S.1 Apakah tujuan Akta
Keganasan Rumah Tangga 1994?
J. Tujuan Akta Keganasan Rumah
Tangga 1994 (Akta) ialah untuk memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa keganasan rumah
tangga. Mangsa dalam Akta ini termasuklah isteri.
S.2. Apakah yang dimaksudkan
dengan "keganasan rumah tangga"?
J. "Keganasan rumah
tangga" berlaku apabila seseorang :
-
menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa;
-
secara bersengaja atau dengan sedar meletak atau
cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
-
memaksa atau mengancam mangsa untuk melakukan
apa-apa perbuatan seksual yang mana mangsa berhak untuk tidak melakukannya;
-
mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya;
atau
-
melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan
kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan
menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa.
S.3 Siapakah mangsa yang
dilindungi oleh Akta ini?
J. Mangsa yang dilindungi oleh
Akta ini ialah:
-
Isteri Atau Suaminya, Isteri Atau Suami de facto
(iaitu seseorang yang telah melalui suatu bentuk istiadat yang diiktiraf sebagai istiadat
perkahwinan mengikut agama atau pihak-pihak yang berkenaan walaupun perkahwinan itu tidak
didaftarkan atau tidak dapat didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis
berhubungan dengan upacara dan pendaftaran perkahwinan) atau bekas isteri atau bekas
suami.
-
Kanak-kanak (berumur di bawah 18 tahun yang
ditinggal sebagai anggota keluarga).
-
Orang Dewasa Yang Tak Berkeupayaan (yang tinggal
sebagai seorang anggota keluarga);
-
Mana-Mana Anggota Lain Keluarga, seperti:
(i) anak lelaki atau anak perempuan dewasa;
(ii) ibu atau bapa;
(iii) abang, kakak atau adik; atau
(iv) mana-mana saudara lain yang "pada pandangan mahkamah"
hendaklah dimasukkan bagi tujuan perlindungan di bawah Akta ini.
S.4 Apakah yang patut dibuat
oleh seseorang mangsa?
J. Di bawah Akta, seseorang
mangsa boleh mengambil tindakan yang berikut:
-
Mendapatkan pertolongan atau panduan daripada
seorang pegawai kebajikan;
-
Mendapatkan perlindungan, pertolongan dan panduan
daripada pihak polis;
-
Berjumpa atau menghubungi peguam atau Pegawai Biro
Bantuan Guaman;
-
Membuat laporan polis;
-
Memfailkan aduan di mahkamah;
-
Mendapatkan perintah tertentu daripada mahkamah,
termasuk perintah perlindungan, pampasan, pemulihan psikoterapi, kaunseling, perdamaian
dan sebagainya.
Perintah-perintah ini akan dijelaskan kemudian.
S.5 Bagaimanakah seseorang
pegawai kebajikan boleh memberi pertolongan kepada mangsa?
J. Apabila mangsa menghubungi
seseorang pagawai kebajikan, pegawai itu akan menerangkan kepada mangsa hak-haknya di
bawah undang-undang. Apabila bersesuaian, pegawai kebajikan tersebut hendaklah memberi
pertolongan kepada mangsa melakukan perkara-perkara berikut:
-
untuk membuat laporan polis;
-
untuk memfailkan aduan di mahkamah;
-
mengatur rawatan perubatan kepada mangsa;
-
mengatur tempat perlindungan dan pengangkutan untuk
pergi ke tempat perlindungan kepada mangsa;
-
untuk menemani mangsa ke tempat kediaman/tinggalnya
bagi tujuan mengambil atau memindahkan barang-barang kepunyaannya. (Ini boleh dilakukan
apablia Perintah Sampingan telah diberikan oleh mahkamah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta);
-
bertindak sebagai penghubung di antara pihak-pihak
(misalnya apabila satu Perintah Sampingan telah diberikan oleh mahkamah di bawah seksyen
6(i)(b) Akta).
S.6 Bagaimanakah seseorang
pegawai polis boleh memberi pertolongan?
J. Di bawah seksyen 19 Akta,
seseorang pegawai polis mempunyai kuasa untuk membantu mangsa sebagaimana kuasa yang
diberikan kepada seseorang pegawai kebajikan seperti yang dinyatakan di atas. Sebagai
tambahan, seseorang pegawai polis mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk :
-
mengambil tindakan, sekiranya sesuai, untuk mencegah
keganasan rumah tangga yang sedang dilakukan;
-
menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang
telah dibuat oleh mangsa dan membuat cadangan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk
mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap pesalah sekiranya terdapat keterangan yang
mencukupi untuk berbuat demikian;
-
melaksanakan atau menguatkuasakan perintah yang
telah dikeluarkan oleh mahkamah, misalnya, dengan menangkap pesalah yang telah melanggar
perintah tersebut atau mengeluarkan pesalah dari tempat di mana dia telah dihalang oleh
perintah untuk memasuki atau tinggal di situ.
S7. Bagaimanakah mahkamah
boleh memberi pertolongan?
J. Mahkamah mempunyai pelbagai
peranan di bawah Akta. Di antara lain, mahkamah akan -
-
menerima dan merekodkan aduan yang difailkan oleh
mangsa dan mendengar serta membuat keputusan tentang aduan tersebut dengan seberapa segera
(seksyen 14 Akta);
-
mengeluarkan perintah yang bersesuaian seperti
perintah perlindungan, pampasan kewangan untuk mangsa, memerintah supaya pemulihan
psikoterapi atau kaunseling diberi kepada mangsa/pesalah dan sebagainya.
-
menyelenggara rekod berhubung dengan butir-butir
terperinci tentang aduan yang difailkan seperti butir-butir pihak yang terlibat,
kecederaan, perintah yang dikeluarkan dan sebagainya. Butir-butir ini adalah amat berguna
bagi membantu pihak mahkamah meniali keberkesanan amalan pada masa lalu, kajian sosial
tentang keganasan rumah tangga, menjadi panduan kepada pembuat dasar dan sebagainya.
S8. Bagaimanakah
pegawai-pegawai Biro Bantuan Guaman memberi pertolongan?
J. Pegawai-pegawai Biro Bantuan
Guaman adalah terlatih dalam bidang undang-undang. Selain daripada memberi nasihat untuk
membantu mangsa membuat laporan polis atau memfailkan aduan di mahkamah, mereka juga boleh
memberi nasihat tentang permohonan untuk mendapat perintah di mahkamah., tindakan
mengemukakan saman persendirian bagi pertuduhan jenayah (dalam keadaan tertentu) dan
sebagainya. Seseorang mangsa yang diberi nasihat sewajarnya oleh seseorang yang terlatih
dalam undang-undang boleh menegakkan hak-haknya dengan lebih berkesan.
S9. Bagaimanakah orang ramai
boleh menolong mangsa keganasan rumah tangga?
J. Kawan, saudara mara, jiran dan
orang ramai boleh memainkan peranan dalam mencegah perbuatan yang melibatkan keganasan
rumah tangga. Penglibatan langsung yang boleh diambil ialah dengan menyediakan
"tempat selamat" kepada mangsa dan membuat laporan tentang kejadian keganasan
rumah tangga kepada pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis. Akta melindungi
"pemberi maklumat" walaupun maklumat yang diberikan itu didapati tidak betul
atau kurang tepat kemudiannya (seksyen 18(2) Akta). Penglibatan secara tidak langsung
ialah dengan melibatkan diri dalam usaha-usaha untuk mengwujudkan keharmonian di dalam
rumah tangga dan memberi kefahaman tentang tanggungjawab suami-isteri yang sepatutnya.
S10. Apakah yang dimaksudkan
dengan Perintah Perlindungan?
J. Perintah Perlindungan ialah
satu perintah dalam bentuk injunksi bagi mencapai salah satu atau semua tujuan yang
berikut -
-
untuk menghalang berlakunya perbuatan keganasan
rumah tangga terhadap mangsa;
-
untuk menghalang pesalah daripada menghasut orang
lain daripada melakukan perbuatan keganasan rumah tangga terhadap mangsa;
-
untuk memberi perlindungan kepada mangsa dalam
bentuk Perintah Sampingan (Ancilliary Order), kuasa menangkap dan sebagainya. (Seksyen 5).
Aduan atau permohonan untuk mendapat satu Perintah
Perlindungan tidak semestinya dibuat oleh mangsa sendiri.
S11. Apakah yang dimaksudkan
dengan Perintah Sampingan (Ancilliary Orders)?
J. Satu Perintah Perlindungan
termasuklah Perintah Sampingan tertentu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6
Akta. Perintah-perintah itu termasuklah -
-
memberi orang yang dilindungi hak eksklusif untuk
mendiami tempat kediaman secara keseluruhan;
-
memberi mangsa yang dilindungi hak eksklusif untuk
mendiami tempat kediaman secara bahagian tertentu;
-
menghendaki pesalah membenarkan orang yang
dilindungi memasuki kediaman untuk mengambil barang-barang kepunyaannya. Walau
bagaimanapun, orang yang dilindungi hendaklah ditemani oleh seorang pegawai kebajikan atau
pegawai polis semasa berbuat demikian.
-
melarang pesalah daripada memasuki tempat kediaman
atau kediaman alternatif orang yang dilindungi atau tempat kerja atau sekolah.
-
melarang pesalah membuat perhubungan bertulis atau
telefon dengan orang yang dilindungi melainkan dengan kehadiran seorang pegawai
penguatkuasa atau orang lain yang dinyatakan dalam perintah.
-
menghendaki pesalah membenarkan orang yang
dilindungi untuk terus menggunakan kenderaan pesalah yang sebelum itu biasanya digunakan
oleh orang yang dilindungi.
S12. Apakah maklumat lanjut
yang perlu diketahui tentang Perintah Sampingan ini?
J. Sesuatu Perintah Sampingan
adalah -
-
berkuatkuasa selama tempoh tidak melebihi 12 bulan
daripada tarikh mula berkuatkuasanya perintah sedemikian sebagaimana yang dinyatakan dalam
perintah perlindungan.
-
tidak menjejaskan hak-hak dan kepentingan
pihak-pihak yang terlibat berhubung dengan harta yang tertakluk kepada perintah seperti
tempat kediaman dan kenderaan.
-
dikeluarkan oleh mahkamah selepas mahkamah meneliti
perkara-perkara yang berikut:
i. kelakuan pihak-pihak;
ii. kemungkinan kecederaan kepada orang yang dilindungi;
iii. kesannya kepada anak;
iv. kesihatan pihak-pihak;
v. alternatif-alternatif yang boleh dipertimbangkan bagi melindungi
mangsa.
Pertimbangan yang dibuat oleh mahkamah ialah
"atas imbangan kebarangkalian".
S13. Apakah yang dimaksudkan
dengan Perintah Perlindungan Sementara?
J. Mengikut seksyen 4 dan 12
Akta. Perintah Perlindungan Sementara boleh dikeluarkan sementara menunggu penyiasatan
berhubung dengan suatu perbuatan keganasan rumah tangga oleh pihak polis selesai.
S14. Apakah hukuman jika
pesalah melanggar perintah Mahkamah di atas?
J. Pesalah yang melanggar
perintah perlindungan atau mana-mana peruntukannya boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau
penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pesalah yang melanggar perintah perlindungan dengan
menggunakan kekerasan atau keganasan boleh didenda tidak lebih daripada RM4,000 atau
penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes perlanggaran kali kedua atau kemudiannya,
dia boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 72 jam dan tidak lebih daripada dua tahun
dan boleh juga didenda tidak melebihi RM5,000.
S15. Bolehkah mangsa keganasan
rumah tangga menuntut pampasan?
J. Mangsa keganasan rumah tangga
boleh menuntut pampasan daripada pesalah melalui mahkamah, jika mangsa mengalami :
-
kecederaan diri;
-
kerosakan kepada harta;
-
kerugian kewangan, dan
Mahkamah akan membenarkan tuntutan itu sebagaimana
yang difikirkannya adil dan munasabah.
Tuntutan pampasan ini boleh dibuat sebagai satu
tindakan sivil yang berasingan sungguhpun tindakan jenayah telah diambil terhadap pesalah.
S16. Apakah faktor-faktor yang
diambilkira oleh Mahkamah dalam memberi pampasan?
J. Mahkamah yang mendengar
tuntutan bagi pampasan boleh mengambilkira faktor-faktor berikut :
-
kesakitan dan penderitaan mangsa itu; jenis dan
takat kecederaan fizikal atau mental (berkaitan dengan kesesuaiannya);
-
kos rawatan perubatan bagi kecederaan itu;
-
apa-apa kehilangan pendapatan yang berbangkit
daripadanya;
-
jumlah atau nilai harta yang diambil atau
dimusnahkan atau dirosakkan;
-
perbelanjaan perlu dan munsabah yang ditanggung oleh
mangsa, apabila mangsa terpaksa berpisah atau dipisahkan daripada defendan oleh kerana
keganasan rumah tangga seperti:
i. perbelanjaan penginapan yang disumbangkan kepada tempat selamat
atau
tempat berlindung;
ii. perbelanjaan pengangkutan dan pemindahan;
iii. perbelanjaan yang dikehendaki dalam menubuhkan suatu
rumah tangga
berasingan iaitu:
a. amaun pinjaman perumahan, atau
b. bayaran sewa semua atau sebahagian kediaman bersama
atau kediaman
alternatif, mengikut pertimbangan keadilan
dan munasabah Mahkamah.
S17. Apakah faktor-faktor yang
diambilkira dalam menimbangkan "perbelanjaan yang perlu dan munasabah"?
J. Dalam menimbangkan
perbelanjaan perlu dan munasabah, Mahkamah boleh juga mengambilkira:
-
kedudukan kewangan mangsa dan defendan;
-
perhubungan antara mangsa dan defendan dan
persoalan-persoalan kemunasabahannya yang menghendaki defendan membuat pembayaran;
-
kemungkinan prosiding lain diambil di antara
pihak-pihak itu dan samada ia lebih sesuai dilaksanakan di bawah undang-undang yang lebih
relevan bagi orang-orang berkenaan.
S18. Apakah perintah lain yang
boleh dikeluarkan oleh mahkamah sebagai ganti atau sebagai tambahan kepada Perintah
Perlindungan?
J. Mahkamah dalam memberi
perintah perlindungan, boleh sebagai ganti atau tambahan, mengeluarkan satu atau kedua-dua
perintah berikut:
-
memerintahkan supaya pihak-pihak berkenaan
dirujukkan kepada badan pendamai;
-
memerintahkan supaya satu atau lebih daripada satu
pihak kepada pertikaian dirujuk kepada terapi pemulihan, psikoterapi atau kaunseling
pendamaian lain yang sesuai.
Dalam masa membuat perintah sebagai ganti atau
tambahan kepada Perintah Perlindungan, Mahkamah boleh, jika praktik, meminta nasihat
seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana orang yang terlatih atau
berpengalaman.
S19. Apakah badan pendamai
yang terlibat?
J. Badan pendamai ialah
badan-badan yang mengadakan perkhidmatan kaunseling yang ditubuhkan di bawah Jabatan
Kebajikan Masyarakat dan bagi orang-orang Islam ia juga meliputi badan pendamai yang
ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.
S20. Bilakah perintah
perlindungan boleh diminta?
J. Perintah perlindungan boleh
diminta dalam sesuatu prosiding jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau mana-mana
undang-undang bertulis lain apabila tertuduh dipertuduh dengan suatu kesalahan yang
termasuk dalam takrif keganasan rumah tangga-
-
sebagai suatu syarat untuk membebaskan tertuduh
dengan jaminan atau pada mana-mana peringkat lain prosiding iaitu; atau
-
semasa mengkompaunkan kesalahan itu bawah s. 260
Kanun Prosedur Jenayah.
S21. Di manakah aduan boleh
dibuat?
J. Aduan boleh dibuat kepada
mana-mana pegawai penguatkuasa (pegawai kebajikan dan pihak polis), di mana -
-
pengadu itu tinggal;
-
pesalah itu tinggal;
-
keganasan yang dikatakan itu berlaku; atau
-
mangsa itu ditempatkan buat sementara.
Bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak
berupaya untuk membuat aduan, ia boleh dibuat oleh penjaga atau saudara atau orang yang
bertanggungjawab menjaga atau oleh seorang pegawai penguatkuasa. Pegawai penguatkuasa itu
akan memfailkan aduan itu di Mahkamah dan Mahkamah dikehendaki mendengar kes itu seberapa
segera yang boleh.
S22. Apakah dokumen-dokumen
yang perlu dibawa apabila berjumpa dengan pegawai-pegawai Biro Bantuan Guaman?
J. Dokumen-dokumen yang perlu
dibawa ialah :
-
Kad pengenalan;
-
Surat nikah;
-
Sijil kelahiran anak-anak jika berkaitan;
-
Laporan polis;
-
Laporan perubatan dan
-
Laporan kaunseling, jika berkaitan.
Diterbitkan oleh: Biro Bantuan Guaman Bahagian Hal
Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri