BOLEHKAH SEMUA WANITA MENYUSU?
Secara lumrahnya setiap wanita
dikurniakan dengan kebolehan untuk menyusui bayinya. Dengan adanya keyakinan dan
pengetahuan setiap wanita boleh melakukannya.
Saiz payudara tidak boleh dijadikan
ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan. Kekerapan bayi menghisap akan
merangsang penghasilan susu ibu yang banyak, mengikut permintaan bayi. Masalah
puting susu yang leper atau tenggelam juga tidak sepatutnya menjadi halangan.
Mereka yang menghadapi masalah sebegini sebaiknya mendapatkan bantuan
profesional yang boleh membantu mereka.
Persediaan Semasa Hamil
Tempoh kehamilan sebaiknya dipenuhi
dengan aktiviti untuk mempelajari ilmu keibubapaan. Dapatkanlah dan baca
sebanyak mungkin mengenai penyusuan susu ibu serta lain-lain aspek penjagaan
anak. Jika berpeluang, hadiri kelas-kelas ibu mengandung bersama suami anda.
Payudara anda biasanya membesar sedikit semasa hamil kerana pembesaran
kelenjar-kelenjar susu. Untuk menampung payudara, baju dalam yang berukuran satu
saiz lebih besar biasanya diperlukan. Gunakan air biasa sahaja untuk mencuci
payudara. Elakkan penggunaan sabun kerana ianya boleh mengeringkan kulit
payudara.
Pastikan payudara diperiksa oleh doktor
untuk memastikan anda tidak mempunyai masalah di payudara.
Ikuti kelas atau ceramah mengenai
penyusuan susu ibu yang terdapat di tempat anda. Ini boleh membantu anda
mengetahui lebih mendalam mengenai penyusuan dengan susu ibu.
Pada bulan-bulan akhir, pelajari
cara-cara memerah susu. Pengetahuan ini akan membantu anda selepas kelahiran
bayi, sekiranya perlu.
Selepas Melahirkan Bayi
Hari-hari pertama selepas kelahiran
memang meletihkan. Kuatkan semangat dan susui bayi anda secepat mungkin selepas
dilahirkan. Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah satu pengalaman
indah bagi seorang ibu.
Susui bayi anda dengan kerap mengikut
permintaannya dan bukan mengikut jadual yang tertentu. Jika bayi anda lebih suka
tidur, bangunkan dan galakkan dia menyusu lebih kurang setiap 2 jam.
Hari-hari pertama merupakan waktu-waktu
yang penting. Payudara mungkin belum dipenuhi susu, namun susu ini sangat
penting. Susu awal ibu tidak banyak tetapi ianya pekat dan berwarna kekuningan.
Susu ini dinamakan kolosterum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh
melindungi bayi dari penyakit. Kolosterum ini sudah cukup untuk mengenyangkan
bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol atau air masak.
Buat permulaan, bayi anda mungkin akan
menghisap selama beberapa minit sahaja. Biarkan dia menghisap lebih lama jika
mahu. Keperluan seseorang bayi adalah berlainan daripada bayi yang lain.
Susui bayi anda dengan kedudukan yang
selesa samada duduk atau berbaring. Gunakan bantal untuk mengampu tangan atau
belakang jika perlu. Pastikan bayi mengiring rapat menghadap anda agar dia dapat
memasukkan sebanyak mungkin kawasan areola (tampuk hitam disekitar puting) ke
dalam mulutnya. Posisi penyusuan yang baik akan dapat mengelakkan masalah
seperti sakit puting atau kurang susu.
Jika anda menghadapi masalah, kami
syorkan anda mendapat bantuan dari mereka yang mahir.
Petua Penyusuan Yang Berjaya
Amalan positif:
- Persediaan mental sebelum kelahiran
adalah penting. Dapatkan maklumat-maklumat berguna mengenai penyusuan susu
ibu semasa hamil.
- Yakinkan diri yang susu anda mencukupi
untuk bayi anda.
- Susui bayi dalam keadaan tenang dan
banyak berehat pada minggu-minggu awal selepas kelahiran bayi.
- Pastikan penyusuan dilakukan dengan
posisi yang baik dan selesa supaya tidak terasa lenguh dan mengelakkan
masalah seperti sakit puting.
- Makan makanan yang seimbang dan minum
air yang mencukupi.
- Perlu diingatkan bahawa bekalan susu
ibu bergantung kepada rangsangan. Lagi kerap bayi menyusu, semakin banyak
susu akan dihasilkan.
Amalan negatif:
- Jangan terpengaruh dengan kata-kata
bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi anda. Jika anda berupaya
melahirkan seorang bayi ke dunia ini, anda sudah pasti mampu memberikannya
susu yang terbaik.
- Jangan berikan bayi anda susu botol
tambahan atau air masak. Bayi tidak perlu diberikan makanan atau minuman
lain kecuali susu ibu sehingga berusia 4 hingga 6 bulan.
- Cara menghisap puting botol dan puting
payudara adalah berbeza. Ini boleh mengelirukan bayi dan ibu tidak akan
berjaya untuk menyusukan bayi.
- Jangan menyusu dalam keadaan
terburu-buru. Masa 6 minggu pertama adalah masa 'latihan' untuk ibu dan bayi.
Ketenangan dan kesabaran akan menyelesaikan banyak masalah.
- Jangan risaukan kekerapan bayi
membuang air besar . Ini merupakan perkara biasa bagi bayi yang diberi susu
ibu. Najis biasanya cair sedikit dan berwarna kekuningan. Adakalanya bayi
tidak membuang air besar beberapa hari lamanya. Ini juga perkara biasa.
Dapatkan Nasihat Dan Sokongan
Pastikan anda mendapat bantuan dan
cara-cara yang tepat bila menghadapi apa jua masalah penyusuan susu ibu.
Kaunselor Laktasi Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu Malaysia (PPPIM) serta
klinik-klinik kerajaan yang berdekatan sedia membantu anda. Anda juga boleh
menjadi ahli PPPIM dan berpeluang untuk mengikuti kursus "Sokongan Dari
Ibu-Ke-Ibu" yang diberikan percuma. Alamat surat-menyurat ialah:
Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu
Malaysia, 7A, Jalan Kolam Air, Kg. Klang Gate Baru, 53100 Kuala Lumpur.
|
Ahli-ahli kami
sedia membantu jika anda menghadapi masalah dalam penyusuan ibu.
Sila hubungi
kami di:
BILIK LAKTASI
HOSPITAL QUEEN
ELIZABETH
088-206331 (Masa
Pejabat)
088-218166 samb
207 (24 jam)
Sila hubungi
kami di luar waktu pejabat:-
Dr. Fauziah Zainal
Abidin (088- 253195)
Dr. Khalijah Hj.
Siron (088- 255564)
Dr. Madeline Piper
(088-235079)
Pn. Irene Tay S.M.
(088-713707)
Pn. Ho Sang Moi
(088-258905)
Pn. Liaw You Lan
(088- 239392)
Pn. Margaret Liew
(088-710695)
Pn. Kwan Pui Fong
(088-216255)
|