DUNIA kini semakin rumit dan berserabut.
Jika ada dua perkataan yang dapat menggambarkan situasi yang kini sedang berkembang dalam
dunia dewasa ini adalah "kekeliruann dan "kepalsuan".
Apakah yang lebih mengelirukan bagi
generasi pewaris jika mereka dalam suatu keadaan sedang menyaksikan kehidupan manusia yang
berada di dalam kekaburan dan kesamaran untuk menentukan destinasi hidup
yang sebenar? Di suatu waktu golongan muda kita diperdengarkan mengenai slogan keadilan
dan kebenaran tetapi di waktu yang lain mereka menyaksikan perbuatan yang zalim dan
pemalsuan di atas nama keadilan dan kebenaran itu sendiri.
Sesungguhnya kekeliruan dalam pemikiran dan
tanggapan terhadap erti kesejahteraan dan kemakmuran hidup telah membawa kepada krisis
yang semakin kusut dan tragedi yang amat besar kepada kemanusiaan di waktu ini. Komplot
dikelirukan di atas nama kebersamaan, monopoli kekayaan di atas nama pertumbuhan ekonomi,
dominasi budaya di atas nama liberalisasi, penindasan golongan lemah di atas nama
demokrasi, hedonisme di atas nama kebebasan individu peminggiran di atas nama urbanisasi
dan penjajahan di atas nama pasaran bebas.
Semua ini sedang dihidangkan kepada
generasi pewaris. Dalam jangka masa panjang yang palsu jika diulangi dan diperkukuhkan
dengan kenyataan yang tidak disanggah, akhirnya akan menjadi persepsi yang dianggap benar
dan terus dilanjutkan serta kadangkala dipertahankan tanpa soal.
Kita kerap memperkatakan sesuatu yang
sering tidak kita fahami tetapi akibat dari sogokan yang bertubi-tubi melalui pelbagai
media ia sudahnya diterima. Di zaman ini tidak ada ungkapan dan laungan yang paling
tertonjol dan didengari dan dianggap sebagai benar oleh hampir semua pemegang kuasa dan
khalayak awam melainkan Globalisasi.
Ramai yang sudah hampir yakin dengan penuh
taqlid bahawa fenomena globalisasi adalah suatu realiti yang perlu diakui. Sejauh mana dan
ke mana arah sebenarnya globalisasi akan membawa kita hampir tidak dapat diteliti dengan
waras dan saksama oleh pelbagai pemikir dan perancang.
Kita sekarang sebenarnya sedang berada di
suatu zaman di mana proses penyeragaman yang amat ketara sedang berlangsung. Akibat dari
apa yang dikatakan globalisasi, kita sudah hampir pasti mengatakan kepelbagaian adalah
satu ketidaksempurnaan. Oleh yang demikian kita semakin akur mengatakan bahawa globalisasi
adalah suatu konsep yang benar dan tepat walaupun natijahnya jelas membawa banyak kesan
negatif daripada positif. Kita akan perhatikan bahawa hampir semua aspek kehidupan kita
sedang menjalani proses globalisasi yang sebenarnya adalah untuk mengheret kita ke dalam
suatu sistem hidup yang diseragamkan di seluruh dunia.
Tidak ada aspek kehidupan yang tidak
disentuh oleh proses globalisasi. Tidak ada sektor pembangunan dan kemajuan sesebuah
negara yang sepi dari sentuhan glabalisasi. Namun begitu kita tidak pula nampaknya
mengambil sikap yang kritikal terhadap proses ini.
Dalam keghairahan untuk diglobalkan, kita
semakin terputus dari budaya dan akar sejarah kita sendiri. Suatu tanggapan yang tidak
disedari sedang menjadi asas pemikiran kita masa kini ialah semua sejarah bangsa mahupun
negara tidak lagi bermakna melainkan proses globalisasi adalah satu-satunya fenomena yang
harus membentuk seluruh tamadun hidup semasa.
Murni
Itulah hakikat globalisasi sebenarnya di
mana ia adalah suatu proses penyeragaman dan penyamarataan "semua untuk satu dan satu
untuk semua". Globalisasi dilihat sebagai suatu faham bahawa di dalam kehidupan ini
tidak wajar lagi diiktiraf tanggapan nilai murni dan mulia secara objektif. Akibat dari
"nilai-nilai global" yang dibentuk serta didalangi dan didukungi oleh faham dan
pandangan hidup barat, maka kehidupan yang dilandaskan oleh nilai-nilai mutlak berdasarkan
pegangan agama tidak lagi dapat diterima.
Apa yang disogokkan melalui globalisasi
ialah segalagalanya perlu disamaratakan. Dengan lain perkataan ia bermakna seluruh
pandangan hidup dan nilai hidup hendaklah diseragamkan tidak kira dari mana asas nilainya
yang dibentuk. Ini diterjemahkan dalam pelbagai dimensi hidup dari sekecil-kecil perilaku
seperti berpakaian sehinggalah ke sebesar-besar agenda di peringkat perhubungan
antarabangsa.
Lantaran globalisasi mempunyai Jentera
penjananya sendiri iaitu badan-badan konglomerat dunia yang sekali lagi berpaksi dan
berpusat di barat maka kepentingan globalisasi pada hakikatnya tidak lain daripada
kepentingan barat jua. Globalisasi pada hakikatnya tidak lebih daripada maksud dominasi.
Laungan keadilan dan kesaksamaan universal yang cuba dikaitkan dengan proses globalisasi
hanya merupakan suatu pemalsuan dan penyembunyian hakikat sebenar.
Kita sering tenggelam dan lemas dalam
kejahilan yang amat ketara. Hampir jelas globalisasi sebagai suatu istilah baru kepada
gerakan yang lama tidak lagi dapat difahami apatah lagi dianalisa dengan kritikal.
Semakin ramai penganalisis dunia kini telah
memperakui globalisasi sebagai satu kenyataan yang diterima dan perlu dijadikan premis
yang benar dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Keghairahan pemikir-pemikir dan ahli-ahli
akademik untuk menerima globalisasi kini diperkukuhkan oleh badan-badan antarabangsa di
atas pelbagai nama yang amat mengkagumkan. Tanpa segan silu lagi mereka mengatakan bahawa
fenomena wujudnya "rakyat global" adalah suatu bentuk idealisme yang perlu
diterima oleh semua negara.
Demikianlah mendalamnya pemikiran
globalisasi yang dijiwai oleh perancang-perancang pembangunan di seluruh dunia sehingga
tidak wujud lagi rasa curiga terhadap kesan prosesnya yang dijana dan dicanangkan oleh
kuasa-kuasa barat.
Tidaklah menghairankan kalau
penganut-penganut globalisme ini akhirnya akan mengatakan, kedaulatan sesebuah negara
bangsa tidak perlu diwujudkan lagi kerana mereka terus beranggapan bahawa apa yang
dipanggil "dunia tanpa sempadan" adalah kemuncak kemajuan. Dengan demikian
mereka berasa puas untuk menjadi alat dan hamba kepada pelbagai institusi global yang
mengeksploitasi seluruh kepakaran dan keahlian mereka bagi membuka dan merungkai segala
halangan yang menyebabkan sesebuah negara tidak memperakui globalisasi sebagai satu
kemestian.
Kita menjadi semakin terhimpit apabila
negara dankebanyakan pemimpin sudah membuat komitmen untuk menyertai proses globalisasi
ini. Apakah makna, ke arah manakah tujuan dan apakah implikasinya, tidak menjadi persoalan
penting. Apa yang diutamakan adalah semua pihak perlu menyertai dan menyesuaikan diri
untuk menjadi lebih global.
Jika benarlah global itu bermakna lebih
menyeluruh dan mengambilkira semua aspek dan kepentingan setiap warga dunia, kenapakah
realiti globalisasi yang sedang berjalan kini tidak menunjukkan tanda tersebut melainkan
semakin ketara fenomena dunia yang bersifat unipolar sedang dikuasai oleh hanya satu blok
kuasa iaitu blok barat sahaja. Yang semakin jelas ialah bukan konsep menyeluruh itu yang
sebenarnya ditekankan tetapi sebaliknya konsep "semua untuk satu" jualah yang
kini menjadi agenda barat.
Apabila kita ingin menyinggung persoalan
cabaran dan kesan globalisasi ke atas golongan remaja, sebenarnya kita sudah agak lewat
untuk membuat suatu penilaian kritikal bagi mempersiapkan golongan tersebut menghadapi
fenomena ini. Malah kesan globalisasi sudah terlalu awal lagi berada dalam kawalan kuasa
besar dalam pelbagai bentuk seperti badan ekonomi, badan korporat dan konglomerat
teknologi.
Cabaran
Satu-satunya cabaran globalisasi yang perlu
diperbahaskan di agenda paling atas adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Cabaran
ini adalah suatu persoalan yang sangat kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosio
budaya sesuatu kelompok masyarakat belia dapat disempurnakan maka segala usaha untuk
menerobos bidang bidang yang lain akan menjadi lebih mudah.
Golongan muda sebahagian besarnya sudah
terheret di dalam proses globalisasi sosio budaya. Melalui pelbagai saluran, golongan
belia akan menjadi dan terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh
syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Sesungguhnya tidaklah mengejutkan
apabila sistem sosio budaya masyarakat muda kini sudah dirungkai sehingga segala nilai
tradisi kita kini sedang melalui proses penghakisan yang amat ketara.
Adalah terlalu ketara untuk menafikan
mengenai wujudnya keadaan di mana anak-anak muda semakin menunjukkan tanda tercabut dari
akar budaya, bangsa dan agamanya sendiri. Dalam keghairahan untuk mengejari gaya hidup
global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat, anak-anak muda kita secara
umumnya kini sudah tidak merasa bersalah untuk meniru secara bulat budaya hidup barat.
Kita dapat saksikan globalisasi budaya ini dalam pelbagai bentuk kehidupan golongan belia.
Pengamatan yang jelas dapat membuktikan
fenomena di atas boleh disaksikan dengan insiden-insiden dan trend berikut:
- Pakaian jenama barat.
- Makanan segera keluaran barat.
- Minuman global yang ditaja oleh barat.
- Hiburan yang menonjolkan budaya barat.
- Media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda.
- Rekreasi yang meniru ala barat.
- Dunia lakonan dan pembikinan filem cara barat
- Majlis-majlis sosial yang menonjolkan acara-acara ala barat.
- Produk rokok yang menajakan budaya hidup barat.
Demikianlah antara fenomena globalisasi
yang kini sedang mencabar seluruh jati diri golongan muda. Dari globalisasi kepada
dominasi, golongan muda semakin terdedah kepada kehidupan dan nilai keperibadian yang
terputus dan terpisah jauh dari budaya hidup timur.
Kita tidak mempunyai pilihan melainkan
untuk meneliti secara kritikal dari implikasi globalisasi yang semakin rancak dan tidak
terkawal. Golongan muda seharusnya berani untuk menyanggah arus globalisasi bagi
memastikan jati diri kita yang sebenar tidak akan digadai. Hanya golongan muda yang
mempunyai keberanian dan keyakinan diri bahawa sementara kita ingin berinteraksi dengan
dunia luar kita tetap akan terus yakin dan tegas dalam mempertahankan kejatian diri kita.
Tanpa kesedaran ini globalisasi akan menenggelam dan melemaskan golongan muda dengan nilai
dan pegangan hidup yang sangat mengelirukan dan palsu.
UTUSAN PENGGUNA, NOVEMBER 1997, M/S 23