|
KERAJAAN Persekutuan digesa menyokong pengeluaran Bon Hijau (Green Bonds) untuk membiayai Pengurusan Hutan Berkekalan (sustainable forest management (SFM) di negeri Sabah. Di samping itu, Kerajaan juga digesa menimbang kembali nilai ringgit yang telah ditetapkan pada kadar RM3.80 pada setiap Dollar Amerika, supaya mengawal kesan negatif nilai wang ringgit kepada pelajar Malaysia di luar negara dan juga pengimportan barangan mentah. Yong berkata demikian apabila membahaskan Belanjawan 2000 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. Mengenai Bon Hijau, Yong berkata cadangan beliau itu bersempena keputusan kerajaan untuk memajukan pasaran bon negara untuk pelabur-pelabur. Satu jawatankuasa Pasaran Bon Nasional telah ditubuhkan untuk tujuan ini. Pelabur SFM dikehendaki mengadakan "Silvikultur" dan penanaman tambahan untuk membaikpulihkan hutan pembalakan dan juga ulntuk memastikan penempatan yang wujud dibangunkan. Yong yakin, Bon Hijau ini akan mendapat sambutan di Eropa dan Amerika kerana sudah ada kesedaran dan keprihatinan tentang pentingnya melindungi hutan, alam sekitar dan ekologi. Di Eropa dan Amerika ada beberapa institusi yang mempunyai kewangan untuk pelaburan mesra-alam. Beliau berkata, pelabur dalam bon hijau akan mendapat keuntungan, bukan saja dari segi kewangan, tapi juga "akan melangkah ke alam kontrak inter-generasi, untuk memastikan hutan akan terus kekal wujud untuk kepentingan generasi akan datang." |
Mengenai nilai Ringgit dan nilainya berbanding Dollar Amerika Syarikat, Yong memuji pemimpin Kerajaan Pusat kerana mempunyai visi dan keberanian serta kebijaksanaan untuk menambatkan nilai ringgit yang seterusnya membawa kepada kestabilan ekonomi. Tindakan itu telah menaikkan rezab negara pada USD 33.8 billion. Yong juga membandingkan nilai ringgit dengan matawang utama seperti Sterling, Dollar Singapura, Yen, Deutshemark dan Euro. Ringgit masih ditetapkan pada kadar RM3.80 berbanding sedollar, ini bermakna nilai Ringgit rendah dari yang sebenarnya. Pada tahun 1999, kelebihan perdagangan Malaysia ialah RM173 billion, akaun masakini mempunyai kelebihan RM142.6 billion dan Rezab Nasional USD34 billion. Ini menandakan nilai ringgit akan terus naik. Satu daripada sebab kenapa penganalisa telah menyokong penetapan nilai ringgit dan tidak menilaikannya kembali, ialah perasaan takut RM2 billion wang asing yang dilaburkan di Malaysia, akan mengalir keluar. "Kita boleh memilih sama ada untuk mengeluarkan wang spekulasi atau tunggu hingga ia bertambah kepada tahap dimana, bila ia ditarik keluar, impaknya pada ekonomi agak teruk," katanya. "Kita boleh kawal perdagangan tapi kita tidak boleh menumpaskan kuasa dan reaksi pasaran. Kalau kita biarkan ekonomi itu diherotkan, maka akan memberi kesan negatif kepada struktur macro-ekonomi. Kita harus mengadakan rumusan semula dalam perkara ini," kata Yong. |