Farhana selalu 'kelihatan' di mana-mana. Dia ramah, mudah
diajak berbincang, jarang ada rasa ragu-ragu, cute dan tidak pedulikan apa kata orang
lain. Farhana mempunyai keyakinan diri dan tingkah lakunya sering menarik perhatian
teman-temannya. Fifie pula lain ceritanya. Bukan saja tidak ramah, dia selalu kelihatan
muram dan tidak memperlihatkan sikap bersahabat.
Fifie jarang bergaul dengan teman-teman
sekolahnya. Dia lebih suka menyendiri. Setelah tamat kelas, dia terus pulang ke rumah.
Pergi ke tempat yang sama dan pulang ke tempat yang sama. Ada teman-temannya mengatakan
Fifie 'membosankan' dan macam-macam lagi tanggapa negatif terhadapnya. Tambahan pula,
Fifie tidak ada minat apa-apa di luar sekolah. Jumlah teman-temannya boleh dikira dengan
jari tangan.
Sudah tentu kamu tidak mahu kehidupan
seperti Fifie yang membosankan teman-temannya dan dirinya sendiri. Hari-hari sama sahaja
boleh membuatkan kamu naik bosan dan hilang semangat. Sebalik, jika kamu menjalani hidup
seperti Farhana, tentu kamu rasa riang gembira dikeliling oleh teman-teman yang tertarik
pada sikapmu.
Kegiatan tambahan
Memupuk minat bererti memperluaskan
pengetahuan. Tidak kira sama ada kamu seorang pelajar atau sudah bekeria, kamu masih tetap
boleh bergiat di luar waktu sekolah kerja kamu. Terdapat pelbagai aktiviti yang kamu boleh
ceburi seperti sukan, kelab belia, kursus-kursus dan sebagainya.
Mengikuti aktiviti tambahan yang positif
adalah langkah bijak dalam mengisi masa lapang daripada kamu membuang masa melaku
perkara-perkara negatif. Selain itu, kamu juga boleh berkenalan dengan mereka yang sama
mengikuti aktiviti tersebut dan menambah pengetahuan kamu melalui perbincangan bersama.
Mudah diajak
Jadilah seseorang yang ramah, mudah
didekati dan mudah diajak. Ada sesetengah orang yang mempunyai sifat semulajadi yang boleh
menarik perhatian orang seperti sebuah magnet. Dia membuat orang lain berasa senang dan
rileks bila bersamanya.
Yana, 16, masih ingat ketika pertama kali
masuk kelas tingkatan empat di sekolah baru. Pada mulanya dia rasa kurang senang berada di
sekolah baru itu tapi teman-teman kelas menerima kedatangannya dengan senyuman manis dan
wajah-wajah ramah. Yana rasa gembira dengan sambutan yang diterimanya lalu bermesra-mesra
dengan mereka yang sama kelas dengannya.
Maka, ambillah inisiatif untuk terlebih
dahulu menyapa atau mengajak seseorang berbicara. Sekali kamu berusaha mahu mengenal orang
lain bermakna kamu sudah setengah jalan ke arah sebuah persahabatan. Orang yang ramah akan
merasa rileks dan orang lain pun merasa rileks berada di sampingnya. Sikap sedemikian
harus ditanam dalam jiwa sejak masih kecil dulu.
Buka telinga dan dengar
Untuk berkomunikasi dengan berkesan, kita
perlu mendengar bicara orang lain dengan baik. Jangan kita saja asyik yang bertutur tapi
pihak lain tidak ada peluang bersuara.
Kata Lia, 18 tabun dari Kuala Lumpur, tiada
gunanya berkawan dengan orang yang asyik bercakap tapi enggan mendengar orang lain.
"Apalah gunanya terus berkawan dengan orang yang hanya mementingkan diri sendiri? Dia
asyik berkata tentang dirinya dan enggan mendengar bila kita mahu berkata sesuatu padanya.
Itukan sikap hipokrit." katanya.
Untuk mengelakkan diri terperangkap dengan
sikap sebegini, kamu harus menanam sikap bersopan santun dan beri peluang kepada orang
lain bersuara. Walaupun menjadi pendengar kelihatan mudah tapi sikap ini sangat dihargai
oleh pihak lain.
Lihat ke arah positif
Fokuskan perhatianmu pada kekuatan dirimu
dan buatlah sasaran yang kamu boleh capai. Jangan sesekali meletak dirimu di tempat yang
terlalu tinggi sehingga boleh menyusahkan dirimu. Jika kamu berfikir positif tentang
dirimu, orang lain pun akan berfikir sama tentang kamu dan ini menjadi suatu permulaan
yang baik untukmu.
Jadilah dirimu sendiri
Kamu tidak perlu meniru gaya atau
berpura-pura menjadi orang lain. Kamu adalah tetap kamu dan peribadimu yang dilihat orang
tidak harus diubah semata-mata mahu menarik perhatian orang lain.
Ika, 17, sering merasa dirinya kurang
menarik lalu meniru gaya teman baik, Linda. Dia mahu serancak Linda agar dapat menarik
perhatian orang. Tapi suatu hari dia dapat tahu orang lain mengatakan dia suka meniru gaya
Linda. Dia rasa tersinggung dengan kata-kata orang dan cepat-cepat Ika menghentikan
'lakonannya'.
Itulah yang kamu akan hadapi jika suka
meniru orang lain. Mungkin kamu akan rasa seronok di permulaannya tapi orang lain pula
merasa aneh melihat gelagatmu. Maka, tonjolkan dirimu yang sebenar. Dengan demikian kamu
akan memaparkan hal-hal positif yang ada padamu.
Hindari tekanan
Jangan mudah mengalah atas prinsip yang
kamu yakini. Ramai remaja yang suka mengalah bila didesak oleh teman-temannya. Jika kamu
tidak setuju pada sesuatu hal, suarakan pendapatmu. Mungkin mereka rasa tidak senang
padamu tapi itu cuma paling lama pun seminggu. Bahkan, di luar dugaanmu, mereka akan
hormati keputusanmu kelak. Jika kamu asyik menurut kata-kata teman padahal kamu tidak
setuju, perasaan tertekan akan wujud dan ini memberi kesan yang kurang baik pada dirimu.
Perhatikan mata
Bila sedang berbicara dengan seseorang,
fokuskan pandanganmu pada mata orang yang kamu ajak berbicara itu. Sikap sedemikian
menunjukkan kamu menghargainya dan kamu suka berbicara dengannya. Jangan sesekali melihat
ke bawah, ke atas, ke kiri atau ke kanan hanya kerana kamu seorang yang pemalu. Orang lain
pun mungkin rasa malu bila berhadapan denganmu. Tapi, jika kamu mengalihkan pandanganmu
lurus ke matanya, dia akan lebih berkeyakinan berbicara denganmu.
Bicara penuh semangat
Janganlah malu-malu memulakan sesuatu
perbualan dengan orang lain. Kamu boleh pilih topik yang sesuai diperbincangkan dan
disukai orang ramai seperti isu politik, semasa, sukan dan sebagainya. Elakkan diri
bercakap sesuatu topik yang tidak digemarinya. Orang yang mempunyai semangat tinggi ketika
berbicara mempunyai ramai teman kerana caranya memudahkan orang lain mendekati dirinya.
Penampilan hebat
Penampilan bererti imej keseluruhan
dirimu.Oleh itu, tonjolkan penampilanmu yang hebat seperti stail rambut, fesyen pakaian
dan cara bercakap yang sesuai dengan dirimu.
Biarkan semuanya muncul kerana itu akan
menyeramakkan semangatmu. Jangan rasa malu pada dirimu. Lihatlah dirimu di depan cermin
dan senyum seolah-olah kamu sedang bersenyum di depan orang ramai. Walaubagai manapun,
ubahkanlah imejmu bila tiba masa kamu perlu berbuat demikian. Sikap optimis seperti ini
sentiasa menonjolkan dirmu seorang yang hebat dan disukai ramai.
Ketawa penawar hati
Ketawa adalah penawar segala kekesalan
hati. Selain itu, tunjukkan humormu yang sejati. Orang yang asyik muram akan rugi kerana
ia menghalang orang lain menghampirinya.
Bila lihat ada temanmu yang muram,
tunjukkan humor-humormu agar dia akan kembali normal. Sifat positif seperti ini pasti akan
mendapat tanggapan baik dari pihak manapun.
Mahu menjadi seorang yang menarik atau
penyendiri, pilihan ada di tanganmu. Pilihlah dengan bijak supaya kamu tidak akan rasa
rugi kemudian. Biasanya, seseorang itu akan melalui pelbagai peringkat dalam kehidupan
hariannya. Banyak peristiwa yang berlaku boleh mempengaruhi minda dan sikap kamu. Namun,
semuanya masih terpulang pada kamu sama ada menjadi seorang yang istimewa ataupun asyik
bermuram sehinggakan kamu rasa dirimu tersisih dari masyarakat sekeliling.
REMAJA, 1 MIEI 1996, M/S 38-39