GREETINGS
Sekapur Sirih
 
Sabah State Chief Scout
Ketua Pengakap Negeri Sabah

Saya mengucapkan syabas kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah atas kejayaan menyediakan Hompej Pengakap Negeri Sabah. Saya juga mengucapkan selamat datang kepada semua pengunjung yang memasuki halaman hompej Pengakap Negeri Sabah ini.

Penyediaan hompej Pengakap negeri Sabah ini membuktikan bahawa Pengakap juga boleh disesuaikan dengan arus pembangunan teknologi masa kini seperti internet. Ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri Sabah untuk mewujudkan"Electronic government". Dengan adanya hompej ini yang menyediakan satu lagi jenis kemudahan media masa, kita akan dapat menarik perhatian sebahagian lagi daripada penduduk dunia ini mengenai negeri Sabah iaitu para pengguna internet.

Walaupun negara kita sedang dilanda kegawatan ekonomi, tidak semestinya ia berhenti di situ sahaja Kita harus menanganinya dengan sifat rasional dan positif. Berbekalkan semangat dan kecekalan yang tinggi pada para pemimpin dan pengakap Sabah, saya pasti kita mampu mengharungi segala rintangan yang ada.

Akhirkata saya harap kewujudan hompej ini akan memberi satu inspirasi kepada para pengakapdi Sabah khususnya untuk maju setapak lagi.

Malaysia boleh, Sabah boleh!

DATUK YONG TECK LEE


Sabah State Chief Commisioner
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah

Assalamualaikum....

Terutama sekali saya ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pembangunan Teknologi (IT) Pengakap negeri Sabah kerana telah berjaya menghasilkan dan melancarkan hompej Persekutuan Pengakap Malaysia cawangan Sabah. Sememangnya pelancaran hompej tersebut telah dirancang sejak tahun lalu (1997) apabila diseru oleh pihak ibupejabat Persekutuan Pengakap Malaysia untuk mewujudkan hompej negeri masing-masing.

Atas kesungguhan yang diberikan, seruan tersebut dapat kami tunaikan. Apa yang lebih menarik lagi adalah negeri Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia yang telah melancarkan hompejnya secara rasmi. Sekali lagi saya ucapkan syabas.

Penggunaan teknologi maklumat atau lebih dikenali sebagai IT, walaupun baru, sudahpun digunakan dengan meluas. Para Pengakap sedunia juga tidak ketinggalan menggunakan teknologi baru ini. Ini terbukti apabila Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) pada tahun lalu (1997) telah menamakan acara Jamboree-on-the-Internat (JOTI) sebagai acara rasmi Pengakap Sedunia. JOTI kini diadakan setiap bulan Oktober, selari dengan acara JOTA (Jamboree-on-the-Air). Dengan terbentuknya Jawatankuasa IT Pengakap Negeri Sabah ini saya yakin pada tahun ini Persekutuan Pengakap Malaysia cawangan Sabah dapat secara rasminya mengikuti acara tersebut.

Akhir kata saya harap dengan adanya hompej Pengakap Negeri Sabah ini ia akan meberikan gambaran yang terbaik mengenai pengakap Sabah dan saya ucapkan selamat berpengakap melalui internet.

Wasalam....

AWANG ZAINI HAJI SUNTIM


Yang Di-pertua Sabah Scout Council
Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Sabah

Bismillahirrahmanirrahim,

Saya mengucapkan selamat datang kepada semua Pengakap yang melawat hompej Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah. Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengakap Negeri Sabah kerana bersusuh payah mengusahakan Hompej Pengakap Negeri Sabah ini.

Sesungguhnya, kejayaan ini amat besar ertinya kepada pihak Persekutuan Pengakap Malaysian Cawangan Sabah. Saya difahamkan bahawa Sabah merupakan negeri yang pertama yang mengadakan hompej Pengakap negerinya. Oleh yang demikian pujian harus diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan Teknologi Maklumat (IT) Pengakap Negeri Sabah atas usaha dan kegigihan mereka.

Dengan adanya hompej ini saya yakin lebih ramai Pengakap akan mengetahui lebih mendalam mengenai Sabah amnya dan Pengakap Sabah khususnya dan akan mendorong mereka untuk melawat negeri Sabah. Bagi menarik lebih ramai pelawat saya harap segala maklumat dan penyampaian hompej  menarik, berinformasi tetapi ringkas. Elakkan memasukkan perkara-perkara yang negatif yang boleh menjatuhkan nama baik Pengakap negeri Sabah.

Akhir sekali saya ucapkan selamat berpengakap.

DATUK ISMAIL HAJI AWANG BESAR


Committee Chairman
Pengerusi Jawatankuasa

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, bagi pihak Jawatankuasa IT Pengakap Negeri Sabah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y.Bhg Encik Awang Zainie Haji Suntim, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah atas dorongan yang diberikan sehingga terlaksananya Laman Web Rasmi Pengakap Negeri Sabah. Yang lebih membanggakan ialah negeri Sabah merupakan negeri yang pertama di Malaysia yang mengadakan Laman Web Pengakapnya yang tersendiri.

Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Jawatankuasa IT Pengakap Negeri Sabah atas kerjasama dan dorongan mereka sehingga terlaksananya Laman Web ini. Dengan adanya kerjasama ini saya berharap Jawatankuasa ini akan terus bergerak memajukan pergerakan Pengakap di Sabah terutamanya dari segi pembangunan Teknologi Maklumat atau "IT". Kita akan memastikan bahawa Pengakap juga boleh, searah dengan pembangunan negara.

Beberapa program pembangunan IT telah pun dirancang untuk pengakap-pengakap di Sabah. Mudah-mudahan segala rancangan tersebut akan terlaksana.

Akhir kata, selamat berpengakap melalui internet!

TIPUN MASALON


Copyrights © 1998 The Scouts Association of Malaysia Sabah Branch.
All Rights Reserved.