Wanita hamil memerlukan kesedaran penting mengenai potensi yang boleh
dihadapi ke atas kesihatan diri mereka hari ini. Anda sepatutnya sentiasa berwaspada untuk
kepentingan kesihatan diri dan bayi di dalam kandungan.Merokok boleh menjejaskan
perkembangan bayi dan meningkatkan risiko kelahiran bayi pra matang dan kurang berat
badan. Bayi ini juga akan mengalami pelbagai masalah dan mudah mendapat penyakit jangkitan
lain.
Ramai doktor berpendapat, merokok adalah satu penyakit ketagihan yang
sukar dilenyapkan. Ibu yang merokok akan mendapati doktor menggalakkan mereka menghentikan
tabiat itu. Sokongan amat perlu untuk ibu jika tekanan dirasai untuk membuang tabiat itu
sehingga menyebabkan rasa mengalah. Emosi yang tidak tentu ini juga boleh menganggu
kestabilan kesihatan ibu dan bayi. Bagi kebanyakan ibu hamil yang merokok, naluri keibuan
mampu menghindar tabiat ini dan menjadi satu motivasi bagi mereka.
Mereka akan merasa tidak selesa dengan sendirinya dan merasa
seolah-olah mereka merosakkan kesihatan sendiri dan berusaha agar ia tidak menimpa bayi di
dalam kandungan yang tidak bersalah.
Bayi juga boleh menderita jika ibu terlalu kerap berada di dalam
suasana yang penuh dengan asap rokok. Ini bermakna, pasangan anda juga perlu
bertanggungJawab berusaha untuk mengurangkan pencemaran persekitaran untuk bayi, sebelum
dan selepas melahirkan.
ALKOHOL
Sama ada anda setuju atau tidak, anda harus mengakui bahawa alkohol
adalah racun yang boleh meninggalkan kesan ke atas perkembangan sel. Pengambilan alkohol
yang keterlaluan semasa hamil terutama di dalam minggu ke 12 pertama boleh meninggalkan
kesan ke atas perkembangan bayi.
Cara paling selamat ialah meninggalkan minuman ini dan gantikan dengan
air biasa. Adalah amat penting meninggalkan tabiat ini kerana embrio berada di tahap
risiko yang tinggi walaupun sebelum proses pembenihan terjadi sehingga anda di dapati
hamil.
MAKANAN
Telur separuh masak perlu dielakkan kerana ia berkemungkinan
mengandungi racun salmonella. Makanan yang tidak dimasak bersama telur seperti mayonis dan
ais krim juga ada bahayanya. Daging ternakan juga boleh membawa salmonela dan perlu
dikawal dengan berhati-hati bagi memastikan bakteria dimusnahkan di dalam proses
memasaknya. Pastikan ia benar-benar masak dan jangan sekali-kali memanaskannya semula
untuk dimakan lagi.
Listeriosis adalah penyakit yang jarang berlaku dan menyebabkan
keguguran atau penyakit yang serius ke atas bayi di dalam kandungan. Ibu hamil juga
dinasihatkan tidak memakan hati atau masakan yang mengandunginya kerana kandungan vitamin
A yang tinggi di dalamnya boleh menjejaskan bayi di dalam kandungan.
TOKSID
Pada hari ini ramai yang mengalami pencemaran udara setiap hari.
Sebagai negara industri yang semakin membangun, proses dan pengeluaran barangan
menyebabkan terhasilnya toksid seperti kadmium, merkuri, aluminium dan sebagainya.
Pencemaran dari sisa toksid ini berkaitan dengan masalah yang semakin meluas ke atas
janin, bayi baru lahir dan malahan kanak-kanak juga turut terlibat.
Diet kaya vitamin dan mineral mungkin membantu menghadapi kesan toksin
tetapi wanita hamil perlu mendapatkan nasihat dari doktor sebelum mengambil sebarang
vitamin tambahan.
Pendedahan ke atas toksin tertentu mungkin dapat dikurangkan dengan
menjauhkan diri dari suasana pencemaran seperti menggunakan penapis air. Merkuri boleh
didapati di dalam sesetengah ikan, proses industri dan perubatan pergigian.
Kadmium didapati di dalam asap rokok, baten, makanan dingin beku dan
makanan dari hasil tapisan lain seperti tepung. Bagi mengelakkannya, jauhkan dari asap
rokok dan makan makanan hasil tapisan sebaiknya.
DADAH
Dadah yang keras boleh menjejaskan bayi di dalam kandungan. Jadi
sesiapa yang mengalami ketagihan harus menghentikan pengambilannya sebelum membuat
keputusan untuk hamil.
Kebanyakan dadah dan ubat-ubatan akan melalui rahim dan masuk ke dalam
sistem bayi. Jadi walaupun ubat itu diketahui tidak begitu meninggalkan kesan ke atas bayi
tetapi sebaiknya elakkan pengambilannya ketika hamil.
Apabila ibu memerlukan ubat untuk mengatasi penyakit yang dihidapi
semasa hamil, nasihat doktor amat diperlukan bagi mencegah sebarang risiko ke atas bayi.
Bagi kebanyakan wanita, persoalannya adalah lebih kepada pengambilan
tablet seperti aspirin atau paracetamol untuk sakit-sakit biasa. Sesetengah kajian
mendapati bahawa aspirin yang diambil semasa hamil boleh mengurangkan tahap keselamatan
bayi dan berat badannya, IQ dan kebolehan penumpuannya. Bagaimanapun, kajian ini belum
terbukti tetapi ibu dinasihatkan mengelakkan pengunaannya.
Ubat paracetamol untuk pengunaan tertentu sering disangka selamat
tetapi adalah lebih baik bagi mengelakkan ubat ini dalam minggu ke 12 pertama kehamilan.
Bagi mereka yang menderita sesuatu penyakit ini adalah masa paling baik bagi mengawalnya
melalui diet dan gaya hidup.
Dapatkan nasihat ahli farmasi dan beritahu dia bahawa anda sedang hamil
sebelum membeli sebarang ubat. Cuba hadapi sakit-sakit biasa dan kecil melalui kaedah yang
mudah selain penggunaan ubat. Sebagai contoh, masalah sembelit boleh diatasi dengan
senaman, pemakanan tinggi serat dan minuman selain mengambil laxatif dan sebagainya.
Sesetengah bahan pemakanan semulajadi juga boleh menjejaskan kehamilan
akibat terlebih kuantiti vitamin A, D dan C. Jadi dapatkan nasihat doktor sebelum
mengambil persediaan herba atau vitamin tambahan.
SERI DEWI & KELUARGA, JANUARI 1998, M/s 98-99