MELAYU  |  ENGLISH

search_engine.gif (1470 bytes)
Enjin Pencarian

Nasihat menu
nasihat_icon.jpg (2094 bytes) |   Pengenalan   |  Artikel-Artikel FAQ  |  Talian Telefon Penting  |  Maklumat Awam   |  Borang Nasihat   | 
Artikel-artikel Nasihat

ARTIKEL-ARTIKEL


Pengenalan

Persendirian

Keibubapaan

Kesihatan

Kewangan

Pertanian

Perundangan

Remaja

Teknologi

Wanita

Tip Keselamatan

 

 
 
 
 
 
REMAJA DAN HEROTAN MINDA
 

Firdaus, seorang pelajar Tingkatan Lima telah kehilangan telefon bimbit, pemberian ayahnya apabila dia meraih keputusan cemerlang sewaktu berada dalam Tingkatan 4. Kehilangan telefon bimbit itu menyebabkan Firdaus keluh-kesah, resah gelisah dan tidak keruan buat beberapa hari. Dia benar-benar dihantui ketakutan dimarahi oleh ayahnya kelak.

Peristiwa di atas hanyalah cebisan kecil seseorang itu boleh dilanda perasaan negatif lantaran herotan minda. Herotan minda atau cognitive distortion ialah situasi pengherotan minda hingga memikirkan secara negatif akan sesuatu peristiwa, yang natijahnya melahirkan perasaan-perasaan negatif pula.

Dr. David D. Burns dalam bukunya Feeling Good - The New Mood Therapy, telah menjelaskan definisi herotan minda ini secara mendalam. Menurutnya, mood atau perasaan kita lahir daripada pemikiran kita dan bukannya oleh sesuatu peristiwa yang kita alami.
Bagi membolekan remaja memahami hal ini secara mendalam, penulis ingin berkongsi satu peristiwa yang ditafsir secara berlainan oleh tiga orang insan kerana pemikiran mereka yang berbeza. Abu, Chong, dan Arumugam bersama-sama menunggu teksi untuk pergi ke bandar. Ketika itu suasana di perhentian teksi agak tenang, kira-kira pukul 8.00 pagi.

Abu agak resah kerana dia perlu bergegas ke pejabat. Dia perlu tiba di pejabat selewat-lewatnya pukul 8.30 pagi kerana dia telah diberi amaran terakhir oleh majikannya lantaran selalu sangat lewat. Kalau dia terlewat lagi, dia akan dibuang kerja.
Ah Chong pula baru lepas bergaduh dengan seorang pemandu teksi yang cuba meraba tunangnya. Hari ini dia hendak ke bandar bagi menemui tunangnya pada pukul 9.00 pagi.

Arumugam pula hanya hendak menonton wayang dan melepak di kompleks membeli belah.

Sebuah teksi kosong telah melintasi ketiga-tiga remaja itu dan langsung tidak berhenti meskipun cuba mereka menahannya. Bagaimanakah agaknya pemikiran dan perasaan ketiga-tiga remaja itu?

Mungkin kita boleh membayangkan suasana begini akan terjelma:
Abu:
Pemikiran: Memikirkan dia kan dibuang kerja kerana akan terlambat lagi.
Perasaan : Resah gelisah dan ketakutan.

Ah Chong
Pemikiran : Memikirkan mungkinkah pemandu teksi itu yang telah ditumbuknya semalam?
Perasaan : Benci, meluat dan geram.

Arumugam
Pemikiran : Tidak kisah sangat kerana selepas ini, banyak teksi lagi akan lalu.
Perasaan : Releks dan tenteram.

Berbezanya perasaan ketiga-tiga remaja di atas disebabkan oleh berbezanya cara mereka mentafsirkan peristiwa yang dialami. Pentafsiran yang herot ata negatif akan melahirkan perasaan negatif. Hal ini lah yang dikatakan sebagai herotan minda oleh David D. Burns.

Terdapat sepuluh herotan pemikiran sebagaimana dikatakan oleh David D. Burns yang menjadi punca timbulnya perasaan negatif.
Tiga bentuk herotan minda tersebut ialah:

Minda Semua atau Tiada Langsung (All or Nothing)
Orang yang berfikiran begini hanya mengingini kesempurnaan total dalam kehidupannya. Misalnya, seorang pelajar yang telah belajar bersungguh-sungguh hanya mempunyai satu impian; mendapat semua A dalam mata pelajaran. Dia mengimpikan 8A. Kegagalan mendapat 8A dianggap sebagai bodoh dan tidak berguna.

Minda sebegini hanya akan menyebabkan seseorang itu selalu dilanda kemurungan dan kegelisahan. Realitinya ialah tidak ada sesuatupun yang sempurna dalam hidup ini.

Minda Pukul Rata (Over Generalization)
Orang yang berfikiran begini selalu mengandaikan peristiwa yang pernah terjadi dalam hidupnya akan berulang. Pengalaman penulis mengendalikan ruangan Klinik Kemahiran Belajar, Dewan Pelajar menunjukkan ramai pelajar berhadapan dengan keadaan begini. Ada yang tidak percaya bahawa mereka boleh menempa kejayaan selepas ditimpa kegagalan dalam peperiksaan.

Untuk golongan remaja yang berfikiran sebegini, penulis mengesyorkan agar mereka menonton rancangan gusti atau tinju. Cuba anda lihat pemenang perlawanan gusti atau tinju. Adakah mereka tidak pernah rebah atau sebenarnya mereka BANGUN KEMBALI sesudah rebah?
Jadi, anggapan atau minda pukul rata adalah satu lagi bentuk herotan minda yang perlu diatasi.

Minda Penapis Mental (Mental Filter)
Orang begini pula suka memperbesar kesilapan kecil hingga menjadikannya sebagai kesilapan besar dan menyeluruh. Contohnya, seorang remaja yang baru datang ke sebuah sekolah setelah berpindah. Pada hari pertama, beberapa orang pelajar senior telah mengusik dan membulinya. Sejak itu, remaja tersebut menganggap semua pelajar di sekolah barunya itu nakal dan suka membuli pelajar baru.
Herotan pemikiran ini menyebabkan remaja itu takut hendak datang ke sekolah, takut hendak berkawan dengan pelajar lain dan takut berjalan seorang diri. Herotan ini juga tidak benar kerana tidak semestinya sebahagian benda atau manusia yang anda temui mewakili kesemua benda atau manusia lain.

Orang yang berminda penapis mental ini seolah-olah memakai kaca mata dengan kanta istimewa yang menapis keluar semua aspek positif dan hanya membenarkan aspek negatif untuk memasuki minda mereka.

Demikianlah antara contoh herotan minda yang kerap dialami oleh remaja hingga menyebabkan mereka terjabak dalam lembah masalah. Kita akan membincangkan contoh lain pada siri akan datang.

Menolak Bulat-bulat Pengalaman Positif (Disqualifying the Positive)
Sesetengah orang menerima secara negatif pengalaman atau peristiwa positif yang dialaminya. Misalnya, katakan anda seorang yang gemuk. Pada suatu hari, seorang rakan menyapa, "Awak nampak sihat ya, sekarang?" Anda terus membalas sapaan itu dengan berkata ; "Saya tahulah yang saya ni gemuk-jangan nak perli pula!"

Membuat Kesimpulan Awal
Ada pula orang yang suka membuat kesimpulan awal dan enggan menyiasat lebih mendalam. Misalnya, ketika saya mengajar di sebuah sekolah dahulu, satu ketika ada pelajar-pelajar di dalam kelas memberitahu bahawa ada seorang bohsia baru berpindah ke sekolah itu. Saya pun menanyakan pelajar yang dimaksudkan. Merekapun menuding ke arah seorang pelajar perempuan yang tidak bertudung, kukunya diwarnakan dan berbaju nipis. Peristiwa itu menggambarkan salah satu jenis kesimpulan awal, iaitu membuat telahan minda tanpa menyiasat lebih rapi. Telahan minda juga boleh berlaku kepada diri sendiri. Misalnya, apabila anda bercakap di khalayak ramai, anda melihat beberapa orang telah menguap. Anda pun membuat kesimpulan bahawa ucapan anda membosankan. Walhal, mungkin mereka tidak cukup tidur pada malam tadi!
Kegagalan membuat penyiasatan dan penelitian hanya akan menjerumuskan anda ke lembah salah sangka, prasangka buruk, umpat keji, fitnah, dan dendam tidak menentu.

Memperbesar atau Memperkecil
Perangkap minda seterusnya ialah kecenderungan meperbesar kesilapan dan kesalahan yang dilakukan, selanjutnya memperkecil kebaikan yang ada pada diri. Misalnya anda gagal dalam beberapa mata pelajaran penting dalam peperiksaan baru-baru ini. Andapun terus mengeluh; "Aduhai, teruk betullah aku ni…merah kat sana, merah kat sini. Aku ni memang budak bodohlah! Bodoh, bahlul! Satu apapun aku tak boleh buat!"
Anda telah memperkecil bakat dan kebolehan anda. Mungkin kegagalan anda disebabkan kesilapan strategi dan itu bukan menunjukkan kebodohan. Mungkin anda hebat dalam perkara lain. Ada orang yang rendah potensi akademiknya tetapi kini amat dikenali sebagai penyanyi, pemimpin, atau pakar dalam bidang kemahiran.

Alasan Emosi
Herotan lain pula ialah sikap suka menganggap emosi sebagai bukti kebenaran. Misalnya, ketika anda ingin pergi ke sekolah. Mood anda kurang baik pada hari itu. Anda berasa amat malas hendak melangkah ke sekolah. Andapun berkata; "Ah…malas betullah hendak ke sekolah. Jadi kalau ke sekolah pun tak guna. Lebih baik saya tidur…" Herotan minda ini menyebabkan ponteng sekolah kerana menganggap emosi sebagai fakta. Walhal rasa malas itu berpunca daripada cara anda berfikir tentang persekolahan, yang sebenarnya boleh diubah.

Kenyataan "sepatutnya"
Ada pula orang yang terlalu berpegang kepada kemestian dan 'sepatutnya.' Terlalu berpegang kepada prinsip ini sambil menafikan prinsip qada dan qadar turut menjerumuskan seseorang ke herotan minda. Misalnya, anda menganggap bahawa 'saya patut buat begini,' atau 'saya mesti buat begitu.' Begitu juga pegangan anda terhadap orang lain yang anda harapkan atau anggap 'sepatutnya buat begitu dan begini.'

Melabel dan Salah Label
Perbuatan melabel bererti memberikan imej diri yang betul-betul negatif terhadap diri sendiri. Misalnya, jika melakukan sedikit kesilapan, seseorang itu terus melabel dirinya sebagai bodoh, cuai dan sebagainya. Ingatlah bahawa kehidupan kita ini kompleks dan senantiasa berubah. Pintu perubahan sentiasa terbuka. Tidak ada insan ynag gagal biarpun dia pernah jatuh. Salah label pula bererti menggelar diri sendiri dengan ungkapan yang amat dahsyat. Misalnya menganggap diri 'bodoh macam keldai' apabila gagal menjawab soalan guru di kelas.

Personalisasi
Personalisasi merujuk kepada kritik diri yang keterlaluan meskipun tidak berkaitan dengan diri sendiri. Misalnya, ketika anda bersendirian di rumah, tiba-tiba rumah anda dimasuki pencuri. Anda terus menyalahkan diri sendiri kerana beranggapan telah cuai menjaga rumah itu sehingga dimasuki pencuri. Walhal, mungkin pencuri itu menyelinap secara halus hingga sukar dikesan!

Sesetengah orang yang mengalami herotan yang keterlaluan dan 'hidup' dalam lingkungan herotan minda sedemikian, akhirnya tersadai di lembah petaka sosial, seperti menjadi penagih dadah, menghuni sekolah pemulihan akhlak atau penjara dan yang lebih malang, menghuni hospital mental ataupun membunuh diri! Jadi, jika anda terperangkap dengan herotan minda seperti di atas, berusahalah keluar dari perangkap minda itu. Dapatkan khidmat bimbingan jika perlu atau setidak-tidaknya, curahkan masalah anda kepada seseorang yang amat anda percaya!

Dewan Siswa Feb 2002 Ms 39


 

 


Homepej direkabentuk oleh Perpustakaan Negeri Sabah
Maklumbalas ke Webmaster
Notis Pemberitahuan

- Best Viewed with IE in 800 X 600 resolution -