Persatuan Perancang Keluarga Sabah

Maklumat Latarbelakang

Perkhidmatan sukarela perancang keluarga pertama kalinya ditimbulkan dan diperkenalkan di Sabah oleh dua orang sukarelawan yang penuh ghairah iaitu Dr. Nigel E. F. Lever dan En. G. N. Nickalls. Mereka merupakan perintis dan pengasas Persatuan Perancang Keluarga Sabah. Dengan sokongan moral dan galakan Dr. Sushila Gore, Pengarah Perubatan Persekutuan Keluarga Berencana Antarabangsa (IPPF) bagi lingkungan Lautan dan Asia Tenggara, kedua-dua Dr. Lever dan En. Nickalls telah dapat mengambil kakitangan perubatan dan paramedik sukarela yang lebih ramai untuk menubuhkan persatuan ini. Tempat asal penubuhan Persatuan Perancang Keluarga Sabah ialah di Sandakan. Di sanalah cawangan pertama ditubuhkan pada 16 Februari 1967 dan didaftarkan secara rasmi pada 6 Julai 1967 sebagai persatuan sukarela. Sebuah Majlis Pengurusan sementara telah dibentuk pada 17 Mac 1967 di bawah cawangan Sandakan dengan tujuan untuk menubuhkan satu pentadbiran berperlembagaan dan badan penyelaras untuk Persatuan apabila lebih banyak cawangan ditubuhkan di seluruh negeri pada masa hadapan. Majlis Pengurusan Berperlembagaan telah dibentuk pada 21 April 1967.

Penubuhan Cawangan-Cawangan Lain

Cawangan kedua telah ditubuhkan di Kota Kinabalu pada 21 April 1967 yang dipengerusikan oleh Datu Dr. Lai Kuen Fong dan didaftarkan pada 6 Februari 1969. Dr. Nigel Lever telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis yang pertama bagi kedua-dua cawangan tersebut.

Dari tahun 1967 hingga 1977, Persatuan Perancang Keluarga Sabah telah diberikan "Status Pemerhati" di peringkat majlis kawasan Persekutuan Keluarga Berencana Antarabangsa (IPPF). Pada 19 Disember 1977, Persatuan Perancang Keluarga Sabah telah menjadi ahli kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Perancang Keluarga Malaysia (FFPAM) sebagai salah satu ahli daripada 13 ahli yang terdiri daripada Persatuan Perancang Keluarga Negeri.

Sejak penubuhannya, Persatuan Perancang Keluarga Sabah menerima bantuan kewangan daripada Persekutuan Keluarga Berencana Antarabangsa (IPPF). Ia merupakan salah satu ahli daripada 20 organisasi yang terdapat dalam Majlis Perkhidmatan Sosial Sabah dan yang juga menerima bantuan wang tahunan daripada Majlis tersebut.


Muka Utama | Perkhidmatan | Latarbelakang | Matlamat | Lokasi

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 088-217553 (Klinik) dan 088-245209 (Ibu Pejabat)
atau hantarkan mel elektronik kepada sfpa@sabah.org.my.
.