|
Artikel-artikel Nasihat
|
PENENTUAN KEJAYAAN BELAJAR
SECARA INDIVIDU
Terdapat banyak
strategi belajar untuk membuahkan hasil yang baik. Strategi belajar antara
seseorang pelajar dengan yang lain pada asasnya sama tetapi kejayaan setiap
strategi yang digunakan tidak semestinya sama. Secara umumnya terdapat dua
strategi yang sering digunakan pelajar semasa proses belajar dijalankan iaitu
belajar secara berkumpulan iaitu koperatif atau kolaboratif dan belajar secara
individu. Dalam hal ini, terdapat di kalangan pelajar yang menggunakan kedua-dua
strategi ini dalam suatu masa. Sungguhpun demikian, pada kebiasaannya ruang
untuk belajar secara berkumpulan ini sukar diperoleh kerana masalah yang tidak
dapat dielakkan umpamanya kedudukan rumah yang berjauhan, sukar mencari rakan
yang ingin menyertai kumpulan dan masalah-masalah lain yang tidak dapat
dielakkan. Bagi pelajar asrama masalah ini tidak begitu ketara kerana kesempatan
tersebut boleh diperolehi dengan mudah.
Lanjutan masalah di
atas, pembelajaran secara individu merupakan pilihan utama di kalangan pelajar
yang tidak berpeluang melaksana pembelajaran secara koperatif. Strategi ini
merupakan peluang bagi pelajar melaksana tanggungjawab secara bersendirian dan
mengawal kelancaran pembelajaran masing-masing. Kualiti atau hasilan belajar
secara individu amat bergantung rapat kepada bahan atau sumber yang digunakan.
Andaian-andaian yang
mempengaruhi pembelajaran secara bersendirian ini:
-
Jumlah
masa dan amalan yang digunakan oleh pelajar untuk menguasai sesuatu
kemahiran berbeza di antara satu sama lain. Hal ini bergantung kepada
kebolehan dan kemahiran asas yang ada pada diri seseorang pelajar. Oleh itu,
jika masa yang digunakan untuk menjalankan aktiviti belajar untuk sesuatu
mata pelajaran terlalu lama, anda tidak perlu bimbang kerana ada kemungkinan
penguasaan asas tentang subjek tersebut masih kurang.Yang penting anda
jangan cepat putus asa. Jika anda berfikiran positif, anda akan katakan
bahawa bukan semua mata pelajaran anda lemah tetapi hanya beberapa mata
pelajaran sahaja yang lemah.
-
Merancang
dengan baik bahan yang ingin dipelajari. Sebagai pelajar anda perlu
mengikuti unit-unit yang dipelajari dan bijak menentukan masa. Pada
peringkat ini, seseorang pelajar perlu menyusun bahan-bahan yang hendak
dipelajari dengan baik yakni disusun dengan kemas dan teratur mengikut
urutan umpamanya dari mudah ke peringkat susah atau dari konsep asas kepada
konsep yang kompleks. Hal ini penting terutama untuk menyiapkan nota-nota
ringkas atau proses membuat latihan tertentu.
-
Sumber
atau bahan yang tidak mencukupi akan mengurangkan kefahaman atau penguasaan
sesuatu konsep atau topik yang dipelajari. Sekiranya bahan-bahan rujukan
tidak mencukupi, maka aktiviti yang dijalankan kurang berkesan dan efektif.
Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah buku teks sebagai rujukan utama,
nota ynag disediakan guru, buku rujukan tambahan dan soalan-soalan yangboleh
meningkatkan daya kefahaman masing-masing. Bahan atau sumber yang mnecukupi
membolehkan seseorang pelajar membuat nota ringkas yang sistematik dan
membuat latihan-latihan yang bersesuaian tentang sesuatu tajuk yang
dipelajari. Pilih soalan yang seakan-akan sama dengan soalan peperiksaan
sebenar. Sebagai panduannya, soalan-soalan latihan tersebut seakan-akan sama
dengan soalan tahun-tahun lepas dari perspektif bentuk soalan, kata kunci
soalan, gambarajah dan sebagainya. Soalan-soalan masa kini lebih menjurus
kepada kemahiran pemikiran kritis, kreatif dan generik.
-
Pembelajaran
secara individu ini memerlukan seseorang pelajar menilai diri sendiri dengan
cara menilai peningkatan dan pencapaian masing-masing. Menilai diri ini
perlu dilakukan dalam berbagai cara sama ada dengan menjawab soalan
peperiksaan atau menerangkan kepada rakan jika ada peluang. Walaupun
seseorang pelajar boleh menjawab soalan dengan baik tetapi kadang-kadang
jawaapannya terpesong daripada skema soalan khususnya dalam situasi
peperiksaan. Masalah ini ada kaitan dengan penentuan isi sesuatu esei yang
ditulis. Fenomena ini berlaku kerana pelajar tidak menguasai laras soalan,
umpamanya perbezaan antara terangkan, jelaskan, bandingkan, huraikan,
catatkan, nota ringkas dan sebagainya. Dalam konteks mata pelajaran yang
lebih teknikal seperti mata pelajaran Sains, Prinsip Akaun, Geografi dan
sebagainya penggunaan istilah dan konsep yang betul di samping laras bahasa
mata pelajaran tersebut perlu dikuasai supaya makna ynag diberikan tepat dan
memperoleh markah. Kesilapannya ini boleh menyebabkan anda tidak memperoleh
sebarang markah walaupun dari segi penggunaan bahasa yang biasanya dianggap
betul. Hal ini boleh diselesaikan dengan cara membuat jadual untuk dibuat
ulangkaji dengan menyusun unit-unit atau topik-topik selama satu semester.
Jika tidak masih banyak tajuk yang belum dibaca walaupun banyak masa yang
telah diperuntukkan untuk mata pelajaran tersebut.
-
Seseorang
pelajar tidak boleh memulakan unit yang baru selagi tidak menguasai unit
yang awal. Meneruskan pembelajaran tanpa menguasai unit sebelumnya boleh
menyebabkan anda tidak dapat menjawab soalan peperiksaan. Hal ini disebabkan
setiap unit yang dibaca ada kaitan dengan unit yang lain. Perkara ini lebih
ketara dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Ekonomi, Prinsip Akaun dan
sebagainya. Anda perlu sabar dan tekun untuk menguasai setiap unit dan
sekiranya terdapat masalah dalam unityang dibaca anda perlu merujuk dengan
cepat kepada unit sebelumnya.
-
Setiap
pelajar akan lebih bertanggungjawab dalam merancang dan melaksana program
pembelajarannya sendiri dan tidak terbatas di dalam kelas sahaja. Anda perlu
memprogramkan diri anda di rumah dengan aktiviti membuat ulangkaji yang
sistematik dan teratur. Pada umumnya, sebelum mempelajari sesuatu mata
pelajaran anda perlu membaca sekurang-kurangnya sekali di rumah dan membuat
ulangkaji dengan kadar secepat mungkin selepas membincangkannya dalam kelas,
khususnya selepas penerangan guru supaya maklumat tersebut dapat difahami
dan dikuasai dengan baik. Selain itu, anda perlumenyediakan jadual waktu
harian dan mingguan iaitu Sabtu dan Ahad supaya hari kelepasan tersebut
bermakna dari aspek pembelajaran. Cara-cara membuat nota, cara-cara
mengingat, teknik menjawab soalan, skema sesuatu mata pelajaran perlu
dipelajari sama ada daripada guru atau buku rujukan yang berkualiti.
Rancanglah pembelajaran
mengikut kebolehan masing-masing dalam sesuatu mata pelajaran yang ingin
dikuasai dan menentukan keutamaan sesuatu mata pelajaran sebagai sasaran utama
sebagai tujuan kerjaya pada masa akan datang.
Dewan Siswa Feb
2002 Ms 52 - 53
|