'Menabunglah untuk masa depan anda.' Semua orang tahu ini tetapi masalahnya ramai
menganggap remeh dan menangguhnya - aahh...esoklah, bulan depanlah, tahun depanlah,
tak apalah tunggu umur 30, 40, akhirnya 55 tahun.
Mengharapkan duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ata pencen sahaja
tidak cukup untuk menyara hidup yang semakin hari semakin tinggi perbelanjaannya.
Pelaburan bijak harus dibuat untuk memastikan wang penat lelah dilaburkan pada
tempat yang membolehkan wang itu berkesan memberi pulangan tinggi.
Antara cara digemari ialah melabur dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Bagi
mereka yang tidak berpeluang melabur dalam BSKL, saham amanah (Unit Trust) cara
paling sesuai untuk mendapatkan pulangan tinggi seperti bursa saham. Tetapi, kita
haruslah faham mengenai saham amanah dahulu sebelum membelinya.
Sebenarnya saham amanah wujud sejak kurun ke-18 di kota London tetapi hanya terkenal
di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia pada tahun 70-an. Di Malaysia,
saham amanah pertama diperkenal pada 1959, iaitu First Malaysian Fund, ia dilancarkan
Malaysian Unit Trust Ltd iaitu syarikat saham amanah yang pertama di Malaysia.
Selepas itu beberapa jenis saham amanah dilancarkan tetapi tidak mendapat sambutan
hinggalah pada 1981, Amanah Saham Nasional (ASN) diperkenalkan kerajaan untuk
menolong meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor pelaburan. Sejak itu,
saham amanah mula digemari kerana pulangannya memberangsangkan.Hingga 31 Disember, 1999, ada 95 dana diurus 32 buah syarikat membabitkan 47.3
billion unit bernilai lebih kurang RM33.7 billion.
Saham amanah dikhususkan untuk mereka yang bermodal terhad dan tidak ingin ketinggalan
mendapat pulangan lumayan tetapi tidak mampu mengambil risiko tinggi dengan melabur
terus dalam saham terbuka. Wang golongan ini dikumpul menjadi satu dana amat besar
bernilai berbillion-billion ringgit. Kemudian dilaburkan dalam pelbagai sektor
pelaburan seperti pasaran saham, sekuriti kerajaan, bon, simpanan tetap, hartanah
dan pelaburan lain yang dibenarkan Suruhanjaya Sekuriti.
Saham amanah bukan untuk pelaburan jangka pendek seperti pasaran saham yang keuntungan
diperolehi dalam masa sehari dua, seminggu ataupun sebulan. Ini kerana harganya
ada pertalian dengan indeks komposit yang kerap turun dan naik. Saham amanah dicadangkan
untuk jangka masa sederhana tiga hingga lima tahun atau jangka panjang lima hingga
20 tahun. Pada jangka panjang, dengan terkumpulnya bonus dan dividen setiap tahun,
saham amanah terbukti memberi pulangan lebih baik daripada pasaran terbuka.
Lazimnya, wang ini hasil tabungan yang tidak akan dicuit kerana ia bermatlamat
tertentu seperti simpanan hari tua atau untuk membeli rumah impian, melancong
di luar negara atau kegunaan perbelanjaan anak melanjutkan pelajaran. Apabila
melabur dalam saham amanah, pejam mata dan biarkan wang itu berganda setiap tahun
daripada bonus dan dividen.
Antara Kebaikan Saham Amanah
Modal Minimum - Dengan serendah RM500 anda
boleh menikmati pelbagai jenis pelaburan dan tambahan pelaburan pada bila-bila
masa dengan serendah RM50.
Pengurus Dana Berpengalaman - Wang anda diurus oleh pasukan pengurus dana yang
arif, berpengalaman dan dibekali kepakaran menjalankan penyelidikan meluas dalam
mencari peluang pelaburan. Lazimnya, kita tiada kepakaran dan masa untuk mengawasi
dan mengurus secara giat pelaburan yang pelbagai. Serahkan segala kebimbangan
itu kepada pengurus yang pakar agar anda boleh tidur malam dengan lena.
Kepelbagaian - "Jangan letakkan semua
telur di dalam satu raga." Dalam pasaran saham amanah, andai anda mempunyai
satu jenis dana, anda sebenarnya menikmati faedah lebih kurang 30 - 100 jenis
saham bernilai tinggi seperti Tenaga Nasional, Telekom, MAS, Sime Darby dan
banyak lagi. Dengan satu syarikat pengurusan sahaja anda boleh mempelbagaikan
jenis dana anda. Jika anda mempunyai tiga jenis dana, bermakna ada lebih 300
jenis saham! Jika 100 saham tidak menguntungkan, anda ada lagi 200 saham yang
menguntungkan. Bukankah ini mengurangkan risiko dibandingkan orang perseorangan
yang tidak berpeluang berbuat begitu?
Kecairan - Jika anda ingin menjual rumah
kerana memerlukan wang segera, anda terpaksa menunggu begitu lama untuk mencari
pembeli dan proses jualannya. Anda tidak boleh menjual sebahagian rumah seperti
bilik tidur atau ruang tamu sahaja. Kalau memegang saham, anda juga terpaksa
mencari broker dan menunggu pembeli membeli saham anda. Saham amanah mempunyai
syarikat pengurusan yang sentiasa bersedia membeli semua atau sebahagian sahaja
saham ingin dijual.
Mengatasi Kadar Inflasi - Anda harus sedar,
RM10,000 sekarang berbeza dengan 10 tahun dahulu. Setiap tahun harga naik dan
wang anda susut nilainya. Ahli ekonomi berkata kadar inflasi di antara 4 - 7
peratus pada dekad ini dan mungkin dekad mendatang. Yuran pengajian tinggi di
luar negara pula meningkat dengan kadar lapan peratus setahun. Jika kadar inflasi
enam peratus maka anda terpaksa menyimpan wang di tempat yang boleh memberikan
pulangan lebih daripada enam peratus setahun. Itu pun tidaklah berapa elok.
Sebaiknya anda mempunyai lebihan mengatasi kadar inflasi. Saham amanah di Malaysia
menunjukkan purata pulangan 12 - 15 peratus dengan pemberian dividen atau bonus.
Jika dana anda itu jenis agresif, anda boleh mendapat keuntungan lebih daripada
15 peratus dengan kenaikan harga saham.
Tiada pelaburan yang tidak berisiko. Jika takut risiko dan menyimpan wang anda
di rumah selama setahun, maka susutlah nilai wang anda dimakan inflasi. Jika
anda mahukan risiko rendah, maka pulangannya juga rendah. Jika pulangannya teramat
tinggi, maka lebih tinggilah lagi risikonya. Seelok-eloknya, biarlah yang sederhana
risikonya tapi memadai pulangannya seperti saham amanah. Amalkan tabiat menabung
dan melabur sejak muda kerana risikonya dapat dikurangkan pada jangka panjang.
Perancangan yang teliti menjamin kehidupan dan hari persaraan anda. Pada keluaran
lain, kita akan bincang bagaimana kerajaan memandang serius kepentingan pelaburan
dan membenarkan wang KWSP dikeluarkan daripada Akaun Satu untuk dilaburkan dalam
saham amanah.Sebelum membuat keputusan melabur dalam sesuatu saham amanah, anda dinasihatkan
membaca kandungan prospektus, meneliti dan memahami sesuatu dana itu dan prestasi
syarikat pengurusan.