Jawapan: Tan Sri Bernard Giluk Dompok: Sebagaimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum dianggarkan terdapat 600,000 pendatang asing di negeri Sabah yang terdiri daripada tiga kategori seperti berikut:

  1. pelarian - iaitu mereka yang berasal dari Selatan Filipina dan masuk ke Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula dari tahun 1972 hingga tahun 1984 disebabkan oleh kekacauan politik yang berlaku di wilayah tersebut. Bilangan mereka seramai 57,197 orang;
  2. buruh asing - iaitu mereka yang terdiri daripada warga Indonesia dan Filipina yang masuk dan bekerja dengan menggunakan dokumen perjalanan dan pas lawatan yang sah dan bekerja di sektor-sektor yang dibenarkan seperti sektor perladangan, pembuatan, pembinaan, perikanan dan pembantu rumah untuk tempoh masa tertentu sehingga lima atau tujuh tahun. Bilangan mereka seramai 413,832 orang; dan
  3. pendatang tanpa izin ataupun PTI - iaitu mereka yang terdiri daripada pendatang asing masuk tanpa menggunakan dokumen yang sah ataupun dokumen perjalanan yang digunakan termasuk pas lawatan telah luput tempoh sah laku. Bilangan mereka dianggarkan di antara 100,000 hingga 150,000 orang. Dasar kerajaan terhadap pendatang asing adalah berasaskan kepada tiga kategori yang saya sebutkan tadi seperti berikut:

Mengenai soalan Yang Berhormat bagi Keningau mengenai kedudukan pelarian Filipina di Sabah, saya ingin maklumkan sebahagian besar daripada pelarian Filipina pada masa ini masih lagi berada di negeri Sabah. Kerajaan Malaysia membenarkan mereka tinggal di negeri ini memandangkan keadaan di selatan Filipina yang masih tidak menentu sehingga ini.

Mengenai soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Tanjung Aru, seperti yang dijelaskan tadi dan beberapa kali sebelum ini dasar kerajaan terhadap pendatang tanpa izin adalah jelas iaitu mereka tertakluk kepada tindakan tangkapan dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Dengan itu persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk menanggung satu populasi pendatang haram Filipina yang berada di Sabah tidak berbangkit sama sekali.

Mengenai soalan Ahli Yang Berhormat bagi Petaling Jaya mengenai penempatan-penempatan haram, adalah agak sukar untuk menentukan jumlah penempatan pendatang haram yang sebenar. Ini adalah disebabkan kewujudan penempatan pendatang haram adalah bercampur aduk dengan penempatan-penempatan setinggan tempatan. Mengikut maklumat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sabah terdapat 117 penempatan setinggan di seluruh Sabah yang didiami oleh 121,407 orang penduduk. Daripada jumlah tersebut 64,901 orang iaitu 54% merupakan penduduk setinggan tempatan manakala bakinya 56,506 iaitu 46% adalah penduduk setinggan imigran.

Pelbagai langkah telah diambil untuk menangani masalah yang berkaitan pendatang asing khususnya di Sabah. Antaranya ialah:

  1. operasi bersepadu serta operasi bersendirian oleh agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan untuk menangkap dan menghantar pulang pendatang tanpa izin dibuat secara berterusan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa; dan
  2. pemantauan serta pengawalan pintu masuk ke perairan Sabah telah ditingkatkan melalui tambahan kawalan oleh TLDM dan Polis Marin.

Menyentuh soalan yang dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat bagi Beluran mengenai langkah-langkah yang diambil untuk membendung kemasukan pelarian daripada Selatan Filipina akibat pergolakan yang berlaku di kawasan berkenaan, langkah-langkah tambahan telah diambil seperti berikut:

  1. meningkatkan rondaan dan pemantauan pintu masuk dan perairan Sabah secara berterusan melibatkan kapal-kapal TLDM dan Polis Marin;
  2. menempatkan lebih ramai anggota keselamatan dan aset di Pantai Timur Sabah seperti berikut:

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Lubuk Antu, kawalan sempadan oleh pasukan keselamatan di sempadan Sabah, Sarawak dengan Kalimantan Barat juga dibuat secara berterusan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Di antara tindakan yang diambil termasuk:

  1. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan sekatan-sekatan jalan raya 24 jam di beberapa lokasi strategik yang dikenal pasti sebagai laluan pendatang asing tanpa izin. Selain daripada itu tindakan untuk mengenal pasti lokasi-lokasi di mana PTI bekerja terutama di ladang-ladang, tapak pembinaan dan kem-kem pembalakan telah dan sedang dilaksanakan. PDRM juga sedang mengatur gerak anggota-anggota PGA untuk rondaan terkoordinasi dengan polis Indonesia di bawah kerjasama General Border Committtee (GBC);
  2. Jawatankuasa Perancang Gerakan Negeri juga bertanggungjawab pada keseluruhan operasi gerakan dalam negeri Sabah dan Sarawk dan sentiasa membuat penilaian keadaan dan keperluan-keperluan yang ada bagi memastikan perbatasan negara sentiasa diawasi daripada pencerobohan PTI; dan
  3. Penduduk-penduduk di sempadan juga telah diminta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memantau dan memaklumkan agensi-agensi terdekat berkaitan dengan kehadiran pendatang asing tanpa izin di kawasan mereka. Ini telah dilaksanakan melalui kursus, ceramah dan beberapa pendekatan lain kepada ketua-ketua kampung, ketua masyarakat dan anggota-anggota RELA.

Tindakan menangkap dan menghantar pulang PTI dibuat secara berterusan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Sebagai makluman ahli-ahli yang berkenaan, jumlah tangkapan yang dibuat dari tahun 1995 hingga tahun 2000 adalah seramai 109,416 orang iaitu 59,000 pendatang Filipina dan 50.416 pendatang Indonesia. Dalam tempoh yang sama seramai 108,906 pendatang asing tanpa izin telah dihantar pulang ke negara asal mereka, manakala bagi negeri Sarawak seramai 19,763 pendatang asing tanpa izin telah ditangkap dan 19,717 telah dihantar pulang ke negara asal.

Secara keseluruhan sejak tahun 1990 seramai 132,240 pendatang tanpa izin yang terdiri daripada 66,414 Filipina dan 65,826 Indonesia telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Selain itu sejumlah 26,513 pendatang tanpa izin Filipina dan 860 pendatang tanpa izin Indonesia telah kembali secara sukarela menjadikan jumlah keseluruhan pendatang tanpa izin yang dihantar pulang bagi tempoh tersebut kepada seramai 159,613 orang. Bagi tahun ini sejak Januari hingga September 2000 seramai 19,493 pendatang asing tanpa izin yang terdiri daripada 9,943 Filipina dan 9,520 Indonesia telah dihantar pulang.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan memang sedar akan implikasi-implikasi kehadiran pendatang asing di Sabah khususnya PTI. Kehadiran pendatang asing yang besar jumlahnya telah menimbulkan pelbagai masalah-masalah politik, keselamatan, sosial, perwujudan penempatan setinggan yang besar khasnya di kawasan bandar yang menjadi sarang kepada pelbagai kegiatan jenayah.

Di sebaliknya pula pendatang asing merupakan sumber pekerja di ladang-ladang dan kilang-kilang di negara ini. Untuk mencari penyelesaian muktamad masalah pendatang asing, Kabinet telah membuat keputusan pada 18 Oktober lalu untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri. Jawatankuasa ini diwujudkan bagi menangani masalah pendatang asing di seluruh negara.

Tuan Ronald Kiandee: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana memberi jawapan yang begitu terperinci tentang masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Sesungguhnya memang diakui bahawa pendatang tanpa izin seperti yang dijawabkan tadi telah membawa masalah yang banyak kepada masyarakat Malaysia di Sabah terutamanya. Soalan saya Tuan Yang di-Pertua, apakah kerajaan akan meneruskan niat untuk memindah masyarakat-masyarakat pulau yang sering diancam oleh pendatang ini dan juga apakah kerajaan berniat untuk melaksanakan hasrat untuk resettle dan juga menempatkan pendatang baru yang akan datang ini ke pulau-pulau setempat yang akan dipastikan kelak. Terima kasih.

Tan Sri Bernard Giluk Dompok: Tuan Yang di-Pertua, untuk menjawab soalan Ahli Yang Berhormat bagi Beluran, saya ingin menjelaskan  bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menempatkan penduduk-penduduk rakyat Malaysia di pulau-pulau ke tempat yang lain.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa penempatan pendatang asing kepada satu pulau akan menimbulkan masalah dari segi logistik, dari segi kemudahan asas, bekalan air, bekalan elektrik dan sebagainya.

Jadi, ini semua adalah perkara-perkara yang diambil kira oleh kerajaan dan oleh sebab masalah ini adalah satu masalah yang akan mengakibatkan tenaga Kerajaan Malaysia ini, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menangani masalah untuk seluruh negara.

Datuk Dr. Haji Yusof bin Haji Yacob: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada menteri yang telah mengambil tindakan tegas melalui usaha kerajaan iaitu membuat rondaan, penempatan kakitangan yang lebih dan juga peralatan seperti Skyhawk di sempadan. Sepatutnya perkara ini telah lama kita lakukan, bukan masa ini tetapi syukur juga.

Tetapi sebenarnya masalah pendatang di Pantai Timur Sabah ini adalah akibat tekanan ekonomi dan juga keadaan hidup mereka yang susah di kawasan tersebut dan juga keadaan keselamatan yang tidak terjamin. Apakah ada usaha-usaha di peringkat kerajaan, government to government Tuan Yang di-Pertua, perundingan melalui forum-forum tertentu misalnya ASEAN ataupun OIC dengan izin, atau pun agensi-agensi pembangunan kemasyarakatan seperti Asean Development Bank ataupun penglibatan pelabur-pelabur Malaysia seperti public listed company dengan izin, seperti Tabung Haji dan sebagainya untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan juga keadaan kehidupan mereka yang tertekan di Pantai Timur ataupun di selatan Filipina itu dan ini akan menghalang mereka daripada merayau-rayau mencari rezeki sehingga menjadi pelarian di Sabah. Terima kasih.

Tan Sri Bernard Giluk Dompok: Tuan Yang di-Pertua, cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat bagi Sipitang itu adalah cadangan yang baik sekali dan saya akan kemukakan ini semua kepada Jawatankuasa Kabinet yang telah ditubuhkan.

BACK