terus menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga tanpa memerlukan
20 minit pertama. Dari situ, ia dapat mengurangkan peratusan lemak dalam
badan seseorang. Menerangkan cara dan bagaimana aktiviti senaman boleh
dilakukan, kata Simran, sepanjang bulan puasa senaman boleh dilakukan dua
atau tiga kali seminggu dengan sekurang- kurangnya 30 minit sekali senaman.
Ia agak berbeza di bulan biasa iaitu perlu dilakukan lebih kerap dan
memerlukan antara 30 minit hingga satu jam setiap senaman.Lebih penting kata
Simran, dalam tempoh 30 minit itu individu boleh melakukan tiga senaman
berperingkat-peringkat seperti senaman memanaskan badan, senaman
kardiovaskular seperti berbasikal dan berjalan kaki.
Bagi membentuk
kardiovaskular (berjalan, joging atau berbasikal), penggunaan tenaga pada
tahap maksimum perlu diselaraskan mengikut tahap latihan yang sesuai. Bagi
latihan pembentukan otot, seseorang itu dinasihatkan agar melakukan senaman
pada otot besar sahaja. Antaranya, bahagian dada, belakang, bahagian depan
paha dan belakang paha. Bagi setiap otot, latihan boleh dilakukan sebanyak
satu atau dua set dan setiap satu set sebanyak 15 hingga 20 pengulangan.
Bilangan yang kerap membolehkan kita mengurangkan lemak dan pada masa sama,
membentuk otot. Senaman katanya, boleh dilakukan 30 minit atau satu jam
sebelum waktu berbuka atau selepas berbuka sebaik proses penghadaman selesai.
Selain senaman
memanaskan badan, individu juga boleh menggunakan threadmill atau kayuhan
basikal yang boleh dilakukan selama kira-kira 10 hingga 15 minit. Bagi
mereka yang memilih melakukan senaman selepas berbuka, kata Simran pastikan
makanan yang dimakan semasa berbuka telah benar-benar hadam. Ambil masa
sekurang-kurang setengah hingga satu jam selepas makan. “Cuba elakkan
berbuka dengan mengambil makanan berat, sebagai contoh nasi. Sebaiknya,
individu dinasihatkan agar hanya mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit
seperti sebiji kurma dan segelas minuman,’’ ujarnya lagi, Simran menambah,
melakukan senaman kardio selama kira-kira 30 minit baik untuk jantung. Ini
boleh diikuti dengan latihan mengangkat bebanan, latih tubi dan regangan.