PENYUSUAN SUSU IBU
Mengapa Bayi Anda Harus Diberi Susu
Ibu?
Susu ibu mengandungi segala khasiat yang
diperlukan oleh bayi. Malah susu ibu juga merupakan imunisasi yang pertama untuk
seseorang bayi, mudah dicerna dan sentiasa boleh diperolehi dengan suhu yang
sesuai pada bila-bila masa.
Penyusuan ibu pada bulan-bulan awal
selepas kelahiran boleh membantu pertumbuhan dan perkembangan kecerdasan
seseorang bayi.
Dengan menyusui bayi, ibu juga akan
mendapat beberapa kebaikan. Penyusuan ibu dapat menjalinkan perhubungan rapat
antara ibu dan anak. Ia juga membantu mengecutkan rahim ibu kepada saiz asal
yang lebih cepat. Ramai ibu juga kembali kepada berat dan bentuk asal dengan
lebih mudah. Anda juga boleh menghindari penyakit barah buah dada dan barah
ovari. Penyusuan dengan susu ibu dapat menjimatkan masa dan belanja.
Bolehkan Semua Wanita Menyusui Bayi?
Hampir semua wanita boleh menyusui bayi.
Ukuran buah dada tidak boleh dijadikan ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan.
Kekerapan bayi menghisap akan merangsang
lagi penghasilan susu ibu yang banyak. Masalah puting buah dada yang leper atau
tenggelam boleh diatasi semasa hamil dengan mendapatkan nasihat doktor atau
jururawat.
Untuk menampung buah dada semasa hamil,
baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar daripada biasa adalah diperlukan.
Pada bulan-bulan akhir kehamilan, elakkan
daripada mencuci buah dada dengan menggunakan sabun atau bahan-bahan lain yang
boleh mengeringkannya. Gunakan air biasa sahaja.
Pastikan buah dada diperiksa oleh doktor
pada awal kehamilan untuk memastikan puting buah dada tidak tenggelam dan tidak
mengalami masalah-masalah lain.
Pada bulan-bulan akhir anda harus belajar
teknik dan cara memerah susu. Ini akan membantu anda selepas kelahiran bayi anda.
Selepas Melahirkan Bayi
Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir
adalah sesuatu yaang membanggakan seseorang ibu.
Bayi yang baru lahir mempunyai naluri
hisapan yang kuat. Jadi, susuilah bayi sebaik sahaja dilahirkan dan pada
bila-bila masa bayi kelihatan lapar. Jika bayi tidur lebih 3 jam, kejutkan dia
dan galakkan ia menyusu.
Pada masa-masa awal selepas kelahiran,
bayi hanya perlu menghisap susu ibu untuk tempoh beberapa minit sahaja. Berikan
bayi menyusu lebih lama jika ia ingin terus menghisap. Keperluan seseorang ibu
dan bayi yang dilahirkan adalah berbeza dengan ibu dan bayi yang lain.
Pada peringkat awal selepas melahirkan
bayi, susu ibu tidaklah banyak tetapi pekat dan berwarna kekuningan. Susu ini
dinamakan kolostrum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi
bayi dari penyakit. Kolostrum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda.
Bayi tidak perlu diberi susu botol ataupun air.
Penyusuan yang sekejap tetapi kerap akan
mengelakkan buah dada daripada menjadi bengkak. Ini akan menambahkan lagi
penghasilan susu ibu. Jika buah dada anda terasa kepenuhan atau bengkak, anda
harus terus menyusukan bayi dengan lebih kerap lagi. Biasanya rasa kepenuhan ini
akan dirasa dalam masa 2 - 3 hari sahaja.
Petua Untuk Ibu-Ibu
Amalan Positif:-
-
Dapatkan maklumat-maklumat berguna
mengenai penyusuan ibu semasa hamil.
-
Yakinkan diri yang susu anda mencukupi
untuk bayi anda.
-
Menyusui bayi dalam keadaan tenang dan
banyak berehat pada minggu-minggu awal selepas kelahiran bayi.
-
Pastikan penyusuan dilakukan dengan
posisi yang betul dan selesa supaya tidak terasa lenguh.
-
Makan makanan yang seimbang dan minum
air atau cecair yang mencukupi.
-
Ingatlah bahawa lebih kerap penyusuan
dilakukan semakin banyak susu akan dihasilkan.
Amalan Negatif:-
-
Jangan terpengaruh dengan kata-kata
bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi anda. Bayi hanya perlukan
kolostrum pada hari-hari awal selepas kelahiran.
-
Bayi tidak memerlukan sebarang minuman
lain seperti susu botol atau air. Cara menghisap puting botol dan puting
buah dada adalah berbeza. Ini akan mengelirukan bayi dan seterusnya
menggagalkan penyusuan susu ibu.
-
Dalam masa 6 minggu pertama adalah 'masa
latihan' untuk ibu dan bayi. Anda harus tenang dan sabar semasa melakukan
penyusuan kerana cara ini dapat menyelesaikan banyak masalah.
-
Adalah menjadi suatu kebiasaan jika
bayi yang diberi susu ibu kerap membuang air besar. Najis ini biasanya cair
dan berwarna kekuningan. Adakalanya bayi tidak membuang air besar beberapa
hari lamanya. Ini juga merupakan suatu perkara biasa.
Berapa Lama Bayi Perlu Menyusu?
Penghasilan susu ibu yang secukupnya
diperolehi dalam masa 6 minggu. Dengan ini ibu boleh meneruskan pemberian susu
selama mana yang diingini. Para doktor mengesyorkan supaya bayi harus diberi
susu ibu sekurang-kurangnya selama 6 bulan.
Ramai juga ibu-ibu yang berjaya
menyusukan bayi mereka sehingga 2 tahun. Amalan begini sangatlah digalakkan
kepada keluarga yang mempunyai banyak alahan.
Oleh kerana banyak susu akan terhasil
selepas kelahiran, adalah tidak mustahil bagi ibu-ibu yang bekerja terus
menyusui bayi mereka walaupun mereka bekerja sepenuh masa atau secara sambilan.
Pilih Tempat Bersalin