Kini satu kaedah yang canggih telah diperkenalkan bagi merawat pesakit jantung berlubang terutamanya di kalangan kanak-kanak. Kaedah yang dikenali sebagai transcatheter technique atau rawatan secara transkateter (tiub) adalah rawatan jantung berlubang tanpa perlu melakukan pembedahan. Institut Jantung Negara (IJN) telah mempraktikkan kaedah ini sejak tahun 1997 lagi dan sehingga kini lebih 230 kes telah berjaya dirawat. Dr. Haifa Abdul Latif, Pakar Kardiologi Pediatrik, IJN berkata, kaedah ini dijalankan ke atas pesakit jantung berlubang dengan menggunakan tiub kecil yang dipanggil kateter. "Pemeriksaan bunyi atau gema (echocardiogram) akan dilakukan terlebih dahulu pada kanak-kanak yang dikenal pasti menghidap jantung berlubang. Ini untuk menentukan saiz dan lokasi lubang serta memastikan adakah ianya sesuai untuk rawatan kaedah transkateter," kata beliau. Dua jenis penyakit jantung berlubang yang boleh ditutup dengan kaedah ini ialah Secundum Atrial Septal Defect (ASD) dan Muscular Ventricular Deptal Defect (VSD). ASD adalah lubang terbentuk apabila septum iaitu dinding yang memisahkan ruang jantung memisahkan kedua-dua atrium. Dua atrium tersebut ialah atrium kiri dan atrium kanan dan ia adalah ruang atas yang tidak terbentuk dengan sempurna ketika proses pembentukan janin. Kesannya darah akan mengalir melalui lubang ini secara berlebihan hingga ke paru-paru dan ianya boleh membebankan kerja jantung. "Selain itu, penyakit jantung kedua ialah lubang septum ventrikal (VSD), lubang pada septum ventrikal terjadi apabila terdapat bukaan yang besar di antara dinding yang memisahkan kedua-dua ventrikal (ruang bawah). "Dalam hal ini, aliran darah dari kiri jantung akan mengalir semula dengan banyak ke bahagian kanan. Jadi ia akan membenarkan darah berlebihan mengalir ke paru-paru seterusnya memberi kesan ke atas beban kerja jantung," tambah beliau lagi. Sebenarnya jantung berlubang adalah satu kecacatan kongenital. Ia adalah satu kelainan pada struktur jantung atau saluran darah berhampiran jantung yang tidak terbentuk dengan sempurna sebelum dilahirkan. "Kebanyakan punca sebenar penyakit ini tidak dapat diketahui. Bagaimanapun, ada sesetengah keadaan atau penyakit yang boleh menyebabkan jantung berlubang," katanya. Ada beberapa punca penyakit jantung berlubang, antaranya seperti sindrom Down, jangkitan virus (seperti rubela kepada wanita hamil), wanita hamil yang mengambil alkohol atau mengambil dadah dan juga masalah genetik. Menurut Dr. Haifa lagi, alat yang digunakan untuk menutup lubang ASD dipanggil Amplatzer Septal Occluder (ASO) dan untuk VSD dipanggil Amplatzer Ventricular Septal Occluder (AVSO). Alat tersebut akan dimasukkan melalui saluran darah di paha melalui kateter atau tiub yang panjang. "Setelah lubang dikenal pasti dan saiz lubang ditentukan, alat yang sesuai akan diletakkan pada lubang berkenaan. Alat ini akan kekal di dalam jantung pesakit tersebut. Prosedur ini dilakukan dalam keadaan bius (general anaesthesia), jadi pesakit tidak merasai apa-apa kesakitan semasa rawatan ini dijalankan," jelas Dr. Haifa. Menurut beliau lagi, rawatan AVSO dilakukan pada kanak-kanak yang berumur empat tahun ke atas. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami jantung berlubang ASD tidak mempunyai simptom atau tanda-tanda. Mereka biasanya dikesan apabila doktor mendapati bunyi (murmur) di dada semasa menjalani rawatan untuk penyakit lain atau semasa lawatan di sekolah. Bagaimanapun, lubang ini perlu ditutup pada peringkat kanak-kanak kerana ianya akan mendatangkan masalah pada peringkat remaja atau dewasa. Di peringkat ini (remaja atau dewasa) mereka boleh mengalami masalah sesak nafas dan arithmia (rentak jantung abnormal). Simptom penyakit jantung berlubang VSD bergantung kepada saiz lubangnya. Kanak-kanak yang mmepunyai lubang yang besar akan mengalami sesak nafas, kerap berpeluh, peningkatan berat badan yang tidak sempurna dan kekerapan mendapat jangkitan paru-paru. Kanak-kanak ini biasanya memerlukan rawatan pembedahan sebelum berumur dua tahun. Sementara kanak-kanak yang mempunyai lubang yang kecil atau sederhana mungkin tidak mempunyai simptom atau simptom yang sedikit sahaja. Mereka biasanya diberi ubat untuk mengawal sesak nafas dan perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga hingga enam bulan untuk melihat perkembangannya. Lubang yang kecil mempunyai kemungkinan lebih kurang 80 peratus untuk tutup dengan sendirinya apabila kanak-kanak membesar. Selepas kanak-kanak tadi menjalani rawatan secara ASO, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah sehari selepas rawatan. Mereka juga dibekalkan dengan ubat aspirin untuk tempoh enam bulan kerana fungsi ubat ini untuk mengelakkan terjadinya darah beku pada alat tersebut. Kemudian selepas enam
bulan, setelah alat itu sebati dengan jantung pesakit dan berada pada kedudukan
yang tetap dan tidak ada risiko untuk pembekuan darah, pesakit hanya perlu ke
hospital untuk pemeriksaan biasa sahaja. Ibu November 2001 ms 36 & 62
|
||