![]() |
|
![]() |
| Speeches for the year 2003 |
SIARAN
AKHBAR
UCAPAN
Y.B. DATUK RAYMOND TAN SHU KIAH,
MENTERI PEMBANGUNAN MASYARAKAT DAN HAL EHWAL
PENGGUNA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN BULAN MEMBACA PERINGKAT NEGERI SABAH
14
JULAI 2003 - JAM 10.00 PAGI
DI
BILIK SERBAGUNA PERPUSTAKAAN NEGERI SABAH BANDARAYA KOTA KINABALU
(Teks
Ucapan disampaikan oleh Y.B. Datuk Surinam Haji Sadikun, Pembantu Menteri
Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah)
Selamat
pagi dan salam sejahtera
Terlebih
dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberikan penghormatan untuk
bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini untuk menyaksi dan
menyempurnakan majlis pelancaran Bulan
Membaca Peringkat Negeri 2003. Bulan Membaca yang bertemakan ‘baca@gayahidup’ adalah program Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama
perpustakaan-perpustakaan awam seMalaysia dan
disambut serentak di seluruh Negara sepanjang bulan Julai ini. Tujuan
utama program ini ialah untuk memastikan budaya cintakan ilmu berjaya dipupuk di
kalangan semua lapisan masyarakat terutamanya
golongan belia selaras dengan hala tuju kerajaan untuk mewujudkan masyarakat
yang kaya maklumat.
Pelancaran
Bulan Membaca peringkat kebangsaan telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan
Malaysia, Tan Sri Musa Mohamad dalam satu majlis besar-besaran Karnival Bulan
Membaca di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada 5 Julai 2003. Dalam pelancaran
tersebut, kita turut berbangga di atas penyampaian anugerah kepada pemenang
tempat pertama Kategori Taman Perumahan dan pemenang saguhati Pertandingan
Perpustakaan Keluarga Peringkat Kebangsaan 2003 di mana kedua-duanya berasal
dari daerah Tawau, Sabah. Mereka telah mengharumkan nama negeri Sabah apabila
diumumkan sebagai pemenang dan ini bermakna kedua-dua mereka ini telah
diiktirafkan sebagai antara yang mempunyai perpustakaan keluarga yang terbaik di
Malaysia.
Tuan-tuan
dan puan-puan,
Sifat
suka membaca ialah satu amalan mulia dan seharusnya dijadikan budaya seumur
hidup. Membaca adalah langkah untuk menimba ilmu, memperkayakan maklumat, ilmu
pengetahuan dan kebolehan dalam pelbagai bidang. Dalam erti kata yang lain,
melalui membaca kita boleh mendidik diri sendiri dalam pelbagai aspek.
Ilmu pengetahuan dan maklumat membolehkan kita mempertingkatkan taraf
hidup, mampu berdaya saing dan bergerak maju dalam dunia kini yang semakin
mencabar dan berteknologi tinggi. Rakyat yang
suka membaca merupakan aset
kerajaan yang tidak terhingga nilainya kerana kehidupan pada hari esok banyak
bergantung kepada apa yang kita pelajari pada hari ini.
Perpustakaan
Negeri Sabah adalah antara institusi Kerajaan Negeri yang memainkan peranan
penting dalam usaha memupuk dan menggalakkan pembacaan di kalangan masyarakat.
Setakat ini, terdapat 68 buah perkhidmatan perpustakaan cawangan dan desa di
seluruh negeri Sabah dengan koleksi yang berjumlah 1,363,646 naskah. Untuk
memudahkan mendapat maklumat yang cepat dan terkini, semua perpustakaan cawangan
telah dibekalkan dengan kemudahan komputer peribadi bertalian internet untuk
kegunaan pengguna.
Salah
satu penekanan Wawasan 2020 ialah untuk membangun Malaysia sebagai sebuah negara
yang kaya maklumat dan mempunyai ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan. Seiring
dengan halatuju Kerajaan ini, pihak Kementerian saya amat prihatin dan sentiasa
memberi sokongan padu kepada program yang dirancang dan dilaksanakan oleh
Perpustakaan Negeri Sabah (PNS).
Program
ini termasuklah program pembangunan yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan
Negeri serta peningkatan
pelaksanaan perkhidmatan dan aktiviti yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Dari
segi program pembangunan, saya amat berbesar hati kerana di bawah Rancangan
Malaysia Ke-8, Aras 2 bangunan ibu pejabat disiapkan sementara penyiapan Aras 1
dan 3 akan dimulakan pada tahun ini. PNS Cawangan Lahad Datu telah berpindah ke
bangunan baru dan kini pembinaan bangunan PNS Cawangan Ranau akan dimulakan.
Dengan adanya bangunan yang lebih luas maka sudah tentunya kemudahan untuk
pengguna dapat dipertingkatkan seperti komputer, perkhidmatan dan bahan-bahan
perpustakaan.
Masyarakat
luarbandar juga tidak dilupakan di mana pengwujudan Perpustakaan Desa Siber Ilmu,
Perpustakaan Komuniti dan penyediaan Perpustakaan Bergerak Multimedia yang telah
dipertingkatkan. Perpustakaan dan van Perpustakaan Bergerak juga kini
dilengkapkan dengan komputer selain daripada buku-buku agar masyarakat di luar
Bandar sama-sama mendapat peluang mengakses keperluan maklumat yang lebih luas,
cepat dan tepat melalui IT.
PNS
dalam usaha memaksimumkan kualiti perkhidmatan juga telah beralih kepada
penggunaan Sistem baru dalam urusan perkhidmatannya. Sistem ini
dikenali sebagai sistem ILMU (Integrated Library Management Utility) .Dengan
Sistem ini, pengguna kini boleh mengakses maklumat sumber perpustakaan melalui
WebOPAC di Internet.
Penemuan kajian The Reading Profile of Malaysians, 1996 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dari umur 10 tahun ke atas adalah celik huruf namun secara purata, rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku dalam setahun. Oleh yang demikian, bagi meningkatkan tahap pembacaan di kalangan masyarakat, saya yakin melalui program seperti Bulan Membaca ini, ianya akan dapat meningkatkan minat sekaligus mewujudkan budaya membaca di kalangan masyarakat.
Perpustakaan Negeri Sabah telah melanggan pangkalan data online’ seperti eBrary dan Encylopedia Britannica yang mana ianya merupakan salah satu alternatif terkini kepada kita untuk mendapatkan maklumat dengan lebih mudah dan pantas. Di samping itu, pengguna-pengguna dapat mengakses pangkalan data private domain “MyLib” tanpa bayaran melalui Perpustakaan Negeri Sabah. “Mylib” merupakan satu pangkalan data di bawah konsortium Perpustakaan Negara Malaysia yang memuatkan pangkalan data public domain dan private domain. Antara data komersil di bawah private domain ialah ABSCO information service, PROQUEST Information Learning dan CLJ legal network.
Sempena
dengan Bulan Membaca ini, saya menyeru kepada orang ramai khasnya kepada para
ibu-bapa dan guru-guru untuk membawa kanak-kanak berkunjung ke perpustakaan dan
menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan.
Sebelum mengakhiri ucapan ini saya ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Bulan Membaca 2003 serta semua yang telah terlibat dalam menjayakan program ini. Tanpa dedikasi dan keringat yang telah anda curahkan kejayaan pada hari ini tentu sekali sukar untuk kita perolehi.
Dengan
ini, saya dengan sukacita dan bangganya merasmikan Program Bulan Membaca
Peringkat Negeri Sabah 2003.
Sekian,
terima kasih.
Homepage designed by Sabah
State Llibrary
Any enquiry, please contact Webmaster