|
||
|
||
| | Pengenalan | Artikel-Artikel | FAQ | Talian Telefon Penting | Maklumat Awam | Borang Nasihat | |
|
Kad Kredit Dan
Budaya Hutang Bentuk Baru
Setipa pemegang kad kredit seharusnya panadi mengimbangi antara perbelanjaan dengan pendapatannya supaya ia tidak menjadi satu bebanan pada masa akan datang. Menurut Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim, kes-kes muflis yang melibatkan
golongan muda termasuk pegawai kerajaan kini berada pada tahap yang mencemaskan
akibat daripada penggunaan kad kredit secara tidak terkawal. Laporan Tahunan
Keseluruhan Kebankrapan Jabatan Pemeganag Harta cawangan Pulau Pinang
menunjukkan sehingga bulan Jun ini, 30% daripada 4,598 kes muflis adalah
membabitkan pemegang kad kredit. Pendedahan itu menjadi testimoni penting betapa
kad kredit telah membentuk suatu cara hidup yang boleh menjurus kepada
pemborosan, dan pembaziran serta menjadikan si pemiliknya papa kedana. Kelonggaran dan galakan
yang diberikan oleh pihak kerajaan serta institusi perbankan telah membolehkan
semakin ramai rakyat negara ini memilik kad kredit. Mengikut peraturan yang
dikuatkuasakan pada 28 Julai 1999, seseorang yang berpendapatan RM1,500 sebulan
layak untuk memiliki kad kredit. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pertubuhan
sektor kredit yang terjejas teruk ekoran daripada kegawatan ekonomi yang berlaku
pada tahun 1997. Di samping itu, Bank Negara juga telah menurunkan kadar caj
minimum kad kredit daripada 2% kepada 1.5% sebulan menjadikannya tidaklebih 18%
setahun. Caj bayaran lewat pula ditetapkan tidak lebih daripada 1% dikira atas
jumlah yang tertunggak. Peraturan yang
diperkenalkan itu telah menyebabkan pengeluaran kad kredit meningkat secara
mendadak. Sehingga suku pertama tahun 2000, jumlah pemilikan kad kredit di
Malaysia telah meningkat 500% berbanding tahun 1998. Dengan kad kredit yang
dimiliki, seseorang boleh berbelanja tanpa mengeluarkan wang daripada sakunya.
Para pemeganag kad kredit hanya perlu menurunkan tandatangan di atas slip
barangan ataupun perkhidmatan yang dibeli. Pihak bank ataupun syarikat kewangan
akan membayar bagi pihak pemilik kad kredit. Apabila tiba penghujung bulan,
pemegang kad kredit perlu menjelaskan segala bayaran kepada pihak-pihak yang
berkenaan. Sekiranya pemilik kad kredit gagal berbuat demikian maka hutang yang
tertunggak itu akan dikenakan kadar faedah. Jadi, para pemegang kad
kredit tidak sepatutnya merasa bangga dengan “wang” plastik yang dimiliki.
Terdapat kecenderungan di kalangan orang ramai untuk memiliki kad kredit sebagai
tanda status sosial dan bukannya untuk keperluan perniagaan ataupun kemudahan
mudah tunai. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kad kredit mempunyai banyak
kebaikan tapi perlu diingatkan bahawa keterlanjuran menggunakan kad tersebut
boleh menjebak si pemilik ke dalam kancah hutang yang berpanjangan dan tidak
berkesudahan. Mengikut laporan yang
dikeluarkan oleh Bank Negara, jumlah hutang tertunggak kad kredit pada sukau
pertama tahun 1998 ialah RM696 juta. Tetapi pada suku pertama tahun 2000, hutang
tertunggak kad kredit di negara kita telah meningkat kepada RM5 bilion.
Peningkatan itu juga dapat dilihat pada jumlah belian menggunakan kad kredit
ialah daripada RM 1710 juta kepada RM2.8 bilion dalam tempoh yang sama. Berdasarkan kepada
statistik, perbelanjaan menggunakan kad kredit didapati telah meningkat dengan
begitu ketara. Sekali gus membuktikan bahawa langkah kerajaan untuk menggalakkan
orang ramai berbelanja menggunakan kad kredit bagi merancakkan semula
pertumbuhan ekonomi negara telah berjaya. Namun begitu daripada segi yang lain,
ia telah mewujudkan bentuk budaya hidup yang kurang sihat di kalangan rakyat
iaitu sindrom suka berhutang. Walaupun kadar perbelanjaan menggunakan kad kredit
mempunyai had tertentu tetapi penggunaan kad kredit secara berleluasa sering
mendorong seseorang berbelanja secara berlebihan tidak setimpal dengan gaji dan
pendapatannya. Berbelanja menggunakan kad kredit sememangnya menyeronokkan
sehingga kadang kala membuat seseorang terlupa kemampuan kewangannya. Kalau sebelum ini, kad
kredit hanya digunakan oleh mereka yang kaya dan berada tetapi kini sesiapapun
boleh memilikinya hatta pekerja kilang sekalipun. Malahan ada sesetengah orang
mempunyai beberapa keping kad kredit pada satu-satu masa. Sebenarnya tidak
menjadi kesalahan kepada sesiapapun untuk memiliki ataupun berbelanja
menggunakan kad kredit. Sebaliknya dalam
keadaan ekonomi dunia yang semakin berkembang, kad kredit dijangka akan
menggantikan penggunaan wang tunai pada sedikit masa lagi. Kemudahan yang
terdapat pada kad kredit bukan sahaja memudahkan sesuatu urusan tetapi juga
mampu memberikan perlindungan keselamatan kepada si pemegangnya. Dengan adanya
kad kredit, seseorang tidak perlu membawa wang tunai yang banyak yang boleh
menyebabkannya terdedah kepada bahaya rompakan dan risiko yang lain. Tetapi penggunaan kad
kredit juga boleh menyebabkan seseorang berbelanja mengikut kehendak nafsunya.
Jadi, setiap pemegang kad kredit seharusnya pandai mengimbangi antara
perbelanjaan dengan pendapatannya supaya ia tidak menjadi suatu bebanan pada
masa yang akan datang. Mereka sepatutnya menggunakan kad kredit hanya pada waktu
kecemasan sahaja. Jika boleh, berbelanjalah mengikut cara yang konvensional
iaitu menggunakan wang tunai yang ada di dalam tangan supaya perbelanjaan itu
dapat dikawal dan diawasi selalu. Kad kredit bukan digunakan untuk
menunjuk-nunjuk apatah lagi bagi perbelanjaan yang tidak perlu. Asas penggunaan
dan kad kredit ini perlu difahami. Kegagalan untuk memahami akan menyebabkan
seseorang menyalahgunakan kad kredit sehingga menimbulkan kesengsaraan kepada
diri serta ahli keluarganya. Oleh itu,
langkah-langkah segera perlu diambil untuk memastikan supaya penyelewengan
terhadap kad kredit tidak berlaku dan dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Antaranya ialah memperketatkan pengeluaran dan pemilikan kad kredit dengan
memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dan mempunyai pendapatan
yang tinggi boleh memilikinya. Had minimum kelayakan
perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada mereka yang mempunyai pendapatan
RM3500 ke atas. Kelayakan yang ditetapkan sekarang ini terlalu rendah dan tidak
sejajar dengan peningkatan kos hidup rakyat negara ini. Membenarkan golongan
yang berpendapatan rendah dan sederhana memilik kad kredit hanya akan
mendedahkan mereka kepada beban hutang yang melampau. Kegagalan mereka membayar
balik hutang tertunggak akan mengakibatkan mereka diisytiharkan muflis dan ini
sudah tentu akan menjejaskan kedudukan dana institusi kewangan yang memberikan
“pinjaman” itu melalui kad kredit. Di samping itu usaha juga perlu diambil
untuk mengelakkan para pemegang kad kredit daripada berbelanja secara
keterlaluan. Kerajaan boleh
menggalakkan orang ramai berbelanja tetapi bukan dengan cara berhutang
menggunakan kad kredit. Hal ini dapat dilakukan dengan menaikkan caj bayaran
balik dan kadar faedah hutang tertunggak. Langkah ini mungkin akan mendapat
tentangan daripada para pemegang kad kredit dan juga pihak institusi kewangan. Bagi para pemilik kad
kredit, langkah itu akan disifatkan sebagai tidak adil. Pihak bank pula akan
melihat langakah ini akan menyebabkan keuntungan dan pulangan yang bekal
diperolehnya mungkin berkurang. Tetapi seyogia diingatkan bahawa langkah ini
akan memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak kerana ia mengurangkan
tanggungan pemilik kad kredit dan menurunkan risiko kerugian di pihak bank. Pihak bank mempunyai
tanggungan untuk mengawal-selia perbelanjaan para pemegang kad kredit yang
menjadi pelanggannya. Mereka tidak sepatutnya menyembunyikan realiti dan
keburukan mengenai kad kredit sekiranya si pemiliknya tidak berhati-hati
menggunakannya. Meskipun pihak kerajaan dan bank boleh membuat serta mengenakan
berbagai-bagai peraturan tetapi penggunalah yang akan menentukan nasib,
kedudukan, dan masa depan kewangan mereka. Mereka perlu bijak menggunakan kad
kredit. Jika tidak, mereka pula yang akan dikuasai oleh kad kredit dan sejumlah
hutang yang perlu dilangsaikan dalam kehidupan sepanjang hayat mereka. Dewan Masyarakat Dis 2001, ms 19-20
|
Homepej direkabentuk
oleh Perpustakaan Negeri Sabah |
- Best Viewed with IE in 800 X 600 resolution -