ray_small_banner.jpg (5505 bytes)

 

ray2.jpg (6194 bytes)
Speeches for the year 1999
Tempat:

Dewan Serbaguna Kg. Pantai Emas Kota Belud

Tarikh: 13 November 1999 – 1:55 Petang
Semasa:

Pelancaran Bulan Membaca


(Teks ucapan disampaikan oleh Yang Berbahagia Puan Ku Joo Bee, Pengarah, Perpustakaan Negeri Sabah)

Terlebih dahulu saya ingin mengirimkan salam maaf daripada Y.B. Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah oleh kerana beliau tidak dapat hadir dalam majlis ini.  Dalam pada itu, saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ucapan ini bagi pihak beliau seperti berikut:-

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Datuk Panglima Amin Hj. Mulia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri di atas kesudian meluangkan masa  untuk melancarkan Bulan Membaca Perpustakaan Desa Kg. Pantai Emas Kota Belud dan pada masa yang sama melancarkan Perkhidmatan Internet.

Tidak lupa juga saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak di atas kesudian beliau hadir bersama-sama kita untuk menyaksikan  dan memeriahkan majlis yang penuh sejarah ini.  Ucapan syabas juga saya tujukan kepada Tuan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Penganjur dan ahli-ahli jawatankuasanya serta semua penduduk Kg. Pantai Emas dan juga kampung persekitaran di atas kerjasama untuk menjayakan majlis pelancaran ini.

Sejak   tahun 1994, bulan Ogos telah diisytiharkan oleh Jemaah Menteri pusat  sebagai Bulan Membaca. Semua institusi telah mengadakan program dan aktiviti tahunan yang bertujuan untuk mengalakkan minat membaca secara terancang dan menyeluruh dan sudah pasti kita tidak mahu ketinggalan.  Walaupun pada asasnya bulan Ogos dikhususkan untuk kegiatan pembacaan, aktiviti galakan pembacaan perlu dijalankan sepanjang tahun.

Membaca merupakan aktiviti penting untuk meningkatkan kecergasan  minda kita serta memperluaskan pandangan seseorang ke arah pembentukan dan  pembangunan masyarakat yang lebih responsif untuk pembangunan negara.  Melalui amalan pembacaan seseorang dapat berkongsi pengalaman serta menimba ilmu dari berbagai sumber dan sekaligus dapat menyumbang ide kreatif ke arah era teknologi.

Selaras dengan matlamat untuk memupuk minat membaca dikalangan masyarakat luar bandar Kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk memastikan matlamat ini tercapai.     Tahun ini sahaja 7 bangunan perpustakaan desa telah dibina iaitu di Kg. Tanjung Labian, Lahad Datu; Pekan Bongawan; Kg. Tun Fuad Kunak; Kg. Barambangan Kudat; Kg. Meligan Sipitang dan Kg. Kelatuan Papar.  Kesemua perpustakaan desa ini dijangka siap sebelum akhir tahun dan beroperasi awal tahun hadapan.  

Pada 5 Ogos 1999 saya telahpun melancarkan Bulan Membaca Peringkat Negeri Sabah di Papar dengan tema “Perpustakaan Pemangkin Generasi Bestari” sementara di peringkat Kebangsaan  cogankatanya  ialah “ Ilmu Merintis Kecemerlangan Minda”.  Saya percaya bahawa   tema  ini dapat menepati cabaran dalam wawasan 2020 supaya masyarakat mempunyai sifat-sifat mengejar kecemerlangan ilmu , tidak terkongkong jiwanya dan dihormati oleh semua bangsa lain dan sesuai  dengan itu,   budaya membaca boleh menjadi teras bagi membentuk daya fikir  yang matang.

Saya berharap  agar Bulan Membaca ini akan dapat memberi kesan positif kepada penduduk setempat tentang kepentingan amalan pembacaaan kearah penjanaan pembangunan negara yang maju di alaf baru yang kita akan tempui beberapa minggu lagi.

Pada hari ini saya juga amat bangga untuk memaklumkan bahawa  Perkhidmatan Internet telah disediakan oleh Kementerian saya melalui Perpustakaan Negeri Sabah di perpustakaan desa ini.   Perpustakaan desa  di kampung  ini  telah mendapat perkhidmatan yang canggih dan merupakan mercu tanda kejayaan Kerajaan untuk memastikan agar semua lapisan masyarakat khususnya diluar bandar  dapat menikmati era   teknologi terkini .   Saya berharap dengan adanya kemudahan ini  penduduk kampung bukan sahaja menggunakannya  sebagai saluran untuk mencari maklumat tetapi juga saluran untuk menyebarkan  maklumat mengenai   kampung.  Pelbagai  laman di Internet ini mempunyai ruang untuk pengiklanan tentang peniagaan dan saya percaya bahawa masyarakat  Kampung khususnya peniaga  yang mempunyai kemahiran tinggi dalam mengusahakan  hasil kraftangan seperti tikar dan parang bolehlah mengambil peluang keemasan untuk mengiklankan perniagaan masing-masing.  Disamping itu, ibubapa yang mempunyai anak-anak ataupun sanak saudara di luar negara bolehlah berhubung melalui mel-e.  Saya berharap kemudahan perkhidmatan ini dapat  membina satu masyarakat bermaklumat  dan wajarlah ianya digunakan dengan penuh rasa tanggungjawab  bersama.Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Senator Datuk Pandikar Amin Hj Mulia di atas kesudian beliau untuk melancarkan bulan Membaca  dan syabas dan tahniah juga kepada Pejabat Daerah Kota Belud,   Perpustakaan Negeri Sabah di atas komitmen yang bersungguh-sungguh untuk memastikan agar  majlis pelancaran  serta aktiviti bulan membaca ini  berjalan dengan lancar dan meriah. 

Akhir sekali saya menyarankan agar penduduk kampung ini serta persekitarannya menggunakan kemudahan  di Perpustakaan Desa ini bagi menyediakan sebuah masyarakat  luar bandar  yang   berilmu  pengetahuan dan  berkemahiran dalam   teknologi maklumat  setanding dengan penduduk bandar.

Sekian terima kasih

Download pdf format

Ke muka depan


Homepage designed by Sabah State Llibrary
Any enquiry, please contact Webmaster