WALAUPUN separuh penduduk mana-mana
negara terdiri daripada wanita, kaum Hawa masih dianggap kumpulan minoriti. Adakah ini
disebabkan dunia masih dikuasai oleh kaum Adam? Adakah keadaan ini akan berubah setelah
kaum Hawa menguasai teknologi maklumat (IT) dan dapat memperbaik nasib dan kedudukan
mereka? Tidak kira apa jua pandangan lelaki, wanita mesti menguasai IT, kerana IT membuka
laluan kepada wanita untuk membaiki diri dan mengubah imej mereka.
Banyak perubahan sosioekonomi dan politik berlaku ke atas wanita,
terutama di negara maju, berasaskan tinjauan yang berikut:
- Wanita akan merupakan 48 peratus tenaga kerja di Amerika Syarikat (AS) menjelang tahun
2005.
- Satu per tiga perniagaan di AS
- 48 peratus pekerja wanita menyumbang 50 peratus kepada pendapatan keluarga.
- 82 peratus wanita kini mendapat pendidikan tinggi, selain mempunyai literasi komputer.
- 85 peratus wanita yang bekerja di AS mendapati kerjaya mereka sangatlah penting.
- 65 peratus wanita berkerjaya dan mengurus rumah tangga.
- Wanita dijangka meliputi 48 peratus pengguna on-line dan internet menjelang tahun
2000.
Perangkaan di atas menunjukkan wanita hari ini berbeza daripada dahulu.
Tidak kira sama ada sebagai ibu, isteri, atau masih bujang, mereka perlu pandai
membahagikan waktu, wang, dan kerja rumah. Senarai kerja wanita bertambah setiap masa.
Oleh itu, 88 peratus daripada mereka mendapati media komunikasi, terutama
internet, amat menjimatkan masa, lebih~lebih lagi membolehkan mereka
berurusan dengan bank dan membeli-belah 24 jam, selepas balik dari kerja atau pada masa
lapang.
Perkembangan lain yang menyusul perubahan itu ialah hilangnya tanggapan
bahawa dunia wanita adalah di rumah. Kebanyakan rumah tangga kini memerlukan pendapatan
kedua-dua suami dan isteri. Perkembangan ini bukan sahaja membuka peluang baru kepada
wanita, tetapi juga mengimbangi hubungan kuasa antara lelaki dengan wanita. Sehingga zaman
perindustrian, kerjaya yang dipilih oleh wanita meliputi aktiviti tradisional, kerana 80
peratus daripada mereka bekeria dalam sektor perkhidmatan, perkeranian, kejururawatan, dan
perkilangan. Kerja mereka dibayar upah yang murah, diberi status yang rendah; maka wanita
tidak mempunyai kuasa dan pengaruh. Tetapi dalam era maklumat sekarang, yang dipentingkan
ialah kekuatan intelektual.
Industri maklumat yang menjadi kuasa utama penggerak ekonomi abad ke-21
telah membuka banyak peluang pekerjaan baru kepada wanita. Kerja yang dimaksudkan itu
bukan sahaja terhad kepada membuat pengaturcaraan yang hanya boleh difahami oleh komputer
dan penganalisis sistem, tetapi menghasilkan maklumat yang boleh difahami oleh manusia,
sama ada pakar atau bukan pakar. Antaranya, membangunkan laman web, mengarang, dan melukis
yang memerlukan bakat, kemahiran, latihan, kreativiti, dan pengalaman.
Wanita yang mempunyai literasi teknologi, terutama literasi komputer
mendapati mereka boleh melakukan banyak kerja yang tidak dapat dilakukan oleh mereka
dahulu. Kelebihan itu disebabkan teknologi maklumat telah mewujudkan fleksibiliti dan
peluang yang tidak wujud sebelum ini. Antaranya:
- Mereka boleh mendapat maklumat daripada internet, pangkalan data, media massa, dan
sebagainya.
- Mereka boleh berkomunikasi dengan bebas, maka boleh mencapai khalayak yang besar.
- Mereka boleh mengimbangi kerja rumah dengan kerja pejabat.
- Mereka boleh menyampaikan maklumat melalui internet tanpa perlu ditapis.
- Mereka yang berniaga boleh mengakses pasaran sejagat yang tidak mungkin dilakukan pada
masa dahulu kerana kos pemasaran, pengiklanan, dan lain-lain.
- Wanita kini tidak perlu lagi menyerahkan tanggungjawab berkomunikasi kepada lelaki
sahaja, sebagaimana mereka menyerahkan kuasa ekonomi dan politik kepada lelaki selama ini.
- Mereka boleh memaksimumkan kuasa telekomunikasi dan meminimumkan masa perjalanan, agar
mempunyai lebih banyak masa bersama-sama dengan keluarga.
- Mereka boleh beroperasi dari rumah.
- Mereka yang sibuk boleh membeli-belah melalui internet 24 jam.
Banyak peluang baru wujud daripada perubahan yang berlaku pada zaman
maklumat. Hasilnya, pekerja wanita sudah meningkat. Nisbah pekeria wanita berbanding
dengan lelaki meningkat daripada 1:5 pada tahun 1947 kepada 2:5 oada tahun 1970. Kini, 43
peratus pekerj di negara maju adalah wanita.
Wanita yang berpendidikan tinggi dan mempunyai literasi teknologi
adalah wanita baru yang pandai komputer. Masalah yang paling ditakuti sekarang bukan
teknologi, tetapi isi kandungan yang sesuai. Isi kandungan internet, misalnya, yang
membuat orang ramai tertarik kepadanya, dan bukan teknologi. Namun, teknologi juga perlu
diberi perhatian kerana teknologi yang lebih mudah, murah, dan cepat itu menarik lebih
banyak orang. Buat masa ini, internet dimonopoli oleh lelaki dengan isi kandungannya
berorientasi sukan, hiburan, dan sebagainya yang digemari oleh lelaki. Sebaliknya ,
maklumat yang dikehendaki oleh wanita adalah tentang pemakanan, resipi, masalah wanita,
rawatan penyakit dan kecederaan ringan dengan segera, dos ubat dan kesan sampingannya.
Maklumat itu menjadikan mereka ibu yang lebih bijak dan isteri yang lebih pandai mengurus
kewangan keluarga.
Banyak usahawan wanita telah membangunkan laman web dengan isi
kandungan yang sesuai untuk wanita. Contohnya, Ellen Pack Nancy yang membangunkan WELL
(whole Earth Electronic Link) di San Francisco. Yang penting ialah melalui internet,
setiap pelanggan diberi layanan kelas pertama. Soalnya bagaimana mengubah internet menjadi
female friendly? Mod komunikasi yang sama ditanggapi secara berlainan antara lelaki dengan
perempuan.
TUJUH puluh peratus wanita dipertanggungjawabkan untuk mengurus
kewangan keluarga: membayar bil bulanan, membeli-belah untuk keluarga, merancang percutian
keluarga, dan membuat simpanan di bank. Oleh sebab itu teknologi telepembelian dan
teleperbankan cuba menjadikan wanita sebagai sasaran perniagaan mereka. Bagaimanapun, di
Amerika Syarikat, 45 peratus wanita menggunakan internet, kerana lebih mudah (90%), boleh
digunakan 24 jam (90%), seronok dan selesa (71%), mendapat produk baru pertama kali (60%),
mengakses maklumat (90%), tidak berasa malu bertanya sesuatu yang "bodoh" di
hadapan jurujual yang tidak dikenali dan yang tidak profesional (81%), boleh mendapat
hiburan dan rangsangan tanpa meninggalkan rumah (69%), tidak mahu berkonfrontasi dengan
jurujual yang agresif (85%), keselamatan diri terjamin di dalam rumah sendiri (76%), dan
boleh berinteraksi dengan kawan walaupun berada di rumah sahaja.
Dalam era maklumat, yang dipentingkan ialah kekuatan intelek. Banyak
wanita merebut peluang dalam perkembangan IT untuk merealisasikan potensi. Banyak di
kalangan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi sehingga menjadi pakar
dalam bidang masing-masing. Mereka menggunakan peluang itu untuk mencetuskan perubahan
lain yang menguntungkan wanita sendiri. Sehubungan itu, teknologi komputer dalam era
maklumat mempunyai kesan empowerment yang luar biasa dalam meningkatkan produktiviti,
lantas menaikkan status wanita.
Teknologi cumalah alat. Ia tidak membezakan jantina, kerja, atau mesej.
Yang boleh membezakan ialah isi kandungannya. Tetapi, untuk mendapatkan mesej dan
maklumat, semua orang perlu menggunakan teknologi. Persoalan utama dalam konteks ini ialah
kebolehan mengakses. Hal ini meliputi kemampuan memiliki teknologi, kemudahan prasarana,
undang-undang, dan lain-lain. Oleh itu setiap wanita perlu kreatif dan inovatif.
Walaupun wanita berjaya dalam bidang perniagaan dan kerjaya lain, tidak
banyak di kalangan mereka yang berjaya naik ke peringkat pengurusan pada tahun 1980-an.
Sikap masyarakat, kekananan, dan faktor diskriminasi jantina adalah penyebab utama
berlakunya situasi itu.
DEWAN BUDAYA, OGOS 1998, BIL 8 JIL 20, M/S 20-21