MELAYU  |  ENGLISH

search_engine.gif (1470 bytes)
Enjin Pencarian

Nasihat menu
nasihat_icon.jpg (2094 bytes) |   Pengenalan   |  Artikel-Artikel FAQ  |  Talian Telefon Penting  |  Maklumat Awam   |  Borang Nasihat   | 
Artikel-artikel Nasihat

ARTIKEL-ARTIKEL


Pengenalan

Persendirian

Keibubapaan

Kesihatan

Kewangan

Pertanian

Perundangan

Remaja

Teknologi

Wanita

Tip Keselamatan

 

 

 

MAKLUMAT PERIBUMI

Oleh DING CHOO MING

KEGHAIRAHAN orang ramai terhadap internet dijangkakan akan terus melonjak kerana peranannya sebagai media komunikasi dan penyebaran maklumat elektronik yang paling murah, mudah, dan cepat. Selain itu, ia juga menjadi media telepersidangan, teleperniagaan, teleperubatan, dan telependidikan. Ke manakah perkembangan teknologi akan membawa kita amat sukar diramal kini. Yang pasti ialah banyak aspek kerja dan komunikasi kita sudah berubah sejak adanya internet.

Kira-kira satu dekad yang lalu, hanya negara maju dan yang mempunyai teknologi telekomunikasi yang canggih sahaja dapat menyebarkan sebanyak mana maklumat untuk menembusi sempadan dan ruang udara negara lain, tidak kira lokasinya dan jaraknya. Monopoli seumpama itu masih berterusan walaupun semakin banyak negara lain tahu memanfaatkan dan memperalat internet sebagai media penyebaran dan pencapaian maklumat.

Pengaliran maklumat, terutama yang bersifat saling pertukaran maklumat dua hala, memang merupakan batu asas pembinaan dan peningkatan persefahaman antarabangsa. Persefahaman adalah jambatan emas kepada peningkatan jalinan perdagangan, pembangunan industri pelancongan, serta kerjasama lain untuk kepentingan bersama. Selama ini pengaliran maklumat banyak digunakan untuk menegakkan imej palsu, malah berniat untuk menghasut, mengapi-apikan pergaduhan, lantas menjadikannya alasan untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara yang tidak disenangi atau yang tidak sependapat dengannya.

Daripada kajian yang dilakukan secara rambang, maklumat tentang Malaysia di internet memang banyak dan amat mengagumkan. Tetapi, kira-kira 75% daripada jumlah maklumat berasal dari luar Malaysia. Sebagaimana negara Afro~Asia dan Latin Amerika, atau negara Selatan yang lain, ada banyak sebab Malaysia belum menjadi pusat maklumat elektronik (internet) yang utama tentang Malaysia. Antaranya, (i) kos, (ii) teknik, (iii) kakitangan, dan (iv) kesedaran. Gabungan semua faktor itu mesti ada sama ada untuk memulakan, lebih-lebih lagi menyelenggara maklumat dan juga teknologi penyebaran maklumat. Walaupun terdapat masalah teknik dari segi transmisi dan penerimaan data secara fizikal, seperti ketidaksesuaian perkhidmatan, sistem, perisian, komputer, dan piawai komunikasi, boleh diatasi, tetapi ia juga melibatkan kos yang mahal , tahap profesionalisme kakitangan yang tinggi serta kesedaran yang meluas tentang pentingnya maklumat peribumi (negara) untuk kedaulatan negara. Segala-galanya mesti dijadikan prasyarat dan motif utama sebarang usaha untuk menyebarkan maklumat peribumi dalam jangka masa pendek dan panjang.

Faktor lain yang tidak kurang penting dan berkesan ialah pelajar yang mengikuti kursus sains maklumat didapati memberi perhatian yang lebih kepada hal teknologi dan bukan pengurusan maklumat. Dilema tersebut ada kaitan dengan kurangnya kesedaran kita tentang pentingnya maklumat peribumi Malaysia untuk menjaga kedaulatan budaya dan ekonomi Malaysia. Realitinya sekarang sumber maklumat tentang Malaysia yang tersebar di luar Malaysia berasal dari Malaysia. Tetapi maklumat itu disebarkan oleh agensi berita, penerbit, dan juga pangkalan data di New York, Toronto, Washington D.C., London, Paris, dan Melbourne, setelah pengarang masing-masing memproses semula berita dan maklumat mentah yang diterima dari negara ini.

Kerajaan yang berdaulat bukan sahaja amat peka terhadap pengaliran maklumat di dalam negeri, tetapi juga di luar negara, terutama yang sensitif kepada kepentingan negara. Oleh sebab itu, banyak negara sudah menggubal dasar maklumat negara untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negaranya. Amat sukar bagi mana-mana negara mengubah pandangan dunia yang negatif terhadapnya. Ini mudah terjadi sekiranya lebih banyak maklumat tentangnya masuk dari luar negara berbanding dengan yang keluar dari negaranya, dan juga lebih banyak maklumat yang buruk tentangnya disiarkan di luar negara daripada kemampuannya menyiarkan maklumat untuk membela diri. Oleh sebab maklumat mempunyai nilai pembangunan sosioekonomi dan politik, banyak negara, khususaya yang maju sudah lama berasa perlu memberi perlindungan kepada perkembangan industri maklumat di negara masing-masing.

Dalam konteks itu, negara Eropah sudah menggubal dasar maklumat negara masing-masing, selain memberi galakan untuk membangunkan pelbagai pangkalan data dan pusat dokumentasi elektronik sejak tahun 1980-an. Langkah itu setidak-tidaknya mempunyai tiga objektif: (1) menyebarkan maklumat daripada perspektif Eropah, (2) membolehkan negara Eropah mengakses dan bertukar maklumat daripada pelbagai pangkalan data dan pusat dokumentasi yang dibangunkan dengan mudah, cepat, dan murah, dan (3) menghadapi pengaliran masuk maklumat dari Amerika Syarikat (AS).

Pembangunan industri maklumat peribumi di Eropah kira-kira 20 tahun dahulu adalah ekoran kesedaran tentang banyak akibat buruk sekiranya terlalu banyak bergantung pada maklumat negara asing. Antara akibat buruk yang perlu dijauhi ialah ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan negara, yang selanjutnya bergantung dan juga ditentukan oleh kedaulatan ekonomi, teknikal, budaya, perdagangan, dan pemasaran negara itu dengan negara lain di pentas antarabangsa. Kesemua itu pula bergantung dan juga ditentukan oleh pengaliran maklumat di luar negara masing-masing.

Jika maklumat negatif dari negara asing dibiarkan membanjiri media massa tempatan dan antarabangsa, sukar bagi pemimpin negara bercakap dan membuat keputusan di pentas politik dan ekonomi antarabangsa kerana sukar untuk mengubah prasangka dan pandangan dunia yang negetif terhadapnya dan juga negaranya. Yang nyata bukan sahaja imej pemimpin negara tercemar, malah kedaulatan negaranya akan turut terancam. Itulah kuasa maklumat (dalam internet) dalam era pascamodenisme ini.

Cabaran yang dihadapi tidak lain daripada (i) menambah knantiti berita dan maklumat peribumi, (ii) memperbaik kualitinya, dan (iii) menambahkan keragaman berita dan maklumat peribumi dalam media massa elektronik. Banyak negara sudah mengembangkan rangkaian radio dan televisyen masing-masing, lebih-lebih lagi menyebarkan maklumat peribumi daripada perspektif negara dalam internet. Sasarannya ialah pembaca dan pendengar di luar negara, terutama negara maju, supaya mereka tertarik untuk mendapatkan maklumat peribumi bagi mengetahui masalah yang dihadapi dan peluang yang terbuka di negara itu dengan lebih baik. Inilah asas untuk membina persefahaman demi kepentingan bersama.

Namun, halangan yang harus ditembusi dan dirobohkan banyak dan rumit, kerana ini bukan sahaja melibatkan aspek lahiriah (pembangunan ekonomi, fizikal, dan penggunaan teknologi), tetapi juga aspek rohaniah (mental dan psikologi). Pertama, orang ramai di bekas tanah jajahan masih beranggapan bahawa berita dan maklumat dari agensi berita dan penerbit di AS dan Eropah dianggap lebih tinggi nilainya berbanding dengan maklumat peribumi. Disebabkan prasangka dan penjajahan mental itu, hingga sekarang banyak negara Afro-Asia dan Latin-Amerika masih mengeksport bahan mentah maklumat ke Barat untuk diproses dan mengimportnya semula dengan harga yang tinggi. Maksud harga yang tinggi itu bukan sahaja dari segi nilai wang masing-masing, tetapi juga dari segi penggadaian maruah dan imej diri sebagai manusia yang merdeka.

Daripada data yang terkumpul, trafik maklumat digital yang disiarkan secara global dari sistem penyiaran langsung dan juga internet pasti akan meningkat. Adakah peningkatan jumlah maklumat itu juga meningkatkan lagi persefahaman antarabangsa? Adakah AS yang kini menjadi sumber utama maklumat elektronik tentang Malaysia memahami Malaysia dengan lebih baik berbanding dengan masa lalu? Kalau tidak, mengapa?

Semua negara perlu memahami dan difahami oleh negara lain. Salah satu cara untuk mencapainya adalah dengan memperbaik kepincangan pengaliran maklumat antarabangsa (sekiranya aliran maklumat itu sehala dan berat sebelah). Masalah ketidakseimbangan itu sukar diperbaik oleh negara Afro-Asia dan LatinAmerika kerana ia memang tidak mampu menandingi kapasiti negara maju dalam hal itu. Teknologi telekomunikasi yang canggih di negara maju membolehkan mereka menyiarkan sebanyak mungkin maklumat untuk menembusi ruang udara negara lain dengan mudah, yang juga semakin sukar dikawal oleh negara lain. Daripada perspektif negara Selatan, negara Utara seolah-olah sengaja menggunakan media cetak dan elektronik untuk mengekalkan status quo itu demi kepentingan mereka. Selain itu, ketidakmampuan negara Selatan adalah kerana keterbatasan kewangan, teknikal, profesionalisme, psikologi, dan latihan. Sekiranya kos operasi dan teknikal saluran telekomunikasi yang lain amat tinggi, negara Selatan perlu memikirkan penyiaran maklumat dalam internet. Soalnya bukanlah teknologi semata-mata, tetapi sama ada negara Utara mahu memahami negara Selatan dan sebanyak mana maklumat dari negara Selatan boleh disiarkan ke negara Utara tanpa diproses semula?

Ketidaksamarataan aliran maklumat antara negara Utara dan Selatan bukan sahaja sukar diperbaik, malah akan membesarkan lagi jurang perbezaan ekonomi antara negara. Negara Selatan mendapati sukar untuk memanfaatkan teknologi. Yang paling mengecewakan ialah negara Selatan sukar mengakses maklumat dari luar dan juga mempromosi maklumat peribuminya ke luar negara kerana dihalangi oleh masalah kemampuan kewangan dan teknologi.

DEWAN BUDAYA, APRIL 1998, BIL 4 JIL 20, M/s 42-43

 

 


Homepej direkabentuk oleh Perpustakaan Negeri Sabah
Maklumbalas ke Webmaster
Notis Pemberitahuan

- Best Viewed with IE in 800 X 600 resolution -