Wanita di Malaysia sungguh bertuah kerana
pindaan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan pada tahun ini telah meletakkan
hak yang sama rata untuk semua tanpa mengira jantina. Pengiktirafan ini menjadi
bukti kejayaan wanita di negara ini untuk mencapai kesaksamaan gender.
Hal ini bermakna, ruang dan peluang yang
lebih terbuka dan selesa tersedia untuk wanita mengorak langkah mencapai kejayaan.
Namun, perjuangan mereka masih belum berakhir kerana masih banyak cabaran yang
harus ditangani untuk menempatkan diri dalam sfera kehidupan yang lebih selesa
dan bermakna.
Secara keseluruhannya, kedudukan wanita
di negara ini lebih baik berbanding saudara mereka di negara membangun lain,
khususnya di Asia Selatan dan Afrika. Wanita Malaysia telah mencapai kejayaan
yang membanggakan dengan jumlah mereka yang berjaya dalam kerjaya dan pendidikan
semakin meningkat. Semakin ramai wanita yang menjawat jawatan tinggi, sama ada
di sektor awam mahupun swasta. Trend kemasukan pelajar ke universiti tempatan
sejak 1995 menunjukkan peningkatan pelajar perempuan berbanding lelaki. Malah,
pada tahun ini, jumlah pelajar perempuan yang mendaftar di universiti tempatan
adalah sebanyak 65% berbanding lelaki hanya 35%.
Jika demikian hebatnya kejayaan wanita
kita, bagaimana agaknya mereka dipaparkan dalam media massa tempatan? Mungkin
ada yang bertanya apakah pentingnya soal pemaparan wanita ini untuk dibahaskan?
Rasionalnya, rutin kehidupan kita sedikit-sebanyak berkisar kepada aktiviti
yang melibatkan penggunaan produk media sama ada menonton televisyen, membaca
akhbar, atau mendengar radio. Pergantungan dan pengguanaan produk media bukan
sekadar hubungan yang pasif antara khalayak dan penyalur mesej kerana media
massa membawa bersama nilai-nilai sosial.
Media massa telah menjadi institusi yang
penting dalam mencorakkan pemikiran masyarakat. Ia berupaya membentuk tanggapan
khalayak melalui pemaparan imej yang disalurkan olehnya secara berulang-ulang.
Proses ini berlangsung secara halus dan hampir tidak disedari oleh khalayak.
Melalui kekerapan dan teknik kreatif yang diadaun secara halus, maka tidak menghairankan
jika khalayak tidak menyedari bahawa persepsi mereka terhadap sesuatu fenomena
sebenarnya telah dibentuk. "Kuasa" inilah yang jika salah digunakan
akan memberi kesan yang negatif kepada khalayak.
Oleh itu, pemaparan wanita merupakan isu
yang signifikan. Pejuang wanita dan pengkritik media khuatir dengan implikasi
pemaparan wanita yang menyeleweng daripada realiti kerana ia menafikan status,
peranan dan sumbangan wanita terhadap pembangunan negara. Lebih daripada itu,
ia membentuk persepsi yang salah terhadap wanita.
Gaye Tuchman, sarjana komunikasi Amerika,
menyifatkan media telah melakukan "symbolic annihilation", yakni dengan
makna lain, strategi media adalah mempromosikan stereotaip atau mengurangkan
pemaparan wanita. Berdasarkan kajiannya, wanita sejati menurut media ialah seorang
yang "pasif dan tidak mampu berdikari; nasib dan kegembiraannya bergantung
kepada lelaki semata, bukannya menjadi tenaga kerja."
Apakah stereotaip? Stereotaip secara mudah
bermakna idea dan andaian umum yang menjadi simbol yang dipermudahkan, diumumkan,
dan disesuaikan terhadap sesuatu kelompok manusia. Ia merupakan pengkelasan
sosial yang tipikal dan tidak mengandungi ciri-ciri yang baru, misalnya "hero
filem Hollywood mesti lelaki berkulit putih."
Stereotaip sukar dielakkan dalam media;
ia sudah menjadi praktis dalam pengeluaran produk media. Misalnya, industri
filem Hollywood dikatakan berkembang berasaskan naratif yang stereotaip untuk
menarik perhatian kelompok awal khalayak Amerika yang buta huruf dan berbilang
kaum.
Bagaimana agaknya kandungan media tempatan?
Kajian-kajian yang banyak dilakukan oleh para sarjana komunikasi tempatan mendapati
media negara ini masih mengekalkan imej wanita yang stereotaip. Periklanan misalnya
sarat dengan imej stereotaip wanita. Wanita masih digambarkan sebagai suri rumah,
mudah dipengaruhi, seksi, emosional, dan terikat dengan ciri-ciri tradisional
seperti suka memasak dan melaram. Imej wanita kerap digunakan untuk melariskan
barangan dan perkhidmatan. Ia boleh diterima jika barangan berkaitan wanita
menggunakan model wanita. Bagaimana pula dengan iklan yang tidak berkenaan sepert
tayar kereta?
Majalah-majalah wanita kita pula sering
memaparkan rutin hidup wanita yang terikat dengan dunia fesyen, kecantikan,
masakan, dan petua rumahtangga. Ia juga berfungsi sebagai agen promosi gaya
hidup terkini dengan peruntukan halaman fesyen yang lebih banyak daripada editorial.
Ruangan fesyen telah menjadi hukuman mandatori untuk para editor menyiarkannya
secara tetap. Dalam kajian oleh Fauziah Ramly untuk bengkel anjuran Asia-Pacific
Development Centre pada 1992 terhadap sampel majalah Her World, didapati 35%
halaman diperuntukkan untuk fesyen. Jumlah itu melebihi peruntukan halaman artikel
tentang pembangunan luar bandar, alam sekitar, kesihatan, dan kerjaya yang ditulis
dengan baik dan pastinya lebih bermanfaat.
Drama dan filem tempatan pula tidak banyak
mengangkat martabat wanita dengan peranan yang aktif dan boleh dicontohi. Menurut
kajian Kiranjit Kaur dan Rosni Jaafar dari Universiti Teknologi MARA terhadap
drama televisyen tempatan pada 1989, watak wanita digambarkan secara pasif dan
tidak mempunyai peranan yang penting dalam masyarakat. Wanita digambarkan sebagai
terikat dengan tugasan rumah tangga, mengerjakan ladang dan menjalankan tugas
di pejabat. Watak wanitanya pula tampil cantik, bergantung kepada orang lain
(suami/bapa), setia, sabar, pasrah ditindas, dan hidup menderita. Walaupun kajian
ini telah lama dilakukan, namun realiti semasa masih tidak banyak berubah. Kita
pasti tidak lupa kontroversi yang timbul ekoran tayangan filem "Perempuan,
Isteri dan
" arahan U-Wei Saari yang memparkan watak isteri curang
yang hidup bertunjangkan nafsu.
Bagaimana pula dengan liputan akhbar terhadap
wanita? Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1994 mendapati sebanyak 37.5%
liputan berita tentang wanita bersifat negatif, bias, dan seksi. Keadaan ini
tidak mencerminkan realiti bahawa 43% wartawan Malaysia pada tahun kajian adalah
wanita tetapi hanya 17% kandungan media difokuskan kepada wanita. Berita tentang
wanita bukanlah prioriti utama akhbar dan jarang diletakkan di muka depan akhbar.
Hal ini mungkin kerana setiap akhbar mempunyai halaman wanitanya sendiri. Namun
tidaklah secara halus, ia bukan hanya bermaksud berita tentang wanita tidak
penting dan hanya sesuai diletakkan di ruangan khas yang terhad, tetapi lebih
daripada itu, wanita dibiarkan dalam alam rumah tangga semata-mata?
Perdebatan mengenai imej wanita stereotaip
yang muncul dalam media kerap menyarankan peluang dibuka seluas mungkin supaya
lebih ramai wanita menjadi pembuat keputusan dalam organisasi media. Sehingga
kini, bilangan wanita yang memegang jawatan utama dalam organisasi media negara
amat rendah. Kalau adapun, mereka tidak terlibat secara mutlak untuk membuat
keputusan. Persoalannya, adakah mungkin "nature" dunia kewartawanan
yang didominasi oleh lelaki telah membiarkan wartawan wanita membuat liputan
soft news semata-mata?
Kita tidak menafikan bahawa media tempatan
menunjukkan perubahan yang menjanjikan pemaparan yang lebih positif, tetapi
ia berkembang pada kadar yang perlahan. Lebih banyak inisiatif yang perlu dikerah
daripada pihak media untul menyerlahkan wajah wanita Malaysia yang lebih mandiri,
positif, berpandangan luas, mempunyai kerjaya, dan kehidupan berkeluarga yang
mantap. Wartawan wanita sebenarnya ramai yang bersedia menyumbang. Sejarah membuktikan
sendiri mereka telah banyak berjasa dalam mengupayakan wanita negara ini sejak
merdeka sehingga kini. Misalnya, usaha bersepadu kumpulan wartawan wanita dan
pertubuhan wanita dalam kempen media yang agresif pada 1996 telah membawa penguatkuasaan
Akta Keganasan Rumahtangga pada tahun yang sama selepas usaha selama 10 tahun
diperjuangkan oleh pertubuhan wanita.
Pihak media harus mengangkat imej wanita
berilmu dan berhenti memaparkan fantasi yang tidak mungkin dapat dibeli. Perhatian
kepada isu-isu yang mampu meningkatkan kualiti diri dan minda harus diutamakan.
Pengamal media perlu mempunyai misi yang kukuh dan berterusan untuk mengangkat
martabat wanita dan mengupayakan wanita kita seiring realiti kejayaan yang telah
diraih.
Dewan Masyarakat Disember 2001 Ms
30 - 31.