13 Disember 2000
Tuan Yang di Pertua,
Kementerian Pendidikan telah mengambil
langkah-langkah yang sewajarnya supaya murid-murid sekolah tidak terlibat dengan
aktiviti perjudian. Antara langkah-langkah yang telah dan akan diambil adalah
melalui pendekatan seperti berikut:-
- Kurikulum: Menerapkan nilai-nilai murni
dalam semua mata pelajaran. Pendekatan yang lebih khusus ialah melalui mata
pelajaran Pendidikan Islam dan juga Pendidikan Moral bagi murid-murid yang
bukan beragama Islam.
- Kurikulum: Murid-murid adalah digalakkan
menyertai persatuan-persatuan, kelab-kelab dan pasukan pakaian seragam di
sekolah. Melalui penyertaan ini, murid-murid diajar dan dididik melakukan
perkara-perkara yang baik dan yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai
agama dan peraturan negara.
- Peraturan Sekolah: Pihak sekolah diminta
menguatkuasakan semua peraturan sekolah dengan tegas dan mengambil tindakan
kepada murid-murid yang melanggar peraturan termasuk murid yang terlibat
dengan perjudian.
- Pekeliling Ikhtisas: Surat pekeliling
ikhtisas bertarikh 9 Oktober 1976, bilangan 11/1976 telah dikeluarkan
berkaitan Mengharamkan Semua Jenis Permainan Judi di sekolah.
- Kerjasama Dengan Pihak Polis: Pihak sekolah
sentiasa bekerjasama dengan pihak polis bagi menangani aktiviti perjudian di
sekolah. Antaranya ialah memberi ceramah-ceramah tentang undang-undang
negara.
Note: Parents also play an important role, the
Ministry agreed to also make the PIBG (Parents Teachers Association) more active
in this.