ray_small_banner.jpg (5505 bytes)

 

ray2.jpg (6194 bytes)
Speeches for the year 2001

Ucapan Y.B. Datuk Raymond Tan Shu Kiah
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, Sabah
Sempena Kempen Anti Dadah (Projek Komuniti)
Pada 14hb Julai 2001 – Jam 10.30 Pagi
Bertempat Di Kompleks Karamunsing, Kota Kinabalu 

(Teks ucapan disampaikan oleh Puan Janet K.L. Chee, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Sabah)

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur atas usaha menganjurkan Kempen Anti Dadah (Projek Komuniti) yang bertema “Masyarakat Bersama-sama Membasmi Dadah”. 

Saya merasa amat bangga dengan penglibatan bersama serta kerjasama dan sumbangan ketiga-tiga agensi kerajaan iaitu Hospital Queen Elizabeth, Pejabat Kesihatan, Kawasan Kota Kinabalu dan Agensi Dadah Kebangsaan dalam usaha untuk membanteras ancaman gejala dadah yang kian berleluasa di seluruh negara termasuk Negeri Sabah. Adalah menjadi harapan saya agar lebih banyak lagi agensi-agensi kerajaan dan badan-badan sukarela dapat melibatkan diri untuk mengambil tindakan bersama menangani masalah penyalahgunaan dadah yang akan mengancam kestabilan negara sekiranya tidak dibendung dari awal lagi.

Kempen Anti Dadah yang bertemakan “Masyarakat Bersama-sama Membasmi Dadah” telah dirancang dan dilaksanakan dengan objektif untuk menunjukkan komitmen dan keprihatinan ketiga-tiga agensi yang terlibat dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang masalah penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.  Kempen ini menekankan kepentingan dan tanggungjawab setiap lapisan masyarakat untuk menjauhi daripada gejala penyalahgunaan dadah.  Kempen ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai betapa pentingnya hidup bebas dari ancaman dadah bagi merealisasikan matlamat Agensi Dadah Kebangsaan dalam usaha untuk mengisytiharkan Sabah agar bersih daripada gejala dadah menjelang tahun 2015.

Mengikut perangkaan yang diperolehi daripada Agensi Dadah Kebangsaan, Negeri Sabah menduduki tangga ke lapan dari segi jumlah kes penagihan dadah yang dilaporkan di Malaysia.  Keperahan masalah dadah dapat dilihat daripada peningkatan bilangan penagih yang dikesan.  Pada tahun 2000, Malaysia telah mencatatkan 14,850 kes baru dan 15,743 kes ulangan.  Daripada angka tersebut, Sabah telah menyumbangkan 1752 kes penyalahgunaan dadah iaitu 1405 kes baru dan 347 kes berulang. Daripada jumlah tersebut, daerah Kota Kinabalu telah menunjukan penagih baru sebanyak 608 dan penagih berulang sebanyak 189. Sehubungan itu, jenis dadah yang diambil yang terbesar bagi daerah Kota Kinabalu ialah syabu, diikuti dengan amphetamine dan pil psikotropik. Mengikut statistik tahun 2000, sebahagian besar penagih dadah yang dikesan adalah di dalam lingkungan umur 20 hingga 34 tahun. Ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang menghadapi risiko tinggi adalah merupakan kaum belia yang sepatutnya menjadi tulang belakang pembangunan negara selain dari menjadi bakal pemimpin negara.

Memandangkan penyalahgunaan dadah boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif ke atas kestabilan dan keselamatan negara, saya merayu kepada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir dan semua lapisan masyarakat supaya menanamkan sikap prihatin dan memberi kerjasama dan bantuan kepada agensi-agensi kerajaan bagi memantapkan usaha sepadu membanteras gejala dadah yang menjadi musuh utama negara kita.

Adalah menjadi harapan agar kerjasama dan keprihatinan tuan-tuan dan puan-puan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah dapat merealisasikan matlamat Agensi Dadah Kebangsaan untuk mencapai tahap Negeri Sabah bersih daripada dadah.  Saya percaya, matlamat tersebut hanya dapat dicapai melalui pembentukan masyarakat yang prihatin terhadap usaha pencegahan dadah menjelang tahun 2015.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Hospital Queen Elizabeth, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Agensi Dadah Kebangsaan di atas inisiatif dan kesungguhan mereka menganjurkan dan seterusnya menjayakan kempen anti dadah kali ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Kempen Anti Dadah (Projek Komuniti) yang bertemakan “Masyarakat Bersama membasmi Dadah”.    Sekian.

Download pd format

Ke muka depan


Homepage designed by Sabah State Llibrary
Any enquiry, please contact Webmaster