TERIMA KASIH...
PERJUANGAN
DITERUSKAN
Sejak 1985, saya mengabadikan hidup saya pada politik dan menganggap berkhidmat kepada rakyat dan negara sebagai misi dan kerjaya saya. Saya agak bernasib baik kerana dalam perjuangan politik saya, saya mendapat sokongan daripada seluruh Malaysia. Saya amat bertuah khususnya di kawasan pilihan raya Likas dalam mana penduduk telah memilih saya pada pilihan raya demi pilihan raya. Sejak 1999, saya juga telah mendapat sokongan pengundi di kawasan Parlimen Gaya.
Saya seikhlasnya berterima kasih kepada rakyat (rakan-rakan dan juga pesaing) yang telah membuatkan saya sebagai Wakil Rakyat sejak 17 tahun lalu sesuatu yang mencabar dan menyedarkan. Saya ingin meneruskan tugas saya. Tetapi, seperti dalam ungkapan bola sepak, saya telah diberi kad merah atas dakwaan "kesalahan pilihan raya". Pihak media telah tidak henti-henti melaporkan kes saya dan menyifatkan saya sebagai sabit kesalahan atas amalan rasuah. Perkataan ini telah disalahtafsirkan atau diolah sehingga menimbulkan tanggapan yang saya bersalah melakukan rasuah, seperti merasuah pengundi atau saya yang dirasuah, atau kesalahan lain melibatkan unsur-unsur ketidaksetiaan.
Sebenarnya, kesalahan yang didakwa itu hanyalah berkaitan dengan papan tanda yang tidak mempunyai nama dan alamat penerbitnya. Perbicaraan mahkamah pilihan raya tidak mempamirkan bukti yang saya terlibat secara peribadi. Dengan tidak ada nama atau orang yang dikenalpasti bertanggungjawab, bagaimana hakim boleh memutuskan saya sebagai bertanggungjawab adalah di luar pemahaman. Dan menghukum saya dengan menghilangkan kelayakan saya adalah sesuatu yang amat tidak wajar dan jelas tidak adil.
Namun saya akan tetap meneruskan perjuangan saya. Mungkin saya terkeluar daripada beberapa perlawanan, tetapi saya belum terkeluar terus daripada sukan itu. Keadaan yang luar biasa mungkin memaksa saya memberhentikan peranan saya sebagai seorang wakil yang dipilih. Jawatan itu mungkin sudah tidak ada, tetapi tugas tetap diteruskan. Dengan pasukan rakan-rakan dalam SAPP berkhidmat kepada rakyat selama ini, bolehlah saya katakan bahawa hanya sedikit, jika ada, yang berubah atau akan berubah.
Ada sebilangan musuh politik saya cuba memperkecil-kecilkan sokongan rakyat terhadap saya dengan mendakwa kononnya kemenangan saya dalam pilihan raya adalah hasil daripada sokongan pengundi hantu, sogokan dan amalan rasuah. Mereka pergi ke mahkamah. Kita mempunyai pilihan raya kecil di Likas dan anda memberi kemenangan kepada saya, sekali lagi. Saya digugurkan sebagai seorang Anggota Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri disebabkan satu kesalahan pilihan raya. Tidak ada hak merayu dalam mahkamah itu; saya beranggapan saya mempunyai hak warganegara untuk mengemukakan petisyen pengampunan. Tetapi ada pihak-pihak tertentu yang tidak memungkinkannya.
Tanggapan saya tentang berlakunya kegagalan keadilan pada keseluruhan kes ini adalah kerana terdapat banyak fakta yang meragukan dalam perbicaraan petisyen pilihan raya itu bagi menunjukkan terdapat kecacatan pada penghakiman tersebut. Di sini saya berikan beberapa contoh:
PENGAMPUNAN
Disebabkan saya merasa kegagalan keadilan telah menafikan kehendak demokrasi penduduk di Likas dan Gaya, dan kerana Perlembagaan memberi semua warganegara hak mengemukakan petisyen pengampunan, saya memohon pengampunan. Ketua Menteri, seorang ahli Lembaga Pengampunan Negeri, malah sebelum lembaga itu bermesyuarat lagi telah menyatakan bahawa kes saya itu tidak berkaitan; malah sebelum saya membuat keputusan untuk mengemukakan petisyen bagi pengampunan itu lagi.
Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 3 Sept, 2002. Secara tergesa-gesa, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mengisytiharkan yang saya hilang kelayakan pada 11 September. Pada 13 September, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan, lebih awal, bahawa saya akan digugurkan pada 18 September. SPR terus mengisytiharkan kerusi Gaya kosong meskipun mengetahui yang petisyen pengampunan saya masih belum selesai dan walaupun Speaker Parlimen telah menyatakan bahawa tidak ada kekosongan.
Saya merasa kecewa, tetapi saya belum putus harapan. Saya telah digugat tetapi saya tidak goyah. Sebaliknya, saya mendapat kekuatan dalam pergolakan ini kerana saya percaya kita bersama-sama pada semangat dan kebenaran.
Saya mengucapkan terima kasih atas segala sokongan, dorongan dan persahabatan yang anda berikan selama ini.
Yong Teck Lee
29 Sept. 2002
"...kejayaan seseorang calon yang menang
tidak seharusnya diganggugugat sewenang-wenangnya."
- Justice Chong Siew Fai in Mursin bin
Lain vs Datuk Fred Sinidol (The Writ Journal of Sabah Law Association Vol IV
P11)
"...Harus ada bukti daripada keterangan
yang jelas dan nyata."
- Justice Abdoolcader (Pengkalan Kota
by-election Teoh Teik Huat vs Lim Kean Siew 1 MLJ, 265,267)