ray_small_banner.jpg (5505 bytes)

 

ray2.jpg (6194 bytes)
Speeches for the year 1999
Tempat:

Rumah Wargatua Sri Harapan Sandakan

Tarikh: 3hb. Oktober 1999 – 10:00 pagi
Semasa:

Perasmian Pelancaran Hari Wargatua Kebangsaan dan Gotong Royong


(Teks ucapan akan disampaikan oleh Y.bhg. Encik David Chan, Pemimpin Kemajuan Rakyat N.37 Tanjung Papat Sandakan)

Terlebih dahulu saya ingin mengirimkan salam maaf daripada Y.B. Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah oleh kerana beliau tidak dapat hadir dalam majlis ini.  Dalam pada itu, saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ucapan ini bagi pihak beliau seperti berikut:-

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Jawatankuasa penganjur kerana telah memberi penghormatan kepada saya untuk hadir dalam majlis perasmian pelancaran Hari Wargatua Kebangsaan dan juga aktiviti gotong royong yang akan diadakan pada pagi ini bertempat di Kawasan Rumah Orang Tua Sri Harapan Sandakan ini.

Sepertimana yang kita sedia maklum bulan Oktober setiap tahun merupakan suatu tempoh bilamana sambutan perayaan Hari Wargatua Kebangsaan diadakan.  Tema perayaan Hari Wargatua tahun ini ialah “Keluarga Penyayang, Wargatua Bahagia”.   Ini memanglah sesuai sekali dengan tujuan atau matlamat Hari Wargatua Kebangsaan yang bermaksud hendak meningkatkan penghormatan dan maruah wargatua dalam keluarga, masyarakat dan negara.  Selain dari ini, Hari Wargatua juga menekankan dari segi penyediaan kemudahan bagi penjagaan dan perlindungan wargatua agar sentiasa hidup sejahtera serta mengujudkan peluang agar mereka boleh terus berdikari.  Tetapi yang penting sekali ialah Hari Wargatua memberi kita kesempatan untuk mengenang jasa dan sumbangan wargatua kepada negara.  Pendek kata, Hari Wargatua adalah berhasrat untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa tanggungjawab menjaga kebajikan wargatua adalah kewajipan bersama.

Di sepanjang perayaan Hari Wargatua ini, berbagai aktiviti akan diadakan khusus untuk para wargatua kita.  Misalnya, hari ini kita akan mengadakan projek gotong royong untuk membersihkan kawasan Rumah Orang Tua Sri Harapan ini.  Manakala pada 9 Oktober 1999, Persatuan Buddist Mission Sandakan akan membawa penghuni-penghuni Rumah Wargatua Sri Harapan ke Tokong Cina Sibuga dan selepas itu mereka akan di bawa untuk makan tenghari.  Di samping ini, Persatuan Hakka akan memberi makan malam dan hiburan kepada mereka pada hari yang sama.  Beberapa hari kemudian, Interact Club Sekolah Menengah Yu Yuan akan memberi hadiah, Tea Party dan Sukaneka kepada para penghuni Rumah Wargatua ini.  Selepas itu, pada 24 Oktober 1999, Buddist Merit Society akan membuat kerja amal di wad bedridden, gunting rambut, memotong kuku dan seterusnya memberi jamuan ringan kepada para penghuni di Institusi ini.  Pada hari yang sama juga, Buddist Mission Kwan Yin akan memberi hiburan dan makan tenghari, manakala acara kemuncak ialah Majlis Penutupan Hari Wargatua 1999 peringkat Daerah Sandakan yang akan disusuli oleh Majlis Jamuan Makan Malam bersama dengan semua penghuni rumah orang tua Sri Harapan ini.  Semua program yang telah diatur ini adalah begitu bermakna kepada wargatua kita dan juga benar-benar mencerminkan semangat penyayang yang boleh ditunjukkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan selaras dengan dasar kebajikan negara.  Saya berharap persatuan-persatuan kebajikan sukarela di daerah-daerah lain yang mempunyai rumah orang-orang tua, boleh berbuat seperti ini, terutama sekali di musim menyambut perayaan Hari Wargatua Tua.  Adalah juga menjadi harapan saya semoga kerjasama seperti ini akan berterusan dan juga ditingkatkan di masa akan datang oleh semua pihak seperti agensi Kerajaan yang berkenaan organisasi-organisasi bukan Kerajaan, syarikat-syarikat para individu berkumpulan atau berseorangan dan sebagainya.   Dengan berbuat begini saya yakin kita boleh mencapai objektif-objektif Hari Wargatua ini.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa yang terlibat menganjurkan program-program Hari Wargatua ini, termasuklah agensi-agensi Kerajaan, persatuan-persatuan organisasi-organisasi Bukan Kerajaan, syarikat-syaraikat dan juga orang-orang perseorangan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.   Di samping ini, saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua syarikat pertubuhan, NGOs dan para individu yang telah menyumbangkan berbagai bentuk derma serta tenaga bagi menjaya Perayaan Hari Wargatua ini.  Dan dengan kata-kata itu, saya merasmikan Hari Wargatua 1999 peringkat Daerah Sandakan dan Projek Gotong Royong ini dengan sukacitanya. 

Sekian dan terima kasih.

Download pdf format

Ke muka depan


Homepage designed by Sabah State Llibrary
Any enquiry, please contact Webmaster