ERA kemajuan dan pembangunan prasarana serta minda yang pesat
menjadikan wanita sentiasa mahu segandingan dengan lelaki. Dunia pekerjaan atau dalam
kehidupan, wanita dan lelaki harus seiring untuk menentukan hala diri dan kehidupan yang
lebih mantap dan sempurna.
Bagaimanapun kehadiran wanita di tengah--tengah kelompok masyarakat
selalu diperkecilkan dengan adanya spekulasi yang tidak tepat tentang wanita. Wanita
sering dianggap lemah dan tidak mampu menonjolkan diri untuk bersaing terutama ketika
melakukan percubaan memantapkan kedudukan mereka.
Untuk wanita yang berhasrat berada sebaris dengan lelaki terutamanya
dalam memburu kejayaan karier apa yang paling penting ialah wujudnya keberanian dalam
diri. Manakala keberanian hanya akan wujud apabila ada keyakinan dalam diri untuk
menghadapi masyarakat yang kian terbuka pemikirannya.
Kejayaan memerlukan usaha yang berlipat ganda untuk mencapainya. Selain
usaha, diri perlu dibekalkan dengan keyakinan untuk merancang dan menyusun strategi
kejayaan. Bagi membina keyakinan apa yang diperlukan ialah keterampilan diri atau imej
yang boleh dibanggakan untuk menonjolkan kemampuan.
Di dalam buku MOTIVASI... Memburu Kejayan, karya pakar motivasi Dato'
Maznah Hamid ada memberi kata-kata dan gambaran imej seperti berikut;
Harta yang paling bernilai kepada setiap insan ialah imej dirinya...
Dan imej diri dianggap sebagai aset paling berharga kepada diri individu tersebut. Sebagai
seorang yang positif, kita mesti berusaha untuk membina aset diri dalam usaha mencapai hak
sebagai manusia yang menikmati kebahagiaan dan kejayaan...
Jika selama ini imej hanya dikaitkan dengan qambaran fizikal seperti
cara berpakaian, bersolek dan gambaran fizikal lainnya imej diri sebenarnya meliputi
pengertian yang lebih luas.
Imej diri yang jujur mampu mentafsir seseorang individu secara
menyeluruh. Begitulah pentingnya imej yang mampu membentuk personaliti diri yang sejajar
dengan kejayaan yang dikehendaki.
Imej akan terbentuk daripada sifat yang ditunjukkan. Malahan imej diri
bukan semata-mata melibatkan apa yang dilahirkan daripada gerak geri dan tutur kata
malahan imej diri sebenarnya lahir daripada sifat dalaman seperti kata pepatah Inggeris, 'What
you see in you, is what you get!
Individu itu akan lebih diyakini apabila mempunyai personaliti dan imej
diri yang cukup meyakinkan. Imej boleh dianggap sebagai gambaran yang menentukan reaksi
orang lain terhadap diri orang yang dipandangnya. Kebolehan membina imej diri serta
memberi keyakinan pada diri sendiri adalah lebih penting sebelum mampu menarik orang lain
mempercayai diri kita.
Imej akan menggambarkan keyakinan dan keberanian yang dinyatakan
melalui perlakuan dan tindak tanduk. Cara membawa diri seperti berjalan, bercakap dan
tingkah laku akan diukur sebagai imej diri yang akan memberitabu siapa diri kita yang
sebenarnya.
Imej diri sempurna yang lahir dari sikap dalaman samalah seperti kita
'menuai' apa yang kita tanam. Sekiranya kita 'menanam' gambaran mental sebagai seorang
yang gagal dengan ciri-ciri negatif, maka itulah yang akan kita 'tuai'. Maka jadilah kita
sebagai individu yang lemah dan selalu kecewa.
Jangan biarkan perasaan negatif lahir dalam diri sehingga menyebabkan
berlakunya mental block yang boleh menyekat pemikiran kreatif yang membina diri. Berilah
ruang untuk pemikiran yang positif. Kukuhkan motivasi diri sehingga menjadi kuat untuk
berubah. Sebenarnya setiap orang dikurniakan kelengkapan dan kekuatan mental, jasmani dan
rohani untuk menjadi seorang yang beriaya.
Pada sesebuah syarikat, imej koporatnya akan memberi gambaran
keseluruhan terutama kemantapan ekonominya. Begitu juga imej pada seseorang individu. Imej
boleh membuatkan orang meletak kepercayaan dan berkeyakinan sepenuhnya terhadap individu
tersebut.
Kejayaan tidak dapat dicapai melebihi daripada imej dan kepercayaan
terhadap kebolehan diri sendiri. Ia merupakan penentu kepada apa yang boleh dicapai.
Selain usaha keras untuk membentuk imej diri, ia kadangkala terbentuk secara tidak
disedari.
Pengalaman dan persekitaran selalunya membentuk pemikiran dan imej
diri. Bagaimanapun jangan terlalu membiarkan diri dipengaruhi oleh pengalaman yang negatif
kerana ini secara tidak langsung akan membuatkan anda membina imej yang tidak sewajarnya.
Hanya anda yang boleh melakukan usaha membetul dan mengukuhkan imej
diri. Tidak ada siapa yang boleh menghalang atau mendorong ke arah itu. Sejauhmana kita
berjaya mengubah dan membentuk imej terletak pada bagaimana kita mengendalikan diri kita.
Imej diri adalah gabungan antara rasa hormat dan penghargaan terhadap
diri sendiri. Ini termasuklah percakapan, disiplin serta kawalan diri untuk
menyempurnakannya. Pengendalian faktor di atas akan menentukan anda membentuk imej diri
yang positif atau negatif.
Orang tidak akan berjaya tanpa imej diri. Sedarilah bahawa kita perlu
membina keyakinan dan imej diri supaya kita tidak mudah terancam dengan persekitaran yang
semakin mendesak. Dalam usaha menjadikan anda seorang wanita berjaya dalam rumah tangga
dan kerjaya pastikan anda seorang yang berani, cekal dan sanggup berkorban untuk membentuk
imej dan personaliti sesempurna mungkin.