PENGENALAN
Setiap wanita yang menjangkau usia lewat
40-an, pasti sedar bahawa tidak lama lagi dia akan menempuh menopos atau 'perubahan
dalam hidupnya'. Satu tempoh di mana tubuhnya akan mengalami satu situasi baru
dan dia tidak lagi mampu melahirkan zuriat. Sesetengah wanita melalui semua
perubahan ini dengan mudah sehingga tidak menyedari mereka sedang mengalami
menopos, tetapi kebanyakan wanita akan merasai sedikit sebanyak kelainan dalam
diri mereka. Bantuan doktor mungkin diperlukan kerana tempoh perubahan ini adala
tempoh yang sukar ditempuhi.
Apakah Sebenarnya Menopos?
Perkataan menopos sebenarnya bermaksud
pusingan haid terakhir sebelum seseorang wanita itu mengalami putus haid. Tetapi
istilah menopos kini ditafsirkan sebagai peringkat hidup seseorang wanita di
mana ovarinya (iaitu organ yang menghasilkan telur dan hormon seks) semakin
lemah dan kurang berfungsi, serta tubuhnya perlahan-lahan mula menyesuaikan diri
dengan tahap hormon yang rendah. Para doktor kadang-kadang menamakan peringkat
perubahan ini sebagai 'climacteric'.
Semua perubahan ini tidak akan berlaku
sekaligus dalam satu hari, tetapi ia akan berlaku sedikit demi sedikit dan
adakalanya mengambil masa beberapa tahun. Biasanya ia bermula ketika di
pertengahan atau penghujung usia 40-an, malah ada juga seawal lewat 30-an.
Gangguan haid mula berlaku, umpamanya pusingannya jadi tidak teratur, ataupun
tidak sekerap biasa, dan akhirnya ia akan berhenti sama sekali. Secara purata,
seseorang wanita akan putus haid pada usia sekitar 50.
Seperti disebut tadi, ketika menopos
tubuh akan menyesuaikan diri dengan tahap pengeluaran hormon yang kurang, tetapi
apakah sebenarnya hormon ini dan bagaimanakah pentingnya hormon ini pada tubuh
sebelum tubuh mengalami menopos?
Fungsi Hormon?
Hormon ialah bahan istimewa yang membantu
melancarkan tugas-tugas tubuh. Kedua-dua ovari dalam tubuh seseorang wanita
menghasilkan hormon perempuan, iaitu estrogen. Estrogenlah yang bertanggungjawab
ke atas segala perubahan tubuh bagi menyediakan seseorang kanak-kanak memasuki
alam kewanitaan. Ia membantu pertumbuhan payudara dan pembentukan tubuh wanita
yang berbeza dari lelaki. Estrogen juga merangsang tumbesaran organ-organ
pembiakan yang membolehkan seseorang wanita melahirkan anak. Setiap bulan sebiji
telur dikeluarkan dari salah satu ovari dan jika disenyawakan ia akan membesar
di dalam rahim menjadi seorang bayi. Sekiranya kehamilan tidak berlaku, telur
itu akan dikeluarkan dari rahim sebagai haid.
Estrogen juga berfungsi dalam memelihara
kesihatan seseorang wanita. Ia penting untuk kecantikan dan kesihatan kulit,
serta pelbagai organ tubuh dan kecerdasan minda.
Semakin menghampiri menopos, semakin
kurang hormon yang dikeluarkan oleh ovari, dan ada bulan-bulan di mana tiada
langsung telur dihasilkan. Inilah yang menyebabkan haid datang tidak menetu
kerana rahim tidak 'mebuang' lapisan telur ini seperti biasa. Seseorang wanita
kemungkinan tidak akan sedar akan sebarang keganjilan tentang haidnya
sehinggalah pusingan haidnya terus berhenti dan berlaku menopos.
Bagaimanapun, ada juga wanita yang
mengalami pendarahan yang terlalu banyak sewaktu haid di peringkat ini. Jika ini
berlaku, wanita itu seharusnya berjumpa doktor kerana ia mudah dirawat, dan juga
dikhuatiri is berlaku bukan disebabkan menopos, tetapi sebaliknya atas
sebab-sebab lain.
Seseorang wanita yang menganggap dirinya
telah putus haid masih perlu menggunakan kaedaah pencegah kehamilan selama
beberapa waktu, kerana mungkin dia hanya sedang mengalami pusingan haid yang
tidak menentu. Dia perlu meminta nasihat doktor tentang bila ketikanya untuk
berhenti menggunakan kaedah pencegah kehamilan.
Tanda-Tanda Perubahan
Sejak seseorang wanita itu dewasa, iaitu
ketika dia masih muda, tubuhnya sudah terbiasa dengan tahap estrogen yang tinggi.
Menjelang menopos apabila ovari mengurangkan pengeluaran hormonnya, tubuh akan
mengambil masa untuk menyesuaikan dengan keadaan begini. Dalam sesetengah aspek,
tubuh samasekali tidak berdaya mengimbangi perubahan ini dan kekurangan estrogen
juga boleh mengakibatkan kesan yang kekal.
Wanita tersebut mungkin mengalami simptom
yang terjadi akibat perubahan tahap estrogen dari tinggi menjadi rendah.
Simptom-simptom ini kemungkinan besar berlaku ketika dia masih ada haid.
Perubahan-perubahan lain akan terjadi sepanjang tempoh masa yang lebih panjang,
dan mungkin tidak akan disedari sehinggalah beberapa tahun selepas putus haid.
Simptom-simptom paling awal selain dari
perubahan pusingan haid seperti yang telah disebut sebelum ini, biasanya akan
mula berlaku beberapa waktu sebelum putus haid. Biasanya simptom-simptom ini
akan lebih ketara selepas putus haid, dan akan berterusan buat beberapa tahun
selepas itu. Walau bagaimanapun, simptom-simptom jangka pendek ini lama-kelamaan
akan berhenti juga akhirnya.
Simptom jangka pendek yang paling biasa
ialah aliran rasa rimas panas dan berpeluh tiba-tiba yang boleh menimbulkan rasa
malu jika terjadi di khalayak ramai. Rasa rimas panas ini boleh membara dari
dada naik ke leher dan muka, dan wajah bertukar merah. Rasa panas ini biasanya
diikuti simbahan peluh terutama sekali di waktu malam yang boleh mengganggu
tidur. Ada wanita yang bernasib baik kerana tidak pernah mengalami rasa panas
ini, manakala ada pula yang terpaksa menanggungnya beberapa kali setiap hari.
Sesetengah wanita mengadu sakit kepala,
berdebar-debar dan keletihan yang amat sangat. Kebanyakan simptom ini adakalanya
berlaku serentak atau berturut-turut dan ini memburukkan lagi keadaan.
Lebih-lebih lagi jika perubahan itu melibatkan perubahan emosi seperti rasa
mudah tersinggung, kemurungan dan kurang tumpuan, yang juga mengganggu ramai
wanita pada tahap ini. Walaubagaimanapun, hanya segelintir wanita menderita
kesemua simptom serentak dalam satu masa.
Gangguan emosi ketika ini juga boleh
membuat seseorang wanita itu berasa lebih tertekan dalam menangani
simptom-simptom ini, barangkali kerana anak-anaknya sudah dewasa dan kini
menjalani kehidupan sendiri, atau mungkin juga kerana menyedari dirinya tidak
boleh lagi melahirkan anak. Tekanan-tekanan perasaan seperti ini mungkin tidak
ada kaitan dengan pengurangan kadar estrogen, tetapi ia boleh memberatkan lagi
masalah-masalah yang ada kaitannya dengan simptom kurang estrogen.
Berbeza dengan simptom jangka pendek yang
terhad kepada beberapa tahun sebelum atau selepas menopos, perubahan jangka
panjang menjadi lebih ketara pada usia yang lebih lewat kerana ia berpunca
daripada kadar estrogen yang semakin berkurangan, dan biasanya akan bertambah
teruk dengan bertambahnya usia.
Pengurangan estrogen meninggalkan kesan
pada anggota tubuh seperti berikut:
Rahim
Rahim akan mula mengecut setelah ia tidak
diperlukan lagi untuk tujuan kelahiran.
Faraj
Faraj akan memendek dan sempit serta
menjadi kendur. Lapisan dindingnya menjadi nipis dan kering, ini kerap
mengakibatkan kesakitan ketika hubungan kelamin. Ini seterusnya akan mewujudkan
tekanan emosi yang boleh menjejaskan hubungan seksual.
Pundi Kencing
Kawalan di pundi kencing menjadi lemah
dan menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal atau menahan kencing (walaupun
kekurangan estrogen biasanya bukanlah punca berlakunya keadaan ini). Tambahan
lagi, otot-otot di kawasan ini akan menjadi lebih lemah keika menopos, dan ini
memburukkan lagi masalah pengawalan pundi kencing.
Kulit dan Rambut
Pengurangan estrogen juga melibatkan
kesan pada rupa paras seseorang wanita. Kulit menjadi nipis dan kering serta
hilang keanjalan dan kelembutannya. Kurangnya estrogen juga mengurangkan
pertumbuhan rambut, manakala rambut juga kehilangan serinya.
Tulang dan Otot-otot
Estrogen sangat penting dalam memelihara
tulang agar sentiasa kuat. Dengan menurunnya kadar estrogen, tulang menjadi
semakin kecil dan lemah sejak sebelum menopos lagi. Proses ini dipanggil
osteoporosis. Inilah yang menyebabkan tulang jadi rapuh dan lebih mudah patah di
kalangan wanita yang lebih berusia. Wanita tua biasanya semakin rendah dan
menjadi bongkok akibat tulang belakang yang semakin lemah hingga ada
tulang-tulang yang roboh. Sakit belakang dan radang sendi juga biasa berlaku.
Otot-otot juga boleh menjadi lemah akibat penurunan kadar estrogen.
Penyakit Jantung dan Saluran Darah
Estrogen nampaknya penting dalam
melindungi seseorang wanita muda daripada penyakit yang menyerang pembuluh darah
- sebab utamanya terjadi serangan jantung dan strok yang lebih kerap dihidapi
kaum lelaki muda atau separuh umur. Selepas menopos, kaum wanita juga menghadapi
risiko serangan jantung dan strok yang sama tingginya seperti yang dihidapi kaum
lelaki.
Simptom-simptom Perubahan Hidup
Beberapa Soalan Yang Mungkin Ada Di
Fikiran Anda
-
Adakah saya sesuai atau layak
menjalani Terapi Penggantian Hormon (HRT)?
Bincangkan masalah ini dengan doktor
anda, beliau mungkin mahu merawat anda sendiri atau merujuk anda kepada klinik
menopos terdekat di kawasan anda. Sekiranya doktor anda mengambil keputusan
memberikan anda HRT, beliau akan menjalankan pemeriksaan rapi untuk
memastikan tahap kesihatan anda, dan untuk mengetahui sama ada hormon sesuai
untuk anda.
-
Doktor mendapati saya sesuai untuk HRT.
Untuk tempoh berapa lamakah dia akan memberikan saya HRT?
Segelintir wanita hanya memerlukan
rawatan untuk beberapa bulan sahaja untuk menghilangkan simptom-simptom.
Manakala ada wanita yang perlu dirawat berperingkat-peringkat dalam jangka
masa pendek tetapi selama beberapa tahun, untuk mencegah masalah jangka
panjang dan kemungkinan terjadi simptom-simptom lain di tahun-tahun mendatang.
Doktor anda akan menentukan apa yang terbaik untuk anda.
-
Bolehkah HRT melambatkan proses
penuaan?
Tidak boleh. Menggantikan semula
estrogen yang hilang dari tubuh hanya akan mempengaruhi perubahan-perubahan
yang berlaku akibat kekurangan estrogen. Ia juga boleh membuat seseorang
wanita berasa dan kelihatan lebih baik, tetapi tiada kesan pada proses penuaan
semula jadi.
-
Adakah HRT boleh melambatkan menopos?
Tidak. Fungsi ovari yang semakin lemah
tidak akan diperlambatkan lagi atau dipercepatkan oleh HRT.
-
Apa akan belaku pada pusingan haid
saya?
Tujuan HRT ialah untuk meneruskan
turunnya pendarahan sama seperti corak pusingan haid biasa. Haid akan
digantikan dengan pendarahan teratur yang dihasilkan oleh HRT. Walau
bagaimanapun, pendarahan hasil HRT biasanya lebih ringan dibandingkan haid.
Pendarahan yang berlaku secara teratur dan tetap ini akan berterusan selama
mana anda masih terus menerima HRT. Walaupun haid telah lama berhenti sebelum
anda menggunakan HRT, besar kemungkinan anda akan masih mengalami sedikit
pendarahan.
-
Adakah HRT akan membuat saya lebih
subur?
Tidak. HRT tidak akan membuat anda
lebih subur. Anda tidak boleh mengandung atau melahirkan anak setelah
mengalami menopos, dan pendarahan tetap yang dihasilkan oleh HRT ini - yang
bukan haid sebenar- tidak akan mengubah keadaan ini.
-
Bolehkah HRT bertindak sebagai
pencegah kehamilan seperti pil perancang?
Tidak. HRT bukan satu kaedah pencegah
kehamilan. Sekiranya anda masih subur ketika memulakan HRT, anda perlu terus
menggunakan kaedah pencegah kehamilan sehinggalah dibenarkan berhenti oleh
doktor anda. Sepanjang tempoh pengambilan HRT, anda TIDAK BOLEH mengambil
kaedah pencegah kehamilan dalam bentuk pil.
-
Bagaimana tentang kesan sampingan?
HRT menggunakan estrogen semula jadi
untuk menggantikan hormon yang sama yang telah hilang dari tubuh seseorang
wanita. Jadi kesan sampingannya amat sedikit. Walau bagaimanapun, sama seperti
hormonnya sendiri yang akan menyebabkan beberapa simptom sebelum menopos,
begitulah juga dengan HRT. Simptom-simptom kecil biasanya berlaku seperti rasa
tegang di payudara, tetapi ini akan hilang selepas sebulan dua.
-
Adakah HRT mempunyai risiko?
Estrogen semula jadi, jenis estrogen
paling logik untuk digunakan, adalah rawatan yang telah banyak kali dicuba dan
telah melalui ujian paling getir. Hasil yang telah terbukti hari ini
menunjukkan HRT yang diberikan di bawah pengawasan yang rapi, dan disesuaikan
mengikut keperluan anda, membawa risisko paling sedikit terhadap kesihatan
anda.
-
Bolekah hysterectomy menukar perubahan
dalam hidup?
Biasanya, hysterectomy hanya membuang
rahim dan bukan ovari. Ovari-ovari ini akan terus mengeluarkan hormon dalam
jumlah biasa sehinggalah usia di mana menopos sepatutunya berlaku, kecuali
jika bekalan darah ke ovari berkurangan seperti yang kadangkala berlaku
selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, sekiranya ovari dikeluarkan sewaktu ia
masih aktif, maka wanita tersebut akan mengalami perubahan hidup bukan semula
jadi yang berlaku secara mendadak, tidak kira betapa muda usianya. Dalam
keadaan ini, wanita itu mungkin memerlukan HRT untuk menggantikan
hormon-hormon yang telah tiada. Bagaimanapun, keputusan samada HRT boleh atau
tidak boleh diberikan akan bergantung kepada punca atau sebab asal kenapa
pembedahan hysterectomy telah dilakukan.
-
Setinggi manakah risiko saya
menghidapi osteoporosis?
Risiko anda bertambah dengan
Apakah Yang Boleh Saya Buat Untuk
Membantu Diri Saya Sendiri?
Jika anda merokok, anda dinasihatkan
untuk berhenti amalan ini buat selama-lamanya. Ini akan membantu saluran darah
dan paru-paru anda, serta melambatkan terjadinya osteoporosis. Lakukan senaman -
seperti berjalan yang sangat baik untuk kesihatan - dan imbangi pemakanan anda.
Pastikan anda mengambil lebih kalsium dengan banyak minum susu (susu skim adalah
yang paling menyihatkan) atau makanan dari hasil susu seperti yogurt dan keju (keju
rendah lemak adalah yang terbaik). Selepas menopos, anda mudah sekali menambah
berat badan - jadi makanlah dengan sewajarnya untuk memelihara kesihatan anda,
dan jika perlu mintalah nasihat doktor. Jika anda gemar minuman beralkohol,
minumlah pada kadar yang sederhana.
Inilah masanya anda perlu membuat banyak
perubahan di dalam hidup anda. Janganlah mudah kecewa sekiranya cubaan-cubaan
awal anda tidak mendatangkan hasil. Mungkin inilah waktunya anda boleh
menumpukan semula perhatian kepada hobi anda yang selama ini tidak mampu
dilakukan kerana terlalu sibuk. Pandanglah ke hadapan di mana masih ada
sepertiga lagi jangkamasa kehidupan anda yang bakal anda lalui. Jadikanlah ia
satu tempoh yang paling meriangkan.
Bagaimana Doktor Anda Boleh Membantu?
Anda telah berjumpa doktor anda kerana
satu atau lebih simptom awal menjelang menopos seperti pendarahan teruk semasa
haid atau pusingan haid tidaak tetap, simbahan rasa panas, berdebar-debar,
berpeluh, sakit kepala atau keletihan yang amat sangat.
Jadi, apa yang boleh beliau lakukan untuk
anda?
Untuk kelegaan jangka pendek, beliau
mungkin merawat anda misalnya dengan memberi ubat penahan sakit bagi sakit
kepala atau tranquiliser untuk masalah emosi. Walau bagaimanapun, ini tidak akan
dapat menyembuhkan masalah sebenarnya yang berpunca daripada kekurangan hormon.
Apakah sebenarnya HRT?
HRT semata-mata bertujuan menggantikan
estrogen yang telah hilang. Jadi, estrogen paling baik untuk digunakan ialah
'estrogen semula jadi', dalam perkataan lain, estrogen yang sama seperti
estrogen yang dihasilkan oleh ovari wanita sendiri.
Kelebihan dari Terapi Penggantian
Hormon?
Terapi estrogen semula jadi berkesan
untuk mengawal sakit kepala dan simbahan rasa panas dan lain-lain simptom akibat
dari kekurangan estrogen, biasanya dalam masa seminggu dua. Juga bagi seseorang
wanita yang mengalami kesakitan sewaktu hubungan seks, estrogen yang menjadikan
lapisan dinding faraj lebih tebal dan sihat, akan membantu menjadikan hubungan
kelamin lebih selesa. Tetapi estrogen semula jadi juga membantu otot-otot untuk
menjadi kuat semula dan keadaan kulit serta rambut akan menjadi lebih baik.
Seseorang wanita yang sihat, pasti dia juga akan kelihatan lebih baik.
Inilah masalah-masalah ketara akibat dari
tempoh perubahan ini. Semua masalah ini akan bertindak balas dengan HRT. Tetapi
para doktor hari ini semakin cenderung dalam rawatan pencegahan untuk kesihatan
yang lebih baik bagi semua. Semakin ramai doktor-doktor persendirian
menganjurkan Klinik Wanita Sihat di klinik-klinik mereka.
Salah satu faedah paling besar dari
rawatan HRT yang berpanjangan ialah perlindungan tulang dari reput dan rosak
secara perlahan-lahan. Apabila usia meningkat, perlindungan dari kereputan
tulang (osteoporosis) menjadi semakin penting. Banyak kejadian tulang patah yang
berbahaya dapat dielakkan dengan meneruskan HRT.
HRT jangka panjang juga boleh
mengembalikan perlindungan yang diberikan oleh estrogen sebelum menopos dari
kemusnahan pembuluh darah yang membawa darah ke jantung, otak dan organ-organ
lain.
Terapi estrogen semula jadi boleh
menghindari pelbagai penderitaan yang tidak perlu dideritai, bukan sahaja oleh
wanita itu sendiri, malah keluarga mereka juga. Perubahan hidup anda tidak perlu
menjadi satu bencana. Tidak ada sebab kenapa menopos harus menyekat anda dari
menikmati hidup dengan penuh ceria, sihat dan bahagia untuk tahun-tahun yang
mendatang.
Schering A.G